07. Jangan Simpan Dendam

64145_485233868190810_1709704790_n

ENTRI FACEBOOK BERTARIKH 2 MAC 2013:

Saya berusaha untuk mengenepikan semua bentuk ekspresi emosi sama ada berbentuk marah, kecewa, jauh sekali sifat cemburu atau iri hati (naudhubillah) semasa mengemukakan kritikan terhadap novel karya Ayahanda Abdul Latip Talip, HIJRAH. Termasuk juga emosi malu dan dilihat jahat oleh pihak yang tidak bersetuju, kerana saya dilihat sebagai antagonist.

Emosi-emosi, kesemuanya sejak sekian lama, menyulitkan sebarang perbahasan yang sihat di dalam masyarakat kita, serta menyuburkan budaya sindir menyindir, kata mengata, dan dendam yang kesemuanya tidak sihat serta membunuh proses mematangkan masyarakat. Saya menulis, berusaha mengekalkan nada tenang, tanpa bias malah terus menerus membahasakan dengan penuh hormat buat Ayahanda Pak Latip, walaupun sesekali saya terbabas.

Semenjak awal, jika disemak balik polemik berusia seminggu ini, saya mengelak daripada menggunakan perkataan yang bersifat menuduh atau mengecam. Ada yang diletak di antara ‘….’, sesetengahnya dalam kurungan (…..), kerana mahu menjelaskan akan maksud yang hendak disampaikan.

Semua yang hadir di dalam pembentangan di UKM menjadi saksi bahawa saya tidak putus-putus memuji usaha-usaha Pak Latip, malah jika Pak Latip masih ingat, semasa pameran buku di KL Sentral juga, saya memberikan beberapa cadangan secara personal kepada Pak Latip yang ketika itu sedang menyiapkan novel Hasan al-Banna.

Sejak sekian lama, banyak pihak sudah berusaha menyampaikan teguran kepada Pak Latip dan PTS. Sudah ada beberapa penambah baikan, malah novel-novel sejarah terbitan semasa juga kelihatannya semakin menipis berbanding sebelumnya. Moga momentum ini berterusan.

Harapan saya ialah:

  1. Pak Latip bersabar dalam proses novel-novelnya dianalisa kerana selepas novel HIJRAH, novel -novel lain akan terus dikritik dan keutamaan menyusul, adalah yang membabitkan sahabat-sahabat Nabi SAW.
  2. Semua kritikan, adalah bertujuan untuk membantu Pak Latip meningkatkan upaya merujuk, memahami bentuk rujukan yang diperlukan untuk setiap tajuk yang mahu ditulis, kerana sama seperti semua penulis, semasa hayat inilah, kita berpeluang membetulkan kesilapan dan ini merupakan suatu proses biasa setiap penulis tanpa mengira kecil atau besar namanya di dalam sejarah umat Islam.
  3. Meningkatnya kesedaran di dalam masyarakat bahawa keistimewaan sejarah Islam ialah, pada disiplin keaslian dan komitmennyan kepada sumber yang benar. Jika aspek ini digolok gadai, runtuhlah salah satu tiang seri berdirinya Islam. Ini merupakan kesedaran yang dihajatkan oleh semua Muslim yang sejati.
  4. Menjadi amaran kepada penulis dan bakal penulis lain agar meningkatkan disiplin, menghormati keterbatasan diri dan menulis hanya dalam sesuatu yang kita benar-benar arif.
  5. PTS dan syarikat penerbitan lain mengambil iktibar, agar tidak memberi galakan kepada penulis yang tidak mampu, memberanikan diri menulis dengan sokongan teknik-teknik yang pelbagai. Lambat laun, tiada teknik yang dapat memintas tuntutan asas yang diperlukan oleh seorang penulis iaitu ilmu mengenai topik yang hendak ditulis.

Saya berlapang dada untuk menjadikan diri saya dipandang serong, dimusuhi, hilang populariti malah buku saya tidak lagi dibeli, kerana semua itu tidak penting. Kita tiada medan seperti Syria, Palestin atau Rohingya. Medan jihad kita di Malaysia adalah menyelamatkan umat Islam daripada fitnah dalam beragama.

Salam kasih sayang buat semua pencinta kebenaran.

HASRIZAL @ 43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

image

Andalus Yang Pernah Kupelajari

  Al-Andalus sering digambarkan dengan seribu keindahan. Pancuran air, tamadun yang dimegah-megahkan, lagu dan syair …

2 comments

  1. Seeru ‘ala barakatillah ust. Moga Allah permudahkan jihad ust di jalan ini dan anugerahkan kesan yang terbaik buat semua.. Moga segalanya dihitung sebagai amal kebaikan dan dihindar dari tipu daya syaitan. Byk yg saya dpt belajar dari tulisan ust berkaitan dengan polemik novel sejarah ni. Jzk jaza ust ๐Ÿ™‚ wallahua’lam

  2. Assalamualaikum, alhamdulillah Allah beri Ustaz kekuatan menegur secara terbuka memandangkan besarnya implikasi jika keadaan yang ada dibiarkan. Saya ada membeli beberapa novel Pak Latip tetapi kemudian merasa ragu dengan kebenaran beberapa isi yang ditulis. Sejak itu saya tidak lagi membeli buku tulisan beliau kerana merasakan penulis dan penerbit meringankan aspek kesahihan sumber sedangkan Islam adalah tentang kebenaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *