Onnellista ja siunattua ramadania teille: Menyambut Ramadan di Kutub Utara

Ke masjid Oulu untuk menunaikan solat berjemaah.

Tidak dapat saya sembunyikan rasa sunyi dan seperti kehilangan sesuatu selama berada di Finland ini.

Mungkin, kesan perubahan drastik jadual hidup di sini.

Tiada lagi ceramah, kuliah Maghrib, tiada lagi ‘ustaz’ Hasrizal, dan tiada lagi kedengaran azan berkumandang di udara. Tinggal di negara Eropah bukanlah sesuatu yang asing buat saya, hasil pengalaman enam tahun bermastautin di UK dan Ireland suatu ketika dahulu. Tetapi pengalaman berada di bumi Nordic, menghampiri benua Artik di sini, nyata berbeza.

Mungkin kerana masyarakat di sini kurang berbahasa Inggeris, serta watak lazim yang kita temui di kalangan orang Finnish, juga percikan Law of Jante yang mewarnai sosial di sini, kita tidak mudah membina persahabatan dengan masyarakat sekeliling. Untuk seseorang dirasakan sebagai sahabat, ia memerlukan proses yang panjang, kepercayaan yang dibina sedikit demi sedikit. Berbeza dengan native English speaker. Teringat baru-baru ini semasa saya singgah di kedai makan Skwiiki Canadian Poutine Company yang baru dibuka di Oulu ini. Saya cuba classic Canadian poutine yang menjadi hidangan utamanya. Sementara menunggu hidangan, saya dengan mudah bersembang dengan pemilik kedai ini, Steve. Kami berbual tentang pendidikan anak-anak. Pada masa itu rakan American dari Business Kitchen, Jason Brower, pun ada sama. Rasa seronok ‘menikmati’ keramahan mereka, terutamanya untuk orang yang banyak mulut dan suka berbual seperti saya.

Di masjid, komuniti Muslim ramai juga yang tidak berbahasa Inggeris. Mujurlah saya boleh berbahasa Arab, ada juga jalan untuk berbual-bual dan berukhuwwah.

Bersolat di dalam keretapi Helsinki menuju Oulu, 680km di utara

Makanan halal amat terhad, dan umumnya hanya ada di rumah kita. Untuk bersolat juga sungguh mencabar. Di bulan Disember dan Januari, waktu zohor pernah hanya sepanjang 9 minit. Waktu subuh pula masuk ketika kita berada di tengah-tengah kuliah kedua di universiti pada hari berkenaan. Perubahan persekitaran ini memaksa saya untuk sungguh-sungguh mempertimbangkan apa yang saya faham tentang fiqh, meraikan dinamika syariat Allah SWT untuk Muslim berada di mana sahaja, dapat bertaqwa kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Bukan sahaja untuk diri saya dan isteri, malah untuk anak-anak kami.

Mereka juga menempuh pengalaman baru.

Berpindah daripada sekolah agama dan tahfiz, ke International School dengan Muslim sebagai kumpulan yang sangat minoriti. Tidak mudah untuk memupuk semangat di dalam diri anak-anak untuk menjaga solat semasa di sekolah, jauh daripada mata abi dan ummi. Sungguh apabila mereka dapat solat pun, saya sudah sangat-sangat bersyukur. Melepaskan si anak kecil untuk makan tengah hari di kafe sekolah, “anakanda, jangan makan babi. Perhatikan betul-betul simbol dan gambar yang sekolah letakkan. Apabila makan, jangan lupa menyebut nama Allah, Bismillah, anak-anak…”

 

Apabila masuk bulan April dan Mei, cuaca ekstrim dan perubahan siang malam yang agresif pula mengambil tempat. Maghrib masuk jam 11 malam, subuh jam 1:15 pagi, saya bermati-matian berjaga malam untuk mengawal waktu subuh agar boleh mengejutkan anak-anak yang kemabukan bangun jam 1:30 pagi untuk solat subuh. Jam 2 pagi, langit sudah cerah terang benderang, dan kami semua sukar sekali untuk melelapkan mata. Jika selama musim sejuk, kami lega rumah kami well insulated dengan tingkap dan pintu dua lapis, untuk mengekalkan 21ºC di dalam rumah ketika cuaca di luar mencecah -31ºC tahun ini, di musim panas kami kepanasan dan perlu membuka tingkap kecil untuk menjemput kedinginan malam masuk ke rumah, tanpa menjemput lebah, tebuan dan nyamuk yang mula bangkit daripada tidur yang panjang.

Ramadan tiba.

Tidak dapat saya sembunyikan rasa gelisah, gementar, bagaimana hendak saya atur jadual anak-anak? Solat mereka, al-Quran mereka, puasa mereka, smart phone, televisyen, dan pelbagai persaingan antara kebaikan dan lagha. Demikian juga hal iftar dan sahur, yang perlu kami uruskan sendiri. Tiada bazar, tiada apa-apa sokongan persekitaran.

Dan saya rindukan emak di kampung halaman.

Saya ingin mengucup dahinya, meletakkan nasi di pinggannya, mengelap mulutnya jika ada nasi yang terlekat, dan membeli sate apabila sesekali emak teringin. Tetapi kami terlalu jauh, jauh di negeri orang, demi ilmu dan perjuangan di bidang pendidikan.

Saudi-Arabian fatwaneuvosto on ilmoittanut, että koska kuun sirppiä ei havaittu tänäiltana, perjantai 26.5.2017 on Sha’baan kuukauden 30.päivä. Täten Ramadan-kuukausi alkaa lauantaina 27.5.2017 in sha Allah #ramadan #ramadan2017 #paastokuukausi #paasto #muslimi #muslimit

 

Hari ini masjid memaklumkan, bahawa masjid di Oulu sama seperti tahun-tahun sebelum ini akan mengguna pakai jadual waktu Mekah untuk solat dan puasa di sepanjang bulan Ramadan ini. Apabila memikirkan betapa terseksanya anak-anak kami mahu mendirikan solat Maghrib dan Isyak pada jam 11 malam dan subuh jam 1:20 pagi semenjak tiga minggu lalu, sepatutnya sejak awal Mei lagi kami sudah solat mengikut jadual Mekah. Sebab matahari tidak pernah terbenam. Secara definisi, matahari tidak pernah tenggelam. Suasana seperti Asar dan kemudian terus Syuruq. Tiada Maghrib, Isyak mahu pun Subuh yang hakiki.

Koordinat Oulu 65.0121° N, 25.4651° E

Saya gembira melihat keadaan masjid yang tenang dan penuh senyuman, tiada gaduh-gaduh, label melabel, antara pilihan masjid untuk menggunakan jadual Mekah, dengan individu yang mahu kekal menggunakan jadual tempatan. Muslim yang baik, faham keutamaan, memuliakan perpaduan dan persaudaraan, sebagai tiang-tiang untuk teguh setia dengan kebenaran, menjauhi permusuhan yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada suruhan agama kita.

Sesungguhnya nilai ibadah kita di sisi Allah bukan pada berapa jam seseorang berpuasa, dan siapakah yang lebih dahsyat pengalamannya berpuasa. Tetapi yang dihitung adalah keikhlasan hati penuh ihtisab menghidupakan ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini.

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [25.02 KB]

Ini pengalaman pertama saya untuk mengabaikan sinar mentari di luar sana pada mengaitkannya dengan sensitiviti masa serta kaitannya dengan waktu solat. Semalam subuh kami jam 1:15 pagi, zohor jam 1:20, asar jam 6:05 petang, maghrib jam 11:20 dan isyak jam 12:05 malam…. hari ini kami mula mengubah waktu solat bermula asar tadi jam 3:33 petang, maghrib jam 6:58, isyak jam 8:58 dan Inshaallah bertawarih malam ini bersama-sama di bumi Allah yang amat utara ini.

Selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak.

Salam ukhuwwah daripada kami di Oulu, the capital of Northern Scandinavia…

HASRIZAL
Oulu, Finland
29 Shaaban 1438H

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share