Program Startup kali ini berbeza sedikit berbanding acara yang pernah saya sertai sebelum ini, seperti Demola.
Bezanya, Startup Weekend yang dianjurkan oleh Techstars di seluruh dunia ini, berlangsung hanya selama 54 jam, iaitu bermula petang Jumaat hingga lewat Ahad petang, secara intensif. Ia adalah sebuah perjalanan yang padat untuk sebuah proses ideation to creation.
Saya asalnya masih teragak-agak untuk pitch idea yang ada.
Saya tahu, di dalam program seperti ini, idea datang daripada peserta, akan diundi dan dipilih juga oleh peserta. Kalau boleh, saya tidak mahu ke hadapan. Saya hanya mahu menyertai kumpulan yang ada, menyumbang, dan kembali ke belakang untuk memberi laluan kepada orang lain untuk final pitch.
Tetapi, ia tidak jadi begitu.
Apabila penganjur menggalakkan peserta untuk tampil sahaja ke hadapan dengan apa sahaja idea yang mereka ada, saya fikir saya mesti ke hadapan. Saya mahu idea saya dicanai, diproses, diterima dengan sebab, atau ditolak dengan sebab, supaya idea itu boleh dilihat nilainya. Saya ke hadapan. Dalam tempoh 1 minit, saya perlu meyakinkan hadirin bahawa idea saya penting dan berpotensi menyelesaikan masalah yang tulen. Dalam erti kata yang lain, idea saya mempunyai nilai.
Orang ramai masa kini tidak membeli produk.
Mereka membeli solusi yang menyelesaikan masalah atau memenuhi keperluan mereka.
Kita tidak boleh menghasilkan sesuatu yang hebat jika berfikir tentang produk, tetapi perlu berfikir tentang masalah. Apa masalah yang hendak diselesaikan, kemudian baru ditentukan apakah solusinya.
Masalah saya ialah, saya adalah seorang bapa. Secara teknikalnya, saya banyak bergantung kepada teknologi untuk menguruskan anak-anak dan keluarga. Untuk memberi telefon pintar kepada anak-anak, saya perlu melawan pendirian yang saya pernah pegang sebelum datang ke Finland. Menyerahkan telefon pintar kepada anak-anak, untuk keperluan keselamatan dan pembelajaran mereka, ia juga hadir dengan pelbagai risiko. Maka saya perlu memilih produk parental app yang sesuai, memilih jenis telefon pintar yang sesuai, dan sentiasa perlu berbincang dengan anak-anak tentang pelbagai aspek berkaitan kognitif, metakognitif, motivasi, dan emosi kerana saya tidak mahu menjadi polis ke atas anak-anak. Sebaliknya kawalan saya adalah sebahagian daripada shaping process ke atas mereka sebagai pengguna digital yang native.
Saya melakukannya secara trial and error.
Saya berhabis duit melanggan app dan kemudian mendapati setiap satunya punya pro dan kontra. Banyak masa saya habis untuk mencari maklumat mengenainya.
Pada masa yang sama, anak-anak bermain PS4 pada hujung minggu. Mereka menggunakan PS4 bukan sekadar untuk bermain mengadap skrin, tetapi mereka bermain bersama rakan-rakan di atas talian. Saya tidak membenarkan mereka bermain dengan orang yang tidak dikenali. Namun untuk bermain PS4 dengan kawan-kawan, mereka perlu merancang masa dengan kawan, bertolak ansur dengan adik beradik untuk mengambil giliran, mengawal emosi semasa bermain, dan seterusnya masih perlu bermain dengan permainan yang membabitkan pergerakan fizikal, Bagaimana semua itu dilakukan?
Saya sebagai bapa, terbabit secara aktif dalam memberi panduan kepada anak-anak agar teknologi tidak dimusuhi, tetapi digunakan dengan betul, berpandukan sains pembelajaran. Saya tahu apakah skeleton di belakang setiap game. Roger Cailois mengkategorikan game kepada Agon, Alea, Ilinx dan Mimicry. Di dalam game, terkandung keperluan psikologi membabitkan autonomy, competence dan relatedness. Bagaimanakah semua itu mempengaruhi pemain game? Bagaimana ia boleh bertukar menjadi ketagihan?
Saya yakin ramai ibu bapa yang memerlukan panduan.
Cara mudahnya ialah membuat sebuah consultancy seperti yang pernah saya buat di zaman-zaman motivasi dahulu. Tetapi itulah cara terbaik untuk menawarkan solusi kepada ibu bapa? Saya tidak tahu. Saya cuma tahu saya ada masalah. Solusi yang saya inginkan, saya memerlukannya.
Saya pitch.
Bersama kira-kira 10 orang yang lain.
Ertinya kami ada sepuluh calon kes dan enam tertinggi yang akan dipilih untuk membentuk pasukan.
Dalam proses mengundi, saya mendapat undian yang banyak. Ramai yang fikir, ia idea yang baik dan penting. Masing-masing datang kepada saya dan memberitahu betapa mereka mempunyai pelbagai pengalaman yang rumit tentang hal ini. Saya juga didatangi oleh seorang peserta yang sedang membangunkan sebuah aplikasi yang mirip kepada sebahagian daripada isu yang saya utarakan, dan beliau menyokong idea saya dikembangkan.
Idea saya terpilih dalam senarai pendek!
Tetapi semasa membentuk pasukan, saya gagal mendapatkan team member. Ramai yang tidak pasti bagaimana mereka boleh menyumbang, mungkin kerana saya sendiri tidak pasti solusinya bagaimana. Setelah hampir 45 minit melobi dan hanya ada dua orang anggota dalam pasukan saya, akhirnya saya nekad membubarkan idea.
Saya telah melepaskan idea yang mendapat undi tinggi itu tadi. Fikiran saya ialah, ini adalah satu bentuk validation segera ke atas idea saya, bahawa ia belum bersedia. Saya perlu refine idea tersebut dan cuba pitch pada masa akan datang. Dengan lapang dada, saya membubarkan idea berkenaan.
Saya mengambil keputusan untuk menyertai pasukan yang sudah ada 3 orang anggota iaitu pasukan Rubric! Ia dibentuk oleh seorang rakan dari Australia yang mahu menyelesaikan masalah guru yang tidak mahir membuat rubrik dalam proses assessment. Fikiran spontan saya ialah, masalah ini kecil, dan sudah ada banyak halaman web dan aplikasi yang membantu menyelesaikannya. Berpotensikan kes ini? Apa yang pasti, saya sudah belajar di kuliah dan ada pengalaman membina rubrik banyak kali untuk course kami di jabatan, maka saya sudah ada modal untuk mula menyumbang. Permintaan saya untuk menyertai pasukan Rubric diterima.
Perjalanan Startup Weekend bermula!
RUBRIC KEPADA KANGAROOBRIC
Selain faktor rubrik yang baik atau tidak baik, saya juga perlu peka kepada pendapat yang mengkritik rubrik. Idea-idea seperti yang dikemukakan oleh Alfie Kohn berkenaan masalah rubrik, menyebabkan saya hampir hilang keyakinan terhadap idea pasukan kami. Tetapi saya teruskan juga dengan proses-proses utama dalam sebuah startup, terutamanya berkaitan dengan validation.
Walaupun saya tidak mengambil tanggungjawab ke atas validation, sebelum tidur saya telah pos di halaman Facebook My Learning Journey serta Instagram, mencuba nasib kalau-kalau ada pembaca yang sudi berkongsi pendapat dan pengalaman mereka menggunaan rubrik sama ada sebagai pelajar, mahu pun pengajar. Alhamdulillah, biar pun jumlah maklum balas yang diterima tidaklah begitu banyak, ia tetap mengandungi elemen-elemen yang sangat penting.
Salah seorang responden mengatakan bahawa walaupun proses membuat rubrik agak sukar bagi beliau, tetapi setiap kali beliau membuat rubrik, beliau belajar sesuatu. Nilai pembelajaran yang ada dalam proses membuat rubrik itu menyebabkan beliau masih bermotivasi untuk mengatasi masalah membuat rubrik yang baik.
Eureka!
Saya tersenyum simpul dengan kenyataan tersebut, di samping kira-kira 20 lagi pendapat yang bernas-bernas belaka.
Di dalam solusi yang kami hendak bina, saya usulkan beberapa paradigm shifting ke atas rubrik.
Ia bukan sekadar alat untuk assessment tetapi ia juga adalah alat pembelajaran.
Mungkin kami tidak dapat banyak mengurangkan jumlah masa guru membuat rubrik dengan solusi ini (namun tetapi cuba mengusahakan aspek ini), tetapi jika solusi kami mempunyai karakter untuk menjadikan proses membuat rubrik ini sebagai satu pembelajaran dan membantu menjadikan guru lebih mahir, ini mungkin satu ciri yang besar ke atas solusi yang sedang dirangka.
Ketika rakan di dalam pasukan meneruskan proses menjernihkan solusi akhir yang hendak dibentangkan, saya sebagai seorang yang banyak bergantung kepada komunikasi visual, amat memerlukan ‘rupa’ kepada solusi kami. Sambil mereka berbincang tentang kriteria apa yang masuk dan keluar, saya cuba melakarkannya untuk menghasilkan prototaip. Walaupun ada pelbagai kaedah untuk membina prototaip, saya selalunya masih selesa menggunakan Keynote sahaja untuk low fidelity prototype.
Semasa final pitch yang memberi masa hanya 5 minit untuk projek kami dibentangkan, kami yakinkan rakan Australia selaku pemilik asal idea ini untuk ke hadapan mendapatkan pengalaman. Saya sudah dua kali berpengalaman melakukannya, manakala rakan Kanada kami yang seorang lagi adalah juara di dalam program startup sebelum ini. Pengalaman itu lebih berharga daripada menang.
Startup Weekend Oulu Spring 2018; Kangaroobric from Hasrizal Abdul Jamil on Vimeo.
Semasa sesi soal jawab bersama juri, saya sudah mengagak bahawa kami akan berhadapan dengan masalah kerana rubrik ini bukanlah sesuatu yang ketara kewujudannya di sekolah-sekolah Finnish. Ia berbalik kepada sistem pendidikan yang examination-free, menyebabkan assessement dijalankan dari semasa ke semasa dengan proses grading yang amat minimum. Kami juga bersusah payah hendak mencari istilah “arviointiperusteet” untuk membantu hadirin, terutamanya juri sendiri, memahami apakah rubrik itu.
Apabila juri ketiga menyoal ranking Australia di dalam PISA jika dibandingkan dengan Finland, saya sudah rasa tidak selesa. Beliau mengatakan bahawa beliau adalah seorang guru yang certified dan tidak nampak di mana keperluan rubrik ini. Beliau mengusulkan bahawa, oleh kerana sistem pendidikan Finland itu lebih baik, maka adalah lebih baik ia dieksport ke Australia dan rubrik tidak diperlukan lagi!
Setelah masuk dua tahun berada di Finland, saya faham dengan Finnish character. Saya faham bagaimana mereka begitu straightforward dan ia boleh menyebabkan kita panas telinga. Dari semasa ke semasa, kita perlu self-talk untuk mengingatkan diri, bahawa tiada niat tidak baik di sebalik percakapan yang ‘menyakitkan hati’ itu. Namun dalam kes ini, saya berpendapat ia adalah kenyataan yang tersasar dan salah.
Rakan Australia kami baru beberapa bulan berada di Finland.
Saya tidak bersikap proaktif membantu menjawab bagi pihak pasukan kami kerana mahu mengelak daripada menampakkan yang maklumat kami tidak sekata. Andai berpeluang, saya ingin menegaskan kepada juri bahawa selepas kurikulum baru Finland diperkenalkan pada tahun 2016, rubrik ini akan semakin diperlukan. Pelajar dikehendaki memilih satu projek yang integrative, multidisciplinary antara kemahiran dan pengetahuan yang pelbagai daripada subjek-subjek yang berbilang, guru memerlukan rubrik untuk membimbing pelajar mengatur projek, dan seterusnya memberi maklum balas, kalau pun tidak dinamakan assessment. Proses membuat rubrik akan menjadi rutin para guru.
Kami cuba berfikir selangkah ke hadapan.
Kami mahu proses guru membuat rubrik bukan sebagai satu bebanan, sebaliknya satu proses yang rewarding kerana guru semakin memahami taksonomi yang mereka guna di sebalik pembinaan rubrik itu. Bayangkan, di sebuah negara yang tiada peperiksaan, lahir produk yang meningkatkan kualiti peperiksaan, kerana alat ini bukan sekadar assessment on learning, tetapi menjadi assessment for learning.
Usai pembentangan, kami kembali ke kerusi hadirin dan menikmati sahaja pembentangan kumpulan-kumpulan yang lain. Sambil menonton, lari sekejap ke sudut-sudut universiti untuk mendirikan solat. Mengingatkan diri kepada Allah dalam suasana kerja yang asing bagi ‘ustaz’ seperti saya.
Di sepanjang final pitch pelbagai idea diutarakan dan sememangnya kami teruja.
Antaranya, bagaimana sebuah kumpulan mengemukakan sebuah game yang berintegrasi dengan aktiviti menanam strawberi di dalam rumah pada musim sejuk yang gelap dan beku. Ia diketuai oleh seorang jurutera Nokia dari Jepun yang asalnya menanam strawberi di dalam rumahnya untuk mengisi masa lapang di musim sejuk kutub utara yang memurungkan ini.
Sebuah kumpulan lagi, membina app untuk mewujudkan study buddy bagi memotivasi pelajar universiti apabila kehilangan fokus dan semangat untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang panjang dan susah. Saya bercadang untuk menyertai Avanto Accelerator minggu hadapan, dan jika kumpulan ini menang (seterusnya secara otomatik menyertai acara itu), saya ingin menyertai kumpulan berkenaan. Ia adalah produk yang sangat berasaskan learning sciences dan saya ingin melihat ia berjaya.
Kumpulan kami tidak menang.
Tetapi saya tetap gembira kerana hasil utama program ini adalah ilmu, kemahiran dan kawan-kawan baru.
Masa untuk pulang ke rumah.
Menebus masa rehat selepas 54 jam berperang dalam perjalanan ideation to creation.
HASRIZAL
OULU, FI
Kredit foto Lasse Lehto http://www.lasselehto.fi/
thank you for the info..memang cun presentation camni
Ustaz, may l ask a questıon? Dalam proses mengajar diri sendiri, where we have no other sources except the conscious and the awareness, what should we do? And l’m already up in the age.