Helen Keller: Rontaan Akal Mencari Makna

MiracleWorkerPoster

“Allah tidak menjadikan manusia itu buta, pekak dan bisu serentak. Jika ada yang begitu, ia disebabkan oleh kemalangan” ujar seorang ustaz.

Saya kaget mendengar penjelasan tersebut.

Beliau ditanya tentang persoalan solat orang yang pekak, bisu dan buta serentak.

Bagaimana beliau boleh begitu pasti bahawa tiada manusia yang lahir buta dan pekak lalu bisu, serentak? Dalam komuniti deafblind, kita ada Marie Heurtin (1885-1921) di Perancis. Beliau buta dan pekak semenjak lahir. Dan dalam ramai-ramai golongan kelainan upaya ini, insan paling terkenal adalah Helen Keller (1880 – 1968) di Amerika Syarikat. Biar pun buta dan pekaknya Keller bukan semenjak lahir, beliau hidup dalam alam yang sunyi dan gelap semenjak bayi.

Apabila soalan fiqh ditanya berkenaan golongan sebegini, selalunya pertanyaan itu akan selesai dengan keputusan mereka tidak mukallaf. Alasannya, tiada cara untuk maklumat dan seterusnya agama boleh disampaikan kepada insan sebegini. Jika sekadar buta, masih boleh mendengar lalu diberitahu. Jika sekadar pekak, masih boleh melihat lalu ditunjuk ajar. Tetapi tanpa kedua-duanya, bagaimanakah mereka boleh diajar, dan seterusnya menjadi manusia yang beragama?

Saya tidak meneroka secara mendalam perbahasan sarjana Islam berkenaan golongan ini. Perbahasan Sara Scalenghe di dalam bukunya Disability in the Ottoman Arab World 1500 – 1800 sedikit sebanyak menyuluh bagaimana golongan kelainan upaya yang pekak atau bisu hidup dalam komuniti yang sangat mementingkan bahasa seperti kaum Arab, dan bagaimanakah polisi Dawlah Uthmaniyyah terhadap golongan ini dari segi peluang pekerjaan serta kebajikan mereka. Akan tetapi untuk golongan pekak-buta serentak, saya belum mendapat akses yang baik tentang mereka di dalam sejarah.

Semasa bersekolah rendah di SRK Raja Di Hilir Ekram, Ipoh, kami mempunyai kelas khas untuk murid pekak dan bisu. Supaya kami boleh berkomunikasi dengan mereka, kami semua turut diajar oleh pihak sekolah bahasa Isyarat. Saya pernah ditumbuk oleh seorang pelajar pekak dan bisu. Biar pun geram dengan tindakannya, saya terfikir juga adakah tumbukan beliau itu serangan, atau khilaf makna dalam komunikasi?

Bahasa isyarat itu sungguh bermakna. Tetapi saya sudah lupa akan signifikasinya ia pada menghubungkan golongan kelainan upaya ini dengan makna kehidupan, agama dan ketuhanan.

Apatah lagi untuk yang buta dan pekak bisu serentak!

Adakah tanggapan bahawa golongan deafblind ini tidak mukallaf kerana tidak boleh diajar dan disampaikan Syariat kepadanya merupakan tanggapan yang dominan? Sejujurnya saya tidak pernah berfikir secara serius mengenai hal ini.

51731T0F6BL

Saya hanya tersedar akan wujudnya satu alam yang unik buat golongan ini apabila saya menonton filem The Miracle Worker (1962) yang menceritakan tentang kehidupan Helen Keller. Apatah lagi selepas mendapat tahu bahawa Helen Keller serta Marie Heurtin dan ramai lagi golongan deafblind ini berjaya menyambung pelajaran hingga mendapat ijazah di universiti!

Menonton filem The Miracle Worker lakonan Anne Bancroft dan Patty Duke ini sungguh menginsafkan. Ia membawa saya kembali bertadabbur kepada beberapa firman Allah yang membicarakan tentang kebolehan manusia untuk tahu.

Renungi hakikat ini:

16_78

“Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadan engkau tidak tahu apa-apa. Lalu Allah jadikan untukmu pendengaran, penglihatan, dan akal fikiran. Mudah-mudahan kamu bersyukur” [al-Nahl 16: 78]

Kita lahir tanpa mengerti apa-apa.

Apabila kita tidak tahu apa-apa, apa pun di sekeliling kita, wujudnya seperti tidak wujud.

Sehinggalah kita boleh sama ada mendengarnya melalui deria pendengaran, atau melihatnya melalui deria penglihatan. Kedua-duanya menjadi tingkap, untuk masuk makna-makna yang wujud dalam kehidupan ini agar ia sampai ke akal fikiran dan akhirnya kita tahu. Imej yang dilihat dan bunyi atau suara yang didengar, dikupas maknanya oleh maklumat yang menerangkan.

Oh, besarnya erti nikmat ini.

Betapa saya sangat kurang mensyukuri-Nya. Saya hanya terfikir tentang tidak tahu kerana tidak mahu tahu dek kemalasan. Tetapi saya terlupa bahawa perjalanan daripada kewujudan sesuatu kepada makna, dan memindahkan makna itu melalui pancaindera, kemudian ke akal fikiran, lalu dimengerti dan terluah sebagai perkataan yang bergabung-gabung membentuk makna yang lebih besar, adalah satu proses yang sungguh luar biasa!

Dan luar biasanya kebolehan manusia untuk menaakul makna, mengingatkan saya juga kepada firman Allah:

2_31

“Dan Allah telah mengajar Adam nama-nama (kepada kehidupan) itu seluruhnya. Kemudian Allah ajukan nama-nama itu kepada Malaikat dan Dia berkata, “khabarkan kepada-Ku akan nama-nama semua itu, jika kamu golongan yang benar (terhadap kenyataanmu sebelum ini)” [al-Baqarah 2: 31]

Bapa kita Adam juga seperti kita.

Bermula daripada tidak tahu.

Tetapi kebolehan untuk tahu, bermula daripada pemberitahuan sebagai langkah-langkah awal untuk tahu, menyerlahkan kebesaran Allah pada menjadikan kita Khalifah.

Filem The Miracle Worker menampakkan kepada saya bagaimanakah benda yang sangat asas itu hakikatnya adalah sesuatu yang sangat kompleks. Helen masih bertuah kerana disayangi oleh keluarganya. Mereka tidak sampai hati hendak menghantar Helen ke asylum yang begitu kebinatangan pada zaman tersebut. Tetapi ibu bapa Helen dan seluruh keluarganya tidak tahu bagaimana hendak menembus diri Helen, menyampaikan makna, agar beliau faham. Mereka hanya memberi keperluan fisiologi Helen untuk makan dan minum, tanpa mengajarnya apa-apa yang boleh menjadi Helen seorang insan, bukan haiwan!

Hendak dijerit sekuat mana pun isi hati seorang ibu, Helen terperangkap di dalam dunianya yang sangat sepi dan kosong.

Hendak ditunjuk makna sesuatu, dunia Helen gelap gelita, tidak pernah menatap apa-apa.

Apakah tanpa ‘tingkap’, bererti Helen mustahil belajar? Al-Sam’u beliau tiada. al-Absār beliau juga tiada. Tetapi al-Af’idah Helen masih menunggu untuk tahu. Tergapai-gapai mencari makna.

Hinggalah datangnya Anne Sullivan, seorang guru yang buta penglihatan hampir sepanjang hayatnya. Pengalamannya sebagai seorang murid buta, mencari makna tanpa cahaya, hingga akhirnya memahami, memberinya kelebihan untuk memahamkan.

Tetapi semua itu tidak mudah. Cikgu  Anne Sullivan dilempang, ditumbuk, rambutnya ditarik, tangannya digigit, mukanya disembur dengan makanan. Sebut sahaja apa yang tidak Helen lakukan kepada  Anne Sullivan, semuanya telah dia lakukan. Tetapi adakah serangan fizikal Helen ke atas cikgunya itu mendukung makna menyerang? Atau ia adalah rontaan beliau untuk berkomunikasi?

Tanpa mata dan telinga, Anne Sullivan mengajar Helen melalui sentuhan. Dan sentuhan itu perlu menghubungkan benda dengan maknanya, yang difahami di dalam akal fikiran Helen, melalui rabaan, sentuhan, dan bau. Permainan jari masih belum menjadi bahasa, selagi mana Helen tidak mengerti hubungan di antara nama dengan objek yang dinamakan.

Sungguh terharu.

Dalam kemuncak lupusnya semangat untuk berusaha, akhirnya Helen berjaya menghubungkan air perigi dengan W.A.T.E.R yang diungkap dengan jarinya. Air mata di pipi Helen memberitahu, anak kecil itu berjaya keluar dari kegelapan!

Nikmat mengetahui.

Menikmati makna.

Seumpama bumi yang 15 tahun dalam kegelapan tanpa cahaya tiba-tiba menyambut sinar mentari, menukar kegelapan kepada wajah padang hijau dan bunga-bungaan, sejuta warna yang setiap detik menceritakan makna.

Helen akhirnya mendapat cahaya itu.

Hingga akhirnya beliau memperolehi ijazah di universiti.

Sahabat tontonlah sendiri filem itu, atau dapatkan sahaja buku autobiografi Helen Keller yang boleh dimiliki secara percuma.

Betapa tingginya nilai akal fikiran manusia. Andai segala yang ada pada kita ini tiada, selagi ada akal, kita adalah manusia. Dan pada mensesiakan akal fikiran, apa lagi yang berbaki pada kemanusiaan kita?

Akal meronta-ronta mencari makna.

Jangan sia-siakan ia pada menghubungkan Tuhan, diri dan kehidupan.

“Seseorang itu, biar pun pada hakikat dirinya sebagai manusia sudah menjadikan dia istimewa, kelebihannya bergantung kepada setakat mana apa yang menjadikan dirinya itu seorang manusia, dirai dan dikembangkan terlebih dahulu, yakni makna dan cerahnya pengetahuan. Kelebihan ini amat bergantung kepada tahap kesungguhan dan kesabarannya untuk mendapatkan pengetahuan.” – al-Imam al-Raghib al-Isfahani, al-Zarī’ah ilā Makārim al-Syarī’ah.

Helen Keller yang buta dan pekak, apabila memenuhi makna dirinya sebagai manusia, menjadi salah seorang rakyat Amerika terhebat abad ke-20.

Buta, pekak dan bisu, tidak menghalang insan mengetahui. Jangan perbahasan fiqh yang bersahaja, membunuh potensi mereka. Di negara yang memberi peluang pendidikan buat mereka, persoalan golongan deafblind bukan lagi berlegar pada layakkah mereka menerima bantuan zakat atau wajibkah mereka bersolat, semata-mata.

Tanpa penglihatan dan pendengaran, akal masih menobatkan mereka sebagai manusia.

Manusia yang berhak untuk TAHU.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

2 comments

  1. Salam. Jemput ustaz untuk membaca hasil tulisan saya mengenai golongan ini.

    http://waznulhaq.blogspot.com/2013/01/kadangkala-cacat-itu-juga-nikmat.html#more

  2. Terima kasih ustaz atas penulisan ini.
    Membawa kami kepada kisah2 manusia hebat yg tidak terjangkau dek fikiran kita. Kuasa Allah dan keupayaan yg diberikan kpd kita, cuma kita yg tidak tahu utk memberi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share