Kembara Turki Bersama Anak-anak MTS

20130727_161801

Di dalam kepala saya, ada kejanggalan yang perlu diuruskan bagi program kali ini.

Bercerita tentang Turki, kepada pelajar Malaysia, yang belajar di Maahad Tahfiz Turki, di Malaysia.

Kekok untuk saya menentukan lengguk.

Tambahan pula saya memang sudah lama tidak berceramah kepada murid sekolah.

Hari ini, saya berkesempatan untuk hadir memberikan perkongsian berbentuk ceramah kepada pelajar-pelajar tahfiz Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) di Teras Jernang. Selain berkongsi cerita tentang pengalaman saya ke Turki, cerita-cerita diguna pakai untuk menyelitkan mesej-mesej berikut:

  1. Musafir adalah ibadah. Betulkan niat, betulkan pandangan. Jika mata elok, elok belakalah yang kita jumpa. Jika berprasangka atau mencari yang tidak elok, buruk sahajalah yang ditemui. Setiap kali bermusafir, perlu seimbang antara berhati-hati dengan berbaik sangka.
  2. Setiap penuntut ilmu mesti menghayati surah al-Taubah ayat 122. Ayat ini memberitahu kita bahawa keluar menuntut ilmu itu adalah nafar, iaitu istilah yang sama diguna pakai oleh al-Quran untuk keluar berperang. Apabila berperang kita perlu ada persediaan, ada senjata, kenal musuh dan ada keberanian. Demikian juga keluar menuntut ilmu.
  3. Di Turki, kebanyakan pengunjung akan mengenang bukan kecantikan pemandangan atau kehebatan bangunan, tetapi pengalaman orangnya. Terutamanya kelebihan memuliakan tetamu, hingga ramai yang memeluk Islam kerana tersentuh dengan kebaikan budi orang Turki melayan tetamu. Lebih kuat Islamnya, lebih berbudi orangnya.
  4. Apabila menuntut ilmu, berusahalah untuk keluar dari kampung halaman sendiri. Itu sunnah semua penuntut ilmu zaman berzaman. Jika tidak sampai ke Turki sekali pun, mereka yang lahir dan membesar di Bangi, janganlah belajar di UKM. Pergilah ke UTM atau UUM, sekurang-kurangnya. Meninjau dunia luar membuka horizon kehidupan.
  5. Untuk menimbulkan rasa seronok membaca dan mendampingi al-Quran, dalamilah semua ilmu tentang al-Quran. Tafsirnya, sejarahnya, malah imla’ (kaedah penulisan). Hamba Allah yang taat disebut ibad (عباد) manakala hamba Allah yang ingkar disebut sebagai abid (عبيد). Ibad itu hamba yang mulia. Maka ejaannya menggunakan huruf Alif, yang sifatnya tegak berdiri megah. Alif itu disebut sebagai alif al-‘izzah (alif  ‘kemegahan’). Manakala hamba Allah yang ingkar disebut sebagai abid, ejaannya menggunakan huruf ya. Huruf ini sifatnya terbaring di bawah dan tiada karisma. Ya ini disebut sebagai ya al-dzillah (ya ‘kehinaan’). Dengan ilmu, melihat tulisan pun boleh memotivasikan diri yang membaca.

20130727_161210

MTS adalah antara sekolah tahfiz terbaik yang pernah saya kunjungi, terutamanya aspek kebersihan sekolah, kebersihan pelajar dan keceriaan wajah anak-anaknya.

Semoga anak-anak berwajah suci bersih dan ceria di MTS diberkati Allah, menjadikan mereka ahli al-Quran, dan menghidupkan semangat perjuangan Sheikh Suleyman Hilmi Tunahan, yang maahad tahfiz ini dinisbahkan nama kepadanya, ameen.

P/S: Para dermawan dialu-alukan membuat sumbangan derma, dan waqaf ke MTS dengan melayari halaman web mtsmalaysia.org atau kumpulan sokongan ibu bapa.

 

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh …

3 comments

  1. baju sekolah tahfiz ni sama dengan baju sekolah harian!

  2. Kamsani Nasir

    Saya cuba layari mtsmalaysia.org dan mencari tempat untuk membuat pendaftaran online untuk anak perempuan saya, tetapi gagal menemukan ruang/kolum untuk pendaftaran.

    Bagaimana untuk mendaftar ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share