Semenjak berada di Finland pada Ogos 2016, saya telah gantikan rutin berceramah kepada cara-cara lain untuk belajar melalui aktiviti mengajar, kalau boleh dikatakan mengajar. Ia lebih kepada berkongsi.
Antara yang saya usahakan adalah vlog atau blog dalam bentuk video.
Ada banyak teknik yang digunapakai untuk membangunkan vlog. Namun, dari segi teknik merakam dan cara edit, saya masih amatur dan perlahan-lahan belajar untuk meningkatkan kualitinya. Vlog saya juga masih belum konsisten dari segi durasi, format dan kekerapan. Sama seperti artikel di blog, saya tidak mahu memberi komitmen untuk mengurung diri saya ke dalam format tertentu. Sebaliknya, saya cuba untuk menghasilkan sesuatu apabila ada sesuatu yang saya fikir perlu dihasilkan.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memanfaatkan vlog di akaun Youtube saya di youtube.com/iamhasrizal.
Sehingga ke hari ini, telah ada kira-kira 100 vlog yang saya hasilkan semenjak 2016. Biar pun kadar penonton masih rendah, saya percaya isi kandungan yang dikongsi banyak yang mempunyai manfaat jangka panjang dan akan berguna dari semasa ke semasa, mudah-mudahan melangkaui umur saya di dunia ini.
Erti hidup pada memberi.
Hasrizal
Oulu FI