Pemberontak Yang Seimbang

karyabestari-sinergiilmu-putrajaya

“Kebelakangan ini ramai anak muda muncul dengan fenomena baru, mereka begitu berminat dengan wacana ilmu, pemikiran, buku, serta berani mengemukakan idea-idea yang kritis. Namun, kelihatannya seperti adab sopan dalam bertutur kata seperti diabaikan. Apa pandangan ustaz tentang hal ini?”

Soalan ini dilontarkan di dalam sebuah forum terbuka paling kecil yang pernah saya hadiri.

Bersama gerimis hujan, saki baki tumpahan awan yang menggila semenjak senja.

Dalam sejuk malam, di hadapan Istana Kehakiman, yang sedang panas dengan ketentuan nasib DSAI, berlarutan dari 2 hari ke 2 minggu, yang hakikatnya berlarutan semenjak hampir 20 tahun yang lalu. (Ya, sudah hampir 20 tahun tilam bertompok dan istilah-istilah celah kangkang manusia menjadi perbendaharaan generasi masyarakat Malaysia).

Forum yang asalnya bertajuk BICARA ANAK MUDA, keluar bersama poster BICARA CINTA ANAK MUDA.

Forum yang asalnya saya digandingkan dengan Dr Maszlee Malik dan Dr Zaharuddin Abdul Rahman, tetapi kedua-duanya tidak dapat hadir di saat akhir. Lalu jadilah forum ‘cinta tidak menjadi’ itu, forum kecil-kecilan paling enak buat diri saya, dan mudah-mudahan sekumpulan kecil pencinta ilmu terancang dan pencinta ilmu kebetulan lalu, malam tadi. Cinta disebut dua kali di minit-minit awal forum, kemudian langsung terbang ke persoalan-persoalan keras. Sekeras dentuman muzik anak-anak muda berlatih nyanyian dan tarian pentas sempena persembahan keesokan hari, (Insha-Allah).

Ustaz Zahiruddin Zabidi menjadi moderator.

Sejam saya menjawab soalan-soalan yang beliau kemukakan.

Disambung pula, pertanyaan hadirin. Antaranya adalah soalan itu tadi.

MENCARI TITIK SEIMBANG

Hakikatnya, di dalam hidup ini kita mencari titik keseimbangan antara pelbagai dimensi alam dan manusia. Titik keseimbangan yang menjadikan manusia itu pada menemuinya, paling hampir kepada Tuhan Pencipta. Titik seimbang yang keseimbangan itu berkonotasikan ketepatan, adil dan saksama, sebagai sibghah umat ini sebagai ummatan wasatan dan khayr al-umam.

Tetapi ketepatan itulah yang sering kita sulit mendapatkannya.

Apabila kita mahu menghormati, memuliakan, dan beradab sopan dengan guru, kita hilang keseimbangan lalu menjadi taasub tok guru, memuja mereka dan menjadi pahlawan-pahlawan membenteng mereka daripada kritikan yang hakikatnya diperlukan oleh semua manusia.

Apabila kita mahu berfikiran kritis, memuliakan kebenaran dan mengamalkan keberanian dalam berpendapat, kita sekali lagi hilang titik keseimbangan lalu menjadi biadab, bermulut celupar, mengutip jargon-jargon longkang dan menggambarkannya sebagai sebuah manifestasi kebebasan diri daripada belenggu status quo.

Mengapa begitu?

Ahh, jiwa saya juga sering panas. Sering menggelapar. Semangat muda yang enggan tunduk kepada pertambahan umur menuju tua. Sendiri sering terbabas dalam mencari titik seimbang. Namun sebagai manusia yang masih punya akal yang sedar, saya perlu akur kemalangan itu sebagai sebuah kemalangan, dan luka-luka tidak harus memberhentikan diri daripada terus berjalan.

Dalam sejarah pemberontakan, sesungguhnya pemberontakan tidak mengenal agama, bangsa dan masa. Ia adalah manifestasi kemanusiaan manusia. Buddha memberontak, Martin Luther memberontak, dan tokoh-tokoh reformis Muslim juga memberontak. Mereka memberontak apabila hati, akal dan azam diri bergabung dengan suluhan kebenaran. Sama ada kebenaran itu serpihan, mahu pun kebenaran total yang Tuhan lontarkan sebagai hidayah.

Lalu kita mahu memilih pemberontakan yang mana?

SARANAN IMAM BIRGIVI

Sekali lagi, saya bersyukur kepada Allah pada menemukan saya dengan Imam Birgivi. Pastinya, tokoh lain juga ada memberi pelbagai nasihat. Namun, kerana karya beliau yang sedang saya baca untuk motif akademik dan kasual, karya beliaulah yang sering menselisihkan saya dengan pelbagai nasihat berguna.

Birgivi adalah guru yang mengkritik guru.

Sasaran kritikan beliau, antaranya adalah kepada ulama’ sezamannya yang beliau lihat sebagai tersimpang daripada jalan warathah al-anbiya’. Selain mengkritik ulama’ sebesar nama Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi dan kelompok ilmiye yang lain, beliau juga memperkasakan individu Muslim. Beliau mahu setiap individu Muslim mempunyai kekuatan sebagai seorang Muslim.

Beliau menekankan peri pentingnya setiap Muslim belajar bahasa Arab. Biar pun ia saranan biasa yang turut diungkap oleh ribuan ilmuan lain, Birgivi menekankan pentingnya bahasa Arab itu atas sebab yang unik. Beliau berpendapat jika seorang Muslim itu boleh berbahasa Arab, ia akan mengurangkan kebergantungan individu berkenaan kepada orang lain untuk faham agama!

Kebergantungan yang keterlaluan terhadap orang lain untuk faham agama, adalah asas besar kepada ketaksuban, pemujaan individu, dan percubaan memberi ‘ismah (maksum) tanpa nubuwwah kepada guru yang menjadi perantara, pada menghubungkan dia dengan agamanya. Ini wajar di awal mengenal agama, tetapi tidaklah sampai ke tua, semuanya “kata guru saya, kata guru saya!”

Ini idea pemberontakan!

Saya suka.

Tetapi, biar pun Birgivi mahu umat Islam membuang sikap taasub, beliau juga menekankan pentingnya umat Islam mengekalkan adab!

birgivi-adabberilmu

 Di dalam bab kedua kitab al-Tariqah, berkaitan dengan kecelaan lisan bersama perinciannya, Imam Birgivi menyenaraikan enam puluh bentuk kecelaan lisan yang secara default, ia adalah sesuatu yang salah dan mesti diberi peringatan. Pada contoh ketiga puluh, Imam Birgivi mengemukakan pandangannya tentang perbuatan seorang jahil menyampuk dan seorang alim dan mengganggu percakapannya.

Kata beliau:

Berkenaan dengan anak murid di sisi guru, atau sesiapa sahaja yang lebih berilmu daripadanya, atau yang lebih utama daripadanya.

Telah berkata di dalam al-Khulasah: telah berkata al-Zandusti (Al-Husain bin Yahya, meninggal dunia 400H), “aku telah bertanya kepada al-Imam al-Khayzakhuzi (Abu Muhammad Abdullah bin al-Fadhl, mufti Bukhara), rahimahullah, berkenaan dengan hak seorang alim ke atas orang jahil, dan guru ke atas murid. Beliau menjawab, “Dalam kedua-dua keadaan itu asasnya sama, iaitu tidak harus bagi seorang murid, atau seorang jahil mendahului percakapan gurunya. Janganlah juga duduk di tempat gurunya semasa gurunya tiada, tidak menyampuk percakapan guru dan tidak mendahului gurunya semasa berjalan”

Demikian juga di dalam Ta’lim al-Muta’allim (kitab Ta’lim al-Muta’allim Thariq al-Ta’allum oleh Imam Burhanuddin al-Zarnuji), juga ada menyebut, antara hak seorang guru ialah murid tidak berjalan di hadapannya, tidak duduk di tempatnya, tidak memulakan percakapan di sisinya, kecuali dengan izinnya, tidak membanyakkan percakapan di sisinya, tidak bertanyakan soalan ketika guru keletihan, menjaga jadual (masa) gurunya, tidak mengetuk pintu gurunya, bahkan hendaklah bersabar sehingga dia keluar.

Hasil daripada semua itu adalah agar dia mendapat redha guru, terhindar daripada kemarahannya, mematuhi suruhannya dalam perkara-perkara yang tidak menjadi maksiat kepada Allah.

Telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Fatwa juga tentang makruhnya perbuatan berkata seseorang kepada orang yang lebih tinggi kedudukannya di dalam ilmu, “sekarang sudah masuk waktu solat”, atau “ayuh kita dirikan solat”, kerana semua ini bersifat meninggalkan adab dan menjadi buruk kelakuan.

 

Biar pun Birgivi menegur sikap agamawan yang suka orang berdiri menyambut kehadirannya, suka dicium tangan, suka orang ramai berjalan di belakangnya, memakai pakaian-pakaian yang menonjolkan diri secara berlebihan, Birgivi turut menekankan pula kepada orang ramai, penuntut-penuntut ilmu dan kita yang jahil ini, supaya tidak bersikap biadab terhadap orang yang lebih berilmu.

Mencari titik seimbang antara keduanya, adalah barakah dalam proses mengajar dan belajar.

Ya, itulah keadaannya, yang perlu difahami oleh kita semua.

Oleh anak muda yang mahu mencabut skru-skru ummah.

Cabutlah dengan baik agar skru tidak rosak atau tercicir hilang . Selepas skru-skru karat itu dicabut dan dibersihkan, ia perlu dipasang semula kerana ummah perlu terus bergerak. Janganlah kita terlalu rakus untuk kritis terhadap subjek pemberontakan kita seperti kaum yang pandai mencabut skru tetapi tidak tahu memasangnya kembali.

Jika tidak, islah menjadi ifsad.

Seperti tikus membaiki labu.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, tatkala fenomena anak muda progresif bermulut celupar ini tersebar dan bukan lagi kes terpencil, adalah berbalik kepada apa yang terjadi di bangku persekolahan.

Akal kita satu, tetapi akal itu terbentuk dalam segmen-segmen yang pelbagai. Pembentukan akal yang baik, melalui proses berfikir yang betul, adalah agenda besar di sekolah. Tanpa proses berfikir, anak muda yang lahir daripada sistem pendidikan itu akan tempang kognitifnya.

KRISIS MINDA REMAJA

Lazimnya, di usia remaja, anak muda akan meningkat kebolehannya berfikir. Satu daripada cabang fikirannya yang terbentuk adalah relativistic thinking. Semasa kanak-kanak, dia diberitahu oleh ibu bapanya bahawa dia tidak boleh berpacaran sehingga habis SPM. Sangkanya seluruh dunia begitu. Apabila pergaulannya bertambah, beliau dapati pendapat-pendapat yang selama ini dianggap muktamad, rupa-rupanya adalah terhad kepada dunia kecilnya itu. Kesedaran tentang hal ini menyebabkan beliau beranggapan sedikit demi sedikit tiada apa yang muktamad dalam hidup ini. Semuanya relatif dan wajar dipersoalkan. Ia membentuk perlakuan remaja untuk mempersoalkan pihak berkuasa dan otoriti.

Relativistic thinking ini membebaskan dia daripada alam kanak-kanaknya.

Terasa lapang dan luas alam ini, apabila satu demi satu sempadan dibuka.

Dan dalam konteks Malaysia, selain sempadan ibu bapa, turut terbuka di usia anak muda adalah sempadan UPSR, PMR, PT3, SPM dan segala macam peperiksaan yang menjadi candu pendidikan.

Biasa sahaja anak muda memberontak. Tetapi pemberontakan di tahun-tahun semasa ini terlalu canggung bunyinya.

Ideanya bernas, tetapi pengungkapannya seperti ada sesuatu yang defisit.

Mungkin kerana relativistic thinking bukanlah segala-galanya.

Sepatutnya anak muda juga mempunyai daya hypothetical thinking dan abstract thinking, agar memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Muhammad Abduh Sang Remaja

Semasa Muhammad Abduh berusia 13 tahun, beliau telah melarikan diri daripada pengajiannya di Masjid Ahmadi, Tanta. Beliau memberontak terhadap kaedah pembelajaran ketika itu yang lebih kepada menghafal matan dan membacakannya kembali. Beliau melarikan diri. Lari mencari sesuatu yang lebih bermakna untuk kedahagaan mindanya sebagai penuntut ilmu.

Tetapi Muhammad Abduh telah dipujuk oleh pakciknya, Shaykh Darwish, yang mengajar beliau mencari hikmah yang tersirat di sebalik suratan yang membebalkan diri. Nasihat Shaykh Darwish membantu Muhammad Abduh melepaskan dirinya daripada penjara kejahilan kepada angkasa lapang yang luas berisi pengetahuan, daripada kebekuan teks kepada kebebasan jiwa dalam mengimani Allah, dan seterusnya mengurniakan kebahagian kepada beliau, Muhammad Abduh, reformis Muslim di bumi Kinanah.

Dalam kesempitan pembelajaran, jiwa yang memberontak itu perlu dibentuk bagai air melekuk batu, agar licin dan kemas, tidak berduri-duri menatijahkan kemudaratan.

Justeru duhai anak muda sang pemberontak, telusilah iktibar perjalanan Musa bersama gurunya Khidir.

Perjalanan yang mengikat kemas antara dua.

Antara ilmu dan keberkatan.

Titik seimbang, tempat berlabuhkan hidayah dan kebahagiaan.

Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

3 comments

  1. 06-11-2014 Islam Adalah Umat Pendakwah Oleh USTAZ…: http://youtu.be/qe7G3KouCzg

  2. Mohd Khairi Mohd Nor

    akhirnya yang tidak mendapat keadilan dunia kerana menganggap dia menjadi mangsa akan terpacul dari mulutnya tunggulah akhirat esok baru korang tahu aku tak bersalah. Ujian terhadap mu luar biasa hebat wahai reformis DSAI. kami tidak pandai atau tidak mampu membelamu, hanya Allah sahaja yang berkuasa.mintalah pertolongan dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.

  3. Pembentukan akal yang baik, melalui proses berfikir yang betul, adalah agenda besar di sekolah. Tanpa proses berfikir, anak muda yang lahir daripada sistem pendidikan itu akan tempang kognitifnya.

    jemput baca bagaimana manusia berfikir

    http://kalamalbab.blogspot.com/2014/11/manusia-berfikir-dengan-jantung.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share