Al-Isra’ wa al-Mi’raj: Palestin Dalam Suluhan Surah al-Isra’

palestine

Jika motif peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj adalah hanya untuk urusan peribadi antara Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan Tuhannya, nescaya perjalanan boleh berlaku secara langsung dari al-Masjid al-Haram di Mekah ke Sidrah al-Muntaha, tanpa perlu ‘transit’ di al-Masjid al-Aqsa di Palestin. Akan tetapi, persinggahan di bumi Palestin pada kejadian luar biasa berkenaan, mempunyai signifikasi yang perlu hidup hingga ke akhir zaman, sebagai kelangsungan nilai Palestin sebelum-sebelumnya.

Allah bukan sahaja menyebut tentang al-Masjid al-Aqsa, tetapi mengiringinya dengan karakter khusus bahawa lokasi di mana masjid itu berada, persekitarannya adalah persekitaran yang diberkati. Kawasan persekitaran itu umumnya diertikan oleh para ulama’ zaman berzaman sebagai merujuk kepada kawasan yang dikenali di zaman Wahyu sebagai Syam, merangkumi daerah-daerah di negeri Palestin, Syria, Jordan, Lubnan dan sekitarnya.

Hubungan di antara al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa itu penting.

Kepentingannya boleh difahami, dengan menjejak sebutan keberkatan bumi Palestin yang diulang-ulang sebanyak enam kali oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

6 KALI BARAKAH

Turutan pertama, berdasarkan zaman kejadian (bukan kronologi turun ayat), ialah semasa Allah menyebut tentang hijrah Nabi Ibrahim dan Nabi Lut a.s. ke bumi Palestin.

وَنَجَّيۡنَـٰهُ وَلُوطًا إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَا لِلۡعَـٰلَمِينَ

Dan Kami selamatkan beliau (Ibrahim) dan Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. [Al-Anbiya’ 21: 71]

Kemudian, Allah menyebutnya sekali lagi semasa mengungkapkan tentang Ibrahim dan zuriatnya Ishaq, penghuni bumi Palestin yang diberkati-Nya.

وَبَشَّرۡنَـٰهُ بِإِسۡحَـٰقَ نَبِيًّ۬ا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

وَبَـٰرَكۡنَا عَلَيۡهِ وَعَلَىٰٓ إِسۡحَـٰقَ‌ۚ وَمِن ذُرِّيَّتِهِمَا مُحۡسِنٌ۬ وَظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ مُبِينٌ۬

Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. [al-Saaffaat 37: 112-113]

Ia dituruti pula dengan pengkisahan Allah SWT tentang Musa yang bersama Bani Israel, mendatangi bumi Palestin yang Allah berkati.

وَأَوۡرَثۡنَا ٱلۡقَوۡمَ ٱلَّذِينَ كَانُواْ يُسۡتَضۡعَفُونَ مَشَـٰرِقَ ٱلۡأَرۡضِ وَمَغَـٰرِبَهَا ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَا‌ۖ وَتَمَّتۡ كَلِمَتُ رَبِّكَ ٱلۡحُسۡنَىٰ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ بِمَا صَبَرُواْ‌ۖ وَدَمَّرۡنَا مَا كَانَ يَصۡنَعُ فِرۡعَوۡنُ وَقَوۡمُهُ ۥ وَمَا ڪَانُواْ يَعۡرِشُونَ

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi) [al-A’raf 7: 137]

Sekali lagi, Allah mengulang sebut tentang Palestin yang Dia berkata, di era pemerintahan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salam.

وَلِسُلَيۡمَـٰنَ ٱلرِّيحَ عَاصِفَةً۬ تَجۡرِى بِأَمۡرِهِۦۤ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلَّتِى بَـٰرَكۡنَا فِيہَا‌ۚ وَڪُنَّا بِكُلِّ شَىۡءٍ عَـٰلِمِينَ

Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [al-Anbiya’ 21: 81]

Di zaman pemerintahan Sulaiman, Palestin itu berada di bawah pentadbiran baginda. Manakala wilayah Hijaz, tempat terletaknya al-Masjid al-Haram, adalah wilayah di bawah pemerintahan seorang ratu yang tidak beriman dengan Allah, dikenali sebagai Ratu Saba’. Apabila Ratu Saba’ menerima dakwah Sulaiman dan seterusnya membawa pemerintahannya kepada Tauhid, Mekah dan Palestin bersatu kembali.

Daerah itu menjadi daerah yang aman.

Pada rentetan kejadian itu, Allah mengulang sebut Palestin sebagai bumi yang diberkati.

 وَجَعَلۡنَا بَيۡنَہُمۡ وَبَيۡنَ ٱلۡقُرَى ٱلَّتِى بَـٰرَڪۡنَا فِيہَا قُرً۬ى ظَـٰهِرَةً۬ وَقَدَّرۡنَا فِيہَا ٱلسَّيۡرَۖ سِيرُواْ فِيہَا لَيَالِىَ وَأَيَّامًا ءَامِنِينَ

Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu) dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman. [Saba’ 34: 18]

Al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa itu dalam suasana kuatnya Tauhid dalam pegangan ummah, ia bersatu. Ketika agama jadi celaru, Syirik dan Jahiliah menguasai kehidupan, dua daerah yang mulia itu terpisah.

Kali keenam, Allah menyebut tentang hubungan di antara al-Masjid al-Haram dengan al-Masjid al-Aqsa di Palestin, sekali lagi sebagai bumi yang diberkati, yakni di dalam peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj.

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari al-Masjid al-Haram (di Mekah) ke al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  [al-Isra’ 17: 1]

DIMENSI KEBERKATAN PALESTIN

Keberkatan Palestin itu ada yang dipandang dari sudut suburnya ia sebagai tanah pertanian. Sudah tentu tanaman utamanya adalah buah Tin dan buah Zaitun. Ketika mana Allah SWT bersumpah dengan buah Tin dan buah Zaitun  di dalam surah al-Tin, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ka’ab al-Ahbar bahawa yang dimaksudkan dengan buah Tin itu sebagai metafora kepada Masjid di Dimashq manakala zaitun adalah Masjid di Palestin.

Ada yang memandang keberkatan Palestin itu pada sejarahnya bahawa semua Nabi dan Rasul yang kita ketahui, jika tidak bermastautin di Palestin sekali pun, mereka pernah menziarahinya, termasuk Nabi Muhammad SAW di dalam peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Bumi itu juga dipandang keberkatannya, pada makmurnya ialah dengan para sarjana Islam zaman berzaman. Abu ‘Abdillah Muhammad ibn Idris al-Shafi’e (767 — 820 CE / 150 — 204 AH) juga merupakan anak kelahiran Gaza di Palestin.

Namun, setiap kali Allah menyebut tentang keberkatan Palestin, Allah menyebutnya dalam konteks pemerintahan oleh para Nabi dan Rasul. Keberkatan Palestin itu juga kelihatan pada siyadah atau kedaulatannya di sepanjang sejarah yang dicatat oleh manusia. Pada satu-satu masa, kuasa yang memerintah Palestin, ketika itulah ia menjadi kuasa besar, bukan setakat di rantau persekitaran malah menjadi kuasa besar dunia.

Palestine-Timeline

Bukan sahaja di era pra Islam, apabila Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu memasukkan Palestin ke wilayah Islam pada tahun 16H, eranya menjadikan Islam bukan lagi sekadar kuasa politik Semenanjung Tanah Arab, sebaliknya menjadi kuasa besar dunia yang menumbangkan Empayar Parsi yang berdiri zaman berzaman.

Satu kuasa demi kuasa memerintah Palestin.

Ada yang memerintah dengan adil.

Ada yang memerintah secara zalim dan penindasan.

Bergilir-gilir antara kuatnya pengaruh Tauhid, dengan besarnya gelombang Riddah dan Syirik.

Selepas Palestin beralih tangan daripada Dawlah Uthmaniyyah yang mentadbirnya semenjak tahun 1517 di bawah pemerintahan Sultan Selim I, British mentadbir bumi itu dengan mandat oleh League of Nation, dan akhirnya jatuh ke tangan Yahudi Zionis secara rasminya pada tahun 1948.

Semenjak itu, hingga ke detik ini, Lobi Yahudi Zionis itulah kuasa besar dunia, dengan pelbagai makar mereka di Palestin, dan empat penjuru alam.

TADABBUR SURAH AL-ISRA’

Untuk lebih memahami akan Palestin daripada suluhan al-Quran, marilah kita bertadabbur dengan ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang Palestin, dalam suasana al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Allah menyatakan bahawa kaum Yahudi itu banyak melakukan kerosakan. Namun dalam banyak-banyak kerosakan itu, ada dua kerosakan besar, termaktub di dalam Taurat, dan ditegaskan lagi di dalam al-Quran. Firman-Nya:

 وَقَضَيۡنَآ إِلَىٰ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ لَتُفۡسِدُنَّ فِى ٱلۡأَرۡضِ مَرَّتَيۡنِ وَلَتَعۡلُنَّ عُلُوًّ۬ا ڪَبِيرً۬ا

Dan Kami khabarkan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [al-Isra’ 17: 4]

Ayat ini menimbulkan kemusykilan bagi ilmuwan silam kita pada menentukan apakah maksud dua kerosakan itu. Mungkin ia berpunca daripada zaman tersebut yang mana orang Yahudi berada pada kedudukan sosial yang rendah. Tidak terbayang akan mereka itu sebagai kuasa besar dunia. Dalam persekitaran sebegini, al-Imam al-Tabari mengemukakan pendapat bahawa dua kerosakan besar yang dimaksudkan dengan ayat ini merujuk kepada kerosakan yang pernah dilakukan oleh orang Yahudi pada zaman Islam iaitu kali pertamanya, semasa mereka membunuh Nabi Zakaria alayhi al-Salam, dan kali keduanya, semasa mereka membunuh Nabi Yahya, alayhi al-Salam.

Tafsiran itu disemak kembali oleh ilmuwan semasa, yang menyaksikan kebangkitan Yahudi sebagai kuasa besar dunia.

haqaiqquraniyyah-solahalkhalidi

Sheikh Solah ‘abd al-Fattah al-Khalidi di dalam bukunya al-Haqa’iq al-Qur’aniyyah hawla al-Qadhaya al-Filistiniyyah (Hakikat-hakikat al-Quran Seputar Isu-isu Palestin) berpendapat bahawa kita tidak terikat dengan tafsiran berkenaan, dan dalam masa yang sama sangat menghormati para ilmuwan silam dengan ijtihad mereka. Berdasarkan karakter kerosakan yang disebutkan, bahawa ia terjadi dalam keadaan Yahudi itu bersikap sebagai sebuah kuasa yang angkuh, Sheikh Solah berpendapat kerosakan pertama yang dimaksudkan di dalam ayat berkenaan merujuk kepada kerosakan yang mereka lakukan di zaman Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.

Kehadiran mereka ke Semenanjung Tanah Arab selepas diusir dari wilayah Greco Roman Civilization, membawa kepada mastautin mereka di Yathrib dan sekitarnya. Mereka melaga-lagakan bangsa Arab yang menghuni wilayah itu agar sentiasa bermusuhan. Selepas hijrah Nabi sallallahu alayhi wa sallam ke Madinah, mereka diberi peluang untuk sama-sama hidup dalam rukun sosial yang sejahtera, namun Yahudi meneruskan tradisi makar mereka melanggar perjanjian demi perjanjian.

Kejahatan pusingan pertama ini tamat, sebagaimana yang Allah ungkapkan dalam ayat yang berikutnya:

فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ أُولَٮٰهُمَا بَعَثۡنَا عَلَيۡڪُمۡ عِبَادً۬ا لَّنَآ أُوْلِى بَأۡسٍ۬ شَدِيدٍ۬ فَجَاسُواْ خِلَـٰلَ ٱلدِّيَارِ‌ۚ وَكَانَ وَعۡدً۬ا مَّفۡعُولاً۬

Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [al-Isra’ 17: 5]

Kejahatan itu ditamatkan di Madinah oleh kehadiran Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dan para sahabat bersama baginda, menumpaskan kaum perosak yang khianat dan melakukan pelbagai konspirasi. Ia disempurnakan pula pada penyingkiran sepenuhnya kaum itu daripada Semenanjung Tanah Arab, pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu.

Sabda baginda:

لا يجتمعُ في جزيرةِ العربِ دِينانِ

الراوي: – المحدث: ابن باز – المصدر: مجموع فتاوى ابن باز – الصفحة أو الرقم: 285/3
خلاصة حكم المحدث: صحيح
“Tidak berhimpun di Semenanjung Tanah Arab dua agama” 

PUSINGAN KEDUA KEJAHATAN

Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi menegaskan bahawa kita umat Islam pada hari ini hidup di zaman Yahudi melakukan kerosakan kedua. Kerosakan yang berlarutan di akhir zaman. Selepas merempat zaman berzaman, Yahudi bangkit, membentuk kuasa politik mereka dan beroleh Palestin sebagai penempatan haram dengan menekan, menyeksa dan berusaha menghapus sepenuhnya sesiapa sahaja yang berada di perjalanan mereka mencapai cita-cita.

Firman Allah:

ثُمَّ رَدَدۡنَا لَكُمُ ٱلۡڪَرَّةَ عَلَيۡہِمۡ وَأَمۡدَدۡنَـٰكُم بِأَمۡوَٲلٍ۬ وَبَنِينَ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ أَڪۡثَرَ نَفِيرًا

Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [al-Isra’ 17: 6]

Hikmahnya besar, pada Allah menyatakan kriteria khusus kepada pusing kedua kejahatan Yahudi ini. Agar kita kenal dan sedar sepenuh sedar bahawa kita hidup di zaman kejadian itu berlangsung. Agar dalam bencana maha besar dalam kerosakan oleh Yahudi pada pusingan kedua ini, kita tidak putus harapan, ada pedoman, dan punya plan untuk bangkit membela.

Allah menyatakan bahawa ketika Yahudi pada pusingan kedua kerosakan mereka, mereka melakukan sebagai sebuah kuasa yang kuat, tetapi kekuatan mereka diperpanjangkan dari luar. Perkataan ( وَأَمۡدَدۡنَـٰكُم) termasuk di dalam lata’if al-Quran, kehalusan pengungkapan makna, bahawa kali ini, Yahudi gagah bukan berbekalkan kekuatan yang ada bersamanya, tetapi kekuatan harta dan anak-pinak (manpower) itu diperpanjangkan dari luar.

Ada pihak luar yang membantu.

Siapakah mereka?

Pepatah Melayu menyebut, “kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu!”

Sudah tentu, kuasa yang membantu Zionis di Palestin itu adalah Amerika Syarikat!

Amerika itulah sumber kekuatan Zionis di Palestin.

statistik

Di halaman web yang memantau secara spesifik akan hal ini, www.ifamericansknew.org menyatakan bahawa dana kewangan yang disalurkan oleh Amerika Syarikat kepada sekutu  Zionisnya di Palestin bagi tahun kewangan 2013 adalah sebanyak  USD8.5 juta SEHARI! Ia telah meningkat berbanding USD7 juta sehari pada tahun 2010.

Bagaimana USA boleh melakukannya?

Dengan restu rakyatnya sendiri?

Kaya benarkah Amerika Syarikat untuk begitu bermurah hati menyalurkan dana segergasi itu ke ‘Israel’?

KAWALAN PERSEPSI

Antara jawapan yang boleh kita pertimbangkan adalah pada kawalan persepsi oleh media USA dalam melaporkan isu Palestin.

Kata Edward Said:

It is only a slight overstatement to say that Muslims and Arabs are essentially covered, discussed, and apprehended either as oil suppliers or as potential terrorists…What we have instead is a limited series of crude, essentialized caricatures of the Islamic world presented in such a way as, among other things, to make that world vulnerable to military aggression. (Said 1981: 28)

Media di Amerika Syarikat bersikap sangat selektif dalam memilih istilah-istilah yang berbentuk neutral untuk menggambarkan apa yang berlaku di Palestin.

Orientalis seperti Bernard Lewis pula begitu licik melalui dapatan-dapatannya dalam kajian Sejarah Islam, mengemukakan kesimpulan yang secara subliminal meremehkan masalah yang berlaku di Palestin. Misalnya di dalam karya beliau, The Roots of Muslim Rage, Bernard Lewis mahu membuktikan bahawa orang Arab, Muslim, mereka itu marah-marah, sebab mereka memang suka marah. Agama mereka mengandungi mesej dan pengajaran yang menjadikan mereka begitu.

Apabila sesuatu terjadi di Palestin, umat Islam bangkit membantah, mungkin berdemonstrasi di jalanan, melalui cermin mata Bernard Lewis ia dipandang sebagai “tidak mengapa, tiada apa-apa isu sebenarnya. Mereka marah sebab mereka memang macam itu”

Kerana itu, Bernard Lewis mengulas strategi Bernard Lewis ini dengan berkata:

“The Roots of Muslim Rage” is a crude polemic devoid of historical truth, rational argument, or human wisdom. It attempts to characterize Muslims as one terrifyingly collective person enraged at an outside world that has disturbed his almost primeval calm and unchallenged rule. (Said 1981: xxxii)

Alison-Weir-book-blog

Dalam usaha kita mengubah nasib semua golongan yang tertindas di bumi Palestin, salah satu ikhtiar yang diperlukan adalah mengubah kefahaman rakyat Amerika Syarikat tentang isu Palestin. Untuk tujuan ini, kita mengucapkan syabas kepada umat Islam yang tinggal di sana, mereka melalui dakwah dan gerakan intelektual melakukan pelbagai usaha berkaitan dengan hal ini. Demikian juga non Muslim seperti John Esposito, Karen Armstrong, Alison Weir dan mendiang Edward Said yang bekerja keras untuk berbicara dengan ‘bahasa’ yang difahami oleh rakyat dan penggubal dasar di Amerika Syarikat tentang realiti sebenar di Palestin.

Sebagaimana kejahatan pertama kaum Yahudi itu berakhir, pusingan kedua ini juga ada kesudahannya.

Firman Allah SWT:

إِنۡ أَحۡسَنتُمۡ أَحۡسَنتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ‌ۖ وَإِنۡ أَسَأۡتُمۡ فَلَهَا‌ۚ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ ٱلۡأَخِرَةِ لِيَسُـۥۤـُٔواْ وُجُوهَڪُمۡ وَلِيَدۡخُلُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ ڪَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ۬ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوۡاْ تَتۡبِيرًا

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [al-Isra’ 17: 7]

Kuasa Yahudi Zionis itu akan ditumpaskan.

Itu janji Allah.

Kemenangan akan dicapai.

Namun kemenangan itu ada kriterianya.

Allah menyebut di dalam ayat 7 surah al-Isra’ itu tadi, bahawa kemenangan itu, akan memberi laluan kepada para pemenang masuk ke wilayah al-Masjid al-Aqsa sebagaiman mereka masuk kali pertama dahulu!

Apakah kualiti para sahabat yang masuk ke al-Masjid al-Aqsa dahulu?

Mereka adalah benchmark.

Sehingga tentera pembebasan Palestin itu sama kualitinya dengan tentera pusingan pertama dahulu, barulah kemenangan itu tercapai, dengan izin-Nya.

عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يَرۡحَمَكُمۡ‌ۚ وَإِنۡ عُدتُّمۡ عُدۡنَا‌ۘ وَجَعَلۡنَا جَهَنَّمَ لِلۡكَـٰفِرِينَ حَصِيرًا

Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat) dan jika kamu kembali , maka Kami pula akan kembali ; dan kami telah jadikan Neraka: Penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat). [al-Isra’ 17: 8]

Usaha membebaskan Palestin penuh tragedi.

Penuh derita.

Penuh darah, peluh dan air mata.

Mudah-mudahan Tuhan kamu mengasihanimu.

Dan paling utama, jika kamu kembali, Allah akan kembali!

Jika Yahudi kembali melakukan kerosakan, Allah akan kembali musnahkan mereka.

Jika Muslim kembali kepada agama mereka, Allah akan kembali menangkan mereka.

Palestin sedang memanggil Muslim, kembali kepada Islam.

Kembalilah!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

9 comments

  1. Semoga kita2 ni lah yang membantu pada kemenangan itu. jzkk ustaz

  2. info yang sangat menarik..

    kembalilah pada islam.. bangkitlah

    AllahuAkbar

  3. zaman saidina Umar jadi khalifah bukan ke Rom yang berkuasa kat Baitulmaqdis?Yahudi pun ade jugak ke kat situ?

    • soalan yg perseptif. Saya rasa mungkin ada confusion sebab ade perkataan ‘Palestin’ dalam parenthesis pada tafsir ayat 4 surah al-isra’. sebenarnya, perkataan masjid tidak disebut dalam ayat itu, hanya al-ard sahaja which means bumi. dan dari penerangan ustaz hasrizal, kejahatan pertama sebenarnya merujuk kepada yahudi di tanah arab, bukan di Palestin. Jadi mungkin penambahan parenthesis itu merupakan kesilapan….. Saya pun tak pasti.

      kejahatan kali kedua pula, ada disebut bahawa tentera yg akan mengalahkan Yahudi akan masuk ke masjid ‘sepertimana mereka masak kali pertama.’ Saya rasa ayat ini tidak bermaksud kali pertama itu yahudi berada di masjidil aqsa. mmg betul bahawa zaman palestin diambil oleh saidina Umar, ia di bawah kekuasaan Rom yg merupakan puak kristian. Ayat ini memberi prophecy bahawa org Yahudi akan berpusat di Palestin pada kejahatan kali kedua, dan sepertimana empayar Rom dijatuhkan oleh tentera Islam apabila memasuki masjidil Aqsa buat kali pertamanya, Yahudi juga akan dimusnahkan oleh tentera Islam sedemikian rupa apabila mereka masuk ke masjidil Aqsa buat kali kedua.

      Inilah yang boleh saya cuba simpulkan dari perbincangan di atas. Saya pun tidak terfikir perkara ini sampai nampak soalan saudara.

      mungkin isu ini boleh dijelaskan dengan lebih lanjut oleh ustaz sendiri…. Wallahu a’lam.

  4. akan kembalinya kegemilangan Palestin di akhir zaman nanti.Yakin.Ameen…

  5. Jazakallahu khairan for this nice summary of your kuliah. Just to point out a minor error: I think you meant to say “Edward Said mengulas strategi bernard lewis…” in the paragraph above the last picture.

  6. Ustaz, apa makna dari “Kemudian (setelah kamu bertaubat)”? taubat di sini bawa makna apa? sebab saya jadi tertanya2, jika kerosakan kedua adalah kali ini bermakna mereka telah bertaubat dulu sebelum menguasai tanah tersebut? atau bagaimana?

  7. There are other stuɗies on how variouѕ oils affect the body such as, “Effects of lipid emulsions on lipid body formation and eicosanoid production by human peripheral blood mononuclear and polymorphonuclear cells. As far as cheap kitchen gadgets go, this is one of the best. So there you have it Another hot flash natural treatment that amounts to literally pennies a day for the treatment. However, for those of you who are still wavering what specific meaning the term may have, we have a complete and detailed answer. They have their shops and outlets almost every major city in the world. This aminoacids allows the epidermis to not only start to re-grow, but also increases flexibility and decreases experience collections. Just check out how high whole wheat bread is in ‘sugar’ or on the Glycemic Index. Those kinds of antibiotics are famous for causing long term to permanent damage body wide and also central nervous symptom problems. In medical terms, Vitilligo is a change to the skin or abnormal pigmentation of the epidermis. Or try mixing some of them’such as summer savory, marjoram, chives and tarragon.

  8. I usually do not drop a comment, but after looking at through a few of the remarks on this page Al-Isra wa al-Miraj: Palestin Dalam Suluhan Surah al-Isra
    | Saifulislam.Com. I do have a few questions for you if it’s allright.
    Could it be only me or do some of the comments appear as if they are left by brain dead people?

    😛 And, if you are posting at other sites, I’d like to follow you.
    Would you post a list of all of all your social networking
    sites like your Facebook page, twitter feed, or linkedin profile?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *