Bahasa Syurga Bahasa Neraka

Harry, open the door!

Harry, please open the door!”

Dua ungkapan dengan maksud yang sama, tetapi menghasilkan kesan yang berbeza.

Rancangan kanak-kanak di televisyen seperti Sesame Street dan Barney berulang kali mengingatkan kita kepada ‘The Magic Words‘. Ungkapan seperti ‘please‘, ‘thank you‘ dan ‘excuse me‘ adalah teras kepada adab sopan dan tata susila semasa memperkenalkan manners kepada anak-anak.

Semenjak kecil, kita diajar bahawa perkataan-perkataan yang baik itu boleh memudahkan kehidupan. Jika ingin meminta tolong, jangan hanya memberitahu apa yang diperlukan. Tetapi selitkan juga perkataan yang boleh menimbulkan kemahuan untuk orang menawarkan pertolongan.

AKAL DAN HATI

Saya sentiasa berhati-hati agar jangan perkataan saya menyinggung sesiapa, tanpa menafikan betapa sering kali juga saya terbabas. Ia adalah fitrah manusia. Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses kognitif. Hati memproses emosi.

Akal dan kognitif menghasilkan tahu.

Hati dan emosi mencetuskan mahu.

Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut “Ali, buka pintu tu”, ia adalah arahan kepada akal. Apabila akal memahami arahan tersebut, ia akan memberikan kefahaman tentang reaksi dan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap arahan itu.

Tetapi arahan yang hanya mempedulikan akal, walaupun boleh difahami, ia mungkin tidak mencetus mahu. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Sedangkan kemahuan datang dari hati.

Bagaimana kalau ayat yang sama diungkap dengan cara yang lebih sopan, seperti “Ali, tolong bukakan pintu tu. Terima kasih!”

Bagaimanakah perasaan dan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan permintaan yang sedemikian rupa, berbanding arahan pertama?

Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan “buka pintu” memberitahu akal, manakala perkataan “tolong” dan “terima kasih” menggerakkan hati.

Tidak bolehkah peraturan semudah ini kita amalkan dalam hidup?

SAINS PEMBELAJARAN

Di dalam sains pembelajaran, memahami interaksi di antara cognition dan emotion, adalah daerah kajian yang terus menerus dilakukan. Ia berkait rapat dengan memahami bagaimana seseorang itu boleh belajar dengan baik. Adakah cukup sekadar proses pembelajaran memberi fokus kepada keperluan kognitif, atau affective domain berkaitan dengan motivasi turut mempengaruhi keberkesanan proses pembelajaran tersebut. Wajarkah dalam pekerjaan-pekerjaan kritikal seperti di hospital, kita beranggapan bahawa yang penting arahan difahami dan dituruti, tanpa mempedulikan bagaimanakah pula motivasi untuk arahan tersebut diterima dan dilaksanakan.

Kajian-kajian terkini di dalam sains pembelajaran memperlihatkan bagaimana emosi mengubah suai dan menggerakkan proses kognitif yang asas.  Storbeck and Clore (2006) di dalam kajian mereka bertajuk  Turning on and off affective and categorical priming with mood, membandingkan di antara cara orang yang gembira dengan orang yang sedih melaksanakan satu-satu tugasan yang diberikan kepada mereka.

Ternyata berbeza!

Mungkin sebab itu ramai orang jadi sakit mental walaupun bekerja di daerah profesional. Hatta yang kenal otak pun, kenal otak sebagai organ fizikal manusia, dan lupa kepada bagaimana emosi dan kognitif ini hakikatnya saling memerlukan.

LUQMAN DAN BAHASA KASIH SAYANGNYA

Lihat sahaja bagaimana Luqman menasihati anaknya. Beliau mulakan ungkapan nasihat itu dengan lafaz “Ya Bunayya“, yang boleh dimaksudkan sebagai “wahai anakku sayang”. Ia adalah lafaz akal dan hati. Luqman tidak bersikap angkuh terhadap anaknya atas status dirinya sebagai bapa. Malah kuasa kasih sayang dan bahasa yang mengungkapkannya, menjadikan nasihat itu lebih berkesan dan penuh hikmah.

Manusia tidak bertindak berdasarkan apa yang dia tahu (akal), tetapi manusia bertindak berdasarkan apa yang dia mahu (hati). Jangan lupa yang itu. Jangan hanya mengeluarkan arahan, tetapi manfaatkan fitrah manusia yang ada perasaan.

BAHASA TERHAKIS

Saya semakin merasakan betapa generasi hari ini semakin tidak mempedulikan bahasa. Tidak pandai berbahasa. Tidak bijak menutur kata. Saya tidaklah mengharapkan bahasa bangsawan atau sastera. Tetapi cukup dengan bahasa “The Magic Word” yang sudah begitu sebati dengan adat resam dan budaya kita.

Lihat sahaja pada mesej-mesej di media sosial. Saya tidak bermaksud mahu memperlekeh sesiapa, tetapi saya tidak enak membaca tulisan yang tidak manusiawi. Tidak cerdik berkata-kata. Apakah kerana generasi muda hari ini semakin banyak berhubung di alam virtual, maka mereka menjadi tuli terhadap nilai-nilai kemanusiaan pada bahasa dan perhubungan?

Perlu kita insafi, ia bukan sekadar masalah orang muda. Tidak cukup dengan anak muda yang berkrisis dengan kesopanan diri, kita hari ini menyaksikan bagaimana Islam diperjuangkan oleh orang yang lebih tua dengan bahasa sampah, bahasa najis, lekeh memperlekeh, gelar menggelar, jauh sekali mahu berbahasa lunak, sesama kita yang hakikatnya mahukan perkara yang sama, iaitu keredaan Allah, dunia dan akhirat! Agamawan dan ‘alim ulama’ berbahasa kesat di pentas ceramah, tanpa segan silu dan sifat malu sebagai cabang iman. Ketayap dan jubah bagai tidak bersinergi dengan lidah, mungkin kerana antara keduanya, kita kehilangan hati dan budi pada menghubungkannya.

Para pengikut pula memaksa fikiran untuk menjustifikasikan tindakan tokoh-tokoh yang disokong dengan alasan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam juga berbahasa keras. Mereka mencampur adukkan keras, tegas, kesat dan keji sebagai satu, hingga keindahan agama menjadi pudar oleh ketaksuban membuta tuli.

Agama kehilangan akhlak.

Kata Fathi Yakan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam, “akhlak yang terpuji adalah objektif utama agama Islam, bersesuaian dengan sabda Nabi sallallahu alayhi wa sallam, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk kesempurnaan akhlak”, tanpa akhlak, jadilah agama itu tidak punya sebarang makna!”

Allahu Akbar.

Rukunegara “kesopanan dan kesusilaan” runtuh sebab proses memupuknya terabai. Bukan sahaja guru menjadi mangsa, sikap tidak menghormati itu turut memangsakan doktor di hospital, dan sesiapa sahaja yang sepatutnya dihormati keilmuan, jasa, malah cukup sekadar seorang itu lebih tua pun, kita sudah ada rasa hormat.

Dalam masyarakat Finnish, mereka tidak ada perbendaharaan kata yang menunjukkan siapa abang kakak lebih tua, tiada lelaki perempuan, malah murid pun memanggil cikgu dengan first name. Berbeza dengan kita orang Melayu yang penuh budi bahasa dan tatatertib hingga orang yang tua sedikit pun ada cara kita membahasakannya.

Tapi asas dan tradisi tu kalah dek budaya baru apabila kita sering bercakap perkara negatif tentang orang lain dan mengenai kebanyakan perkara. Kita jadi sinis, negatif, susah nak nampak benda baik, lebih laju menunding keburukan, dan ‘malu’ menyebut kebaikan. Politik adalah salah satu daerah yang subur mengikis elok budi masyarakat Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada orang Melayu.

Perlu ada kesungguhan semua pihak, terutamanya ibu bapa ke atas anak-anak, untuk ‘the culture of respect’ ini disuburkan semula.

Kata Dr. Leonard Sax di dalam bukunya THE COLLAPSE OF PARENTING, “Beginning in the mid-1980s, many American schools and school districts decided that the first priority of early elementary education should not be socialization but rather should be literacy and numeracy…”

Bila socialisation yang mengajar kita hidup hormat menghormati, bertolak ansur, faham memahami hilang… dan tumpuan pendidikan adalah literacy dan numeracy… apa yang kita tak buat tak mungkin kita boleh mengutip hasilnya. Di manakah akhlaq dan budaya hormat menghormati itu kita usahakan dengan sesungguhnya? What you give you get back.

Moga semua kebengkokan dalam kes ini diluruskan kembali ke jalan pendidikan yang lurus.

BUKAN SEKADAR “HARRY, OPEN THE DOOR!”

Hanya dengan satu huruf wau (و) Allah membezakan cara pintu Neraka dibuka untuk penghuninya, dengan cara pintu Syurga dibuka untuk mempersilakan masuk hamba-hamba-Nya yang Allah redha.

Tanpa wau, Allah menghalau masuk ke Neraka.

Dengan satu wau, Allah menyantuni ahli Syurga menghuni kedamaian abadi.

Hasrizal
Oulu, FI

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share