Resolusi Konflik Berpandukan Teknik Q3:159

cr

Semasa berlakunya perang Uhud pada bulan Shawwal tahun ke-3H, pasukan pemanah yang ditugaskan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah melanggar arahan Baginda, lalu meninggalkan lokasi mereka untuk mendapatkan harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh musuh. Tindakan ini telah memecah belahkan kesatuan tentera Islam dan mengakibatkan kekalahan.

Sayyid Qutb di dalam Tafsir fi Dzilal al-Quran mengaitkan peristiwa ini dengan firman Allah:

3_159

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Aal Imraan 3: 159]

Di dalam ayat ini, Allah SWT menggariskan 4 langkah penyelesaian yang diambil oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam dalam mengendalikan kelompok tentera Islam yang telah melakukan kesalahan. Langkah-langkah tersebut adalah:

  1. Memaafkan pesalah
  2. Memohon keampunan daripada Allah untuk pesalah
  3. Bermesyuarat dan mendapatkan maklum balas pesalah
  4. Membuat keputusan dan memulihkan kepercayaan

Berikut adalah keterangan mengenai empat langkah ini:

MEMAAFKAN PESALAH

Pendekatan dakwah terhadap golongan asi bermula dengan tindakan memaafkan kesalahan tersebut.  Memaafkan bukan bermaksud menafikan kesalahan itu sebagai satu kesalahan, tetapi menerimanya sebagai sesuatu yang telah terjadi, ia tidak boleh diubah, dan memaafkan adalah bertujuan untuk memperbaiki keadaan kepada yang lebih baik.

Memaafkan juga bermaksud memberikan peluang yang seterusnya kepada pesalah untuk berusaha menebus kesalahannya. Ia diperlukan untuk membuka ruang dakwah dan islah kepada pesalah. Ruang ini diperlukan untuk mesej-mesej dakwah dan pemulihan diri disampaikan dan seterusnya diambil secara positif oleh pesalah untuk beliau bertaubat dan berusaha menyambung kehidupan secara yang lebih baik.

MEMOHON KEAMPUNAN DARIPADA ALLAH UNTUK PESALAH

Pendakwah tidak mempunyai otoriti yang mutlak untuk memaafkan keseluruhan salah laku pesalah. Mungkin sebahagian daripada salah laku itu adalah ke atas dirinya, manakala sebahagian lain adalah kesalahan terhadap orang ramai dan seterusnya kesalahan kepada Allah sendiri. Justeru, pendakwah disarankan oleh ayat ini supaya memohon keampunan daripada Allah untuk golongan asi.

Memohon keampunan ini akan memperbaiki sisi pandang pendakwah kepada golongan asi. Apabila seseorang itu melakukan kesalahan, secara otomatik pesalah akan merosot status sosialnya, manakala orang yang tidak bersalah berada di kedudukan yang lebih tinggi. Jurang antara pesalah dengan pendakwah menyulitkan proses penyampaian mesej dakwah apabila dia disampaikan secara atas ke bawah. Pendekatan yang sedemikian rupa mungkin akan kedengaran seperti hendak mengajar, menuduh salah dan menimbulkan persepsi negatif yang menjejaskan suasana untuk golongan asi menerima nasihat dan seterusnya melakukan perubahan.

Apabila pendakwah memaafkan pesalah, kedudukan pesalah akan dipulih kepada status yang lebih baik. Apabila pendakwah memohon keampunan Allah untuk pesalah, kedudukan pendakwah direndahkan di hadapan Allah dan seterusnya menemukan kedua belah pihak ini secara yang lebih sejahtera.

pendakwah-asi

Apabila pendakwah dan asi berada pada kedudukan yang dekat melalui proses memaafkan dan beristighfar, barulah langkah penyampaian mesej dakwah langsung yang seterusnya dapat dilakukan.

MENDAPATKAN MAKLUM BALAS MELALUI PERBINCANGAN DUA HALA

Selepas memaafkan dan memohon keampunan daripada Allah untuk asi, Allah memerintahkan melalui  Q3:159 ini agar pendakwah dan pesalah berbincang secara dua hala (syura). Di dalam konteks pendekatan dakwah, proses (وأمرهم شورى بينهم) ini amat penting kerana ia membantu pendakwah memahami perspektif asi semasa melakukan kesalahan berkenaan. Adakah ia berlaku kerana semata-mata dorongan nafsu, atau berlakunya salah faham, kejahilan, di bawah pengaruh sedar dan kemungkinan-kemungkinan yang lain.

Proses mendapatkan maklum balas ini penting agar mesej dakwah yang hendak disampaikan, menepati konteks asi. Ia juga membantu meyakinkan asi bahawa nasihat yang disampaikan oleh pendakwah adalah untuk kebaikan dirinya sendiri.

Perlu ditekankan, proses syura tersebut menekankan satu aspek yang sangat penting iaitu berlakunya komunikasi dua hala. Pendakwah bukan menekankan pendapat beliau semata-mata, tetapi memberikan ruang yang secukupnya kepada asi untuk menjelaskan pendapat beliau.

MEMBUAT KEPUTUSAN DAN BERTAWAKKAL

Pada bahagian yang seterusnya, melalui ayat yang sama, pendakwah dikehendaki berusaha menyempurnakan proses penyelesaian konflik bersama asi hingga mencapai sebuah keputusan (فإذا عزمت).  Perbincangan antara pendakwah dan mad’u (dalam konteks ini, asi) hendaklah sampai kepada keputusan yang boleh menjadi titik pegangan terutamanya bagi asi itu sendiri.

Apabila keputusan itu telah dicapai, Allah memerintahkan supaya kita bertawakkal kepada Allah (فتوكل على الله). Di dalam konteks pendekatan dakwah, konsep tawakkal ini menterjemahkan pemulihan kepercayaan kepada asi untuk beliau berusaha memperbaiki dirinya sendiri berbekalkan hasil perbincangan dan keputusan yang telah dibuat.

Kesalahan yang dilakukan oleh asi, telah menyebabkan rasa percaya asi kepada dirinya terjejas. Lanjutan daripada itu, rasa percaya orang di sekeliling terhadap dirinya juga menghadapi masalah. Tiada rasa percaya diri dan percaya masyarakat kepada diri asi mengundang pelbagai persepsi negatif secara luaran – dalam (outside-in) mahu pun dalaman-luar (inside-out).  Oleh yang demikian, melalui ayat ini, Allah memerintahkan kepada pendakwah supaya membantu asi memulihkan kepercayaan dalaman dan luaran untuknya.

Asi diberi keyakinan untuk meneruskan kehidupan dengan kekuatan untuk tidak lagi mengulangi kesalahannya. Dan individu di sekeliling bekas asi itu juga hendaklah percaya dengan keupayaan beliau untuk berubah dengan tidak mengintip-intip tingkah laku beliau, sebaliknya meletakkan pergantungan yang bulat kepada Allah SWT.

Semoga bermanfaat buat panduan semua.

HASRIZAL
BSP 43000

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (5236) Pelawat

Comments

6 comments

  1. terima kasih ustaz

    Terima kasih ustaz, memaafkan tu bagai air yang memadam jiwa yang tengah kepanasan, mendidik jiwa dan juga menyapa jiwa, sungguh lembut sifat pemaaf sehingga dapat menyantuni jiwa-jiwa yang lain.

    Saya rasa kalau kita terus terus menghukum orang yang buat salah boleh jadi jiwa dia sedih, hambar kemudian terus menjauhkan diri dari rahmat dan kasih sayang Allah.

    Saya suka baca artikel ni tiada nilai meninggi diri dalam diri pendakwah.. betul-betul mendidik diri kita untuk menjadi pendakwah. Terima kasih akan saya sematkan nasihat ustaz di dalam hati.

    :) May Allah bless you and your family

  2. Alhamdulillah. Artikel yang sangat baik penulisannya, dari atas ke bawah sehingga kesimpulan.
    Bykkan artikel tafsiran ayat Al-Quran mcm ni ustaz. Senang faham. Cerah benar rasanya. Simple, padat.

  3. salam..”asi” itu apa maknanya ustaz? Terima kasih

    • Asi itu diambil dari perkataan عاصي di dalam bahasa arab yang membawa maksud pelaku maksiat/pesalah.

  4. salam, ustaz atau sesiapa yang boleh menjawab soalan saya ni..

    kalau saya sudah memaafkan seseorang, setiap malam menyedekahkan pahala fatihah dan bercakap dengan nya secara saya pejam mata dengan menyatakan saya telah memaafkan dia dan menyayangi dia..tetapi saya tidak mampu lagi bertemu dgn dia kerana tidak mampu di sakiti hati saya lagi bagai mana ya?

    • “…tidak mengintip-intip tingkah laku beliau, sebaliknya meletakkan pergantungan yang bulat kepada Allah SWT…”

      Wsalam wwb.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>