Derma Organ: Agar Kematian Tidak Mematikan Saya

20130726-100632.jpg

MENGAPA SAYA MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?

Saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ pada tahun 2007. Ketika itu saya bertugas sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN). Saban hari saya melihat penderitaan pesakit, sebahagian daripada mereka menunggu pendermaan organ kritikal terutamanya jantung. Antara pesakit yang saya kenali pada masa itu adalah Tee Hui Yee yang menjalani pemindahan jantung pada tahun 2007. Namun beliau telah meninggal dunia kira-kira 5 tahun kemudian.

Demikian juga Siti Salmah Jasni penerima derma organ paru-paru dan jantung. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2007.

Ada ramai lagi pesakit seperti mereka berdua.

Saya juga seperti mereka, akan sampai masanya saya meninggal dunia.

Saya berikrar sebagai penderma organ, melakukannya supaya kematian tidak mematikan saya. Dalam hidup ini, saya berusaha menulis buku, menyebarkan ilmu pengetahuan dan apa sahaja kebaikan yang boleh dikongsi, agar apabila tiba saatnya saya mati, ia tidak memberhentikan kebaikan dan manfaat daripada diri saya, yang akhirnya adalah untuk diri saya juga.

SIAPAKAH YANG BOLEH MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN

Secara umumnya, sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama boleh mendaftarkan diri sebagai penderma organ. Sebagai seorang Muslim, saya melihat pendermaan organ ini sebagai suatu ibadah, dan khidmat bakti yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah.

Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memfatwakan keharusan pendermaan organ ini semenjak 1970 lagi. Apa yang diperlukan pada masa ini ialah usaha yang berterusan untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat dan seterusnya menggalakkan mereka untuk turut serta.

APAKAH PERASAAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?

Sebagai penderma organ, saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana keputusan ini sangat membantu saya menjadi insan yang lebih menghargai diri dan kehidupan. Saya juga dapat menghayati sabda Rasulullah sallallāhu ‘alayhi wa sallam:

خيرُ الناس أنفعُهم للناس
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia”
[diriwayatkan oleh Jābir bin ‘Abdillāh di dalam al-Jāmi’ al-Saghīr oleh al-Suyuti, no. 217]

REAKSI KELUARGA

Derma organ adalah hasrat peribadi. Tetapi pelaksananya adalah ahli keluarga. Merekalah penentu sama ada hasrat menderma organ ini boleh dijalankan atau sebaliknya. Keluarga terdekat saya tidak menghalang malah memberikan sokongan. Isteri saya sendiri adalah seorang doktor dan sudah tentu beliau lebih daripada memahami tentang keperluan pendermaan organ ini.

BAGAIMANA CARANYA UNTUK MENDAFTARKAN DIRI SEBAGAI PENDERMA ORGAN?

Sahabat boleh mendaftarkan diri sebagai penderma organ, secara atas talian (online) dengan melayari halaman web A GIFT OF LIFE

“Erti Hidup Pada Memberi”

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Rantaian Kefasikan ‘Print Screen’ yang Membinasakan

Ramadan adalah bulan mengejar kebaikan. Kita pula berperasaan tidak tentu hala tuju kerana pelbagai tragedi …

2 comments

  1. Ustaz, Perlu tak dapat kebenaran waris untuk menderma yer? Saya sebenarnya nak mendaftar, tapi bila saya tanya suami, dia tak setuju..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *