Kanak-kanak di usia awal persekolahan tidak memerlukan maklumat agama yang banyak dan kompleks. Usia mereka adalah usia membangunkan karakter dan asas diri mereka sebagai individu dewasa yang nantinya menjadi pelajar yang belajar sepanjang hayat.
PERKENALKAN SOLAT UMUR 7 TAHUN
Apabila Rasulullah s.a.w. meletakkan usia 7 tahun untuk solat diperkenalkan, dan proses pengenalan itu berlanjutan sehingga usia 10 tahun sebelum boleh beralih kepada adanya implikasi fizikal yang munasabah ke atas perbuatan, sudah cukup untuk mengingatkan kita untuk berhenti sejenak dan berpatah balik ke setapak ke belakang, mengapa hari ini kita keterlaluan mahu melambakkan pelbagai pembelajaran agama ke atas anak-anak ketika semua itu tidak bermanfaat untuk umur mereka, malah melampaui apa yang agama minta?
PENDIDIKAN ‘GIFTED CHILD‘
Jika kita membaca kisah hidup tokoh Islam yang hebat-hebat seperti Imam Syafi’e dan yang seumpama dengan beliau, kita harus ingat bahawa di dalam pendidikan, ada segmen khusus untuk kategori ‘gifted child‘. Pertimbangkan terlebih dahulu aspek ini apabila membaca sirah kehidupan mereka. Dan kita juga perlu ambil perhatian bahawa majoriti tokoh Islam itu yang kita tahu biografinya, mereka menerima pendidikan yang personalised, ‘ala carte‘, dan bukannya mass instruction, sekolah satu silibus satu kurikulum.
BAGAIMANA PULA MAJORITI MUSLIM SILAM?
Kita perlu menyoal diri kita, bagaimana pula dengan majoriti umat Islam yang namanya tidak disebut di dalam sejarah itu. Adakah mereka bukan Muslim yang signifikan? Adakah mereka tiada punya apa-apa nilai? Adakah mereka tidak bahagia dan tidak menjalani kehidupan yang bermakna? Adakah mereka tidak masuk Syurga?
Jika kita menjawab TIDAK kepada soalan-soalan itu, maka tanyalah pula, apakah maklumat sejarah yang kita tahu tentang bagaimanakah sebenarnya majoriti Muslim belajar dan membina kehidupan mereka? Samakah macam apa yang kita baca mengenai kehidupan Imam Syafi’e, Ibnu Sina, Imam Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Sultan Muhammad al-Fatih?
RASULULLAH S.A.W DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK
Apa yang saya tahu, dialog Rasulullah s.a.w dengan kanak-kanak di sekeliling baginda seperti Anas bin Malik r.a., sangat kasual. Ia penuh gurauan dan kasih sayang. Bahasanya santai, emosi, motivasi dan kegembiraan kanak-kanak itu diberi keutamaan.
Jarang sekali komunikasi bersama kanak-kanak itu menggunakan ‘vocabulary‘ kaku di dalam fiqh; rukun wudhu itu 5, 2 kering 3 basah.
Di dalam kisah Abu Mahdhurah yang marahkan baginda apabila diminta mendemokan azan semasa peristiwa pembukaan Kota Mekah, kemarahan itu bertukar menjadi kasih kepada ‘cikgu’nya apabila baginda membalas azan Abu Mahdhurah dengan menyapu ubun-ubunnya, wajah dan dadanya kemudian mendoakan beliau. Perkara yang sama boleh dikesan dalam kisah baginda bersama Malik bin al-Huwairith r.a. yang sering saya kongsikan sebelum ini.
BEBANAN KURIKULUM SEMASA
Dari manakah datangnya tekanan kurikulum Pendidikan Islam yang banyak itu?
Di dalam sistem pendidikan semasa kita, peruntukan subjek Pendidikan Islam adalah:
Sekolah Kebangsaan : 96 jam setahun
Sekolah Menengah Rendah : 128 jam setahun
Sekolah Menengah Atas: 96 setahun.
Jika dibahagikan kepada mingguan (32 minggu persekolahan):
Sekolah Kebangsaan: 3 jam seminggu
Sekolah Menengah Rendah: 4 jam seminggu
Sekolah Menengah Atas: 3 jam seminggu
Itu dari segi masa. Ada pun isi kandungan kurikulum, sudah pernah saya sentuh sebelum ini.
PI01-DSKP-KSSR-Tahun-1-Pendidikan-Islam-08122016Tidak cukup dengan itu, anak-anak kita ke kelas KAFA.
Kemudian masih tidak cukup, maka ada ibu bapa yang mengeluarkan anak daripada sekolah kerajaan, dan mengasramakan mereka di sekolah tahfiz.
Mungkin pendidikan itu dirasakan tidak pernah cukup, dan tidak menampakkan hasil seperti yang diharapkan, kerana kita tersasar daripada maksud asal pendidikan agama. Bahawa pendidikan agama di peringkat kanak-kanak bukan ‘factual knowledge‘. Tetapi pembentukan karakter.
Sempatkah karakter dibentuk, jika pendidikan Islam mengejar silibus demi silibus, di celah timbunan silibus subjek lain?
Apa yang anak usia pra sekolah dan sekolah rendah perlukan, hakikatnya ada pada ibu bapa dan ia cukup. Guru membantu sedikit di sekolah. Menghantar mereka ke asrama pada usia ini dengan alasan agama, bukan caranya.
Kasih sayang ibu bapa sebagai modal utama melancarkan pengenalan agama kepada anak-anak sendiri, adalah aset yang tidak dapat diganti oleh institusi dan guru.
Pertimbangkanlah duhai ibu bapa.
HASRIZAL
Oulu FI