Berita ini saya sambut di hari Jumaat penuh berkat ini dengan perasaan bercampur aduk antara syukur, gembira, bimbang dan keliru.
SYUKUR
Jika benar ia ekoran saranan JKDPN tempoh hari, maka Alhamdulillah. Semoga ia juga bermaksud bahawa lebih banyak lagi perubahan yang fundamental menyusul tiba.
GEMBIRA
Berita ini dari segi pedagoginya bermaksud, pelajar akan meningkatkan ‘ownership’ mereka ke atas pembelajaran mereka sendiri. Sesuatu yang saya secara peribadi perjuangkan selama ini. Ia datang daripada kepercayaan bahawa semua murid boleh belajar apa sahaja, tiada yang bodoh atau pandai, tetapi berbeza-beza kepandaian, peranan sekolah adalah untuk menyokong penerokaan murid terhadap potensi diri masing-masing, sebagai langkah menjadikan persekolahan dan pembelajaran lebih bermakna.
Makna tidak boleh dipaksa oleh sesiapa ke atas sesiapa. Ia adalah proses organik yang setiap individu murid lakukan di dalam minda mereka. Jika mereka selama 11 tahun pergi ke sekolah hanya untuk melaksanakan agenda orang lain, jiwa mereka adalah jiwa buruh paksa yang bekerja tanpa gaji, 11 tahun. Ia mendorong kepada adanya pelajar mengantuk, malas, ponteng, buat perangai.
Ia juga boleh meruntuhkan ketahyulan zaman berzaman bahawa pelajar sains lebih pandai daripada pelajar sastera, pelajar sastera buang masa belajar benda tak menjana ekonomi, pelajar sains hati kering tidak manusiawi dan menjadi rakan kerja yang menjengkelkan, dan macam-macam lagi.
Langkah penghapusan streaming ini juga mengecilkan jurang antara pelajar cemerlang dan tidak cemerlang, membolehkan pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga, sama-sama berpeluang berjaya.
BIMBANG
Ia langkah yang amat besar. Impaknya bukan calang-calang. Pengagihan tugas guru, jadual harian, cikgu pergi kelas murid, atau murid pergi kelas cikgu, langkah penyelarasan dengan pendidikan tertiari, dan macam-macam lagi.
Di dalam konteks yang kecil, semasa saya rombak sistem sekolah dan memberi peluang pelajar memilih subjek dan membuat jadual persekolahan sendiri pun, berasap kepala kami mengatur jadual, mengagihkan jumlah jam kerja guru berdasarkan bidang masing-masing, kena tambah guru semasa sekolah tak berduit, dan macam-macam lagi.
Lebih bimbang, apabila belajar daripada sejarah Finland.
Finland telah menghapuskan streaming ini pada pertengahan 1980an. Sekolah pelbagai aliran digantikan dengan satu pendidikan komprehensif (peruskoulu) yang menjadikan semua murid belajar pelajaran yang sama dari Grade 1 hingga Grade 9. Namun pada Grade 7-9 pelajar boleh membuat pilihan masing-masing untuk subjek elektif yang bukan subjek teras.
Streaming hanya bermula di high school / lukio / pra universiti, dan ia adalah selama tiga tahun, berbanding dua tahun pra uni yang lazim diamalkan di banyak negara.
Perubahan kepada menghapuskan streaming ini dibantah oleh PM Finland sendiri, Harri Holkeri serta komuniti bisnes di Finland. Mereka mengecam langkah ini sebagai menganiaya pelajar genius, memangsakan pelajar pandai kerana terpaksa beralah dengan pelajar bodoh, mengurangkan persaingan dan menurunkan tahap kompetensi pelajar, membelanjakan wang yang banyak untuk pendidikan di sebuah negara yang berpenduduk sedikit dan macam-macam lagi.
Hal ini disuarakan oleh Perdana Menteri Finland di dalam Finnish School Principals’ Annual Meeting pada November 1987:
When believing that anyone can learn everything, the goals of the comprehensive school are set too high. When trying to educate the whole population to the unattainable comprehensive school level, the financial and mental resources of a small nation are being wasted on a hopeless task. These same educational resources would be badly needed to educate those who have proven to be talented in different areas to international high standards. Only that way can we maintain Finland’s position in the hard international competition in science and the economy.
Terjemahan:
Apabila kita percaya bahawa sesiapa pun boleh belajar apa sahaja, sasaran yang diletakkan untuk sekolah komprehensif adalah terlalu tinggi. Apabila percubaan dilakukan untuk memberi pendidikan kepada seluruh penduduk berdasarkan tahap sekolah komprehensif yang tidak tercapai itu, sumber kewangan dan mental sebuah negara yang kecil (seperti Finland ini) telah dibazirkan untuk satu tugasan yang sia-sia. Sedangkan sumber untuk pendidikan sebesar ini amat diperlukan untuk memberi pelajaran kepada mereka yang telah terbukti berbakat di dalam pelbagai bidang berdasarkan standard antarabangsa. Hanya dengan cara itu, kita boleh mempertahankan kedudukan Finland di dalam persaingan sengit antarabangsa di dalam sains dan ekonomi.
Sahlberg, Pasi. Finnish Lessons 2.0: What Can the World Learn from Educational Change in Finland?, Second Edition (Series on School Reform) . Teachers College Press. Kindle Edition.
Kecaman mereka berlarutan hingga ke tahun 2001. Ia hanya terhenti apabila keputusan PISA 2001 mengisytiharkan Finland sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia, hasil langkah pertengahan 1980an itu dahulu.
Barulah kebisingan itu tertampar bisu.
Bersediakah kita dengan gelombang penentangan kepada langkah ini?
KELIRU
Saya keliru sebab saya tidak berjumpa dengan sumber berita ini. Apa ayat sebenar yang YB Menteri atau YB Timbalan Menteri sebutkan? Dalam suasana kewartawanan semasa, adakalanya lain yang dicakap lain yang dilaporkan sedangkan impaknya besar. Malaysia Gazette hanya meletakkan berita ini di bawah kategori “Akhbar Cina”.
Justeru, mari kita banyakkan berdoa yang baik-baik. Buatlah apa pun, asalkan ia adalah untuk kebaikan anak-anak kita.
HASRIZAL
Oulu Finland
Terbaca kritikan tajam yang datang tiba-tiba daripada Pn Siti Kassim kepada pencapaian KPM baru-baru ini, dan disokong pula kritikan tersebut oleh komen-komen daripada aliran yang hampir sama, betul-betul mengingatkan saya pada artikel ini.
Semasa membaca tulisan tersebut dan komen-komen yang timbul rasa sugul dan keliru, kenapa apa yang saya percaya baik untuk pendidikan tidak dipandang begitu oleh kelopok yang saya anggap lebih terbuka dan terkedepan dengan reformasi pendidikan.
Adakah saya yang ketinggalan?
Betulkah paradigma pendidikan yang mahu saya sokong dan adaptasi ini, ataupun sayalah yang salah.
Termenung juga sehari.
Akhirnya gagahkan juga diri, pegang pada satu asas yang tak mungkin salah, “pendidikan yang baik ialah yang mengembil kira kepentingan murid”, bukan kepentingan gred sekolah, apatah lagi kedudukan negara dalam PISA.
Bila murid rasa dihargai, mereka tak benci belajar, bila mereka tak benci belajar, mereka akan bina kejayaan sendiri.
PISA dan seumpamanya akan datang sendiri nanti.