Sindrom Menyerang ‘Ex’ Merentas Sejarah

kadizade

Dalam perjalanan pembacaan yang ‘menggelebeh’ dan meleret-leret, Alhamdulillah saya sudah dapat menjelaskan bagaimana idea islah Imam Birgivi​ bergerak dari zamannya ke era Kadızade Mehmed Efendi, kemudian Ustuvani Efendi, kemudian Vani Mehmed Efendi, seterusnya beralih ke Sulaiman al-Maghribi dan lingkungan muhaddithin di Dimashq hingga terhubung dengan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Persamaan yang banyak, bukan kebetulan. Sebaliknya ialah adalah perpindahan idea yang merentas masa, membabitkan perubahan pada psikologi manusia dan sosiologi masyarakat.

Apa yang masih menjadi amatan saya di dalam pembacaan ialah faktor-faktor yang menjadikan Birgivi tegas tetapi tidak keras, berbanding Kadızade Mehmed Efendi yang berubah menjadi keras malah radikal dalam menyampaikan dakwah islahnya. Kekerasan itu melarat di zaman Ustuvani dan kemudiannya melangkau jauh, turut menjadi karakter yang sinonim dengan pendekatan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Antara hipotesis saya setakat ini ialah:

  1. Birgivi konsisten mewacanakan sistematika akal dalam memahami agama, hingga mengulas tentang taqwa pun, dibahaskan mengapa taqwa itu penting dari sudut rasionalnya. Wacana tentang akal gugur sedikit demi sedikit dalam pergerakan idea Islah antara kurun ke-16 hingga ke 18 itu.
  2. Birgivi bergerak atas landasan amar makruf nahi munkar, institusi pendidikan (Dar al-Hadith di Birgi), dan memposisikan dirinya di luar kerajaan (meletakkan jawatan sebagai Kassāmı askeri). Manakala Kadızade Mehmed Efendi dan seterusnya Ustuvani Efendi serta Vani Mehmed Efendi mendapat sokongan politik serta menggunakan kuasa politik untuk dakwah islah mereka.
  3. Birgivi tidak mengeluarkan dirinya daripada kelompok sufi, biar pun beliau mengkritik keras banyak amalan sufi. Ia berbeza daripada Kadızade Mehmed Efendi yang duduk dalam tarekat Helvati selama beberapa tahun melalui Sheikh Ömer Efendi di Tercumãn Tekke, tetapi kemudian keluar daripada kelompok itu dan menjadi pengkritik paling tegar. Demikian juga Sheikh-ul Islam Ebussuud Efendi yang hidup dalam milieu Bayrami tetapi kemudiannya meninggalkan kelompok tersebut dan menentangnya. Ketua-ketua penting Tarikat Bayrami dikenakan hukuman keras kerana amalan mereka yang bercanggah dengan ajaran Islam seperti menari-nari di dalam majlis zikir. Antaranya ialah Shaykh Hamzah Bali, dan Shaykh Muhyi-l Din-i Kermānī.

Apabila kita mengkritik kelompok yang pernah kita anggotai, kritikan itu boleh menjadi amat tajam dan mempunyai elemen ‘polarized thinking‘.

SAMPEL SEMASA

Saya cuba menggunakan sampel semasa tentang tokoh-tokoh yang saya ketahui kini mengkritik bekas kumpulannya. Ada corak yang konsisten pada menunjukkan seseorang itu apabila meninggalkan sebuah kumpulan atau satu-satu aliran, kritikan beliau terhadap kumpulannya itu menjadi lebih keras berbanding orang lain yang mengkritik sepenuhnya sebagai orang luar, atau kritikan dari dalam oleh seseorang yang merupakan sebahagian daripada kelompok yang dikritiknya.

Antara contoh yang banyak berselisih dengan hidup saya adalah bekas Salafi yang semasa bermanhajkan salaf bersikap keras, tidak bertoleransi dan banyak melukakan orang lain. Di satu peringkat, mereka ini keletihan dan kemudiannya ‘menginsafi’ kesalahan-kesalahannya semasa Salafi dahulu. Antara bahagian yang mungkin dikesalkan, selain soal hubungan sesama saudara seagama, mereka mengalami kegersangan intelektual.

Kegersangan ini mendorong mereka beralih arah. Daripada salafi, mereka menjadi tradisionalis, mendekati manhaj Khalaf, ‘lebih bermazhab’, berorientasikan Sufi dan terjebak dalam kritikan tajam terhadap x mereka.

Keadaan yang sama juga banyak ditemui di kalangan bekas aktivis gerakan Islam. Jika semasa di dalam gerakan Islam dahulu mereka tajam dalam mengkritik ‘the others‘ sama ada dari kelompok nasionalis mahu pun anggota kumpulan Islam yang lain, di satu peringkat apabila mereka ‘tersedar’, mereka beralih keluar meninggalkan kumpulan masing-masing, dan seterusnya menjadi seteru nombor satu kepada x mereka.

Polarized thinking yang menghitam putihkan kebenaran dalam kelompok manusia menyebabkan kita terperangkap antara saya betul dan kamu salah, mengidola dan me’runtuh berhala’ (idolize and demonize). Hal ini menyebabkan kita terperangkap dalam satu ralat pemikiran yang rumit untuk diluruskan.

Saya masih di peringkat berhipotesis, perbezaan besar antara Imam Birgivi dan Kadızade Mehmed Efendi ialah Imam Birgivi tidak mempunyai sesiapa sebagai paksi pemikirannya. Beliau memetik secara bebas pandangan-pandangan tokoh yang berlainan kutub, seperti Imam al-Ghazali dan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah secara rasional. Setakat pembacaan saya, tidak ketara saya melihat Birgivi obses dengan sesiapa, sehingga Huriyye Martı yang mengkaji Imam Birgivi tidak sama sekali mengkelompokkan Birgivi dalam kelompok yang sama dengan Ibn Taimiyyah, malah merumuskan beliau sebagai seorang bermazhab Hanafi, yang ada elemen Hanbali pada dirinya, merujuk kepada pengaruh Ibn Taimiyyah dalam persoalan amar makruf nahi munkar.

Ia agak berbeza daripada Kadızade Mehmed Efendi yang berpaksikan Imam Birgivi sehingga beliau dan pengikutnya digelar sebagai Khulafa’ Birgivi (Birgivi Hulefası) oleh musuh-musuh mereka.

Saya belum berani membuat apa-apa kesimpulan kerana kebanyakan perkara masih di peringkat hipotesis. Saya hanya mampu mengingatkan diri agar bersederhana dalam semua keadaan, yakni tidak keterlaluan dalam membenci, sebagaimana juga tidak keterlaluan dalam menyukai dan menyokong.

ِAl-Hasan al-Basri rahimahullah pernah menyebut:

جعل الله الدين بين لاءين ولا تطغوا – ولا تركنوا

“Allah telah menjadikan agama ini berdiri di antara dua jangan; iaitu jangan melampau, dan jangan cenderung kepada orang-orang yang zalim”

Kata-kata ini merujuk kepada ayat 112 dan 113 daripada Surah Hūd.

Demikianlah juga peringatan Allah berikut:

5_8

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Māidah 5: 8]

Bagaimanakah kita hendak mengaplikasikan psikologi manusia ketika mengkaji gerakan, pemikiran dan organisasi di dalam sejarah? Ia sangat sulit. Sukar untuk berdiri dalam proses pembuktian yang teguh. Di sinilah besarnya khasiat sejarah yang dibentang oleh al-Quran. Ketika bahagian perincian peristiwa tidak menjadi tumpuan utama, Allah izinkan kita menyelami hati dan fikiran watak-watak utama di dalam kejadian sejarah itu. Sesuatu yang rumit untuk dikesan dalam dokumentasi sejarah lain.

Hipotesis tentang kekerasan pendekatan Kadızade Mehmed Efendi berbanding Imam Birgivi, kekal hipotesis sehingga saya selesai menekuni teks karya-karya mereka dan membuat perbandingan yang saksama. Namun pengajarannya sudah tersedia.

Jika membenci, jangan sampai menzalimi.

Jika mencintai, jangan sampai hilang pertimbangan.

Kesetiaan kita bukan pada individu, aliran dan pemikiran.

Kesetiaan kita adalah pada kebenaran.

Kebenaran yang mendekatkan kita kepada al-Haq, Tuhan yang Esa, Pemilik agama ini.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

7 comments

  1. Ini adalah pengamatan yang sangat berguna. Saya pun mengalami fasa ini dalam hidup saya . Antara puncanya adalah saya tidak seimbangkan amal dengan ilmu yang diperoleh . Jadi saya keluar dari kelompok dhollin disebabkan ilmu tetapi terjerumus ke dalam kelompok maghdub kerana saya berlaku ‘zalim’ terhadap ilmu yang Allah berikan..

  2. Penulis yang mengkaji pasal imam birgivi dengan kadizade mehmed effendi pun masih belum dapat buat keputusan inikan pulak saya yang sekadar membaca hipotesis dan tak buat apa-apa research pasal dorang..

  3. Assalamualaikum WBT Ustaz Hasrizal,

    Rasa terpanggil untuk menulis sesuatu. Saya juga, masih terlibat (walaupun tidak aktif) dalam mengkaji konflik sebegini. Sememangnya begitu, mereka yang meninggalkan -x mereka sememangnya akan mengkritik keras -x itu.

    Ada salafi yang mengkritik -x perkumpulannya.
    Ada artis yang bertaubat, bertindak keras dalam “memaku” golongan artis.
    Ada orang biasa, yang taksub dengan tokoh tertentu, kemudian “meninggalkan” tokoh itu dan menjadi seteru utamanya.
    Ada orang politik yang setia dengan tokoh tertentu, kemudian meninggalkan tokoh tersebut malah menjadi musuhnya.
    Ada orang motivasi, yang meninggalkan “pemikiran motivasi” dan seolah bermusuh dengan ideologi berbentuk motivasi. Mungkin orang itu saya. 🙂

    Saya rasakan sebagai pengalaman peribadi. Ketaksuban itu berlaku ketika kita betul2 merasa ideoogi itulah kebenaran, dan “berserah diri” kepada apa yang disangka kebenaran itu. Seluruh hidup digerakkan dalam kerangka ideologi perkumpulan yang dianuti. Kesetiaan tidak berbelah bagi, malah berkempen untuk itu. Namun, hidup ini….merupakan perjalanan ‘soul’. Soul berevolusi dan cara pandang berubah. Tidak ada perkumpulan tempat kita menginap tetap selama-lamanya.

    Saya mengalami proses “healing”. Saya seperti sedar yang saya memusuhi ideologi motivasi, dan pakar-pakar motivasi yang ada kini, terutamanya yang banyak mencampur adukkan dengan agama. Dan saya bertindak untuk menjauhkan diri dari mendengar, melihat, supaya ia tidak “trigger” kemarahan dalam hati. Sedari saya, ia kemarahan terhadap diri sendiri. Dan kita tidak sanggup melihat orang lain mengulang kisah salah yang sama. Memang seperti wujud unsur “polarized thinking”. Diri menganggap motivasi itu sampah sepenuhnya.

    Namun setelah “heal”, insyaallah, saya mula memahami yang kehidupan ini sememangnya begitu. Taubat adalah suatu yang “permanent”. Ia penyelesaian global. Dalam perjalanan ‘soul’ yang berevolusi, kita merentas makam demi makam. Dan dalam setiap perubahan makam, kita bertaubat untuk makam sebelumnya. Taubat adalah langkah pertama, dan selama-lamanya kita melangkah dalam langkah pertama.

    Jadi walau siapa pun kita, kita perlu menjaga akhlak. Saya menghormati mereka yang ingin menganut pemahaman motivasi, walaupun banyak yang saya tidak setuju, based on pengalaman saya dahulu. Kerana kehidupan adalah perjalanan. Saya bukan bertugas untuk memberi hidayah. Saya seorang hamba Allah yang berurusan dengan hamba Allah juga. Dan Allah menyuruh saya sebagai hambanya, untuk berakhlak dan menyampaikan kebenaran dengan sabar terhadap hambanya yang lain.

    “Point” saya, salafi,sufi dan gerakan agama dan -xnya itu sememangnya nampak isu agama. Namun isu ini mungkin isu global seluruhnya. Yang menyerang semua orang. Pada semua zaman. Samada orang itu nampak beragama atau tidak beragama, isu ini akan berlaku. Kerana, dalam diri ada unsur yang ingin jadi hamba. Bila berserah pada yang salah, makan diri sendiri. Kerana, dalam diri ada unsur yang ingin jadi “Tuhan”, bila nampak yang salah, bukan setakat ingin menyampaikan kebenaran, namun ingin memberi hidayah pula. Apabila nafsu yang mengambil “ilmu agama”. Banyak komplikasi. Statement saya ini bukan kesimpulan, bukan juga hypothesis. Tak tahu nak beri label apa. Mungkin hanya pandangan santai. 🙂

    *Selepas motivasi, takdir membawa saya bergerak ke pengalaman rasa sufi, kemudian dengan unsur hujjah salafi,namun tidak wujud unsur taksub dengan mana-mana golongan. Keduanya perlu untuk saling melengkap perjalanan seorang hamba yang menuju kehambaan.

  4. Hampir saya membaca x sebagai huruf x / ‘tak’ lantaran penangan pemendekan teks circa generasi Y.

    Sebenarnya ianya ialah ex. Bekas.

  5. Assalamualaikum ustaz. Maaf jika medium tidak proper.

    Saya dan beberapa kawan ada berkongsi wang membeli sebuah kindle paperwhite untuk dihadiahkan kepada seorang calon yang sesuai(yg perlu sebuah medium untuk menambahkan pembacaan bagi tujuan research etc khasnya dan akan memanfaatkan hadiah ini selayaknya).

    Masalahnya ialah kami tidak berapa mengenali calon2 yg layak. Jika ustaz boleh berikan kami sebarang cadangan, amatlah dihargai.

    Terima kasih

  6. assalamualaikum ustaz.. saya begitu tertarik dengan ilmu yang ustaz kongsikan, terutamanya berkaitan sejarah..saya berhajat untuk menjemput ustaz berceramah di institusi tempat pengajian saya. boleh saya tahu bagaimana caranya?

  7. Alhamdulillah. Trima kasih atas perkongsian..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share