Menjernihkan Perubahan PAS-DAP

“Susah nak ceramah bab Negara Berkebajikan ni” antara keluhan yang terdengar semasa kempen pilihanraya baru-baru ini.

Perubahan pendekatan yang ditunjukkan oleh PAS sepanjang tempoh kempen, merupakan suatu proses yang mencabar. Biar pun taklimat telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS kepada jenteranya semasa melancarkan manifesto tempoh hari, ada beberapa persoalan yang lebih mendasar, memerlukan kepada perincian.

Ada serba sedikit kesulitan yang timbul semasa tempoh kempen. Pendekatan-pendekatan baru diperlukan oleh penceramah PAS untuk menghuraikan konsep kebajikan, hasrat memimpin masyarakat majmuk Malaysia, apatah lagi dengan kehadiran pendengar ke ceramah PAS yang amat berwarna warni. Hadirin sudah tidak lagi berkopiah dan berserban, malah merentasi segala ragam manusia, termasuklah kaum Cina dan India, terutamanya di Lembah Kelang.

Keadaannya semacam tidak kena untuk bercakap tentang subjek biasa seperti UMNO itu fahaman Kebangsaan dan Sekular, apatah lagi untuk menyentuh tentang hudud dan Negara Islam. Penceramah dan jentera yang terbabit di dalam kempen senada, memfokuskan kepada isu-isu bersama seperti tekanan ekonomi, penyelewengan, rasuah dan politik wang, dan isu Pak Lah tidur!

Malah ada pula pesan memesan supaya jangan petik terlalu banyak ayat al-Quran semasa ceramah kempen, kerana mahu meraikan kepelbagaian hadirin dan menyatupadukan mesej pilihanraya.

Ada ustaz yang sampai merajuk dibuatnya.

KEBAJIKAN ISU ISLAM

Bagi saya, isu Negara Berkebajikan adalah isu yang sangat Islamik. Banyak ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW yang memperkatakannya, malah sokongan sejarah juga amat banyak. Saya tidak perlu mengurangkan petikan al-Quran atau Hadith semata-mata mahu meMalaysiakan bahasa kempen saya. Untuk saya, persoalan kebajikan rakyat dan ketelusan pemerintahan, adalah isu Negara Islam, urusan Islam dan saya memperkatakannya dengan merujuk kepada prinsip dan akhlak Islam.

Tetapi bagaimana pula penceramah yang lain?

Atau jika soalan itu boleh diperpanjangkan lagi… bagaimanakah persepsi keseluruhan ahli dan kepimpinan PAS terhadap perkembangan ini?

STRATEGI, UBAH PRINSIP, ATAU SEMAKAN SEMULA?

“Nak sangat kuasa, sampai sanggup gadai prinsip!” kata-kata begini terdengar di sana sini.

“Mana pergi Negara Islam PAS?” soal seorang yang lain.

“Dulu bermusuhan, tetapi akhirnya jadi kawan” kata Najib dalam kempennya tempoh hari, merujuk kepada perkembangan DAP dan PAS.

“Berpolitik tanpa prinsip!” kias SS Mufti Perlis dalam kolumnya di Mingguan Malaysia. Perlis satu-satunya negeri yang berjaya mengekalkan pemerintahan BN di Wilayah Koridor Utara.

Perubahan yang berlaku kepada PAS merupakan persoalan yang membabitkan dua dimensi pemerhatian. Dari satu sudut, apakah sebenarnya yang berlaku kepada PAS dari kacamata PAS sendiri? Apakah ini sekadar strategi pilihanraya, atau PAS sudah letih dan hilang keyakinan kepada Negara Islam yang diperjuangkannya, atau pun PAS telah memberikan definisi baru kepada Negara Islam dan idea politik Islamnya?

Saya melihat persoalan ini belum terjawab secara sekata oleh PAS sendiri. Ketidak jelasan terhadap mekanisma yang menjana perubahan PAS dalam PRU12, menjadikan sulit untuk PAS menangkis permainan media yang cuba melakukan provokasi bahawa Kedah bakal menyaksikan terlaksananya Hudud!

Apabila hal-hal seperti ini timbul, tidak hairan jika DAP terus menerus sangsi dengan perubahan PAS. Apakah ia perubahan yang benar-benar suatu perubahan, atau pengalaman 1999 bakal berulang?

Di dalam temubual yang disiarkan di Detikdaily (Ahad 16 Mac 2008) , Lim Kit Siang menyebut:

“Jika diimbas sejarah hubungan DAP dan Pas, ia bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua parti bekerjasama atas objektif yang sama dengan melancarkan manifesto untuk menjadikan Malaysia negara yang adil, demokratik dan bersih. Dalam tempoh itu, isu negara Islam tidak menjadi hal kerana ia bukan objektif jalinan kerjasama antara semua parti pembangkang. Malangnya, selepas pilihan raya 1999, Pas yang memenangi 27 kerusi Parlimen bertindak agresif menekankan pelaksanaan negara Islam dan hukum hudud, menyebabkan DAP tidak tahan. Memandangkan DAP gagal mengubah Pas dan tiada sokongan parti lain, DAP keluar BA dan sejak itu, DAP dan Pas tiada hubungan kecuali melibatkan isu-isu semasa antaranya anti-ISA, bersih dan hak-hak manusia.”

Kegusaran ini dapat dielakkan jika PAS dapat mendokumentasikan perubahan yang dilakukannya dalam PRU12. Perubahan itu perlu dijernihkan, diperjelaskan agar tiada salah faham yang timbul, malah memberikan keuntungan kepada PAS untuk terus bergerak dengan pendekatan yang relevan dan semasa.

CHALLENGE AND RESPONSE

Challenge and response, adalah prinsip yang sering saya utarakan untuk membawa isu seperti ini kepada suatu konsep. Sebagaimana gerakan Islam muncul sebagai reaksi kepada tribulasi yang menimpa umat Islam, khususnya di era modernisasi pasca kejatuhan kuasa Islam terakhir di Turki pada tahu 1924, maka reaksi itu terus berkembang dari semasa ke semasa.

Politik Islam mestilah dilihat secara dinamik, dikaitkan dengan konteks yang berbeza-beza dari sebuah negara ke sebuah negara, dan dari satu masa ke satu masa. Politik Islam tidak boleh dipandangan secara monolitik seolah-olah setiap satu perkara hanya ada satu definisi dan tafsiran secara statik.

Hanya ada satu makna Negara Islam.

Hanya ada satu makna Sekularisma.

Hanya ada satu makna Demokrasi.

Hanya ada satu definisi PAS dan satu wajah DAP!

Selepas menganalisa tentang perkembangan yang berlaku kepada gerakan-gerakan Islam di Mesir, Algeria, Tunisia dan Turki, John L. Esposito di dalam bukunya, The Islamic Threat: Myth or Reality? membuat kesimpulan yang sama. Namun beliau telah mengenengahkan beberapa faktor yang perlu diberikan perhatian oleh gerakan Islam, seperti PAS di Malaysia.

Katanya:

“… theoretical or ideological statements are often not accompanied by specific models for change. Islamic movements tend to be more specific about what they are against than what they are for. While all may speak of an Islamic order or state, of implementation of the Sharia, of a society grounded more firmly on Islamic values, the details are often vague. This has been true for older movements such as Egypt’s Muslim Brotherhood as well as for more recent groups. After the electoral victory of Algeria’s FIS (Islamic Salvation Front), when Abbas Madani was questioned about his program, he described it as broad. When pressed for its practical steps, he replied,”Our practical program is also broad”…” 

Terjemahannya:

“… kenyataan-kenyataan berbentuk teori atau ideologi sering tidak disertakan dengan model-model yang spesifik untuk perubahan. Gerakan-gerakan Islam cenderung untuk lebih spesifik pada menyatakan apa yang mereka tentang berbanding dengan apa yang mereka tawarkan. Ketika semuanya mungkin berbicara tentang kerajaan Islam atau negara Islam, merujuk kepada perlaksanaan syariah di dalam masyarakat yang berpaksikan nilai-nilai Islam, sering terjadi perinciannya adalah tidak jelas. Hal ini benar apabila dirujuk kepada gerakan-gerakan yang lebih lama seperti Ikhwan al-Muslimin di Mesir, serta gerakan-gerakan yang lebih baru. Susulan kemenangan pilihanraya Islamic Salvation Front (FIS) di Algeria, Abbas Madani telah ditanya tentang programnya, lalu dia menghuraikan secara ‘luas’. Apabila ditekan supaya dijelaskan langkah-langkah praktikal yang hendak diambil, beliau menjawab, “program praktikal kami juga ‘luas’.” [muka surat 208]

Dalam erti kata yang lain, terdapat vakum pada agenda politik Islam yang menyulitkan masyarakat untuk membaca dan menafsir dengan betul terhadap apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik perubahan yang dijana.

Di ruangan Surat Pembaca e-akhbar Malaysiakini bertarikh 14 Januari 2008, Norman Fernandez telah menimbulkan soalan yang sama. Beliau bertanya, “Benarkah PAS Sudah Ubah Matlamatnya?”.

Beliau mempertikaikan pandangan DSAI yang mengatakan bahawa PAS sudah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam. Pandangan ini dikemukakan oleh DSAI sebagai reaksi kepada kenyataan Karpal Singh bahawa DAP akan hanya bekerjasama dengan PKR jika PKR menjauhkan dirinya dari PAS.

Tentu sahaja 3 bulan pertama 2008 telah menyaksikan banyak perubahan yang berlaku. Lim Kit Siang di dalam temuramah bersamanya yang disiarkan di Detikdaily (Ahad 16 Mac 2008) , beliau menyebut:

“Segala-galanya berubah selepas 8 Mac setelah rakyat dari semua bangsa mahu perubahan. Apabila tidak ada satu parti yang betul-betul kuat untuk menubuhkan kerajaan, tiga parti pembangkang membentuk pakatan dan memaksa DAP menilai semula hubungan dengan Pas demi merubah keadaan di Perak dan Selangor.”

Inilah yang perlu digarap oleh PAS. Peluang untuk mengemaskinikan agendanya, mengolah kembali ideanya tentang politik Islam, Negara Islam dan pendiriannya tentang cabaran sekularisma, demokrasi, hubungan antara kaum, dan hal-hal yang lebih pluralistik sifatnya.

Sudah tentu hal ini bukan merupakan sesuatu yang mudah. PAS terbentuk daripada ideologue yang datang daripada latar belakang yang amat pelbagai. Sebahagiannya merupakan ilmuan yang datang dari kerangka Pengajian Islam manakala sebahagiannya pula adalah golongan profesional yang datang dari bidang sains, khususnya sains aplikasi seperti kejuruteraan, perubatan dan yang seumpama dengannya.

Di sinilah perlunya peranan besar golongan profesional khususnya saintis sosial yang berada di dalam PAS untuk memainkan peranan kerana saintis sosial di dalam sains politik, sejarah dan sosiologi bertugas untuk memperbaiki dan membetulkan teori.

Apakah kefahaman yang mendominasi kaderisasi PAS bahawa sekularisma itu hanya ada satu warna dan sentiasa bertentangan dengan agama, khususnya agama Islam? Hal ini perlu diperbaiki untuk proses bridging dan menyesuaikan perjuangan PAS dengan realiti semasa di Malaysia.

Misalnya Asghar Ali Engineer, seorang ilmuan dari India, pernah menulis sebuah kertas kerja bertajuk ISLAM AND SECULARISM. Beliau mencadangkan penafsiran yang lebih terbuka terhadap Islam dan Sekularisma untuk membuktikan bahawa banyaknya titik temu di antara Islam dan Sekularisma, dan bukannya sentiasa berlaga kepala sebagaimana yang disangkakan oleh kebanyakan pendokong PAS, juga DAP.

Katanya:

“Now, the important question is can Islam and secularism go together? We have already said above that religion and secularism can go together or not, depending on the interpretation of both religion as well as secularism. If religion is interpreted in keeping with very conservative traditions, it may be difficult for it to go along with secularism which demands more liberal disposition and not only tolerance but also promotion of pluralism. On the other hand, if secularism is interpreted too rigidly (i.e., if it is equated with atheism), as many rationalists do, then also the two (i.e., religion and secularism) will find it difficult to go together…” 

Terjemahan:

“Sekarang ini, persoalan pentingnya ialah adalah Islam dan sekularisme boleh bersama? Kita telah nyatakan di atas bahawa agama dan sekularisme boleh bersama atau tidak, bergantung kepada penafsiran yang dibuat ke atas kedua-duanya yakni agama, juga sekularisme. Seandainya agama itu ditafsirkan sebagai mempertahankan tradisi-tradisi yang sangat konservatif, berkemungkinan susah untuk ia bersama dengan sekularisme yang menuntut  kepada fleksibiliti yang lebih liberal, bukan sekadar bertoleransi malah turut mempromosi pluralisme. Di samping itu pula, seandainya sekularisme ditafsirkan secara yang sangat rigid (misalnya, dengan menggambarkan sekularisme itu juga bermaksud atheism), sebagaimana yang banyak dilakukan oleh golongan rationalists, maka kedua-duanya yakni agama dan sekularisme akan berhadapan dengan kesukaran untuk bersama.”

[petikan dari ISLAM IN TRANSITION: MUSLIM PERSPECTIVE oleh John. J. Donohue dan John L. Esposito]

Demi sebuah Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya, demi membuktikan secara praktikal bahawa Islam itu adalah rahmat kepada rakyat Malaysia, demi untuk membuktikan bahawa Malaysian Malaysia adalah formula yang adil untuk semua kaum di Malaysia, maka kedua belah pihak iaitu PAS dan DAP perlu sama-sama mengembangkan ideologi masing-masing dan hari ini adalah peluang terbaik apabila kita semua telah dibebaskan daripada kefahaman sempit UMNO yang membelenggu pemikiran seluruh warga Malaysia selama ini.

UMNOisme (saya tidak berjumpa dengan perkataan yang lebih tepat kerana sejak sekian lama UMNO sudah tidak lagi berjuang atas satu idea dan pemikiran kecuali self interest) sebagai sumbatan minda utama masyarakat kita sudah tercabut. Gunakan peluang kerjasama di Perak dan Selangor untuk membangunkan secara praktikal ideologi masing-masing.

PAS perlu menyemak semula perkara-perkara teras yang menjadi asas perjuangannya dan menterjemahkannya dalam bentuk wacana perkaderan untuk pendukungnya, juga kaum Muslimin di Malaysia. Manakala DAP pula perlu menyemak kembali apakah yang dimaksudkannya dengan sekularisma, Malaysian Malaysia serta menterjemahkan semakan itu kepada ahli-ahlinya juga kaum Cina dan India di Malaysia.

Politik tidak dapat berdiri tanpa pendidikan.

Sebelum rakyat boleh dididik agar lebih faham justeru matang dan bijaksana, PAS dan DAP perlu saling mendidik jentera dan penyokong mereka agar memulakan setiap kerja dengan al-Fahmu.

Saya optimis.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Petikan siaran asal tahun 2010, pembaca boleh meneliti komen-komen pada masa tersebut untuk memahami perkembangan idea. Mungkin anda juga ada memberi komen di situ.

Check Also

Wahabikah Aku?

Tempat ke-40 Wahabi di Malaysia, Hasrizal Abdul Jamil. Pernahkah anda mendapat senarai berkenaan? Senarai itu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share