Abi Memandu Mesin Teroka Masa Sempena Cuti Sekolah


teluksengat

“Abi, akak teringin sangat nak tengok, macam mana orang dulu-dulu kerja” kata Naurah.

“Kerja yang macam mana akak maksudkan?” saya bertanya.

Kereta kami bergerak perlahan-lahan dalam kesesakan jalan raya menuju tol Putra Mahkota.

“Ye lah, macam cerita Mr. Peabody and Sherman hari tu. Akak nak tengok macam mana orang dulu-dulu hantar mesej guna kain, kibas-kibas dekat asap. Kalau setakat dalam buku, tak fun rasanya” jelas beliau.

“Oh, macam itu. Ada. Abi yakin dekat Youtube mesti ada banyak dokumentari yang tunjukkan kerja-kerja macam yang akak cakap itu. Nanti abi carikan, Insha-Allah” saya menjawab.

“Itulah, kalau buka iPad, tengoklah Youtube. Google. Asyik main Minecraft sahaja!” dua jejaka menyampuk dari belakang.

Saya hanya ketawa. Tidak mahu menambah rencah.

Sudah lama saya tidak menulis di blog tentang hal-hal kekeluargaan. Tidak banyak yang mampu saya ceritakan.

Semasa cuti sekolah baru-baru ini, saya membawa keluarga bercuti ke Desaru. Tiada sebab yang spesifik mengenai Desaru, kecuali saya mahu mengambil peluang mengenal negeri Johor. Saya tiada saudara mara orang Johor. Hanya kenalan yang pada peringkat umur sekarang, sudah masuk ke peringkat no news is a good news.

Sesudah tiba di Desaru, barulah saya dan isteri melayari internet mencari maklumat untuk mengetahui daya tarikan utama di sekitar kawasan berdekatan. Sibuk dengan pelbagai tugasan, hingga tidak sempat buat homework. Banyak juga lokasi yang kami lawati seperti Ladang Burung Kasawari (Ostrich) di Sungai Rengit, Pengerang juga Taman Buaya di Teluk Sengat. Kedua-dua lokasi ini adalah yang terbesar dalam kategorinya di negara kita, namun kurang mendapat liputan. Kemudahan yang disediakan di sini juga bagus, pada menyertakan elemen pendidikan kepada anak-anak (dan ibu bapa mereka).

KOTA JOHOR LAMA

Namun, lawatan ke Desaru secara spesifiknya menjadi peluang yang saya ambil untuk melawat Kota Johor Lama, tidak jauh dari Taman Buaya di Teluk Sengat.

kjlama

Kompleks Sejarah Kota Johor Lama yang kami lawati ini terletak di bawah penyelenggaraan Jabatan Muzium Malaysia semenjak tahun 1970. Sejujurnya, saya juga tidak tahu akan kewujudan kompleks ini. Papan tanda yang diletakkan di persimpangan tol Lebuhraya Senai – Desaru itu yang memberitahu kami akan kewujudannya. Keletihan oleh cuaca yang panas, hampir-hampir menyebabkan kami membatalkan hasrat, kerana saya tidak seronok masuk ke komplek sendirian, andai keluarga memilih untuk duduk sahaja di dalam kereta.

Tetapi isteri saya bersemangat mengajak.

Anak-anak juga mahu melawat.

Saya jadi teruja, dan kami langsung menuju ke kompleks berkenaan dalam gerimis hujan yang seperti turun untuk menyejukkan kepanasan sepanjang pagi.

Kota Johor Lama yang kami lawati ini terletak di tebing kiri Sungai Johor.

Saya sendiri sebagai murid sejarah, fokus kepada Dawlah Uthmaniyyah menyebabkan saya kurang arif, jauh sekali mahir, dengan sejarah tempatan. Kota Johor Lama ini signifikan, untuk memahami sejarah negara kita pasca kejatuhan Melaka 1511.

SEJARAHNYA

Sejarahnya bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. Baginda mendirikan kota ini, dan kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.

Paulo de Lima Pareira melaporkan bahawa dalam serangan yang dilakukan ke atas kota ini, Portugis memusnahkan langsung pusat pemerintahan Kota Johor Lama lalu dibakar dan Kota Batunya dimusnahkan. 800 pucuk meriam gangsa, emas, perak, dan lebih seribu buah perahu besar dan kecil dirampas. Menurutnya kapal yang membawa rampasan perang ini telah karam di perairan Indonesia. Sejak dari tarikh itu pusat pemerintahan di Tanjung Batu dengan Kota Batunya yang gagah tidak lagi dijadikan ibu negeri oleh sultan-sultan Johor yang berikutnya.

Kota Johor Lama terbiar buat seketika hinggalah zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1677-1685). Pada tahun 1678, Laksamana Tun Abdul Jamil Paduka Raja (bapa mertua Sultan Ibrahim) telah datang ke Johor Lama dari Siak dan membunuh Temenggong. Sultan Ibrahim telah cuba membina semula Johor Lama dan memindahkan pusat pemerintahan ke sana tetapi tidak tercapai kerana mangkat di Riau pada 16 Februari 1685. Kota Batu Johor Lama menjadi tempat bersemayan sementara Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). Pada ketika itu pusat pemerintahan baginda terletak di Pasir Raja, Kota Tinggi (Kampung Makam sekarang). Selepas baginda mangkat, Kota Johor Lama tidak digunakan lagi.

Kegemilangan Kota Johor Lama di dalam sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Johor tidak boleh dipandang ringan. Ia pernah menjadi ibu negeri sebanyak dua kali iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah selama 24 tahun (1540-1564), dan pada zaman kemuncak kegemilangan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II selama 13 tahun (1574-1587).

Pada ketika ini yang wujud hanyalah tinggalan kota yang dipulihara berterusan. Kemakmuran dan kemegahan dan kemegahan kesultanan Melayu di Kota Batu (Johor Lama) musnah ditelan zaman. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perkampungan yang sunyi, tenang dan damai. [rujukan: http://www.jmm.gov.my/ms/kompleks-sejarah-kota-johor-lama]

KHUSYUK MENONTON

Isteri dan anak-anak saya khusyuk menonton video dokumentari yang disiarkan di dalam muzium di komplek berkenaan. Saya tidak tahu sejauh mana momentum ini boleh terus subur, namun saya benar-benar berharap agar sekurang-kurangnya ada seorang anak kami yang berminat dengan bidang sejarah, menjadi teman berdiskusi dengan saya di usia tua, agar tercegah dari nyanyuk dan berhabuknya perpustakaan rumah kami.

 

Akan tetapi, filem Mr. Peabody and Sherman yang kami tonton bersama, memberikan satu suntikan penting. Selain isu kebapaan oleh pemenang anugerah nobel hebat iaitu Mr. Peabody dengan anak angkatnya Sherman, filem animasi ini mengenengahkan latar belakang sejarah yang panjang dan menarik hingga anak-anak saya jadi teruja dengan bidang sejarah.

Selepas filem animasi Free Birds pada tahun 2013 yang memaparkan pembetulan zaman semasa adalah dengan ‘membetulkan kejadian sejarah’ yang agak konseptual untuk anak-anak, filem Mr. Peabody and Sherman ini memperkenalkan kepada kita King Tutankhamun di era Ancient Egypt. Bukan sahaja Penny, musuh (rakan) Sherman tercampak masuk ke era itu dan mahu mengahwini ‘King Tut’, beberapa maklumat sejarah tentang ritual serta kepercayaan di zaman itu turut diselitkan sama.

Kami juga mengembara menyertai Perang Trojan War menentang City of Troy, singgah ke era Renaissance Eropah di Florence bersama Leonardo da Vinci dan Monalisa. Perjalanan diteruskan lagi ke era Revolusi Perancis  hingga ke zaman Reign of Terror dengan kelucuan-kelucuan bersama Maximilien de Robespierre yang dalam kehidupan sebenar, adalah seorang yang menggerunkan. Turut serta adalah sejarah American sendiri bersama Petersons, George Washington, Abraham Lincoln dan Bill Clinton.

PROGRAM SEKOLAH

Saya juga beberapa kali cuba memenuhi undangan beberapa pihak untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar sekolah menengah dengan topik khusus berkaitan sejarah. Sehari sebelum bertolak ke Desaru tempoh hari, saya telah menyampaikan sebuah ceramah di Sekolah Menengah Sains Banting dengan tajuk “Sejarah: Pengembaraan Sains Forensik Masa”.

iys.001

Saya cuba untuk memperlihatkan kepada pelajar sains, bahawa sejarah sebenarnya adalah sebuah sains. Saya gunakan istilah forensik masa kerana sejarah itulah adalah sebuah sains yang menyiasat serta menganalisa maklumat lepas. Ia saya sampaikan dalam bentuk sebuah pengembaraan agar elemen adrenaline boleh dicetuskan serba sedikitnya.

Teringat saya kepada anak-anak, apabila ditanya “ayah awak kerja apa”, mereka menjawab, “Abi kerja Indiana Jones.”

Dalam tekanan saya menyiapkan disertasi, kepala turut ligat menyusun idea, untuk memperkenalkan Mu’arrikhūn Club, sebagai Kelab Sejarah untuk aktiviti ko-kurikulum di Khalifah Model Secondary School.

Kemenangan sahabat saya, Fatih Kayacan dalam pilihanraya kerajaan tempatan di Bolvadin baru-baru ini juga, membuka jalan kepada perancangan kami, menggerakkan program kerjasama antara Bolvadin dengan Malaysia. Antaranya adalah program pertukaran pelajar antarabangsa antara pelajar Khalifah Model Secondary School dengan pelajar di sekolah-sekolah sekitar Bolvadin dan Afyon.

Moga ia impian dan perancangan, bukan sekadar angan.angan.

Masih banyak usaha yang diperlukan untuk membumikan ilmu sejarah.

Nampaknya, mahu bercerita tentang keluarga pun, akhirnya jadi artikel sejarah juga.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (765) Pelawat

Comments

8 comments

  1. Shahir Shamsudin

    Salam Ustaz. Apa kata kalau ustaz buat group Mu’arrikhūn Club di Facebook dahulu. Kita kumpulkan seberapa ramai anak muda yang betul-betul berminat dan komited untuk menyumbang. Aturkan pertemuan di mana-mana supaya kita boleh brain storm dan berkongsi idea untuk merealisasikan idea Ustaz.

    Ana sendiri sangat berminat untuk turut serta. Walaupun diri ini macam ”tin kosong” tiada berisi ilmu sejarah sangat. Dapat jadi AJK susun kerusi meja untuk meeting pun jadilah. :)

    • Waalaikum al-Salam WBT.

      Saya kurang percaya dengan ‘kesetiaan’ warga Facebook. Semua benda, hanya dilintasi sekadar seperti kereta melintas papan tanda di tepi jalan, sepanjang jalan.

      Halaman ini hanya dibaca, serba sedikit di’share’. Hampir tiada aktiviti perbincangan.

      https://www.facebook.com/muarrikhun

      • Shahir Shamsudin

        Benar kata Ustaz. Perjalanan menuju pembudayaan ilmu di Malaysia masih samar, tenggelam timbul. Yang disangka ilmu pula kadang palsu.

  2. Assalammualaikum

    ya merindukan sentuhan cerita kekeluargaan dari ustaz yang banyak dijadikan iktibar untuk menyusun struktur keluarga kecil kami.

    Namun, bak kata ustaz, “akhirnya jadi artikel sejarah juga”. hehe..

  3. Assalamualaikum ustaz,

    Mungkin tiada kaitan dgn topik di atas, saya teringin membaca analisis serta input ustaz tentang kemenangan AKP dalam pilihan raya Turki baru-baru ini serta tekanan terhadap pemerintahan Erdogan yang dianggap semakin menampakkan ciri2 “autokratik”. Terima kasih :)

  4. Laman buku, instagram, dan saifulislam.com.

    Saya pilih saifulislam.com, mengenali Ustaz dapatlah mengenali sejarah.

    Alhamdulillah.

  5. “…namun saya benar-benar berharap agar sekurang-kurangnya ada seorang anak kami yang berminat dengan bidang sejarah, menjadi teman berdiskusi dengan saya di usia tua, agar tercegah dari nyanyuk dan berhabuknya perpustakaan rumah kami.”
    somehow, somewhat, sangat terkesan dengan tulisan ini. arwah datuk sebelah ibu ialah pencinta sejarah dan boleh dikira tokoh sejarah tempatan di muar. tapi tak pernah hargai mahupun ambil peluang untuk belajar sebab datuk sudah uzur ketika itu dan kami masih kecil untuk menghargai serta kurang pendedahan/ penekanan untuk mencintai sejarah sebagaimana beliau. arwah datuk sewaktu uzurnya pernah diziarahi beberapa orang pelajar sejarah universiti tempatan dan daripada laporan akhbar (yang ditampal di papan notis hospital), seingat saya arwah datuk kelihatan sangat gembira dan rancak bercerita/ berkongsi dengan tetamunya tentang sejarah.
    kecil-kecil balik kampung suka juga selongkar gobok cari buku-buku melayu lama walaupun ejaan macam salah dan jalan cerita macam aneh. entah mana buku-buku tu sekarang..
    semoga Allah makbulkan doa ustaz dan pelihara ustaz sekeluarga.

  6. Assalamualaikum ustaz. Sudah lama tak bertamu di blog ustaz. Kesibukan sejak sudah bergraduasi, bekerjaya, dan berkeluarga membataskan masa membaca blog2. Naurah sudah besar dan bijak. Rindu telatahnya. Saiful Islam juga sudah jadi anak bujang. Saya doakan kesejahteraan ustaz sekeluarga. Always love your family-related posts. Saya harap new parents generasi saya tak lupa mendedahkan anak2 mereka dgn sejarah. Bawa anak2 ke muzium, belikan buku2 cerita dan atlas agar minat terhadap sejarah terpupuk.

    Contohnya, boleh ceritakan kpd anak2 tentang dagangan teh ke Melaka, lalu berlanjutan ke Boston Tea Party.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>