Manusia Separuh Manusiawi

Pemergian ke PUISI 2007 di Waterford Ireland baru-baru ini memberikan saya banyak pengalaman berharga. Bukanlah kerana banyaknya kejadian yang berlaku ke atas diri saya, tetapi lebih kerana hasil kelaziman membuka mata dan telinga terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita.

Mungkin ini caranya yang baik untuk kita mendidik diri. Jangan sekadar tunggu peristiwa berlaku, tetapi carilah peristiwa yang berlaku untuk disubjekkan sebagai bahan zikir dan fikir.

Pengalaman-pengalaman menarik tercoret seawal keberangkatan saya dengan pesawat KLM via Amsterdam.

CORETAN DI LOBI AER LINGUS

Semasa sedang duduk menanti pesawat Aer Lingus di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Dublin, mata saya terpaku memerhati seorang kanak-kanak Irish pada usia empat atau lima tahun, berbual bersama bapanya. Si ibu sibuk mengemas beg di sebelah.

“Ayah, kenapa kita belum masuk ke pesawat?”, tanyanya.

“Mereka sedang membersihkan pesawat, mengisi minyak, menyusun majalah, dan menyediakan makanan untuk kita”, jawab si ayah sambil bermain dengan rambut anaknya.

“Kenapa pesawat ini berwarna hijau dan pesawat lain berwarna biru?”, tanya si anak lagi.

“Pesawat ini adalah Aer Lingus. Ia warna pesawat negara kita. Pesawat biru adalah pesawat orang Dutch. Asalnya semua pesawat berwarna putih, kemudian ia dicat mengikut syarikat yang membelinya”, balas si ayah.

Mereka saling melunjurkan kaki ke dinding cermin.

“Kenapa warna asal pesawat ialah putih?”, si anak terus bertanya.

“Mungkin itu peraturan pihak berkuasa Aviation antarabangsa”, sambut si ayah. Semacam tidak dipedulikan anaknya yang hanya berusia empat atau lima tahun.

Saya ketawa kecil sendirian. Lucu melihat gelagat si anak yang bertanya dan terus bertanya. Ayahnya pula tidak pernah jemu menjawab setiap soalan yang ditanya oleh anaknya itu. Tanpa sedar saya menggenggam tangan, mungkin kerana saya sendiri dalam kerinduan meninggalkan Saif, Naurah dan Imad bersama Ummu Saif yang kesunyian di rumah.

IRISH DAN KANAK-KANAK

Belum pun tiba di Ireland, saya sudah dapat melihat satu contoh jelas kepada apa yang saya percaya selama ini. Saya percaya bahawa orang Irish sangat sukakan kanak-kanak.

Masih teringat di fikiran saya, semasa tinggal di Ireland, puas pipi Saiful Islam dipicit, dicubit setiap kali kami menaiki kenderaan awam. Malah kadang-kadang ada pula yang menahan stroller kami semata-mata mahu melihat wajah anak kita. Di pusat membeli belah juga, stroller kanak-kanak sama sesak dengan kesesakan lalu lintas kereta.

Malah dalam soal lalu lintas, hampir tidak pernah berlaku, saya dan Ummu Saif dibiarkan menunggu di tepi jalan bersama stroller melainkan pasti kereta akan berhenti memberikan laluan, khususnya di Belfast.

Tolaklah ke tepi golongan bermasalah yang mengabaikan anak-anak mereka kerana di dalam masyarakat mana pun tetap ada karat dan daki yang menjadi cabaran sosial.

Tetapi rata-rata saya dapat melihat bagaimana ibu bapa, khususnya mereka yang berpendidikan, begitu memuliakan anak-anak. Memuliakan dalam erti kata, mereka tidak melayan anak-anak seperti ’separuh manusia’ yang hanya ada fizikal untuk dilayan. Malah keperluan mental dan emosi anak-anak turut diusahakan sebaik mungkin.

Lihat sahaja jawapan ayah kepada anaknya tadi. Si bapa tidak menunjukkan yang anak itu masih kanak-kanak, terhad keupayaan memahami atau soalannya hanya membuang masa. Malah si bapa terus menjawab soalan demi soalan secara orang dewasa. Bapa bukan sekadar mahu menjawab dan memahamkan si anak, tetapi sentiasa meletakkan jawapan di paras yang sedikit tinggi, dengan galakan untuk terus bertanya, supaya anak mengejar standard itu.

Sentuhan pada usia muda seperti ini amat penting untuk menyuntik potensi anak-anak. Jangan dimatikan kebolehan anak-anak dengan kemalasan ibu bapa.

MASALAH KITA

Teringat kepada masjid kita. Rumah Allah yang tidak mengalu-alukan si anak kecil. Budak-budak sering menjadi sasaran kemarahan jemaah di masjid. Malah ada pula papan tanda “kanak-kanak tidak boleh melepasi garisan ini”.

Ada yang cuba menyelesaikan masalah ini dengan membahaskan tentang hukum. Apa hukum yang berkaitan khususnya dengan kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan dan sebagainya.

Tetapi bagi saya, layanan buruk terhadap kanak-kanak di masjid bukanlah kerana hukum. Tetapi kerana cara kita memandang kanak-kanak.

Air Asia juga sudah tidak lagi memberikan prioriti kepada mereka yang menaiki pesawat dengan kanak-kanak, sebaliknya anda perlu membayar duit untuk mendapat prioriti dalam barisan semasa masuk ke kapal terbang.

Masalah ini bukan masalah masjid dan hukum, tetapi kita datang dari sebuah masyarakat yang memandang rendah kepada kanak-kanak. Semuanya bersifat satu hala. Komunikasi satu hala, dan arahan satu hala. Kita memandang kanak-kanak tidak lebih dari sekadar ’separuh manusia’ yang justeru itu dilayan ’separuh manusiawi’.

Apatah lagi masjid kita adalah kelab warga pencen yang secara tidak sedar memegang polisi ‘For Members Only‘.

Saya melangkah kaki masuk ke pesawat dengan rindu kepada anak-anak dan Ummu Saif di tanah air…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Amsterdam Schiphol Airport, Holland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Sabar dan Hikmah Dalam Berdakwah

Wajah yang menyimpan seribu cerita di bumi Dagistan ARTIKEL INI DITULIS PADA 21 APRIL 2007, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share