Dr Maszlee Malik: Persahabatan Merentas Masa

“Ana tak sangka anta open minded!” kata Maszlee.

“Haha. Pulak dah! Anta ingat ana ni apa?” saya terkasima dengan kenyataan berkenaan.

“Tak ada la. Masa di Jordan dulu, imej anta PAS totok, kan?” ujar beliau dengan nada berseloroh.

“Masa di Jordan kita mana kenal. Bahtera lain-lain!” saya menjawab.

Kami ketawa.

Saya bertembung dengan Maszlee selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sekitar tahun 2007. Ketika itu kami baru sahaja ‘berinteraksi hebat’ di alam maya melalui wacana Jamaah Centric vs Ummah Centric yang muncul kira-kira setahun sebelumnya.

_____________________________


[insert page=’jemaah-itu-keperluan-ummah-itu-tujuan’ display=’excerpt’ inline]


______________________________

Sebenarnya kami sudah lama tidak bertemu.

Saya mengenali Maszlee semenjak 1993.

Kami sama-sama terpilih menerima biasiswa di bawah Rancangan Bersama JPA / Petronas (disebut RB ketika itu) untuk melanjutkan pelajaran. Saya ke Jordan, Maszlee ke Maghribi (Morocco). Sebelum berlepas, kami berkursus di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu, selama beberapa bulan. Kami berdua bersama ramai lagi rakan yang bakal berlepas ke Jordan, Maghribi dan Mesir, adalah batch pertama di dalam program berkenaan, yang bakal dihantar melanjutkan pelajaran di bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab dan Perubatan ke negara-negara Arab terpilih. Ia adalah inisiatif Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Makcik, bagi saya keropok lekor tu lima amah!” kata Maszlee.

Ternganga makcik di pasar malam Batu Buruk itu.

“Orang tak sebut amah sampai lima la, Maszlee!” sampuk rakan kami, Zul, seorang native Terengganu.

“Mana ana tahu. Ana orang Johor!” jawab Maszlee.

Itu antara kenangan merepek kami semasa berkursus intensif bahasa Arab di KUSZA. Selama di situ, antara topik yang banyak kami bualkan adalah tentang syiah, Iran, Khomeini dan politiknya. Mungkin Maszlee berasal dari Johor, maka kerana itu beliau lebih berpengetahuan mengenainya, dan saya tumpang manfaat. Ia menjadi latar belakang pengetahuan sebelum kami hadir ke seminar yang dikendalikan oleh Maulana Asri Yusuf pada tahun berkenaan.

Saya pula hanya menyumbang nasyid-nasyid untuk Maszlee nyanyikan semasa turun tangga kolej kediaman untuk ke dewan makan.

“Rindu itu adalah, anugerah dari Allah!” kedengaran suara sumbang sayup-sayup, memandangkan bilik saya berada di sebelah tangga.

Agak mengejutkan, apabila kumpulan rakan kami yang akan ke Maghribi mengalami perubahan. Dipendekkan cerita, selepas saya dan rakan-rakan yang lain berlepas ke Jordan pada 15 September 1993, kami mendapat tahu bahawa Maszlee bersama beberapa orang lagi rakan yang sepatutnya ke Maghribi telah dipindahkan penawaran ke Jordan. Dek kerana kehadiran kumpulan tersebut lewat hampir satu semester, mereka tidak dapat menyertai kami bagi intake 1993 di University of Jordan di Amman, atau Yarmouk University di Irbid, atau Mu’tah University di al-Karak. Justeru Maszlee dan rakan-rakan meluangkan masa belajar bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab University of Jordan selama beberapa bulan sebelum memulakan pengajiannya sebagai kumpulan pelajar pertama di universiti awam terbaru di Jordan ketika itu, Al al-Bayt University di Mafraq, bagi intake 1994.

Jadi junior!

JAMAAH CENTRIC VS UMMAH CENTRIC

“Ustaz Maszlee adalah alat UMNO!”

“Membawa agenda jemaah payung, beliau adalah ahli IRC cuba menyelinap!”

Itu antara coretan-coretan yang diketengahkan oleh beberapa orang pemimpin PAS semasa menjawab artikel yang ditulis oleh Maszlee di dalam Majalah I. Catatan-catatan berkenaan tidak membantu menghilangkan kekusutan khususnya di kalangan mahasiswa yang menyokong PAS di kampus-kampus universiti. Saya sendiri berasa tidak selesa dengan kenyataan berkenaan. Saya kenal Maszlee dan saya tidak bersetuju idea-idea beliau dijawab dengan serangan peribadi. Ia adalah falasi dalam perbahasan. Argumentum ad hominem!

Namun saya agak tersepit.

Bagaimana untuk saya menulis sesuatu mengenai hal ini di blog, tanpa mengaibkan pihak yang mengkritik mahu pun dikritik. Demi mengungkaikan kekusutan, sebuah artikel telah saya hasilkan. Ia disiarkan di blog saifulislam.com ini pada 1 Mei 2006, dan kemudiannya tersiar di Majalah I sebagai jawapan balas kepada artikel Maszlee sebelumnya.

Saya menegur cara Maszlee mengutarakan pendapatnya.

Maklumlah, zaman itu zaman kita masih beradab sopan. Zaman Howard Dean kalah dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat hanya kerana jeritan beliau yang tidak sopan. Bukan zaman mencarut sesama gerakan Islam seperti hari ini. Zaman Trump!

Di situlah secara tidak langsung, kami yang sudah lama terpisah selepas masing-masing menamatkan pengajian di Jordan, berinteraksi semula. Biar pun pemikiran kami berbeza, dan wadah politik serta aktivisme berlainan, kami adalah sahabat dan saling hormat menghormati.

KELEMAHAN FIKRAH DAN TARBIAH

Apa yang saya kesalkan ketika itu ialah, mengapa jemaah-jemaah kampus menjadi kacau bilau hanya dengan satu jentikan idea oleh Maszlee? Saya berani katakan ia kacau bilau kerana memori saya masih jelas bagaimana kepimpinan-kepimpinan jemaah Islam kampus seluruh negara ‘terpaksa’ dikumpulkan di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar untuk mendengar taklimat isu Jamaah Centric vs Ummah Centric oleh Ustaz Hasrizal! Walaupun saya tidak punya apa-apa masalah untuk menyampaikannya, saya tertanya-tanya apakah tarbiah yang berjalan di kampus hingga keutuhan fikrah serapuh ini? Mengapa fikrah kita begitu lemah hingga satu jentikan idea oleh Ustaz Maszlee, sudah boleh mengkucar kacirkan pemikiran dan gerak kerja jemaah?

Implikasi isu Jamaah Centric vs Ummah Centric ini signifikan.

Semasa itu, kami di dalam sebuah unit di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, berfikir secara serius betapa tarbiah di kampus-kampus mesti diperbaiki, dikemaskini. Bagaimana masa depan PAS jika fikrah ahli selemah ini? Ini bukan lagi zaman retorik, kerana cabaran idea dengan perkembangan teknologi maklumat semakin mencabar.

Itu kisah di dalam perkaderan.

Ada pun antara saya dan Maszlee, hanya setahun selepas kejadian tersebut, saya baru terserempak dengan Maszlee secara fizikal, dan kami memperbaharui persahabatan.

KEMBALI KE JORDAN

Peluang untuk kami benar-benar saling mengenali satu sama lain, hanya terbuka luas apabila pada Februari 2010, kami berdua menerima jemputan persatuan pelajar di Jordan untuk hadir ke Jordan sebagai penceramah di dalam program Persidangan Mahasiswa Malaysia SeJordan Kali Pertama (PERTAMA).

Saya datang dari Malaysia.

Maszlee datang dari UK.

Saya dan Maszlee meminta supaya semasa di Mu’tah tempat berlangsungnya acara tersebut, kami berdua ditempatkan di kediaman yang sama. Kami ingin berbual secara aman, jauh dari hiruk pikuk Malaysia.

“Ini kali pertama kita berbual begini, kan?” saya bertanya.

Maszlee tersenyum.

Ketika itulah, kami tersedar betapa selama kami berada di Jordan, kami hampir tidak kenal antara satu sama lain. Maszlee lebih aktif bersama JIM, manakala saya bersama PAS, kami hidup dalam dua dunia yang berlainan. Mungkin sekali dua sahaja kami melintasi kehidupan masing-masing. Memikirkannya secara retrospektif, terasa amat janggal.

Mengapa begitu kehidupan kita?

Semasa itulah, kami menyemak kembali apa yang kami sama-sama faham tentang kejadian-kejadian besar mengenai Maszlee dan saya, yang sampai ke telinga masing-masing. Tahqiq kembali persepsi. Apa yang terjadi ketika saya dipulau, semasa biasiswa digantung, dan macam-macam lagi. Banyaklah ‘oooo moment‘ yang timbul pada masa tersebut.

Memperbaharui semangat Tetamu Dataran Syam

Apa-apa pun, hubungan kami menjadi lebih mesra selepas pulang daripada program berkenaan di Jordan.

Bukanlah kerana secara fizikal banyak bertemu.

Tetapi kerana pemikiran menuju usia matang menjadi semakin harmoni terutamaya kesan pembelajaran saya di bidang sejarah dan ketamadunan, dan Maszlee juga kemudiannya ke sains politik. Masing-masing di daerah sains sosial, banyak pertukaran idea berlaku. Setiap kali kami bertemu, terasa yang ‘keustazan’ kami semakin pudar walaupun masing-masing masih dipanggil sebagai ustaz.

Panggilan itu berubah apabila Maszlee bergelar doktor selepas berjaya menamatkan pengajian beliau di peringkat PhD di Durham, United Kingdom. Saya masih ustaz. Sekali lagi kami ditemukan di dalam sebuah program Masjid Bukit Indah di Ampang, apabila kami berdua menjadi panelis forum sempena Maulid al-Rasul dengan tema “Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam: Dari Durham ke Ampang“! Dahsyat benar tajuknya. Forum mengupas tentang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam daripada perspektif tamadun dan kesarjanaan Barat. Bagaimana orang lain melihat baginda.

Ia adalah program pertama di Malaysia yang kami berkongsi pentas.

Kenangan yang istimewa antara saya dan Maszlee ialah apabila saya menerima serangan peribadi semasa membuat keputusan meninggalkan PAS pada tahun 2015. Solidariti beliau mengingatkan saya bagaimana ukhuwwah adalah hubungan yang berasaskan keikhlasan dalam persahabatan, bukan oleh kepentingan-kepentingan lain, hatta di dalam gerakan dakwah.

Apabila Maszlee diserang bertubi-tubi ekoran kontroversi kenyataan beliau di dalam sebuah forum pada tahun 2017, saya teringat kembali sokongan yang beliau berikan kepada saya beberapa tahun sebelumnya. Biar pun asalnya saya telah nekad enggan terbabit dengan apa-apa isu kontroversi berkaitan Malaysia, kerana saya rimas dengan bahasa kesat yang sudah berleluasa di kalangan netizen Malaysia. Tetapi saya mesti memberikan suara persahabatan kepada Maszlee kerana gasakan yang beliau terima begitu melampau.

Lebih melampau ialah bahasa-bahasa longkang itu dihamburkan dengan semangat Islam!

Islam apa pula pada bahasa longkang itu?

Saya coretkan sedikit kenyataan menyokong beliau, sebagai tanda ingatan dan doa:

Saya tidak perlu bercerita panjang apa-apa tentang bakat, ilmu dan kemahiran sahabat saya bernama Maszlee. Beliau adalah public figure yang mana seluruh prestasi beliau sebagai aktivis, ahli akademik, dan pejuang hak OKU, sudah terpampang untuk penilaian pengundi.

Beliau pintar politik dan bergiat dekat dengan masyarakat, khususnya anak muda.

Pada tahun 2013, kami telah duduk semeja berbincang tentang situasi politik negara, Di kedai mamak di Shah Alam petang itu, kami berbincang dengan terpeinci wajar atau tidak wajar kami terjun ke medan politik sebagai calon?

Saya tiada bakat politik. Dan saya tidak minat dengan politik.

Maszlee sememangnya ilmuan dalam sains politik.

Tetapi menjadi ahli politik, adalah satu topik lain.

Hasil diskusi panjang lebar, kami sampai kepada keputusan yang jelas dan teguh iaitu, TIDAK.

Namun, pada tahun 2018 ini, ketika negara berada di persimpangan yang begitu meruncing, sahabat saya Dr. Maszlee Malik telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kedudukan selesa beliau sebagai ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan menjadi calon Pakatan Harapan kawasan Parlimen P151 Simpang Renggam, Johor. Semoga pengundi di parlimen Simpang Renggam memilih Dr Maszlee Malik untuk membawa suaranya bersama aspirasi Pakatan Harapan ke Parlimen Malaysia dalam pilihanraya umum ke-14 ada 9 Mei akan datang.

Selamat maju jaya Dr Maszlee Malik!

HASRIZAL
Oulu FI

Check Also

Tragedi Gaza Runtuhkan Tembok Rome

Sama ada kematian mencecah dua puluh ribu saudara-saudara kita di Gaza, semenjak 7 Oktober 2023 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share