Ada kalanya, semangat Islam kita menyebabkan kita tidak menghargai apa-apa yang kita tidak dapat kaitkan dengan Islam. Kita tidak berminat dengan sejarah yang bukan sejarah Islam. Malah kita melihat apa-apa yang non Islamik atau pra Islam, tidak mempunyai apa-apa nilai kebenaran, pelajaran, juga tidak menyumbang apa-apa kepada Islam dan Muslim itu sendiri.
Sedangkan Islam yang luhur, menjadikan seorang sejarawan itu menghargai kebenaran, lebih daripada sempadan agama dan keagamaannya.
Keislaman kita (sekurang-kurangnya saya sendiri), menyebabkan bangsa dijadikan antagonis kepada agama.
Melayu?
Apa itu Melayu?
“Ana Muslim, Alhamdulillah” itu sudah memadai.
Tiada apa maknanya Melayu kepada saya, kerana saya akan mati sebagai Muslim, terbaring di kubur sebagai Muslim, berdiri di Mahsyar sebagai Muslim, dan masuk ke Syurga sebagai Muslim. Apa yang tidak berharga di dalam kubur, tidak berharga di luar kubur.
Itu yang saya kata.
Mungkin itu juga yang ramai percaya.
Terutamanya Islamist seperti saya. Sekurang-kurangnya seperti saya pada suatu ketika.
Tambahan pula kebelakangan ini, tiada banyak perkara menarik yang kita rasa boleh kita kaitkan dengan rasa bangga kepada bangsa kita. Soal bangsa dan kemelayuan kita, sentiasa bergelumang dengan gurauan sinis bahawa apabila Melayu dikritik, kita melarikan diri sebagai Jawa. Apabila Melayu menghiasi statistik, kita segera menyalahkan bangsa yang cuai kepada agama.
Bukan tiada kebenaran dalam gurauan itu. Tetapi gurauan yang berlarutan sejak zaman mumayyiz hingga dewasa itu menyebabkan kefahaman kita tentang bangsa, seperti sesuatu yang tiada ilmunya.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). [Al-Hujurāt 49: 13]
Ayat ini selalu menjadi titik saya berhenti, untuk bertadabbur.
Sejauh manakah saya telah memenuhi perintah Allah di dalam ayat ini.
Allah yang menyebabkan kita ini ada yang lelaki ada yang perempuan. Tujuan perbezaan itu adalah untuk membangunkan tamadun insan. Sudahkah saya mengilmukan diri saya agar faham tentang keperempuanan perempuan dan kelelakian lelaki? Sebahagian daripada usaha bertaqwa kepada Allah, akan memerlukan ilmu berkaitan dengan hal ini.
Allah juga yang menyebabkan kita ini berbangsa-bangsa. Tujuan perbezaan antara bangsa itu adalah untuk membangunkan tamadun insan. Sudahkah saya mengilmukan diri saya agar faham tentang kemelayuan Melayu, demikian juga dengan bangsa-bangsa yang lain? Sebahagian daripada usaha bertaqwa kepada Allah, akan memerlukan ilmu berkaitan dengan hal ini.
Sudah lama saya hendak belajar tentang Melayu.
Tetapi setiap kali saya mencari ilmu tentang Melayu, saya terganggu oleh pihak-pihak yang memperjuangkan Melayu. Saya sudah lama pening dengan UMNO tatkala berbicara tentang Melayu. Kini kepeningan itu ditambah lagi oleh wacana-wacana tentang Melayu oleh Perkasa, ISMA dan NGO-NGO yang sinonim dengan tema Melayu. Saya cuba membaca wacana-wacana Profesor Naquib al-Attas. Tetapi saya perlu membacanya di dalam diam kerana di keliling Profesor dan gagasan pemikiran, ada pengawal-pengawal yang meresahkan.
Alhamdulillah, Allah rezekikan kepada saya untuk ternampak poster Seminar Asal Usul Melayu 2014.
Meneliti nama pembentang, topik-topik yang dibentang, penyataan masalah yang mencetus seminar, saya yakin ini adalah seminar yang boleh membantu mengilmukan diri saya tentang Melayu. Saya ingin memahami tentang Melayu secara fisiologi, seterusnya Melayu dan alam Melayu, melayu dan agama orang Melayu, sebelum akhirnya Melayu dalam kerangka geopolitik silam dan semasa.
Seminar kali ini membicarakan tentang asal usul Melayu, berdasarkan disiplin Sains, Sejarah dan Arkeologi. Kekuatan setiap disiplin dalam menyokong kajian masing-masing, adalah sesuatu yang dinanti.
Apabila saya cuba membaca kajian-kajian berkaitan dengan hal ini, saya tidak dapat membezakan antara kajian yang ilmiah, kajian yang bersandar kepada pseudo sains malah kajian yang dusta dan hanya bersifat propaganda. Saya kurang mengenal nama-nama yang sepatutnya dirujuk serta kredibiliti dan ketokohan yang perlu diberi pertimbangan. Alhamdulillah, seminar ini sangat membantu. Belum pernah saya hadir ke sebuah seminar dalam keadaan yang amat letih, tetapi mata segar dari jam 8 pagi hingga ke 5 petang, selama dua hari berturut-turut.
Program dimulakan dengan ucap utama, yang disampaikan oleh Nik Safiah bt. Hj. Abdul Karim, Karyawan Tamu, Universiti Malaya! Nama yang bersahaja di slaid pembentangan, tetapi gagal menyembunyikan siapa sebenarnya tokoh yang berucap itu; seorang tokoh besar! Profesor Emeritus Dato Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, menyampaikan ucap utama beliau bertajuk “Kecemerlangan Tamadun Lampau Asas Pembinaan Masa Depan Negara Malaysia”. Ia nama yang sudah saya kenali semenjak di bangku sekolah, tetapi inilah peluang pertama saya mendengar ucapan beliau secara langsung. Profesor memulakan penyampaian beliau dengan serangkap pantun:
Buat bangsal di Pulau Daik,
Menahan taut sambil mengilau;
Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Selain daripada intipati utama ucapan beliau, pembentangan Profesor Nik Safiah menyedarkan diri saya bahawa membaca teks klasik Melayu bukan lagi menjadi sebahagian daripada tuntutan pembelajaran semasa. Kita sudah tidak lagi membaca karya seperti Sulalatus Salatin yang disusun oleh Tun Seri Lanang. Ia berbeza dengan generasi semasa di Amerika Syarikat dan Britain yang masih membaca karya klasik Shakespeare. Rata-rata, kita membaca bahan bacaan semasa yang tidak menambah perbendaharaan kata, dan terus melupakan banyak perkataan yang diguna pakai sebelum ini. Kekurangan perbendaharaan kata akibat lemahnya proses membaca ini, menyebabkan kita mendapat gambaran yang salah tentang kebolehan bahasa Melayu mengungkapkan ilmu dan pemikiran.
Bermula daripada ahli politik sendiri yang prejudis terhadap bahasa ibundanya, penyakit jati diri ini merebak hingga ke golongan cerdik pandai, sama ada yang berpendidikan luar mahu pun tidak. Lalu lahirkan orang Melayu yang berbahasa Melayu dengan hodoh, bersama bahasa Inggeris yang tidak kurang jeleknya bersama bahasa Arab yang tidak ke mana.
Profesor Nik Safiah membentangkan banyak fakta yang tidak saya ketahui.
Profesor Nik Safiah menegaskan bahawa dalam abad ke-16 dan ke-17 raja-raja Melayu menulis surat kepada semua pihak, termasuk raja-raja dan rakyat negara Barat, dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi. Dua surat diraja yang pertama diketahui adalah surat oleh Sultan Abu Hayat dari Ternate bertarikh 1521M dan surat Sultan Bayan Sirrullah, ayahanda kepada Sultan Abu Hayat. Kedua-dua surat ini ditujukan kepada Raja Portugal dan kini tersimpan di Arkib bandar Lisbon, Portugal. Surat-surat ini ditulis dalam abad ke-16.
Francois Valentijn (1666-1727), seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda telah menulis tentang sejarah Kepulauan Melayu. Tentang kehebatan bahasa Melayu, beliau berkata:
Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur ,sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.
Prof. Syed Naquib al-Attas telah mengusahakan buku yang terawal menggunakan bahasa Melayu untuk telaah kita. Buku tersebut, iaitu Kitab ’Aqaid Al-Nasafi, dikatakan telah ditulis pada 10 Februari 1590M, dalam bahasa Arab dengan terjemahan ke dalam bahasa Melayu secara harfiah. Kata beliau, “yang luar biasa tentang bahasa Melayu terjemahan yang dihasilkan 400 tahun dahulu ialah gaya bahasanya yang kemas, padat dan lancar, serta cara pengungkapan yang amat jelas.”
Profesor Nik Safiah juga mengemukakan beberapa contoh teks klasik Melayu yang mengungkapkan ilmu seni bina, undang-undang, ketenteraan dan pelbagai disiplin lain. Pembentangan beliau ditutup dengan beberapa persoalan yang penting:
- Apakah pengguna bahasa Melayu mampu menggunakan bahasa tersebut untuk memperkatakan perkara-perkara terkini, perkara-perkara yang penting dalam abad ke-21?
- Tahukah mereka, misalnya, membuat ayat-ayat yang sempurna untuk memperkatakan buah fikiran yang kompleks?
- Sudahkah mereka menguasai istilah dan kosa kata bahasa Melayu moden bagi memperkatakan perkara-perkara baharu, atau mereka perlu lari kepada bahasa Inggeris untuk melafazkan sesuatu?
- Dapatkah mereka menghayati kelincahan bahasa Melayu kreatif yang tidak dihayati oleh mereka sebelum ini?
Saya kasihan melihat diri sendiri.
Lebih kasihan apabila melihat generasi muda hari ini.
Saya sentiasa berpegang, bahawa kita tidak sepatutnya menilai seseorang semata-mata kerana jantinanya, bangsanya, warna kulitnya, malah agama kepercayaannya. Tetapi saya berpendapat kita memang boleh menilai seseorang pada bahasanya, yakni pada perkataannya, tatabahasanya, ejaannya, cara dia mengungkapkan fikiran dan perasaan, yang kesemua itu mendedahkan kerohanian yang berada di dalam tubuh jasmani yang berdiri.
Bahasa Melayu kita lemah.
Bahasa lain yang kita tuturkan juga lemah.
Kelemahan bahasa, mencerminkan kelemahan pemikiran dan jati diri.
Seperkara yang menarik tentang seminar kali ini, setiap pembentang akan mengambil masa sekitar 10 minit untuk menerangkan tentang disiplin kepakaran mereka serta bagaimana mereka bekerja dalam bidang masing-masing. Ia mengajar para hadirin untuk memahami bagaimana KEBENARAN disiasat, dicari dan dibuktikan dengan kaedah yang pelbagai, dengan tujuan yang satu iaitu mengetahui apa yang sebenar.
Demikianlah kegembiraan pertama yang saya rasakan apabila Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar memulakan pembentangannya. Sebagai pakar bahasa, beliau menerangkan kepada kami kaedah-kaedah yang ahli bahasa gunakan untuk menyelidik asal usul bahasa dan seterusnya bangsa. Kami diperkenalkan dengan kaedah leksikostatistik dan etnolinguistik (bertitik tolak dari nama benda-benda budaya, flora, fauna, berdasarkan perkaitan kognat. Demikian juga dengan kaedah arkeolinguistik yang menggabungkan arkeologi dan linguistik.
Saya kagum dengan semangat Prof Asmah yang menampakkan sebati diri beliau dengan bidang kepakarannya hingga pada usia emas, beliau masih terus mengkaji, bertemu dengan kaum-kaum pribumi dan menyiasat bahasa mereka, serta hadir ke persidangan-persidangan antarabangsa untuk memperjuangkan dapatan beliau yang menyanggah teori arus perdana tentang asal usul bahasa Melayu. Beliau menyangkal teori Kern yang dibawa oleh Bellwood, teori Blust dan teori Dyen. Prof Asmah memberi komentar kepada teori yang dikemukakan Stephen Oppenheimer di dalam karya berimpak besarnya, Eden in the East: The Drowned Continent of Souteast Asia (2001) yang menjelaskan bahawa asal usul bangsa dan bahasa Melayu adalah daripada kawasan Kepulauan Melayu itu sendiri. Ia pada suatu ketika di zaman pra ais (pre-ice-age) adalah sebuah benua besar yang disebut sebagai Sundaland!
Kajian Oppenheimer selaras dengan dapatan beliau kerana kadar kepelbagaian di Semenanjung dan Sumatera jauh lebih tinggi berbanding di kawasan yang lebih jauh seperti di Taiwan (Formosa) dan Yunan.
Perjalanan saya di dalam seminar ini berterusan lagi bersama tokoh-tokoh lain yang begitu mencelikkan fikiran seperti Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, Prof. Dr. Zilfalil Alwi, Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, Dr. Shaheerah Lebai Lutfi, Dr Darlina Md Naim, Prof Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Encik Ahmad Hakimi Khairuddin, Dr. Mohd Supian Sabtu, Dr. Khairul Bariah Ahmad Amin Noordin, Encik Mohd Asuad Mat Jelani, dan Cik Padillah Yahya.
Kesemuanya menggabungkan kajian masing-masing membabitkan bidang linguistik, bahasa, arkeologi, sejarah, sains genetik dan DNA, Artificial Intelligent, Numismatik, dan sebagainya.
Insha-Allah saya akan cuba menyambung catatan dalam artikel seterusnya, kerana seminar ini berkesudahan dengan beberapa rumusan besar yang menolak teori-teori arus perdana antarabangsa sedia ada.
HASRIZAL
Kubang Kerian, Kelantan
terima kasih atas perkongsian ustaz.saya juga malu dengan diri sendiri yang lebih suka menggunakan bahasa inggeris, kurang menghargai bahasa melayu yang sangat tinggi nilainya ini.secara jujur, saya sendiri tidak pernah membaca karya tun sri lanang dan kurang mengetahui tentangnya.Allah,ini sememangnya satu kerugian besar buat generasi baru seperti saya 🙁
Kita sama-sama usahakan penambah baikan. Saya pun begitu juga. Alhamdulillah diberi kesedaran untuk membetulkannya.
menarik perkongsian ini..memberi kesedaran..
“Sudahkah mereka menguasai istilah dan kosa kata bahasa Melayu moden bagi memperkatakan perkara-perkara baharu, atau mereka perlu lari kepada bahasa Inggeris untuk melafazkan sesuatu? – ” kebanyakan masyarakat Melayu sekarang.. berbangga bila dapat diselitkan perkataan English di dalam setiap tutur kata atau tulisan..kelemahan bangsa Melayu dalam mencari/menggunakan kosa kata bahasa Melayu adalah kerana malasnya dan tidak berminatnya membaca buku-buku berbahasa Melayu yang diiktiraf bahasanya (bukan buku novel bahasa Melayu era kini yang entah apa-apa bahasanya)
setuju dengan yang ini:
“Saya sentiasa berpegang, bahawa kita tidak sepatutnya menilai seseorang semata-mata kerana jantinanya, bangsanya, warna kulitnya, malah agama kepercayaannya. Tetapi saya berpendapat kita memang boleh menilai seseorang pada bahasanya, yakni pada perkataannya, tatabahasanya, ejaannya, cara dia mengungkapkan fikiran dan perasaan, yang kesemua itu mendedahkan kerohanian yang berada di dalam tubuh jasmani yang berdiri. “
Terima kasih.
Rencana yang melegakan sedikit hati saya kerana semakin lama saya rasa terhimpit dengan kegelojohan aliran fikiran “bangsa tidak penting” atau “ada apa dengan bangsa”. Aliran yang pada asalnya nampak murni namun yang menjadi korban ialah bahasa.
Jika aspek sejarahnya tidak berjaya mencuri minat ramai, memang kepentingan bahasa itu sekurang-kurangnya menjadi sebab mengapa topik ini penting dihayati
Buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (buku cap Ayam) karya Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan buku Islam dan Melayu karya Dato Dr Siddiq Fadziil adalah karya wajib baca mengenai sejarah Melayu dan peranan Islam di rantai Melayu ini
Suburkanlah bahasa melayu di tanah jawi ini, janganlah layu. Siapa cakap bahasa melayu, dia mengkagumkan ! (Awesome kata ” matsalleh). Biarpun diri ini sekadar dipanggil rumpun melayu, tapi tetap bertutur dengan bahasa bangsa ini dan saya baik ! (0k). Macam pandai rasanya berbahasa melayu (terus terang dan jujur)
Teratak hamba terbuka untuk ziarah tuan hamba. Khabarkan sahaja waktu dan ketikanya, akan disambut dengan kadarnya.
Teringin benar kita mendengar kisah tuan hamba musafir ke Tanah Serendah Sekebun Bunga. Adapun kita berhati walang tatkala mendengar kisah seminar itu di kampung kita, tiada dapat pula kita hadiri. Ziarah tuan hamba berkongsi cerita, pastinya nanti pengubat duka rasa kecewa! 🙂
Akan saya usahakan. Mungkin ada bahagia minda menanti di pekan Tanjung Malim
Alhamdulillah..perkongsian yg sangat bagus..sekarang ni ramai sanga bangsa melayu yang merasa malu nak menggunakan bahasa ibunda sendiri..
sangat baik seminar begini.termasuk saya sendiri tak tahu juga macm mana asal usul melayu ni…huhuh
assalamualaikum..
mungkin akan adakah lagi seminar seperti ini?. bagaimana untuk mengetahuinya jika ianya ada dianjurkan?
terima kasih.
> … Raja-raja Melayu menulis surat kepada semua pihak, termasuk raja-raja dan rakyat negara Barat, dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi.
Apa yang membuat mereka mengganti Jawi dengan Rumi?!
Nak tanya, adakah loghat itu juga salah satu faktor penggunaan bahasa melayu yang betuk terhakis? Ada dibincangkan dalam seminar ustaz?
alhamdulillah. gembira saya nak katakan di sini yang suami saya adalah salah seorang pengkaji bangsa melayu. yang mungkin tidak mempunyai sijil untuk dikatakan bertauliah tetapi yang saya tahu beliau mengkaji atas fakta-fakta.
tetapi saya juga masih lagi kurang penghayatan tentang dunia melayu. untuk dibanggakan yang saya ini anak melayu.
Salam, teringin nak hadir tapi jauh sangat. Saya minat aspek sains terutamanya dlm aspek geologi dan arkeologi. Tidak boleh dinafikan mungkin ada tinggalan2 pra-tenggelam di dasar laut Pentas Sunda yang dapat membuktikan beberapa teori sejarah purba. Amat menarik.
semakin banyak terbongkar rahsia Tanah Melayu ni…alhamdulillah….
السلام عليكم
أستاذ.. ادكه عمة ملايو ايت مروفاكن سله ساتو دري كتورونن يهودي يغ دنامكن سبكاي
“the lost tribe”
Free Live FOX-ABC-CBS-NBC TV Online-What can I Watch from Internet.
The plane slammed into the woods northeast of Paris.
Although this isn’t a novel practice, many small businesses are still oblivious to the profits
of call centre outsourcing.