Saranan Balas Kepada Pandangan Puan Elmarié Potgieter

Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Puan Elmarié Potgieter ini juga adalah harapan saya secara peribadi tentang apa yang boleh dilakukan oleh Menteri Pendidikan kita yang baharu, YB Dr. Maszlee Malik.

Semalam saya telah bentangkan sedikit rumusan saya mengenai cabaran yang wujud di dalam sistem pendidikan di Malaysia kepada seorang rakan yang merupakan CEO kepada sebuah konsultan yang bertanggungjawab membangunkan ‘Future Schools’ di Finland ini, dan di beberapa lokasi antarabangsa yang lain. saya bentangkan dalam format yang mudah difahami iaitu di dalam kategori murid, guru, dan pentadbiran.

Situasi semasa pendidikan kita di peringkat K-12 adalah teacher-centered essentialism di sekolah dan bilik darjah, functionalism di dalam masyarakat, dan centralised decentralisation di dalam kerajaan. Di dalam ekosistem ini, banyak idea menarik yang ditemui dalam lawatan ke negara lain, dan yang diusulkan oleh penyelidik tempatan (barangkali), bukan merupakan amalan di dalam ekosistem berkenaan.

Akibatnya buruk.

Apabila PBS diperkenalkan di Malaysia, ia menggambarkan yang kerajaan berhasrat meningkatkan autonomi sekolah untuk buat assessment ke atas muridnya sendiri. Ia bagus, dan trend negara-negara maju dalam pendidikan mereka. Sebab memang yang paling kenal murid adalah guru. Finland pun buat begini. Walaupun saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan bahawa KPM perkenalkan hal ini kerana terpengaruh dengan Finland.

TETAPI…

Di Finland, kerajaannya tidak perlu tahu hasil assessment tersebut. Yang perlu tahu cuma guru dan sekolah. Maka di Finland ini, selain nisbah guru dan murid munasabah untuk melakukan assessment seperti PBS, cikgu tidak perlu key in data untuk maklumat kerajaan pusat. Ekosistem Finland dari segi pentadbiran pendidikan, adalah decentralised, semuanya adalah antara murid, guru, ibu bapa, dan habis-habis pun City Council. Helsinki tidak mahu tahu dan tidak perlu tahu apa yang Oulu buat.

Akibatnya, apa yang asalnya bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran, bertukar menjadi malapetaka ke atas guru dan anak-anak guru (sebab kena tolong emak ayah key in data di rumah tengah-tengah malam). Ia dilawan oleh guru, dan guru yang melawan dikenakan tindakan.

Ia adalah amalan-amalan decentralisation, yang centralised. Oxymoron yang menghasilkan najiah yang berlawanan daripada tujuan asal. Mungkin kerana ‘the culture of trust’ yang masih rendah dan tidak diserlahkan secara institusi.

KOMEN MENGENAI FINLAND

Walau bagaimana pun, saya berpandangan bahawa komen Puan Elmarié Potgieter tentang Finland dan sistem pendidikannya itu agak ‘overrated’. Finland tidaklah seideal yang beliau gambarkan. Sehingga kita rasakan jurang antara Finland dan Malaysia itu terlalu jauh.

Saya tidak nafikan, bahawa guru-guru di Finland mempunyai kelulusan yang lebih baik sebab mereka perlu mempunyai ijazah sarjana (master degree) untuk mengajar. Ia memberi kelebihan. Semasa kami menganalisis hal ini bersama Prof Emeritus Matti Meri di Universiti Helsinki pada tahun 2015, ijazah sarjana itu diwajibkan sebagai syarat minimum kelayakan mengajar, adalah untuk menjadikan guru memiliki kemampuan untuk mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya dalam suasana guru memiliki autonomi yang tinggi. Akan tetapi, kualiti itu tidak semestinya hanya boleh lahir daripada latihan peringkat sarjana walaupun kedengaran ideal kepada kita. Apa yang lebih membolehkan guru meningkatkan kemampuannya, adalah autonomi dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Tanpa kelayakan akademik peringkat sarjana sekali pun, guru masih boleh mengembangkan kebolehannya, jika diberi peluang.

Malah secara sinis, kami di dalam kelas ketawa apabila salah seorang rakan berkata, ia hanya strategi kerajaan Finland untuk menyimpan rakyatnya lama-lama di sekolah dan universiti agar lambat kerja! Betul atau tidak, ia memerlukan siasatan berasingan.

Semasa Puan Elmarié Potgieter menyebut tentang kekurangan guru-guru Malaysia bahawa “The majority of teachers have no deep understanding of formative assessment or enquiry-based approaches.” ia mengingatkan saya bahawa di Finland juga guru-guru masih berhempas pulas dalam hal tersebut. Apabila Phenomenon-based learning diperkenalkan, guru-guru sehingga sekarang ini masih berdepan dengan masalah dalam mengimplimentasikannya. Ia diselidik antaranya oleh Paula Karlsson di dalam kajian beliau bertajuk Teachers’ Perspectives on the National Core Curriculum of Basic Education 2016: Finding Leverage in Supporting UpperComprehensive School Teachers with Phenomenon Based Learning and Co-Design.”

ERA OPTIMIS UNTUK MALAYSIA

Ini adalah era yang positif dan optimis untuk kita memberi peluang kepada guru-guru dan sekolah di Malaysia untuk membuat perubahan.

Kita perlu lebih objektif dalam menilai adakah kegagalan guru mempamerkan kefahaman mendalam mereka tentang formative assessment itu adalah kerana guru yang tidak kompetetif, atau kerana tidak berpeluang. Ia tidak terjadi secara overnight, tetapi di sekolah kami, Khalifah Model School (Secondary), guru-guru melakukan formative assessment hanya dengan latihan inhouse yang kami usahakan, terutamanya sebelum saya berangkat ke Finland. Ia tidak sempurna sekelip mata, tetapi guru-guru kami semakin meningkat kualiti assesment mereka apabila mereka diberi kepercayaan dan peluang.

Dan ia hanya untuk kegunaan guru, murid, dan ibu bapa.

Guru sekolah kami tidak perlu memasukkan data itu ke sistem perkomputeran berpusat seperti terjadi di sekolah kerajaan semasa melaksanakan PBS beberapa tahun yang lalu.

Kita juga perlu lebih optimis tentang rakyat Malaysia mengenai “well-educated” atau tidaknya mereka kerana ia adalah sesuatu yang subjektif. Rakyat Malaysia menunjukkan kemampuannya untuk mengubah kerajaan secara yang begitu sivil dan aman, sesuatu yang mesti dibanggakan oleh kita semua, bahawa “well educated” atau tidaknya, tidak bergantung semata-mata kepada berapa orang pemegang ijazah sarjana, sarjana muda dan PhD di dalam sesebuah masyarakat.

Saya yakin kepimpinan Dr. Maszlee Malik dan Tun Dr. Mahathir tidak akan mengulangi kesilapan ‘cherry picking’ yang diamalkan sebelum ini. Bak kata Tun M semasa membubarkan beberapa agensi hari ini, “We don’t need their intelligence. I think we’re quite intelligent ourselves.” ?

Saya berada di daerah optimis, namun masih realistik.

Kesemua 10 cadangan yang dikemukakan oleh Puan Elmarié Potgieter saya sokong 100%.

Mungkin akan sampai masanya, Finland pula akan belajar sesuatu daripada Malaysia.

Tidak mustahil.

Dan tidak mudah.

Tetapi kita mesti bermula.

Sekarang.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

2 comments

  1. Parents don’t trust these assessments either and hence we revert back to the reliance on exams. Furthermore, in Finland, households are places of continuous learning. Parents are involved and engaged and learning is extended beyond the four walls of the classroom. We know that this is not the case here.

    -Saya sangat-sangat dan paling bersetuju dengan pernyataan ini. Terutamanya di kalangan masyarakat Melayu, sebab rata2 rumah2 kaum keluarga dan sahabat handai yang saya lawati begitulah keadaannya. Baik di kampung mahupun di bandar.
    Anak2 bila saja tiba di rumah, selain siapkan kerajaan rumah, kerjanya, menonton TV, I-pad ataupun smartphone.

    Lagi kasihan, sudah penat belajar pagi petang, malam ke kelas tution pula.
    Yang hairannya ada ibu bapa yang hantar anak ke kelas tution ini sendiri berpendidikan tinggi. Apa yang menyebabkan mereka sendiri tidak boleh berbincang hal – hal sekolah dengan anak di rumah?
    Mangapa perlu ke kelas tution yang semakin lagi mendidik anak-anak untuk target soalan, belajar untuk exam semata.

    Hal belajar, pembacaan literatur ilmiah (selain buku sekolah) serta berbincangan2 yang membuka minda anak2, sangat sukar ditemui dalam masyarakat Melayu, meskipun pada abad ke 21 ini.

    Anak2 tidak diraikan, jika ada tetamu, anak2 nun diasingkan dalam kumpulan kanak2, meskipun majlis adalah majlis harijadi anak.
    Lain betul pengalaman saya ketika menghadiri majlis harijadi anak jiran saya waktu di UK dulu.

    Sebab itulah dalam Elmerie Potgieter mengatakan perlu ada rombakan yang besar.
    Kita yang sang kaum ibu bapa ni pun perlu perubahan mindset yang “major” yang lari dari kebiasaan yang sudah menjadi adat, lebih sukar kerana kita sendiri telah dididik dengan sistem yang kuno itu yang menjadikan kita yang ada pada hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share