Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim (Artikel 2008)

“Kita kena tunjukkan kepada orang-orang kafir yang kita orang Islam ini tidak semudah itu diperkotak-katikkan”, bentak seorang ‘pembela Islam’.

“Ya, biar mereka tahu siapa kita!” tegas seorang yang lain.

“Ajar kafir laknat tu!” berapi-apinya seorang ‘pahlawan Islam’ yang seorang lagi.

Tunjukkan! Buktikan! Biar mereka nampak!

Itulah kalimah yang sering diulang-ulang dengan penuh emosi, atas alasan mahu mempertahankan kesucian Islam. Dan semakin kerap laungan itu diseru, semakit palsu kedengarannya di telinga. Bahawa MUSLIM memaksa dunia untuk mengakui kehebatan ISLAM. 

RAMAI SEPERTI HUNAIN

Ironi sekali, isu penghinaan filem Fitna Geert Wilders muncul hampir serentak dengan laporan media bahawa buat kali pertamanya di dalam sejarah, jumlah umat Islam sedunia telah mengatasi jumlah penganut Catholic, sebagaimana yang diumumkan oleh pihak Vatican City.

Bacalah laporan berikut yang dipetik dari agensi berita Reuters (30 Mac 2008):

Muslims more numerous than Catholics: Vatican

VATICAN CITY (Reuters) – Islam has overtaken Roman Catholicism as the biggest single religious denomination in the world, the Vatican said on Sunday. 

Monsignor Vittorio Formenti, who compiled the Vatican’s newly-released 2008 yearbook of statistics, said Muslims made up 19.2 percent of the world’s population and Catholics 17.4 percent. 

“For the first time in history we are no longer at the top: the Muslims have overtaken us,” Formenti told Vatican newspaper L’Osservatore Romano in an interview, saying the data referred to 2006. 

He said that if all Christian groups were considered, including Orthodox churches, Anglicans and Protestants, then Christians made up 33 percent of the world’s population — or about 2 billion people. 

The Vatican recently put the number of Catholics in the world at 1.13 billion people. It did not provide a figure for Muslims, generally estimated at around 1.3 billion. 

Formenti said that while the number of Catholics as a proportion of the world’s population was fairly stable, the percentage of Muslims was growing because of higher birth rates.

He said the data on Muslim populations had been compiled by individual countries and then released by the United Nations, adding the Vatican could only vouch for its own statistics. 

Reporting by Silvia Aloisi; editing by Andrew Roche
Our Standards:The Thomson Reuters Trust Principles.

Sungguh memilukan.

Tatkala Vatican City mengisytiharkan ‘kekalahan mereka’ kepada Muslim dari segi jumlah penganut, ketika itulah satu lagi siri penghinaan terhadap Islam muncul dalam versi filem pendek Fitna, hasil ‘kreativiti’ ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders.

Tiadakah sebarang makna kepada jumlah Muslim yang sebegitu ramai? Tidakkah sepatutnya jumlah seramai itu sudah cukup untuk menggertak musuh tentang ‘ketuanan Islam’? Bahawa Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya? Bahawa, “jangan main-main dengan Islam!”

Persoalan-persoalan ini menghiris perasaan sesiapa sahaja yang merenung kehidupan ini dengan pandangan mata hati, bahawa apa yang dicari adalah sebuah realiti, dan bukannya ilusi.

Bercakap tentang pertembungan realiti dan ilusi, izinkan saya memetik kembali ungkapan yang sama pernah saya lakarkan di dalam artikel, Palestin Memanggil Muslim Kembali Kepada Islam:

ILUSI DAN REALITI

Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh. Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Apakah ciri-ciri kita sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan oleh al-Quran? Jika al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap tentang kualiti Muslim pada akhlaqnya, pada aturcara hidupnya, pada upaya dirinya… apakah kita semua wahai kaum Muslimin, sama seperti apa yang digambarkan oleh al-Quran?

Bercakaplah dengan jujur…

Bahawa sesungguhnya kita amat jauh dari al-Quran. Kita amat berbeza dari keterangan al-Quran tentang diri kita yang sebenar. Dalam erti kata yang lain, dunia ini didiami oleh Yahudi dan Nasrani yang hakiki dan realiti, ketika Muslimnya hanya sekadar ilusi. Sunnatullah menetapkan realiti sentiasa mengatasi ilusi, biar pun ilusi itu besar jumlahnya, mengatasi Catholic buat pertama kali di dalam sejarah, bagai laporan Vatican City tempoh hari.

Betapa perbuatan kita itu telah menimbulkan kekeliruan dan kesulitan yang amat sangat untuk manusia mengenal dan memahami apa itu Islam. Yusuf Islam (Cat Stevens) sendiri mengakui, beliau bertuah kerana bertemu Islam sebelum bertemu Muslim! Golongan yang mahu mengenali Islam, terpaksa mengambil jalan yang susah untuk mempelajarinya kerana mereka terpaksa memaksa diri untuk mengasingkan al-Quran dan Islam Tekstual, dengan Muslim dan kelakuannya yang ada di depan mata.

Tanyalah kepada bangsa Melayu di bumi ini, mengapakah selepas 50 tahun kita berkongsi tanah hidup selorong dengan kaum Cina dan India yang tidak Islam itu, jumlah mereka yang terbuka hati kepada Islam masih terlalu kecil? Bukan sahaja kecil, malah ketakutan terhadap Islam dan Muslim bertambah-tambah! Tanyalah kepada tokoh yang memeluk Islam seperti Ustaz Hussein Yee, atau Ustaz Farid Ravi, Brother Shah Kirit atau Brother Lim Jooi Soon, Xifu Naser dan ramai lagi, bagaimanakah jalan dan liku mereka mencari Islam di celah-celah Muslim?

Let us pause awhile, and look around in the midst of any kampong, the domain of the Muslim;.. you will see that those who sell rice to the kampong folks are Chinese, … those who carry water … are Chinese, and those who cut and sew for the majority of the inhabitants are also Chinese! By the look of it, one would imagine that our religion, Islam, prohibits working hard for an honest living! Verily this is a curse of the Almightly upon us! [Syed Sheikh al-Hadi, Menuntut Ketinggian akan Anak-anak Negeri, al-Imam, 1907] Let us pause awhile, and look around in the midst of any kampong, the domain of the Muslim;.. you will see that those who sell rice to the kampong folks are Chinese, … those who carry water … are Chinese, and those who cut and sew for the majority of the inhabitants are also Chinese! By the look of it, one would imagine that our religion, Islam, prohibits working hard for an honest living! Verily this is a curse of the Almightly upon us!

(Syed Sheikh al-Hadi, Menuntut Ketinggian akan Anak-anak Negeri, al-Imam, 1907)

PESIMIS DAN OPTIMIS 

“Anta pesimis!” tegas seorang penghantar email kepada saya.

Ya, saya pesimis. Tetapi saya juga optimis. Saya pesimis apabila datang kepada slogan, retorik dan Islam kosmetik. Islam yang mahu ditunjuk-tunjuk, Islam yang mahu dipaksa-paksa agar dihormati, saya pesimis dengan Islam yang seperti itu .

Cubalah hilangkan lapar dengan merenung pisang plastik.

Cubalah hilangkan ‘tua’ di sebalik umur 50 dengan menyuntik botox atau membuat pembedahan plastik.

Cubalah menjadi perempuan dengan mencukur bulu kaki, bulu tangan dan bersolek si jantan supaya menawan.

Cubalah hapuskan rindu dengan hanya menatap gambar insan yang telah tiada.

Sesungguhnya naluri manusia saya tidak dapat merasakan apa-apa pada sebuah kepalsuan. Segala yang palsu hanya mainan. Small things please small mind! Hanya yang palsu menghargai kepalsuan.

Saya pesimis dengan Islam retorik dan Islam slogan, tetapi dalam masa yang sama saya sentiasa optimis bahawa Muslim akan mulia apabila kembali kepada substance, intipati… kembali dari ilusi kepada realiti.

SEBELUM MEMBANTAH PENGHINAAN

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada diri saya dan kita semua, bahawa sebelum kita mahu bangkit melenting dengan penghinaan sesiapa terhadap Islam, tanyalah kepada diri sendiri, apakah Islam itu selama ini mulia di tangan kita? Apakah Islam berjaya diperlihatkan kemuliaannya dengan adanya kita ini sebagai Muslimnya? Apakah nilai yang ada pada kita untuk mengangkat kemuliaan Islam?

Sesungguhnya, sebelum Salman Rushdi atau Geert Wilders muncul dengan penghinaannya terhadap Islam secara bermusim, kitalah si kaum Muslim yang menghina Islam sehari-hariandengan kemunduran akal, akhlaq dan segala yang kita ada atas nama Islam!

TIDAK LAYAK KESUCIAN ISLAM DIBELA OLEH KEKOTORAN MUSLIM

Tidak akan terbela Islam oleh hati, mulut dan tangan yang kotor seperti hati, mulut dan tangan kita. Allah tidak akan izinkan Islam-Nya diperjuangkan oleh manusia pengotor seperti kita. Tidak bersih palitan lumpur jika air yang menyimbahnya juga cemar dan cela.

Sesungguhnya proses untuk memperjuangkan kesucian Islam sebenarnya adalah proses menyucikan Muslim. Semasa kita menyucikan diri dari pemikiran, amalan dan akhlaq yang kotor, ketika itulah kemuliaan Islam akan menyerlah.

Sucikanlah dirimu wahai Muslim, nescaya mulialah Islam, tanpa dipaksa-paksa, tanpa diminta-minta. Tidak ada apa yang perlu kamu buktikan kepada dunia dengan tempik sorak itu. Ditertawa ketika melawak adalah biasa. Tetapi ditertawa ketika menunjuk marah, itulah kemuncak hina.

Sesungguhnya kegerunan musuh kepada kamu hanya akan muncul apabila kamu layak digeruni, iaitu apabila Islam dan Muslim, kembali bersatu. Tiada lagi Islam di satu lembah, dan Muslim di satu lembah yang lain. Penghormatan dunia kepada Islam dan Muslim tidak perlu dipaksa-paksa, tidak perlu didesak-desak. Hormat datang sendiri… apabila kita layak menerimanya.

“Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh kamu), sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”. Rasulullah S.A.W menjawab, “bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit AL-WAHAN”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu ? “Jawab Rasulullah SAW “ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut. ”

(Hadis riwayat Abu Daud daripada Sauban)

HASRIZAL
Tarikh asal artikel: 4 April 2008

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share