USM: Pembaharuan Islam di Perak

Sumber asal: http://www.lib.usm.my/press/Moro/GPI/bab10.html

10.1 PEMBAHARUAN ISLAM DI PERAK

ato’ Haji Qamaruz Zaman bin Haji Ismail, Yang Dipertua Majlis dan Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Negeri Perak Darul Ridzwan sekarang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Wawancara: 9 September 1989) menerangkan bahawa di Perak tidak ada kumpulan yang menganut mazhab selain mazhab Syafii. Andai kata pihak berkuasa terpaksa menganut mazhab lain dipertimbangkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Syariah. Misalnya masalah tidak cukup korum untuk salat Jumaat, akan dirujukkan kepada Jawatankuasa Syariah supaya memberi pendapatnya. Perkara seperti ini ada berlaku di Perak, terutama dalam kalangan Orang Asli. Juga berlaku di kem tahanan yang sebahagian penghuninya telah mendapat kesedaran.

Menurut beliau pembaharuan dalam bentuk lain, yakni pembaharuan dalam bidang pendidikan, mental, dan pemikiran memang ada. Beliau mengemukakan satu di antaranya ialah pembangunan Ma’ahad al-Ihya al-Syarif di gunung Semanggol yang dibangunkan oleh Allahyarham Ustaz Abu Bakar al-Baqir sejak 15 April 1934. Sekolah ini telah banyak menghasilkan tokoh-tokoh Islam. Bahkan merupakan salah satu tempat yang bersejarah bagi pembangunan idea baru dalam berbagai-bagai aspek kehidupan umat Islam di negara ini, seperti dalam bidang ekonomi dan politik.

Menurut Mufti Negeri Perak Sahibul Al-Samahah Datuk Harussani, (Wawancara: 22 Oktober 1989), di Kampung Baru, Parit, ada sekelompok kaum muslimin yang mempunyai fahaman seperti di Perlis. Mereka mempunyai surau sendiri namun tidak ramai pengikutnya. Mereka tidak melakukan salat Jumaat secara terbuka kerana tidak mendapat izin daripada pihak penguasa agama, mereka melakukan salat Jumaat di rumah. Perkara ini sudah berlaku sejak 15 tahun dahulu.

Ketika dikemukakan bahawa dalam rangka pembersihan amalan umat Islam daripada bidaah dan khurafat bukankah patut mazhab Syafii itu kita murnikan, Datuk Harussani menjawab, bahawa dengan pemurnian kita masih boleh pergi kepada pendapat ulama lain di dalam lingkungan mazhab Syafii, bukan hanya kepada Imam Muhammad ibn Idris sahaja. Tentang pembasmian perkara karut beliau berpendapat bahawa pemurnian sebaiknya dengan cara pendidikan bukan dengan cara konfrontasi.

Ketika ditanyakan bagaimana dengan orang Islam Malaysia pergi ke Makkah bukankah sukar baginya untuk mengikuti keseluruhan mazhab Syafii, beliau menjawab tidak salah mengamalkan mazhab lain.

Bagaimana pula dengan salat Subuh tanpa qunut di Masjid al-Haram dan Masjid Nabi? Menjawab pertanyaan ini beliau mengatakan: Kita boleh membaca qunut pendek.

Menurut beliau, kita mempertahankan mazhab Syafii adalah untuk persatuan umat. Fahaman yang tidak bermazhab tidak akan berkembang. Taklid tidak akan dapat dihapuskan. Pada umumnya, kebanyakan kaum muslimin masih mempunyai pengetahuan yang cetek. Hanya dalam akidah kita tidak boleh bertaklid.

Tentang al-Barzanji beliau bersetuju untuk dibaca terus oleh kaum muslimin. Lebih-lebih lagi jika diterjemahkan. Terlalu sedikit orang Islam mengetahui sejarah Rasulullah s.a.w. Jika diterjemahkan elok juga dihilangkan perkara yang berlebih-lebihan di dalam buku itu.

Tentang “fahaman muda” yang dianut oleh Abu Bakar al-Baqir, dan Syeikh Juned dari Padang Rengas, beliau mengatakan bahawa fahaman itu oleh kedua-dua tokoh tersebut tidak dikembangkan secara konfrontasi tetapi dengan secara hikmah. Menurut beliau Abu Bakar al-Baqir berwasiat bahawa beliau jangan ditalkinkan jika ia mati. Walau bagaimanapun, Allahyarham mengerjakan “salat hadiah” untuk orang mati.

10.2 PADANG RENGAS

Di Padang Rengas suatu pengajian pondok telah dikenali sejak tahun lapan belas lima puluhan, yang didirikan oleh seorang ulama yang lari dari pulau Jawa kerana menentang sistem kultur (sistem tanaman paksa) yang dikuatkuasakan oleh penjajah Belanda di pulau itu. Namanya Haji Abdul Manan. Beliau berasal dari Pesantren Ambal. Dalam usahanya ini beliau disokong oleh Tok Paduka Abdul Latif, seorang pembesar jajahan.

Usaha beliau ini kemudian dilanjutkan oleh anaknya, Haji Nur. Kemudian digantikan oleh menantunya Haji Saleh. Apabila Haji Saleh meninggal dunia, maka pengajian pondok di Padang Rengas terhenti untuk seketika, sebab tidak ada tokoh yang dapat meneruskan usaha pengajian ini. Sampailah Syeikh Juned kemudiannya datang dan mengajar di Padang Rengas.

Syeikh Juned dilahirkan pada tahun 1897 di Tarlola, sebuah kampung kecil termasuk daerah Maga, Kota Nopan, Kabupaten Tapanuli Selatan di wilayah Sumatera Utara, Indonesia. Beliau termasuk puak Mandailing dengan marga (clan) Rangkuti.

Nama asal beliau ialah Simanonga. Pendidikan awal beliau ialah sekolah desa (sekolah rendah tiga tahun) di kampung Maga. Beberapa tahun kemudian beliau berpindah ke Tanah Deli (di Sumatera Utara bahagian Timur), untuk kemudiannya pergi ke Besilam (Babussalam), Langkat. Besilam dikenali sebagai sebuah pusat tarikat Naqsyabandi. Pemukiman itu diasaskan oleh Syeikh Abdul Wahab Rokan.

Di Besilamlah beliau memulai pengajian agamanya. Sebab kesungguhan beliau menuntut ilmu, beliau disayangi oleh Syeikh Abdul Wahab, gurunya yang memberinya nama “Juned” mengambil nama seorang ulama tasawuf yang terkenal, iaitu “Syeikh Juned al-Baghdadi”. Kemudian di belakang nama beliau ditambahkan (oleh siapa?) “Tola”. Menurut suatu pendapat kata itu singkatan daripada “Tarlola”, kampung kelahirannya. Namun, Datuk Haji Asri bin Haji Muda (Datuk Asri), menantu allahyarham (Wawancara: 12 Oktober 1989) tidak dapat memastikannya.

Namun, beliau masih bercita-cita hendak melanjutkan pelajarannya. Untuk itu beliau merantau ke Tanah Melayu. Mula-mula beliau berguru di Kedah di Pondok Haji Che Dol, Gajah Mati, dan kemudian disambung oleh menantunya Syeikh Ibrahim (Pak Cu Hin) dan di Pondok Haji Hussain Cik Dol di Guar Cempedak. Kemudian beliau pindah ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berguru dengan Tuan Haji Salleh Masri.

Oleh kerana kecerdasannya, seorang ulama di Padang Rengas membawa beliau ke kampungnya, kemudian menikahkannya dengan anak perempuannya, Sariyah binti Haji Said (1922). Tiga bulan kemudian Haji Said mengirim menantunya, Juned belajar ke Universiti al-Azhar di Mesir. Turut bersama beliau ke Mesir ialah iparnya, Haji Husin Said, dan Haji Mohd. Zain Haji Noh. Menurut Datuk Asri, pada masa itu isterinya sedang mengandungkan anaknya yang pertama. Pertemuan beliau dengan puterinya yang pertama ini berlaku di Makkah.

Selama di Mesir beliau bukan hanya mencari ilmu tetapi juga berkecimpung di dalam pergerakan pelajar Indonesia-Malaya. Mesir pada waktu itu sedang bergolak menentang penjajahan. Juga sedang berkembang fahaman “pembaharuan” Muhammad Abduh-Rasyid Ridh a. Hal ini menanamkan semangat menentang penjajahan, yang kelak dibawanya pulang ke negerinya.

Beliau amat tertarik dengan institusi wakaf dan pentadbirannya, sehingga mampu membiayai sebuah universiti yang besar seperti al-Azhar. Beliau amat berminat dengan wakaf. Minatnya itu kemudiannya mendorongnya untuk menulis sebuah buku kecil dengan judul Kaifiat mengadakan Wakaf, yang diterbitkan di Mesir pada tahun 1927, dengan kata pengantar oleh Syeikh Idris al-Marbawi yang terkenal di seluruh negara yang berbahasa Melayu di Asia Tenggara kerana kamus Arab-Melayunya yang dikenali dengan nama Kamus al-Marbawi. Kamus ini ialah kamus Arab-Melayu yang terlengkap, bahkan sampai dewasa ini.

Menurut Datuk Asri, kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga serangkai: Syeikh Idris al-Marbawi, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut. Mohammad Redzuan Othman di dalam kertas kerjanya pada Seminar Ulama Dalam Sejarah Perak (9 Julai 1989), tentang peranan Syeikh Juned di dalam menjayakan Kamus al-Marbawi mengatakan: Syeikh Juned juga banyak membantu Syeikh Idris al-Marbawi dalam menyusun Kamus Arab-Melayu yang terkenal.

Sebelum pulang ke tanah air beliau sempat juga belajar kepada Syeikh Abdul Kadir al-Mandili, salah seorang guru di al-Masjidil Haram pada ketika itu.

Dalam tahun 1926, Syeikh Juned kembali ke tanah air, bersama isterinya dan puteri pertamanya, Sakinah (sekarang dikenali sebagai Cik Kinah atau Datin Sakinah, isteri kepada Datuk Asri). Tidak berapa lama kemudian isterinya, Sariyah meninggal dunia. Dalam tahun 1927, beliau mengahwini seorang lagi puteri Haji Said, bernama Siti Hajar. Dalam tahun 1934, beliau mengahwini lagi seorang isteri di Tapanuli Selatan bernama Rokiah Haji Ibrahim.

Dalam tahun 1927, beliau telah mewujudkan suatu kelas pengajian di sebuah surau dekat rumahnya di kampung Lalang, Padang Rengas. Pelajar terdiri daripada penduduk Kampung Lalang dan kampung di sekitarnya di dalam kawasan Padang Rengas. Ada bahagian untuk anak-anak dan ada bahagian untuk orang dewasa. Pengajian ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat kaum muslimin setempat. Kemudian pelajar dari luar Padang Rengas berdatangan, seperti dari Temoh, Teluk Intan, Bagan Serai, dan Parit. Memandangkan para pelajar semakin ramai, maka didirikanlah pondok penginapan. Tok Maharaja Indera Haji Syukri mewakafkan sebidang tanah untuk tapak pondok-pondok penginapan itu. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Abd. Rahim Datuk Panglima Garang, Ketua Kampung Lalang pada ketika itu. Beliau juga mendapat bantuan daripada beberapa tokoh yang mendapat didikan agama di Timur Tengah dan juga daripada madrasah tempatan. Ke dalam kelompok ini termasuklah nama-nama Haji Usman Ahmad, Haji Abdul Aziz Yaakub, Haji Said, Haji Kasim, Haji Anjang Ahmad, dan Haji Ismail Moin. Juga beliau mendapat sokongan daripada Haji Mohd. Zain Abd. Majid, Haji Mohd. Zain Noh, dan Abu Bakar. Daripada sebuah pengajian kampung dengan pesatnya ia berkembang menjadi sebuah pengajian pondok yang mendapat sambutan ramai daripada masyarakat Islam negeri Perak. Padang Rengas sekali lagi mengambil tempatnya sebagai pusat perkembangan pengetahuan Islam menyambung institusi pesantren yang dahulunya telah didirikan oleh Haji Abdul Manan.

Didesak oleh sambutan yang hangat terhadap pengajian pondok Syeikh Juned, maka dalam tahun 1930 didirikan sebuah Madrasah Arabiah Kampung Lalang. Sekolah ini terus berkembang pesat. Keadaan ini mendorong berdirinya sebuah madrasah yang lebih lengkap dan lebih teratur, dalam tahun 1931 dengan nama Madrasah Yahyawiah untuk mengambil alih tempat Madrasah Arabiah. Nama Yahyawiah diambil daripada nama Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, iaitu Datuk Andika Mior Yahya Mior Syamsuddin yang menjadi penaung madrasah itu yang telah memberikan sumbangan derma.

Oleh desakan yang kuat daripada masyarakat muslimin untuk membina suatu pengajian yang berasingan bagi pelajar perempuan, maka Syeikh Juned menaja pendirian sebuah lagi madrasah yang khas untuk pelajar puteri. Beliau sesungguhnya ingin memberi peluang yang sama kepada kaum perempuan untuk mendapat pelajaran. Semangat antipenjajahan yang ada di dalam dirinya tidak mengizinkan anak-anak muslim bersekolah di sekolah kerajaan yang mendidik mereka menjadi hamba British. Puteri-puteri beliau sendiri, Sakinah dan Habibah dihantar belajar ke Indonesia di Sekolah Diniah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, sebuah sekolah agama yang mengikuti aliran pembaharuan. Dan nama ini, Diniah Puteri, kemudian diambilnya untuk menamai madrasah puteri yang baru didirikan itu. Madrasah itu dirasmikan dalam tahun 1935.

Madrasah ini mendukung idea pembaharuan. Menurut Mohd. Redzuan Othman, sekolah ini adalah madrasah pertama di Perak yang mendukung idea Islah (Kertas kerja, m.s. 14). Oleh sebab pendirian “pembaharuannya”, ia sering dikunjungi oleh tokoh-tokoh pembaharuan Islam, terutama oleh Syeikh Tahir Jalaluddin yang juga sahabat karib kepada Syeikh Juned. Di dalam madrasah ini pelajarnya bukan hanya ditumpukan kepada pengetahuan agama Islam tetapi juga meliputi pelajaran dan latihan kemahiran yang boleh dipergunakan untuk menampung keperluan hidup duniawi. Kepada murid juga diajarkan membuat kicap, kacang masin, bersawah, berkebun, membuat terompah (bagi pelajar lelaki-Yahyawiah) dan menjahit (bagi pelajar wanita-Diniah Puteri).

Pelajar yang semakin ramai mendorong masyarakat Islam di sekitar Padang Rengas untuk mendirikan madrasah seperti itu di kampung-kampung lain. Maka berdirilah cawangan Madrasah Diniah dengan nama yang berbeza tetapi dengan isi yang sama di berbagai-bagai tempat, seperti Madrasah al-Ridzuaniah di Padang Asam, Madrasah al-Falahiah di Kampung Buaya, Madrasah al-Nasriah di Padang Rengas, Madrasah al-Ijtihadiah di Kampung Gapis, Madrasah al-Hadi di Kampung Pauh, Madrasah al-Bakariah di Paya Lintah, Madrasah al-Zahiriah di Kampung Keruh Hilir, Madrasah al-Iqtisadiah di Kampung Keruh Hulu, dan Madrasah Sabiyah al-Ahmadiah di Kampung Laneh.

Pembaharuan Syeikh Juned mempunyai wajah lain jika dibandingkan dengan pembaharuan di Perlis. Jika Perlis banyak menumpukan perhatian kepada masalah khilafiah dan sunnah atau tidak sunnah, terutama di dalam ibadah, maka Syeikh Juned bertumpu pada pembangunan mental dan sikap. Beliau menekankan bagaimana semestinya seorang muslim itu berfikir, berjuang, dan berekonomi. Beliau tidak memilih jalan konfrontasi, meskipun beliau juga menentang bidaah, dan khurafat. Beliau lebih mengutamakan hikmah dan mauizah yang baik. Sebab itu beliau tidak menimbulkan ketegangan sosial.

Di sekolah yang ada di bawah bimbingannya, bukan hanya ilmu agama yang diajarkan, tetapi juga cara hidup yang baik secara berdikari. Menurut Datin Sakinah (Cik Kinah), puteri sulung Allahyarham (Wawancara: 12 Oktober 1989) beliau sering mengingatkan masyarakat Islam dan pelajarnya: “Bagaimana kita hendak merdeka jika kita tidak sanggup berdikari dalam kehidupan kita”.

Sebab itu beliau sentiasa menghidupkan semangat berdikari itu dalam kalangan pelajarnya, sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Menurut beliau ekonomi umat Islam hanya dapat dibina jika mereka sanggup berdikari tanpa mengharapkan bantuan daripada orang bukan muslim. Kekuatan politik juga dapat ditegakkan jika ekonomi kuat.

Menurut Mohd. Redzuan Othman, dengan menggalakkan umat Islam mewakafkan tanah dan harta, beliau berusaha untuk mewujudkan ekonomi Islam atas dasar bersama dan bantu membantu antara satu dengan lain. Di atas tanah yang diwakafkan, beliau telah mengambil inisiatif untuk memajukannya dengan menanam sayur-sayuran, buah-buahan, dan sebagainya. Beliau sendiri menunjukkan kepada pelajarnya teknik pertanian yang betul. Dari segi industri dan ekonomi beliau mempelawa beberapa orang pembatik dan pembuat terompah supaya datang ke Padang Rengas dan membuka perusahaan di sini. Dan sebagai hasil daripada usaha ini, maka di Padang Rengas sendiri pada penghujung tahun tiga puluhan terdapat lebih kurang 30 buah kedai yang semuanya kepunyaan orang Melayu, terdiri daripada kedai kopi, kedai dobi, kedai getah, kedai runcit, kedai gunting rambut, dan lain-lainnya.

Kesan usaha ini menanamkan ke dalam jiwa dan semangat orang Islam percaya kepada diri sendiri dan keyakinan bahawa mereka juga boleh melakukan sebarang pekerjaan yang selama ini dikuasai oleh orang bukan Islam, asal saja ada kemahuan dan ada kesungguhan.

Kesan yang ketara pada masa itu, jumlah orang Melayu yang membeli di kedai Cina tidak sampai 20 peratus. Itu pun mereka lakukan apabila barang yang diperlukan itu kebetulan tidak ada di kedai Melayu. Bahkan orang Melayu telah berasa malu membeli di kedai Cina. (M. Sarim:152).

Hal ini semua boleh berlaku berkat kejayaan pimpinan ulama dan tokoh yang bercita-cita pembaharuan Islam.

Bahkan lompatan ke depan daripada kelompok Padang Rengas ini semakin jauh ke muka. Ia telah menyentuh aspek perjuangan politik untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan British. Pada penghujung tahun 1940-an, pondok di Madrasah ad-Diniah itu menjadi tempat berkumpul pejuang Melayu menentang penjajahan. Bahkan pekarangan Madrasah ini selalu dijadikan gelanggang latihan berkawad ahli-ahli Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang merupakan sebahagian daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Madrasah ad-Diniah Padang Rengas ini kadang-kadang dilawati oleh tokoh pimpinan Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Majid Sabli dan Pakcik Ahmad. Kadang-kadang juga kader-kader komunis seperti Rasyid Maidin dan Syamsiah Pakeh datang berkunjung ke sekolah ini dan memberi ceramah tentang keburukan feudalisme dan penjajahan.

Peningkatan kesedaran politik dalam kalangan para pelajar dan pemuda kampung itu nampaknya didorong oleh pengaruh guru-guru Madrasah tersebut.

Beberapa orang guru kelulusan beberapa buah sekolah di Indonesia, sama ada orang dari luar atau anak tempatan sendiri mengajar di Madrasah ini. Demikianlah beberapa nama yang disenaraikan di bawah ini ialah guru-guru yang mendapat pendidikan di Indonesia: Aisyah Ghani, Abd. Kadir dari Sulawesi, Darwis, Syahrom Syeikh Muhammad, Kalsum, dan Sakinah Juned. Mereka ini adalah kelulusan berbagai-bagai madrasah dari aliran pembaharuan di Indonesia.

Menurut Datuk Asri, Allahyarham menganut akidah yang sederhana, tidak berliku-liku dan berbelit-belit. Selain Padang Rengas, beliau juga mengajar di tempat-tempat lain di negeri Perak. Beliau menentang perkara khurafat. Beliau tidak pernah menyuruh orang menghafaz Sifat Dua Puluh. Di dalam fikah juga beliau bersifat sederhana. Meskipun beliau menganut aliran pembaharuan yang hendak kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah, namun beliau tidak membezakan orang yang berusalli dengan yang tidak berusalli. Beliau mengajarkan salat kepada orang yang baru belajar sembahyang adalah dengan cara yang sederhana. Biarlah orang itu mengerjakan salat mengikut cara yang disanggupinya terlebih dahulu.

Menurut Datuk Asri, semangat kemerdekaan memang telah tertanam di dalam darah daging beliau. Dalam setiap ucapannya ia menyebut kemerdekaan dan menggalakkan umat untuk berjuang mencapai kemerdekaan.

Beliau meramalkan bahawa pada zaman kemerdekaan kelak motokar akan masuk ke dalam bendang. Pada masa itu orang tidak memahami makna ramalannya itu. Sekarang barulah orang tahu, setelah melihat mesin bermotor masuk membajak sawah. Beliau juga membuat lesung kincir yang digerakkan oleh tenaga air. Hal ini banyak menolong petani menumbuk padi.

Menurut Datuk Asri lagi, Pak Mokhtar Lintang, seorang tokoh yang disegani yang pernah menjadi pensyarah di UKM ialah murid kepada Syeikh Juned. Allahyarham Syeikh Juned ialah tokoh yang pandai bergaul dengan segala peringkat dan golongan masyarakat. Bahkan dengan ahli polis yang berseluar pendek juga beliau mempunyai hubungan yang baik, meskipun seluar pendek itu termasuk pakaian yang tidak menutup aurat. Hubungan beliau dengan pihak istana juga baik.

Menurut Datuk Asri, cara pengajaran di madrasah yang terletak di bawah pengawasan Syeikh Juned adalah lebih moden daripada sistem pondok, meskipun belum sampai ke tahap sekarang ini. Dalam pembaharuan sistem pendidikan Islam ini beliau juga mengikuti ajaran dan teladan Muhammad Abduh di Mesir.

Datuk Asri mengisahkan lagi bahawa masalah Palestin adalah menjadi perhatian beliau yang serius. Beliau mengumpulkan derma di sini dan mengirimkannya ke sana. Antara sifatnya yang menonjol ialah qanaah, sederhana, dan memadakan yang ada. Dan amalan yang paling baik bagi beliau ialah berwakaf. Di semua tempat beliau menggalakkan kaum muslimin untuk berwakaf. Agaknya beliau tertarik dengan sistem wakaf di Mesir, yang bahkan dapat menghidupkan sebuah universiti yang besar, yakni Universiti Al-Azhar. Di kampung asalnya di Tapanuli Selatan, beliau mendirikan sekolah dan pengajian agama daripada harta waqaf. Dan beliau juga menggalakkannya di Padang Rengas. Memanglah wakaf merupakan suatu institusi yang amat digalakkan dalam ajaran Islam.

Menurut Datuk Asri ada juga diceritakan tentang “karamat” beliau; namun usahlah perkara itu dibesar-besarkan. Demikianlah misalnya, pada suatu ketika beliau jatuh pengsan beberapa hari lamanya, namun beliau tidak sakit apa-apa. Beberapa ketika kemudian diterima telegram dari Palestin, menanyakan apakah beliau sudah sampai kembali dari Palestin.

Menurut Datin Sakinah, ketika beliau diusir oleh Ketua Kampung-nya di Tapanuli Selatan atas arahan pihak berkuasa Belanda kerana dicurigai menentang penjajahan Belanda, beliau mengatakan: “Ketua kampung itu kelak akan mengalami nasib yang luar biasa”. Tidak berapa lama kemudian ketua kampung itu menyembelih dirinya sendiri. Wallahualam.

Akhirnya, kami paparkan di sini kenangan Mohd. Redzuan Othman di dalam kertas kerjanya pada Seminar Ulama dan Sejarah Perak:

Syeikh Juned Tola meninggal dunia pada hari Selasa, 10 Mac 1948. Ada sangkaan bahawa kematian beliau disebabkan termakan racun. Jika benar demikian, meskipun beliau tidak mencari lawan, namun setiap perubahan baru mesti ada penentangnya. Dan beliau sebagai seorang pembaharu tentulah pula mendapat tentangan keras. Jenazahnya dikebumikan di hadapan Madrasah Al-Junidiah di kampung kelahirannya di Tapanuli Selatan. Walaupun beliau telah pergi, namun harta wakaf yang beliau tinggalkan terus berkekalan dan terus memberikan sumbangan kepada umat Islam. Dalam sejarah hidupnya Syeikh Juned melambangkan seorang ulama yang peka terhadap persekitarannya. Realiti masyarakat pada waktu itu memerlukan pembasmian kejahilan, pembinaan ekonomi ummah dan pembebasan daripada cengkaman penjajahan. Beliau cuba menggerakkan bangsanya supaya mampu berdikari dan dihormati seperti yang dituntut oleh Islam. Syeikh Juned ialah seorang ulama tetapi kesedaran ekonomi, politik, dan pendidikan yang beliau tanamkan kepada pelajar dan masyarakatnya akan terus meletakkannya sebagai seorang ulama, yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Sekian Mohd. Redzuan Othman.

Bagi kami, Syeikh Juned telah menunjukkan sisi yang lain daripada Pembaharuan Islam yang melingkupi semua aspek kehidupan manusia itu. Tekanan beliau tidak ke atas perbezaan dalam soal furu’. Beliau tidak menonjolkan perbezaan anggapan tentang Sifat Dua Puluh, usalli, qunut, dan sebagainya. Beliau lebih menujukan perhatiannya kepada pembaharuan mental, ekonomi, pendidikan, dan politik. Beliau ingin memanfaatkan institusi Islam yang selama ini diabaikan orang seperti wakaf dan khidmat masyarakat. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyukai perkara bidaah dan khurafat. Beliau ingin mengembalikan umat Islam kepada Islam yang sebenarnya, yang berpegang kepada al-Quran dan al-Hadis.

Mungkin beliau tidak meninggalkan sesuatu yang nyata. Beliau tidak menegakkan monumen untuk dirinya. Sekolah yang telah didirikannya itu pun dewasa ini serupa sekolah biasa, tidak ada keistimewaannya pada masa kini. Namun, beliau telah menjadikan perjuangannya sebarisan batu-bata di dalam mendirikan suatu bangunan umat Islam yang kuat dan menjadi pendukung Malaysia merdeka. Beliau telah menanamkan rasa harga diri kepada umat Islam. Beliau telah membangunkan semangat berdikari dalam hati umat Islam. Beliau telah menunjukkan bahawa kaum muslimin juga mempunyai kemampuan yang sama dengan bangsa-bangsa lain untuk menyusun kehidupan yang lebih baik di dunia ini. Beliau telah menanamkan semangat merdeka, dan bahawa kemerdekaan dalam politik dan ekonomi adalah matlamat Islam untuk umatnya.

Itulah dia jasa dan peranan Syeikh Juned Tola di dalam pembaharuan dan kebangunan umat Islam Malaysia. Beliau memang tidak mempunyai monumen untuk dirinya. Namun banyak yang ditinggalkannya kepada bangsanya yang terdiri daripada nilai yang berharga untuk menyongsong kebangunan baru umat Islam.

10.3 GUNUNG SEMANGGOL

Kemalapan Padang Rengas diganti oleh kecemerlangan Gunung Semanggol dengan Syeikh Abu Bakar al-Baqirnya dan Ma’ahad al-Ihya al-Syarif. Beliau berketurunan Jawa berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang pada pertengahan kurun ke-19. Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, Perak, untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercocok tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin, Abu Bakar, dan Abdullah dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah, Saudah, dan Hafsah dididik dengan didikan agama.

Syeikh Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak tidak jauh dari Padang Rengas. Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.

Setelah menamatkan Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya, Haji Abd. Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di al-Azhar, Mesir dan al-Masjid al-Haram di Makkah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun yakni pada tahun 1919-1924. Selepas itu beliau pindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan termasuklah Allahyarham Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.

Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.

Beliau kembali ke Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mertuanya, Haji Abd. Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggol sebagai ganti pondok ar-Rahmaniah.

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Ma’ahad al-Ehya al-Syarif, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.

Dalam tahun 1935, beliau dinikahkan dengan Ustazah Fatimah Abd. Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, sampailah beliau menemui ajalnya pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid, Miskiah Fadilah, Naqibah Nu’ma, dan Aniqah Rusda.

Dari segi pembaharuan Islam beliau menunjukkan wajah yang mirip dengan Syeikh Juned. Yang beliau bangunkan ialah pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Tentang fahaman bermazhab atau tidak bermazhab beliau tidak begitu mengambil perhatian. Sepertimana Syeikh Juned, meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun beliau untuk gerakan “islah”nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu pada pendidikan.

Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan ditubuhkannya Ma’ahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripada Haji Abd. Rahman Mahmud, Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol.

Perjuangan beliau tidak hanya setakat itu. Dalam suatu mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional. Dan dalam suatu persidangan yang diadakan di Ma’ahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi.

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.

Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis). Dato’ Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Malaya diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS).

Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma’ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Juga ia mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh pengasuh yang sekarang ini, (Wawancara: 9 September 1989). Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari Indonesia sangat menolong dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Menurut kisah itu, Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Dalam suatu kenyataan akhbarnya beliau pernah menyebutkan:

“Pada waktu dunia penuh dengan berbagai-bagai pancaroba yang masing-masingnya menegakkan fahamannya, maka di sinilah setiap umat Islam mesti kembali kepada ajaran al-Quran yang di dalamnya melengkapi segala kehendak alam untuk mendapat keamanan dan keadilan yang sebenar-benarnya. Jika seluruh manusia mengambil al-Quran menjadi panduan hidupnya nescaya dunia tidaklah menerima nasib seperti yang ada pada hari ini” (Kenangan Jubli Emas, 1984: 35).

Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma’ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran, seperti yang dibincangkan di atas.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share