Palestin Memanggil Muslim Kembali Kepada Islam

Semua yang hadir di kehidupan dunia ini, hadir dengan realiti, bersama ilusi.

Biar pun kedua-duanya di pandangan mata nampak serupa, hakikatnya amat berbeza.

Insan sebenar itu realiti.

Fotonya hanya ilusi.

Realiti ada bau, ada rasa, ada makna.

Ilusi hanya boleh dipandang, tidak boleh dipegang, jauh sekali hendak memegang.

Bandingkan sahaja buah-buahan sebenar dengan buah plastik. Buah sebenar walaupun tidak sempurna rupanya seperti yang ditakrifkan sempurna oleh mata manusia, ia ada bau, ada rasa, boleh dijamah dan penuh makna. Buah plastik biar pun cantik, hanya jamuan mata, perhiasan semata.

Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara realiti dan ilusi, realiti sentiasa lebih bermakna berbanding ilusi.

ILUSI SEMASA UNTUK REALITI SEMALAM

Seorang tokoh agung yang dipuja lagi disanjung, mati apabila tiba ajalnya. Kerana kasih pengikut kepadanya, sebuah patung diukir indah. Patung yang rupa parasnya tidak ubah seperti tokoh yang asal. Patung itu dimuliakan, diletakkan di sebuah taman yang indah, menzahirkan rasa megah dan bangga terhadap tokoh itu semasa hayatnya. Patung yang mengekalkan rasa bangga dengan semalam.

Tiba-tiba datang seekor burung kecil, terbang petang seperti burung kecil yang lain. Burung yang penat singgah berehat, bertenggek di atas hidung ‘tokoh’ yang agung itu tadi.

Tanpa ada yang menghalang, si burung kecil melepaskan najisnya!

Betul-betul di hidung, di muka tokoh yang agung itu.

Si burung terbang menyambung perjalanan petang.

Tokoh tadi masih megah dengan sejarah semalam, semasa wajahnya berlumuran najis!

Tokoh itu tokoh yang agung. Namun dia hanya sebuah patung. Sebuah ilusi. Burung itu biar pun kecil, dia hidup, dia realiti.

Demikianlah satu peraturan hidup ini, bahawa antara ilusi dan realiti, kemenangan sentiasa berpihak kepada realiti, biar sekecil mana pun realiti itu, dan sebesar mana pun sebuah ilusi.

ILA AL-ISLAM MIN JADID (KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM)

Ini adalah sebahagian daripada analogi yang dirumuskan oleh Sheikh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam min Jadid (Kembali Semula Kepada Islam), tentang hakikat yang perlu diberikan perhatian umat Islam terhadap akar umbi permasalahan hidup mereka.

Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Yahudi. Dan Yahudi di Palestin benar-benar seperti yang diceritakan. Yahudi di Palestin adalah Yahudi tulen. Al-Quran memperincikan tentang ciri-ciri Nasrani. Dan Nasrani di Amerika Syarikat dan blok Barat benar-benar seperti yang diceritakan. Nasrani itu adalah Nasrani tulen.

Al-Quran yang sama memperincikan tentang ciri-ciri Muslim.

Samakah Muslim seperti yang digambarkan oleh al-Quran?

Samakah kita seperti apa yang al-Quran gambarkan tentang kita?

Berapakah jarak di antara diri idaman kita dengan diri yang sebenar?

SYARAT KEMENANGAN

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا

 Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.[Al-Isra’ 17: 7]

Dalam pusingan kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan oleh Yahudi kali ini, fasad mereka tidak kekal selamanya. Mereka akan tumpas, mereka akan tewas. Mereka akan kalah dengan kehinaan dan kemuraman wajah, dan yakinilah bahawa mereka juga mengetahui akan hakikat ini.

Namun kemenangan pemenang pada menumpaskan Yahudi di bumi Palestin adalah bersyarat.

Mereka memasuki Palestin seperti kemasukan mereka kali pertama dahulu.

Dengan kualiti yang sama.

Hanya Muslim tulen yang berhak menuntut kemenangan yang dijanjikan Tuhan.

Palestin menunggu Muslim kembali kepada Islam.

Yahudi tulen, Nasrani tulen, ‘menunggu’ kehadiran Muslim tulen.

Pertempuran antara dua realiti, memenangkan kebenaran atas kebatilan.

Pertempuran antara realiti vs ilusi, kita menipu diri sendiri!

وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا

“Jika kamu kembali, Kami kembali” [al-Isrā’ 17: 8]

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

19 comments

  1. palestin hanya akan betul betul menang setelah pejuangnya berjuang 100% atas nama Allah. Mereka hanya akan menang setelah mengikut sunnah 100% seperti yg dilakukan pejuang afghan/pakistan

  2. Mohd Dzulhuzmi Bin Nasruddin

    ‘Real Muslim’ bermaksud muslim yang berpegang teguh terhadap perkara-perkara ‘SYARIA’TULLAH’ dan juga sentiasa berusaha gigih melaksanakan perkara-perkara ‘SUNNATULLAH’.

  3. selagi bumi Arab tidak bersatu dan sentiasa di bawah telunjuk barat, selagi kuasa ilmu tidak dirampas ke wilayah Muslim, selagi solat Suboh tidak sepenuh solat Jumaat, mungkin kita terpaksa tunggu dan lihat dan berdoa sambil memperbaiki diri kita sendiri ke arah menjadi muslim sejati.

  4. dah macam citer Lord of the Ring..

  5. setuju dengan ustaz..realitinya baik muslimat mahupun muslimin lebih mengejar hiburan dari segalanya. Sayangnya bila melihat seorang pemuda mengalirkan airmatanya gara gara gagal memasuki salah sebuah program hiburan realiti. Tepu dahi saya dibuatnya.

  6. Assalamualaikum wbh , saya setuju dengan ustaz. saya percaya bila ustaz menggunakan istilah muslim , maknanya merujuk kepada semua muslim tidak kira peringkat umur , bangsa,negara atau pun kedudukan dalam sesuatu masyarakat. InsyaaALLAH, saya akan bermula dari diri sendiri. Terima kasih atas penulisannya ustaz.

  7. Salam Ustaz,
    Ringkas, padat menyedarkan dan menakungkan airmata keinsafan. Terima kasih Ustaz

  8. Realiti juga mesti belajar daripada ilusi mereka. Umat Islam perlu teladani umat Islam terdahulu.

    Artikel yang menarik ustaz. Analogi yang tepat dan cantik.

  9. Umpama mimpi dalam mimp,
    Campak satu batu, bayang pun hilang…..

  10. Subhanallah Ustaz.. tepat sekali apa yg Ustaz nukilkan…

  11. semalam terfikir tentang ayat 7 dari surah Al-Isra’ ni. Jzkk Ust 🙂

  12. Allahu Akbar!! terima kasih ustaz dengan artikel ini…sungguh mengesankan..will try to improve the muslim quality of mine and my family

  13. trima kasih ustaz..

    artikel yang sangat menarik..

    insaf..

  14. Assalamualaikum ustaz…

    Terkesima…

    Saya mahu tanyakan ini, setelah membaca artikel ustaz ni… Inikah yang sebenarnya ustaz, mohon pencerahan..
    Maaf jika lari tajuk… tapi saya kira ada kaitan sedikit

    http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/04/10/tidak-perlu-samak-jika-tersentuh-atau-termakan-babi/

  15. Ikhlas dari hati.. artikel ni memang sangat2 memberi kesan… sekaligus menyedarkan kita tentang siapa diri kita yang sebenar antara ilusi dan realiti.. Jazakallah ya ustaz..

  16. Bagaikan cerita ‘Inception’, oleh kerana terlalu lama dalam dunia ilusi mimpi, yang ilusi itu disangka realiti.

  17. Saya memikirkan

    umat ISLAM Malaysia khususnya amat2 perlu back to basic

    basic aqidah dan syariat kita hari ini amat rosak

    menghasilkan buah akhlak yang rotten

    benar ustaz

    saya sendiri sejak terlibat dengan serius bersama Palestin

    apa mesej yang saya dapati ialah

    pemantapan semula aqidah dan syariat

    basic = hubungan dengan ALLAH yang amat perlu dijaga

    memanggil semula ruh perjuangan salahuddin al ayyubi, sultan muhammad al fateh, hamzah dan khalid

    kesemua adalah contoh betapa kekuatan kita terhasil dari kuatnya tali kita dengan ALLAH

    wALLAHu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share