“Ustaz, saya bercadang untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan ini sebab saya terpaksa menduduki peperiksaan” kata seorang mahasiswi melalui emelnya kepada saya.
“Saya yang lemah iman tidak mungkin boleh berpuasa Ramadan ini sebab aktiviti minggu orientasi yang berat!” maklum seorang mahasiswa pula.
“Saya terlalu bernafsu kuat dan sering melakukan onani termasuk di Ramadan ini. Apakah nasib saya ustaz?” tulis seorang… maaf bukan seorang, tapi beberapa orang pelajar perempuan melalui emel kepada saya. Ya, perempuan. Bukan lelaki.
Muka saya merah, telinga kepanasan.
Jika hanya seorang yang bercadang untuk tidak berpuasa, saya dengan mudah menganggapnya sebagai kes terpencil. Tetapi Ramadan kali ini (di tahun 2008) saya dihubungi oleh sejumlah mahasiswa dan mahasiswi yang telah awal-awal lagi berazam untuk TIDAK BERPUASA, kerana ada sesuatu yang berlaku di dalam hidup mereka selain soal makan dan tidur.
Peperiksaan…
Aktiviti minggu orientasi…
Banyak bekerja shif malam…
BUKAN TERPENCIL
Kesemua emel yang saya terima di bawah kategori ini saya himpunkan tanpa tergesa-gesa menjawabnya. Saya mula mengumpul apabila dua atau tiga emel senada datang menjengah, seawal minggu pertama Ramadan. Apakah ini satu trend? Jumlahnya signifikan. Datangnya dari empat penjuru bumi.
Membimbangkan!
Di manakah silapnya?
Kelemahan jati diri anak watan kita ini sudah amat kritikal. Tolaklah ke tepi semangat-semangat yang sedang dicari untuk berjihad, membela umat, membebaskan Palestin dan menebus kemunduran bangsa.
Mungkinkah ini salah satu sebab mengapa Malaysia gagal mendapat pingat emas di dalam Sukan Olimpik. Negara ini melahirkan bangsa manusia yang lemah determination biar pun tinggi IQ, hebat teknologi, mewah kemudahan prasarana, banyak ilmu dan lebih segala-galanya. Kita sama-sama tahu Olimpik bukan medan kemenangan hasil kompetensi fizikal semata-mata. Tetapi juara-juara itu mempunyai kekuatan psikologi yang juga bertaraf Olimpik.
Semua aspek negara kita terbangun dan bangkit ‘maju’, tetapi kita semakin berkrisis pada manusianya. Soal kausa prima!
AMARAN
Perbuatan menyengajakan tidak berpuasa atau berbuka tanpa uzur syar’i yang kita sedia maklum, adalah dosa besar yang berat ancamannya daripada Allah dan Rasul.
Wahai adik-adikku, teguhkanlah jati diri kalian.
Jangan jadikan keselesaan hidup hari ini fitnah ke atas dirimu! Susah hidup semalam dan senang selesa hidup hari ini, semuanya menuju ke KESUSAHAN AKHIRAT yang SAMA. NERAKA YANG SAMA.
Doaku agar kita semua berhimpun di SYURGA.
Hasrizal