Qawlan Sadīdā: Menyelamatkan Perkataan Daripada Kebengkokan

nasrettinhoca-koyde

“Tahukah kamu, apa yang bakal aku perkatakan petang ini?” Nasrettin Hoca berucap di pentas.

Ramai penduduk kampung berkenaan berhimpun untuk mendengar ucapan yang hebat dari pentas berkenaan.

“Tidak tahu!” jawab orang kampung.

“Aku tidak mahu bercakap dengan orang-orang jahil yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca.

Beliau turun dari pentas dan meninggalkan majlis.

Penduduk kampung terpinga-pinga.

Keesokan harinya, Nasrettin Hoca datang lagi.

“Tahukah kamu, apa yang bakal aku perkatakan petang ini?” Nasrettin Hoca bertanya dari atas pentas.

“Tahu! Tahu!” jawab orang kampung.

Mereka mengubah jawapan kerana belajar daripada kesilapan semalam.

“Aku tidak mahu bercakap dengan orang-orang alim yang sudah tahu!” kata Nasrettin Hoca.

Beliau turun dari pentas dan meninggalkan majlis.

Penduduk kampung terpinga-pinga, sekali lagi!

Keesokan harinya, Nasrettin Hoca datang semula, seperti dua petang sebelumnya.

“Tahukah kamu, apa yang bakal aku perkatakan petang ini?” Nasrettin Hoca bertanya dari atas pentas.

“Tidak tahu! Tidak tahu!” jawab sebahagian orang kampung.

“Tahu! Tahu!” jawab sebahagian yang lain pula.

Mereka mempelbagaikan jawapan kerana belajar daripada dua kesilapan berturut-turut semenjak kelmarin.

“Baiklah, jika begitu, yang tahu sila beritahu yang tidak tahu!” kata Nasrettin Hoca.

Beliau turun dari pentas dan meninggalkan majlis.

Penduduk kampung terpinga-pinga, buat kesekian kalinya.

Selepas tiga sesi majlis ilmu, penduduk kampung tidak dapat apa-apa. Nasrettin Hoca akhirnya tidak berceramah. Kisahnya pun kisah yang menimbulkan kelucuan, tetapi tidak jelas apa pengajarannya.

Tidak mengapalah jika penduduk kampung tidak dapat apa-apa, kerana Nasrettin Hoca tidak berucap apa-apa. Bagaimana jika ceramahnya panjang lebar, tetapi penduduk kampung masih pulang tanpa mendapat apa-apa?

KUALITI PENGUCAPAN

Justeru, Islam meletakkan standard khusus kepada pengucapan, sama ada disampaikan secara lisan, mahu pun tulisan.

Firman Allah ‘Azza wa Jalla:

33_70

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara) [Al-Ahzāb 33: 70]

Seorang mukmin, kata-katanya tidak kosong.

Ia memperkatakan apa yang ia yakini sebagai kebenaran.

Dan dalam mengungkapkan apa yang mahu diperkata, dia mesti memperkatakannya dengan TAQWA.

Taqwa ertinya SEDAR tentang apa yang dikata, dan memperkatakannya dengan KAWAL DIRI yang baik.

Kualiti sedar dan terkawal, bertitik tolak daripada sebuah kepercayaan, menatijahkan perkataan yang disebut sebagai SADĪDĀ.

Sadīdā berasal daripada kalimah Sad (سدّ) yang datang dengan maksud benar, tepat, konsisten.

Inilah yang dimaksudkan oleh Ibn Kathīr di dalam tafsirnya semasa mengulas ayat ini, bahawa yang dimaksudkan dengan qawlan sadīdā itu ialah perkataan yang lurus, terpelihara daripada kebengkokan dan penyelewengan makna.

BAHASA MENTERJEMAHKAN FIKIRAN

Dalam kehidupan seharian, kita memerlukan perkataan untuk berfikir. Perkataan juga menjadi wasilah untuk kita ungkapkan apa yang kita fikir, dan ini disebut sebagai fungsi representasional bagi sebuah bahasa. Saya menghargai saranan Sheikh Yūsuf al-Qaradhāwī di dalam kitabnya Tsaqāfah al-Dā’iyah, bahawa ilmu bahasa dan kesusasteraan adalah satu daripada enam ilmu yang mesti dipelajari oleh umat Islam, terutamanya kerana mereka itu pendakwah.

Dengan berbahasa secara betul, kita akan berfikir dengan betul.

Oleh kerana berbahasa itu amat dekat dengan soal berfikir, kita perlu mentertibkan cara berbahasa dan cara berfikir.

D sinilah hikmahnya bagi para pendakwah, terutamanya para ustaz dan ustazah menyambung pengajian di peringkat pasca ijazah. Memang benar, ilmu tidak dimuktamadkan oleh kelulusan masters atau PhD. Tetapi apa yang penting adalah latihan akademik yang diterima semasa mengambil subjek KAEDAH PENYELIDIKAN. Di dalam subjek berkenaan, selain daripada pelajar diajar cara-cara membuat kajian, mendapatkan literatur yang betul dan cukup, pelajar juga akan diajar cara mengungkapkan ideanya dengan betul.

Bagi pelajar sarjana Pengajian Islam, mungkin subjek Kaedah Penyeliidikan inilah antara subjek yang dianggap paling tidak Islamik! Mereka terlepas pandang, bahawa itulah nilai sebenar bagi keilmuan dan keIslaman mereka, yang membezakan penyelidik di dalam universiti, dengan penyelidik di luar universiti.

Kaedah Penyelidikan, terutamanya berkaitan dengan metodologi kajian, adalah ilmu yang membantu kita beramal dengan perintah Allah terhadap qawlan sadīdā itu tadi. Disertasi yang ditulis, mestilah sejahtera daripada makna yang salah, kebengkokan dan penyelewengan.

Misalnya:

petikandisertasi

Jika ayat di atas saya ungkapkan di dalam ceramah, saya akan mengambil masa 20 saat untuk menyebutnya.

Tetapi, dalam tuntutan amanah ilmu yang dinamakan sebagai kaedah penyelidikan, ungkapan “tidak berpuas hati” itu adalah salah satu daripada perkataan yang akan disiasat hingga ke akar umbi:

  1. “Tidak berpuas hati” itu, adakah ia fakta, atau analisis (tafsiran) saya?
  2. Jika ia fakta, apakah sumber yang memberitahu saya bahawa Birgivi tidak berpuas hati? Mana sumbernya? Adakah sumber itu relevan dan valid?
  3. Jika ia bukan fakta, sebaliknya ia adalah tafsiran saya, maka apakah metode yang saya pakai untuk merumuskan bahawa Birgivi tidak berpuas hati?
  4. Adakah saya menggunakan pendekatan induktif atau deduktif dalam menghasilkan penyataan “tidak berpuas hati?”
  5. Jika saya gunakan pendekatan induktif, berapa banyakkah kes yang saya kaji sebagai sampel untuk saya rumuskan bahawa Birgivi tidak berpuas hati?

Semua persoalan ini adalah perkara yang sangat asas dalam sebuah penulisan disertasi.

Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap setiap perkataan yang saya gunakan dalam penghasilan disertasi setebal hanya 100 muka surat (misalnya).

Ertinya, jika seorang ustaz atau ustazah menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD, kepetahannya berceramah dan menulis akan mengalami pengurangan had laju. Beliau akan lebih cermat, teliti dan menjauhkan falasi daripada dakwahnya.

Tidaklah mudah untuk seseorang itu di dalam ceramahnya berkata, “kalau semua perempuan menutup aurat, tiadalah lagi masalah rogol!”

Mengaitkan perbuatan menutup aurat dengan jenayah rogol memerlukan nilai qawlan sadīdā. Atas asas apa perkaitan itu dibuat? Menjawab soalan ini dengan penuh rasa tanggungjawab memang leceh dan memerlukan ilmu, pembacaan dan pemahaman yang baik. Tetapi sesuailah, yang kita dakwah itu adalah Islam, bukan sampah sarap!

Tidaklah nanti kuliah Maghrib menjadi tempat mengkucar kacirkan fikiran serta kefahaman masyarakat terhadap agama.

Dan mereka sangka, yang kucar kacir itulah agama!

Mengapa semua ini penting?

33_71

Supaya dengannya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. [al-Ahzāb 33: 71]

Di zaman kehidupan kita hiruk pikuk dengan perkataan, tulisan, ceramah, dan komen di media sosial, berpatah balik selangkah ke belakang untuk menilai asas percakapan kita, amat besar keperluannya.

tingkatankejayaan

Qawlan Sadīdā ini menjadi  asas yang amat penting untuk ‘kebersamaan’ Allah dalam pekerjaan kita.

Kebersamaan yang mengelokkan amal.

Amal yang andai di dalamnya berlaku kesilapan sekali pun, Allah menjanjikan keampunan.

Dan dengan kualiti tertinggi sebegini, benar sekali firman Allah bahawa inilah bentuk mentaati Allah dan Rasul-Nya apabila berbicara, sebagai pra syarat sebuah kejayaan yang besar.

Justeru, pesanan untuk orang kampung semua “yang sudah tahu, beritahu yang belum tahu!”

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

2 comments

  1. Aszrul Aszrie

    Sekali pun saya masih lagi berada di tahap sarjana muda, tetapi pada projek tahun akhir saya telah diajar supaya setiap perkataan yang ditulis tersebut mestilah kukuh dan benar. Tak kira apa sahaja jenis bidang, tetapi amanah menulis dan menyampaikan ilmu tetap sama. Adakalanya apabila saya mendengar sahaja kuliah agama yang disampaikan, pada satu tahap saya merasa rimas kerana terlalu banyak kecelaruan akan “fakta” dan “pendapat” yang diberikan oleh penceramah. Namun atas dasar menghormati usaha mereka serta niat mereka untuk menyampaikan ilmu, saya adakalanya dengar tetapi saya tidak mengambilnya sebagai pegangan. Cuma sekadar satu perkara yang mungkin boleh dicari dan diperhalusi lagi akan kehujahan sesuatu perkara.

    Seribu kali sayang, ada banyak perkara yang luaran tidak nampak “Islamik”, tetapi nilai yang ada di dalamnya cukup mendalam seperti kaedah, metodologi dan teknik validasi sesuatu hujah, cara-cara mendapatkan maklumat, siapakah penulis-penulis maklumat (jurnal, buku, artikel), skop sesuatu perkara dan banyak lagi perkara-perkara yang “heavy” tetapi terlalu besar nilainya dalam mencari dan menghargai sebuah kebenaran.

  2. INSPECTOR GADGET

    Method Penyelidikan bukanlah sesuatu ilmu yang asing dalam Pengajian Islam, ia adalah tradisi ilmu zaman berzaman yang sering dilecehkan kepentingannya dengan tabiat cepat buat kesimpulan melulu tanpa usul periksa seperti zaman Hang Tuah yang dihukum sultan, zaman mahsuri dan penyakit ini banyak dihidapi orang melayu sampailah sekarang contoh : “Ini mesti UMNO ini , Confirm memang dialah !!!”. Fatabayyanuuu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *