Di dalam bahagian pertama tulisan saya (Majalah I Ogos 2005), kita telah sama-sama meneliti bagaimana Syiah memainkan peranan yang besar di dalam menabur racun kepalsuan terhadap kemurnian Sejarah Islam. Ini tertumpu kepada era al-Khulafa’ ar-Rashideen dan zaman awal Bani Umayyah yang menjadi era penentu kepada survival sirah perjalanan umat Islam secara keseluruhannya. Jika para Sahabat dapat ditumbangkan melalui sejarah, maka akan tumbanglah seluruh tubuh badan umat kerana generasi tersebutlah yang menjadi penyampai pertama risalah Islam dari Rasulullah SAW kepada sekalian umat.
Kita sama-sama menyedari bahawa sejarah adalah bukti universal yang amat berkesan untuk mensabitkan sesuatu. Jati diri umat Islam dan keyakinan mereka untuk kembali bangkit selepas siri keruntuhan, berkait rapat dengan sejauh mana mereka berjaya menghayati sejarah generasi terdahulu yang menyajikan pelajaran berharga. Di atas dasar inilah, Sejarah Islam terus menjadi sasaran musuh untuk dikelirukan supaya umat yang sedang bangun ini akan terus terpukul di belakangnya dengan pemahaman sejarah yang salah dan mengecewakan.
KEPENTINGAN DOKUMENTASI SEJARAH
Dokumen-dokumen yang menjadi sumber premier kepada sejarah disebut di dalam Bahasa Arab sebagai wathīqah. Ia berasal dari kata umbi thiqah (ثقة) yang bermaksud kepercayaan. Dalam erti kata yang lain, kepercayaan terhadap sesuatu fakta sejarah berkait rapat dengan hal ehwal yang bersangkutan dengan dokumen yang dirujuk. Muhammad Mahir Hamadah menukilkan kata, “tiada sejarah tanpa dokumen” dan pada satu tahap, kata-kata itu memang benar.
Hal ini sememangnya telah diterima dengan baik oleh umat Islam zaman berzaman. Walaupun kita menghadapi pelbagai kesukaran untuk mendapatkan dokumen sejarah bagi era awal Islam akibat kemusnahan yang dicetuskan oleh Perang Salib, Perang Tatar ke atas Baghdad dan sebagainya, sedikit sebanyak tradisi mendokumentasikan bahan rujukan sejarah terus berkembang dan berwaris. Di zaman Bani Umayyah dan Abbasiyyah, pelbagai ‘Diwan’ ditulis sebagai dokumen pemerintah dan rujukan. Manakala di zaman kerajaan Uthmaniyyah, urusan-urusan kerajaan khususnya semasa peperangan, direkod oleh penulis rasmi kerajaan yang dikenali sebagai ‘vakanuvis’. Malah dari sudut pencapaian kemajuan sistem pentadbiran negara, umat Islam amat terkehadapan berbanding masyarakat yang lain. Kesimpulannya, pelbagai dokumen berupa manuskrip, di samping buku-buku karangan ulama pelbagai zaman, tersedia untuk dirujuk dan dikaji ke arah mengeluarkan khazanah mutiara Sejarah Islam yang amat berharga itu.
Walau bagaimanapun, usaha membentangkan sejarah kepada masyarakat menghadapi beberapa cabaran yang wajar dihalusi untuk mengatasinya. Walaupun umat Islam agak beruntung kerana kesedaran dan usaha merakamkan peristiwa-peristiwa penting telah sedia wujud semenjak dari generasi pertama Islam, namun bahan-bahan tersebut tetap berhadapan dengan beberapa ciri yang menyulitkan pengkaji.
1. Catatan Yang Tidak Seimbang
Era awal seperti Sejarah Bani Umayyah hanya dirakamkan oleh ahli sejarah seperti al-Imam at-Thabari kebanyakannya dari sudut siasah. Oleh itu kebanyakan catatan adalah berkisar tentang pemerintahan, silih pergantian pemimpin dan peristiwa yang berkaitan dengannya serta peperangan yang berlaku. Akan tetapi, pengkajian dari dimensi ketamadunan seperti ekonomi dan sosio budaya, tidak banyak dibantu oleh karya at-Thabari.
Kesan daripada ketidakseimbangan ini dapat dilihat daripada kecenderungan tanpa sedar sesetengah kita yang selalunya mendapat gambaran bahawa apabila disebut Sejarah Islam, perhatiannya terlalu banyak difokuskan kepada aspek siasah semata-mata. Oleh yang demikian, persembahan Islam yang dilakukan kepada masyarakat, khususnya kepada non-Muslim, dilakukan dalam bentuk yang kurang menonjolkan keindahan dan ‘manfaat’ yang relevan kepada paradigma pemikiran non-Muslim. Mesej terhadap hak non-Muslim banyak terfokus kepada jaminan keselamatan mereka dari gangguan dan ketidakadilan semata-mata. Mereka kurang dapat melihat bagaimanakah mereka boleh terus berniaga, hidup berkualiti dan maju di bawah sistem Islam kerana sentiasa menyebut tentang soal jaminan hak dan keselamatan. Ia memberikan gambaran secara reverse psychology seolah-olah hidup di bawah sistem Islam sentiasa berhadapan dengan ancaman keselamatan.
2. Taasub Kaum dan Bangsa di Dalam Dokumentasi
Suatu perkara yang diketahui umum, bahawa era Abbasiyyah mengalami kesuburan sentimen anti Bani Umayyah. Ia turut memberikan kesan kepada bahan-bahan rujukan yang dihasilkan di zaman Abbasiyyah yang banyak bercorak prejudis terhadap Bani Umayyah. Misalnya, koleksi khutbah Bani Umayyah yang mencela Ahlul Bayt, banyak yang seni bahasanya menunjukkan bahawa khutbah itu berbahasa Arab era Abbasiyyah dan bukannya Umayyah. Hal ini memerlukan ketelitian para pengkaji agar tidak terdorong untuk menerima bulat-bulat segala yang dipaparkan.
Malah dari satu sudut yang lain, kajian terhadap Bani Umayyah hanya tertumpu kepada unsur-unsur yang terhad dan tidak menyeluruh lantaran halangan yang dibentuk oleh sifat prejudis itu tadi [Dirasah Wathaqiyyah li at-Tarikh al-Islami wa Masadiruhu min ‘Ahd Bani Umayyah Hatta al-Fath al-Uthmani li Suria wa Misr oleh Muhammad Mahir Hamadah]
3. Permasalahan Bahasa
Perbezaan di antara rujukan di satu zaman dengan zaman yang lain bukan hanya tertumpu kepada teknik merekod, malah bahasa yang digunakan juga mengalami perkembangan dan perubahan. Pengkajian sejarah era Seljuk memberikan keutamaan kepada dokumen berbahasa Parsi berbanding dengan yang berbahasa Arab. Hal ini perlu diambil kira oleh pengkaji supaya sebarang pertentangan fakta diselesaikan dengan mengambil kira aspek bahasa yang dominan di zaman tersebut.
Amat malang apabila pengkajian sejarah era Daulah Othmaniyyah tidak bermula dengan penguasaan bahasa sumber rujukan. Tidak ramai pengkaji, khususnya dari kalangan Muslim, yang mempelajari bahasa Turki dan bahasa Othmaniyyah (Osmanlıca) sebagai langkah pertama untuk mendalami sejarah era Othmaniyyah. Hal ini amat berbeza dengan pendekatan para orientalis, misalnya Bernard Lewis yang bukan sahaja memulakan pengkhususan beliau di bidang ini dengan menguasai bahasa Turki, malah berkahwin terus dengan wanita berbangsa Turki untuk mendalami bahasa dan kebudayaan mereka.
Kesannya dapat dilihat, apabila tokoh terbilang seperti Hamka, hanya berupaya merujuk buku-buku yang dikarang oleh orientalis Belanda untuk menghasilkan penulisan tentang era Othmaniyyah di dalam bukunya yang terkenal, Sejarah Umat Islam. Ia bukanlah suatu keaiban terhadap Hamka memandangkan kepada rujukan yang amat terhad pada masa itu. Namun perlulah kita mengambil pelajaran untuk tidak mensesiakan penyelesaian yang berada di depan mata hari ini.
Atas kesedaran betapa pentingnya penguasaan bahasa dan teknik pembacaan sumber rujukan seperti manuskrip dan kitab-kitab lama, Universiti Ankara di Turki telah menubuhkan Fakulti Bahasa dan Sejarah-Geografi atau lebih dikenali sebagai Dil ve Tarih-Coğrafya Fakültesi.
Sesungguhnya ketidakupayaan pengkaji sejarah menguasai bahasa sumber rujukan premier, mengundang kepada kecacatan yang besar di dalam pembentangan hasil kajian Sejarah. Lebih-lebih lagi, di Republic of Turkey Prime Ministry General Directorate of State Archives menjelaskan bahawa masih terhadap 150 juta keping dokumen berupa manuskrip dan surat-surat rasmi di sepanjang pemerintahan kerajaan Othmaniyyah yang masih belum disentuh untuk dikaji! Semestinya banyak lagi khazanah yang boleh digali, khususnya yang berkaitan dengan hubungan pemerintahan Daulah Othmaniyyah ke atas umat Islam di Kepulauan Melayu suatu ketika dahulu.
4. Sumber Rujukan Yang Terkurung
Satu lagi faktor yang menjadi cabaran kepada pengkaji ialah bagaimana banyak bahan rujukan Sejarah kita tersimpan di institusi-institusi yang amat rumit untuk ditembusi. Khususnya selepas kekalahan umat Islam semasa Perang Dunia Pertama, umat Islam telah ditimpa dengan suatu kebodohan yang merugikan apabila banyak manuskrip dan bahan Sejarah yang diberikan secara percuma kepada kuasa barat untuk dibawa ke muzium-muzium Eropah demi sedikit habuan yang tidak seberapa. Hari ini, umat Islam berhadapan dengan kesulitan apabila terpaksa pergi ke negara-negara Barat yang sesetengahnya mengenakan pelbagai polisi yang rumit, semata-mata untuk membolehkan kita membaca dan mengkaji hasil tulisan datuk nenek moyang kita sendiri.
Kita lihat, misalnya usaha untuk mendapatkan manuskrip dari Perpustakaan Suleymaniye di Istanbul, menuntut kita berhadapan dengan pelbagai karenah birokrasi. Lebih menyulitkan jika bahan tersebut berada di sesetengah negara Arab yang amat curiga dan skeptik dengan permohonan mendapatkan manuskrip di perpustakaan mereka.
Lebih mencabar lagi, peperangan yang berlaku di bandar seperti Baghdad sudah semestinya mengorbankan khazanah bahan rujukan sejarah Islam yang sama tragisnya dengan kematian penduduk bandar ‘berhantu’ itu.
5. Taasub Kaum dan Bangsa di Dalam Penafsiran Sejarah
Permusuhan di antara masyarakat Abbasiyyah dengan Bani Umayyah tidak terhenti di zaman tersebut sahaja malah berlarutan hingga ke hari ini. Ia lebih ketara selepas kemusnahan jati diri umat Islam sewaku hancurnya Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924. Penyebaran fahaman nasionalisma perkauman telah mendorong kepada sikap tidak adil dan prejudis di dalam penafsiran Sejarah Islam.
Orang Arab melihat kuasa Othmaniyyah Turki sebagai kuasa penjajahan dan ia menjadi teras kepada penulisan ramai dari kalangan pengkaji Arab. Mereka melabelkan Sultan Abdul Hamid II sebagai ‘Sultan Merah’ yang kejam, zalim dan sebagainya. Senada dengan tuduhan Syiah terhadap peribadi seperti Muawiyah bin Abi Sufyan RA. Manakala bangsa Turki pula memandang orang Arab sebagai pengkhianat dan mereka menulis sejarah tentang gerakan Revolusi Arab dan lain-lain dengan bahasa kebencian yang melampaui realiti sebenar.
6. Sikap Terhadap Amanah Ilmu
Sekali lagi masalah sikap diketengahkan sebagai punca permasalahan Sejarah Islam. Kecenderungan masyarakat kita untuk mendengar hanya berita yang dramatik, sensasi dan panas, mengundang kepada munculnya penulisan-penulisan yang cuba untuk bermain dengan akal dan emosi semata-mata. Ini mendorong kepada pengambilan bahan Sejarah yang boleh menarik pembaca tetapi tidak sedikitkan membantu kepada pembelajaran Sejarah.
Misalnya jika di zaman sahabat Rasulullah SAW, riwayat-riwayat sahih tentang Majlis Tahkim tidak dipedulikan, sebaliknya tertumpu kepada riwayat palsu yang menceritakan penipuan para sahabat, sikap gila kuasa dan sebagainya. Ini sedikit sebanyak berpunca daripada keadaan riwayat sahih yang tidak mempunyai unsur panas yang diperkatakan tadi.
7. Kesilapan di Dalam Pendekatan Pembelajaran Sejarah
Pembelajaran Sejarah Islam banyak tertumpu kepada mengetahui apa yang berlaku pada satu-satu masa menurut kronologi peristiwa sahaja. Amat kurang usaha untuk mengambil manfaat daripada penafsiran Sejarah malah subjek Sejarah di sekolah hanya tertumpu kepada menjawab soalan berasaskan teknik PES iaitu menjawab soalan peperiksaan melalui skop politik, ekonomi dan sosial! Sedangkan suntikan roh sejarah amat kurang diusahakan.
Kita juga kurang mengenali aspek Fiqh at-Tarikh, iaitu ilmu berhubung dengan asas-asas kepada ilmu Sejarah, cara mengenali sumber rujukan dan permasalahan yang memerlukan perhatian, teknik menafsir bahan Sejarah dan lain. Sebagai analogi, kita kenal ilmu Fiqh tetapi mengabaikan Usul al-Fiqh. Justeru ramailah yang membuat kesilapan semasa mempelajari Sejarah.
8. Bidang Yang Ketinggalan dan Tidak Komersil
Walaupun Sejarah Islam merupakan bidang yang amat penting di dalam ‘membina manusia’ di dalam sesebuah masyarakat, rata-rata ia bukanlah menjadi subjek pilihan pelajar yang mahu menempah tempat di Institusi Pengkajian Tinggi. Hal ini berlawanan dengan kesedaran yang wujud di negara-negara sosialis di mana golongan cerdik dan bijak pandai dipilih untuk mendalami ilmu-ilmu yang membentuk manusia.
Semasa saya meluangkan masa sepanjang hari selama seminggu di Perpustakaan IRCICA di Yildiz Sarayi untuk menyiapkan beberapa penyelidikan, saya berapa kecewa kerana hampir-hampir tidak ada orang Islam yang datang mengkaji Sejarah dan Tamadun Islam di situ. Kebanyakan pengkaji adalah terdiri daripada pengkaji British, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.
Oleh itu, kita berharap agar pengkajian Sejarah Islam di peringkat universiti dapat dipertingkatkan persembahannya. Para ahli akademik janganlah tenggelam di dalam dunia akademiknya sehingga tidak turun dengan ilmu dan kepakarannya kepada masyarakat. Manakala para pendakwah, penulis dan mereka yang bekerja di tengah-tengah masyarakat pula hendaklah bertanggungjawab mempersembahkan teladan Sejarah secara amanah dan bersandarkan kepada sumber yang sahih lagi muktamad.
Kelalaian di dalam memelihara imbangan antara kedua-dua ini akan hanya menjadikan bangsa kita iaitu bangsa Muslim, membina kediamannya di persada tamadun kemanusiaan dengan bangunan yang lebih pasir dan simen, menanti hari rebah ke bumi, lemah kepercayaan kepada Tuhan dan tiada keyakinan.
Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
Disiarkan di Majalah I Keluaran September 2005