Tulisan dan Lisan: Tangan Menjadi Lidah di Akhir Zaman

tangan-lisan

Manusia bekerja dengan tangan.

Manusia berkomunikasi dengan lisan.

Manusia yang berkomunikasi dengan tangan, adalah manusia yang ada halangan berkomunikasi dengan lisan.

Tangan dan lisan adalah sebahagian daripada anggota tubuh yang Allah berikan, untuk membantu manusia menerima dan memberi kebaikan. Demikian juga kaki, mata, telinga dan kurniaan yang lain.

Tetapi tangan dan lisan itu unik. Hingga keIslaman seorang Muslim, dikaitkan dengan bagaimana kedua-duanya diguna pakai.

Sabda Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

salimalmuslimun“Seorang Muslim itu adalah seorang yang kaum Muslimin terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [HR al-Bukhari]

Lisan itu banyak mengundang sesalan. Ia mengungkapkan sesuatu, kadang-kadang teratur dan lurus, namun sering juga terbabas, hingga diumpamakan oleh cerdik pandai kita bahawa ‘lidah itu tidak bertulang’. Sukar lurus, sering terpesong ke sana sini. Malah apabila terpesong disengajakan dan jadi biasa, lidah tidak bertulang bertukar menjadi ‘lidah bercabang’.

Justeru banyaklah pesanan Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam agar kita menjaga lisan.

Malah Allah memberi amaran, bahawa lisan yang berkata-kata, tiada yang terlepas daripada perhitungan.

50_18Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). [Qāf 50:18]

Akan tetapi, apakah bencananya apabila tangan mengambil alih peranan lisan?

Bagaimana jika tangan yang berkomunikasi, dan bukan lagi lisan?

Hari ini, lisan mungkin tidak berkata-kata. Kita semakin kurang berkata-kata. Pandang sahaja meja makan sebuah keluarga di kedai. Ibu, bapa dan anak-anak sudah tidak berbual. Meja mereka sepi daripada perbualan.

Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak berkata-kata. Tidak berkomunikasi. Lidah mereka diam, tetapi tangan mereka sedang bingit berkata-kata. Mereka berbual di media sosial. Mereka berkomunikasi di Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, Telegram selepas zaman MiRC dan ICQ sebagai pemula.

Di zaman ini, apa yang Allah dan Rasul ingatkan tentang bahaya lisan, bukan lagi lisan yang melakukannya. Di akhir zaman, tangan mengambil alih perbuatan lisan. Oleh itu, semua yang dipesan oleh Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam tentang lisan, perlu diimbas kepada aktiviti tangan. Kecelaan tangan bukan lagi pada mencuri, merompak, memukul, dan senarai-senarai klasiknya. Kecelaan tangan ialah pada tingkah lakunya sebagai penaip perkataan di alam tersebarnya qalam!

fashwulqalam“Menjelang Kiamat (berlakunya perkara-perkara berikut): memberi salam hanya secara khusus kepada golongan tertentu, tersebarnya perniagaan hingga isteri turut sama terpaksa membantu suaminya menguruskannya, memutuskan silaturahmi, tersebarnya pena, semakin ketaranya kesaksian palsu dan menyembunyikan kesaksian yang benar” [Sahih Al-Adāb al-Mufrad]

Bagaimanakah tersebarnya pena mendatangkan bencana? Sedangkan pena itu mulia, hingga Allah bersumpah dengannya di dalam surah al-Qalam. Pena adalah alat menulis, menyokong perintah baca (Iqra’) dan menyempurnakannya.

Tetapi akan sampai satu zaman, pena yang tersebar jadi bencana.

Yoneji Masuda (Masuda, Yoneji. “Three great social revolutions: agricultural, industrial, and informational.” Prometheus 3, no. 2 (1985): 269-274.) menjelaskan bahawa di sepanjang sejarah manusia, ada tiga revolusi yang paling memberi impak kepada kehidupan manusia, menganjak ke era baru yang secara signifikan meninggalkan era sebelumnya. Tiga revolusi berkenaan adalah:

  1. Revolusi pertanian
  2. Revolusi perindustrian
  3. Revolusi teknologi maklumat

Hari ini, kita hidup di era revolusi ketiga yang sedang sangat agresif berkembang. Banyak perkara yang tidak pernah berlaku dan tidak pernah dibayangkan sebelum ini, berlaku di depan mata. “Tersebarnya pena” sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam itu perlu diperluaskan pemahamannya dengan merujuk kepada semua medium yang berperanan seperti peranan pena iaitu Internet.

Bayangkan.

noise

Twitter saya mempunyai 45 ribu ‘pengikut’. Apabila saya tweet satu mesej, “go to Hell with the Panda issue!” ia dengan serta merta boleh diulang cetak di skrin 45 ribu pengikut itu sehingga 45 salinan. Tambahan pula dengan retweet, atau dipetik menjadi poster, atau print screen, satu perkataan jadi berganda-ganda… sesuatu yang mustahil berlaku di zaman kertas stensil.

Dan di media sosial, apa yang ditulis dan disalin tanpa had itu bukan ILMU yang peratusnya kecil. Sebaliknya ia adalah butir komunikasi yang dahulunya dilakukan oleh lisan. Apabila kita berkomunikasi dengan lisan, kita hanya bercakap dengan beberapa orang pada satu-satu masa. Mereka yang jaraknya 10 meter dari kita, sudah tidak terbabit. Mereka yang hadir lewat 10 minit, mungkin sudah tidak tahu cerita. Tetapi tidak keadaannya apabila yang berbicara adalah TANGAN!

Kerana itulah, apa sahaja peringatan Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam tentang LISAN, perlu dituju kepada perbuatan tangan.

Kata Baginda sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

istaqamna“Apabila anak Adam bangun pagi, maka sesungguhnya seluruh anggota tubuhnya memujuk lisan, lalu mereka berkata, “bertaqwalah kepada Allah wahai lisan, pada menjaga hak kami. Sesungguhnya kami ini adalah bergantung kepadamu. Jika engkau lurus, luruslah kami. Dan jika engkau bengkok, bengkoklah kami” [HR Al-Suyuthi di dalam al-Jāmi’ al-Saghīr]

Dulu-dulu, ‘Joyah’ bangun pagi, ke hulu ke hilir dia bermuncung-muncung menceritakan rahsia-rahsia orang kampung yang diketahui.

Kini, Joyah tidak berkain batik ke sana sini. Joyah bangun pagi, Joyah belum turun dari katil, sudah kemas kini status Facebook. Joyah tweet di Twitter. Joyah balas mesej-mesej di Whatsapp. Mulut Joyah tidak bermuncung-muncung bercerita. Tangan Joyah yang buat kerja.

Jika lurus tangan Joyah, luruslah seluruh tubuh anggota dirinya.

Jika sesat tangan Joyah, sesatlah dia.

yakhzanaminlisanihi

“Seorang hamba tidak mencapai hakikat iman, sehingga dia mengurung diri daripada lisan (menahan diri daripada berkata-kata yang tiada batasan)” [HR Al-Suyuthi di dalam al-Jāmi’ al-Saghīr]

Dulu-dulu, lidah itu yang sering mahu menyampuk, menyibuk, bercakap yang tidak perlu, bercakap yang menimbulkan sesalan.

Kini, yang liar itu adalah tangan.

Bukan kerja kita untuk berpihak, sama ada mahu menyokong artis wanita atau bekas suaminya. Menceritakan hal rumahtangga kepada media itu urusan mereka dengan Allah untuk bermuhasabah. Tetapi kita yang terpandang isu ini di Newsfeed, bukan lisan yang liar mahu bercakap mengenainya, tetapi TANGAN. SANG TUKANG TAIP di skrin telefon, tablet dan komputer.

“Poodah!”

Kenapa mahu ditulis ‘poodah’ itu?

Apa perlunya?

Tiada tercapai makna iman, sehingga seseorang itu boleh mengurung lisannya.

Sufyan bin ‘Abdullah RA berkata:

lisanihi

“Wahai Rasulullah, terangkanlah kepadaku tentang sesuatu untuk aku beristiqamah berpegang dengannya. Baginda menjawab: katakanlah Tuhanku adalah Allah dan kemudian berpegang teguhlah kamu (dengannya). Aku berkata lagi: wahai Rasulullah apakah perkara yang paling engkauh khuatirkan ia menimpa diriku? Baginda menunjukkan lisannya dan berkata: INI!” [Sahih Ibn Hibban]

Dulu-dulu, lidah itu jika boleh disepit, disepit-sepit agar tidak sewenang-wenangnya bercakap, hingga itu yang menjadi kebimbangan utama Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam. Tetapi kini, lidah elok berehat di dalam mulut. Yang cela dan menabur celaka adalah tangan yang berkata-kata. Habis dibingit dan diporak-perandakan sana sini, oleh tangan.

Imam Birgivi berkata,

“Menjaga lisan itu tidak mudah, kecuali dengan memelihara diri daripada perbuatan banyak berkata-kata, kemudian melazimi sifat diam kecuali pada perkara-perkara yang perlu diperkata, itu pun selepas berfikir dua kali, dan memperkatannya sekadar yang perlu” [Birgivi, M. B. P. a. a.-B.   2002.    Al-Tharīqah Al-Muhammadiyyah Wa Al-Sīrah Al-Ahmadiyyah.   Aleppo: Dār al-Qalam al-‘Arabī. ms. 239]

Mudahkah untuk diam?

Susah!

Jika kita bercakap, orang tahu apa yang kita cakap, dan kita tahu bahawa orang tahu apa yang kita cakap. Ia memberi kepuasan.

Tetapi jika kita ada pendapat, sebaliknya kita membuat keputusan untuk tidak menyatakannya, sedangkan kita mahu pendapat kita itu diketahui, mudahkah untuk diam?

Rasa seperti dada itu hendak meletup.

Membuak-buak, mahu bercakap.

Ia bukan lagi pertarungan antara diam dan berkata-kata.

Kini, ia pertarungan antara tidak menulis dengan menulis.

Komen?

Like?

Gelisah, resah, hilang arah, apabila kita tidak turut sama mahu memberi komen.

Nanti orang ingat kita tidak peduli. Nanti orang ingat kita tidak tahu.

Diam itu azab!

Kecuali kita beriman bahawa diam kita Allah ketahui. Diam kita mendekatkan kita ke Syurga!

liyasmut“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik atau DIAM” [HR Al-Bukhari]

Tulislah yang baik-baik atau, DIAM. Tidak menulis.

Banyak bercakap itu, impaknya bukan hanya meriuh rendahkah persekitaran, tetapi orang yang banyak bercakap juga hatinya menjadi KERAS.  Di zaman ini, apabila percakapan bukan lagi pada apa yang lisan kata, tetapi pada tulisan yang tangan tulis, banyak menulis menjadikan kepala manusia riuh rendah, walaupun di kelilingnya sunyi. Alam yang sepi dari bunyi, bising dengan tulisan tangan yang berceloteh. Selain yang membaca tulisan sebegitu jadi huru-hara, yang menulisnya juga KERAS HATI.

al-qalbal-asi“Janganlah banyak bercakap yang bukan zikrullah. Maka sesungguhnya banyak bercakap yang bukan zikrullah itu mengeraskan hati. Dan sesungguhnya manusia yang paling jauh daripada Allah adalah yang berhati keras” [Mishkāh al-Masābīh]

Apabila hati keras, kita susah hendak menerima nasihat.

Kita melawan.

Kita cepat nak menjawab.

Kita susah hendak menangis.

Orang menangis, kita banyak cakap dan kata dia poyo.

Kita baca al-Quran pun tidak rasa apa-apa.

Baca ayat tentang Syurga tidak rasa nikmatnya. Baca ayat tentang Neraka tidak rasa gerunnya. Baca tentang Mukmin, kita rasa itu kita. Baca tentang Munafiq, kita nak tujukan kepada orang selain kita.

Apabila kita baca al-Quran dan kita tidak rasa apa-apa, ertinya hati kita keras. Orang yang keras hati, jauh daripada Allah.

Salahnya apa?

Salahnya kita banyak berkata-kata.

Walaupun lidah kita tidak menuturkan lisan, tetapi tangan kita tidak berhenti-henti menulis tulisan.

Tulisan pula bukan zikrullah.

Tulisan lagha, mengeraskan hati.

Sempena kedatangan Ramadan ini, berazamlah untuk tidak membiarkan hati keras hingga Ramadan pun gagal mengubah kita. Selain azam-azam yang lain, azamkanlah satu perkara ini.

Mulakan mujahadah untuk berasa nikmat pendapat kita hanya Allah yang tahu. Mulakan perjuangan untuk mendiamkan tangan daripada menulis status, tweet dan pos, menulis komen, dan menulis balasan komen, kecuali ZIKRULLAH!

samata-naja“Siapa diam, dia pasti terselamat!” [HR Al-Tirmidhi]

Dengan lafaz Bismillāh al-Rahmān al-Rahīm, saya dengan ini merasmikan sempena kedatangan Ramadan 1435H, kempen DIAM.

Diam lisan.

Diam tulisan.

Andai ini Ramadan terakhir kita.

Moga lebih dekat dengan Syurga dan redha-Nya.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

_________________
Rakaman kuliah Maghrib topik ini : KLIK DI SINI

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

9 comments

  1. Dulu saya pun pelik dengan diri sendiri, lebih laju dan sopan ‘bercakap’ dengan tangan dari mulut. Dan saya sedar, itu bukanlah sesuatu yang baik, sebab itu bermaksud saya ada masalah untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.

    Mungkin dengan diam dengan tulisan itu, bantu saya supaya berkomunikasi secara lisan dengan lebih baik. Setiap artikel ustaz banyak bantu saya muhasabah diri sendiri. Terima kasih.

    • Terima kasih atas kunjungan dan maklum balas. Di musim-musim blog sunyi ini, mudah-mudahan kita ada lebih banyak ruang berfikir, bermuhasabah dan mengusahakan diri menjadi lebih baik Insha-Allah

  2. Saya juga kebelakangan ni berrfikir…sebut la apa saja
    Isu, dari politik, artis, ugama sehinggalah masaalah semasa yg melanda negara.Halaman yg melaga laga kan umat dengan isu isu remeh sehinggala kepada pengunjung pengunjung yg memberi komen dengan bahasa yg sangat tidak enak didengar. Paling menyrdihkan rata ra afalah orang melayu. Terasa sesak nafas bila buka media sosial dan terpaksa berhadapan dgn semua penyakit ini.

  3. Rasanya ini tanda-tanda akhir zamankan ustaz?

  4. Abdul Aziz Hj Man

    Padat memikat.Terima kasih Ustaz kerna berkongsi maklumat.Melimpah rahmat.

  5. Lidah tidak bertulang. Kini jari mengambil alih fungsi lidah. Berhati-hati melakukan dosa terutamanya di bulan Ramadan kerana ia akan diganda2kan. Puasa bukan pada perut sahaja malah pada jari juga. Kurang bercakap termasuk melalui jari, lebihkan fikir. Sebulan ibadah di bulan Ramadan ini akan lebih baik daripada segala amalan di 11 bulan yang lalu. Selamat melakukan amal soleh (bukan sekadar teori) di sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ini. Jazakallah.

  6. Jika dulu tiada FB, bloggers saja yang pantas dengan tangan, kalau tidak pun di forum-forum sahaja. Tapi kini, semua berpeluang, tak kira gender, umur dan sosial status, semua sudah ada akses ke FB melalui smart phone.

    Amat benar sabda Nabi sallallāhu ‘alayhi wa sallam hinggalah ke akhir zaman: “Seorang Muslim itu adalah seorang yang kaum Muslimin terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [HR al-Bukhari] –

    kalau di zaman dulu, lidah ini yang perlu didiamkan, kini di zaman gajet, tangan-tangan pula yang perlu diikat-ikat.

    Jazakallah ustaz di atas artikel ini.

  7. Zikir dan fikir…….

  8. Ustaz..saya mohon izin utk share ya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share