Ilmu Kemanusiaan Untuk Memenangkan Perjuangan Islam?

socialscience01

“Katakanlah sekumpulan penyelidik mengemukakan kepada pemimpin sebuah hasil kaji selidik, bahawa hanya 2% daripada penduduk Lembah Kelang yang non Muslim, menganggap isu-isu yang PAS bawa sebagai relevan. Manakala selebihnya tidak peduli pun kepada isu apa yang PAS kemukakan. Pemimpin menjawab, “alah, buat kaji selidik di tempat yang orang tak suka kita memanglah dapat natijah begitu. Buatlah kaji selidik di tempat yang orang sokong kita, tentu lain natijahnya!” Baik, jika anta menjadi pegawai penyelidik, apa respond anta?” penemuduga menyoal saya.

Terdiam seketika.

“Sebelum ana jawab, ana nak tanya, contoh yang doktor beri itu, adakah ia kisah benar, atau ia sekadar contoh?” saya bertanya, memohon kepastian.

Penemuduga ketawa kecil.

“Bagaimana jika ia kisah benar?” soal beliau.

“Hmm… maknanya kena buat research lain terlebih dahulu, sebelum research yang itu, iaitu kenapa pemimpin kita anti research!” saya cuba menjawab.

Soalan-soalan berkenaan diajukan kepada saya semasa saya hadir sebagai calon di dalam temuduga jawatan sebagai pegawai penyelidikan di Pusat Penyelidikan PAS Pusat. Temuduga pada akhir 2004 itu berlangsung selepas PAS mengalami kekalahan yang teruk di dalam PRU ke-11, bulan Mac sebelumnya. Biar pun saya sukses dalam temuduga tersebut, saya tidak menyambut tawaran berkenaan, dan memilih untuk bekerja di Fitrah Perkasa Sdn Bhd, atas sebab yang pelbagai.

Pertamanya, saya baru sahaja beberapa bulan pulang ke tanah air, selepas 11 tahun tinggal jauh di perantauan. Bekerja di sebuah tempat yang membataskan akses saya kepada masyarakat, menambah sulit proses menyesuaikan diri saya yang sudah sedia terbatas apabila hidup jauh daripada masyarakat sendiri, sejurus selepas tamat SPM, 12 tahun sebelumnya.

Keduanya, saya rasa saya tidak mempunyai jawapan yang knowledge based kepada soalan-soalan yang dikemukakan di dalam temuduga berkenaan. Saya tahu ada yang tidak kena, tetapi saya tidak boleh mengungkapkannya. Apakah ilmunya, di sebalik kegagalan ‘ārifīn di dalam bidang Pengajian Islam menghargai kaji selidik? Lebih yakin kepada sangkaan, berbanding data-data yang dikemukakan hasil kajian kuantitatif.

Saya belum bersedia.

DI AWAL BANGKU PENGAJIAN

Semasa tiba di Jordan pada September 1993, antara pesanan penting para senior kepada kami ialah, “hadamkan buku Tsaqāfah al-Dā’iyah oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi!”

Kami membacanya, tetapi sekurang-kurangnya di peringkat diri saya sendiri, saya tidak get the point. Saya menghargai kupasan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi tentang ilmu-ilmu Islam yang perlu dikuasai sebagai seorang Muslim dan da’i. Tetapi saranan beliau supaya kita umat Islam turut menguasai lima cabang ilmu yang lain, saya membacanya sepintas lalu, tiada penghayatan, malah mungkin kurang faham. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menekankan bahawa da’i mestilah menguasai 6 ilmu berikut, iaitu:

  • al-Tsaqāfah al-Dīniyyah (Ilmu-ilmu Agama)
    • al-Quran
    • al-Sunnah
    • Fiqh
    • Usul al-Fiqh
    • Aqidah
    • Tasawwuf
    • Sistem-sistem Islam
  • al-Tsaqāfah al-Tārīkhiyyah (Ilmu Sejarah)
  • al-Tsaqāfah al-Adabiyyah wa al-Lughawiyyah (Ilmu Sastera dan Bahasa)
  • al-Tsaqāfah al-Insāniyyah (Ilmu Kemanusiaan)
    • Psikologi
    • Sosiologi
    • Ekonomi
    • Falsafah
    • Ethics / Akhlaq
    • Sejarah
  • al-Tsaqāfah al-`Ilmiyyah (Ilmu Sains)
  • al-Tsaqāfah al-Wāqi`iyyah (Ilmu Hal-ehwal Semasa)

Perbahasan ini penting agar da’i menguasai ilmu berkaitan nas, dan boleh mengendalikan interaksi yang baik antara nas itu dengan alam dan manusia. Ia menjadi pra syarat penting, terutamanya dalam interaksi Islam dengan cabaran semasa. Kegagalan menguasai cabang-cabang ilmu yang disenaraikan, atau lebih buruk lagi, meremehkan kepentingannya, akan mengundang pelbagai salah faham, malah falasi yang diangkat sebagai sebuah kepercayaan.

SAINS SOSIAL UNTUK UMMAH SERTA GERAKAN DAKWAH DAN ISLAH

Apa perlunya ummah kepada sains sosial?

Tidak cukupkah pada sentuhan tradisi keilmuan Islam yang kaya raya itu untuk menjawab persoalan-persoalan memaknakan slogan “ISLAM PENYELESAIAN”?

Jangan pergi kepada ummah yang termanya terlalu dramatik itu. Perlu dijawab terlebih dahulu, perlukah sebuah gerakan Islam kepada sains sosial?

Walaupun gerakan Islam mendabik dada bahawa imej ‘parti kampung’nya telah lama ditinggalkan berikutan penglibatan golongan profesional yang cukup memberangsangkan, malah dikatakan berupaya untuk kembali ke imej asal dengan nama-nama tokoh penggerak seperti Zulkifli Muhammad dan Burhanuddin al-Helmi yang juga dikategorikan sebagai golongan profesional, hakikatnya kenyataan ini mesti lebih dihalusi. Biar pun keterlibatan golongan profesional di dalam politik Islam semakin memberangsangkan, namun golongan profesional itu kebanyakannya adalah mereka yang datang dari disiplin hard science.

Gerakan Islam kaya dengan bilangan jurutera.

Gerakan Islamkaya dengan bilangan doktor.

Ia suatu perkembangan yang memberangsangkan. Tetapi ke mana perginya golongan profesional dari soft science?

Di mana ahli sejarah dalam gerakan Islam?

Di mana political scientists?

Ke mana sociologists, anthropologists, psychologists, economists malah educationists dalam arus perdana gerakan Islam?

ASAL USUL KETERLIBATAN

Jika kita berpatah ke belakang ke peringkat perkaderan, bagaimanakah suasananya?

Mengajak seorang pelajar kejuruteraan dan kedoktoran kepada kegiatan dakwah dan mungkin juga siasah, adalah lebih ketara dan berhasil berbanding dengan usaha mengajak pelajar sejarah, sosiologi dan sains politik kepada kegiatan seperti ini.

Ini adalah kerana pelajar kejuruteraan dan perubatan akan dengan cepat melihat gerakan dakwah itu sebagai pelengkap kepada ‘kekurangan’ dirinya sebagai pelajar ‘bukan agama’. Mereka akan melihat peluang terlibat di dalam usrah dan dakwah sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan seterusnya meletakkan diri mereka di atas landasan yang betul dalam beragama.

Tetapi mereka tidak akan mencabar content Tarbiyah apatah lagi retorik dakwah dan siasah!

“Saya tersinggung apabila ustaz menganggap pelajar kejuruteraan tidak cukup cerdik untuk mengkritik dakwah!” keluh seorang teman.

Maafkan saya.

Saya bukan menyentuh soal cerdik atau kurang cerdik. Keupayaan mengkritik ini tidak bersangkut kepada cerdik atau tidaknya seorang pelajar, tetapi ia berkaitan dengan nature pembelajarannya terutamanya jika pelajar itu mengikat dirinya hanya kepada silibus dan hidupnya hanya untuk lulus periksa.

Teori-teori yang dipelajari di dalam pure science, tidak menuju secara langsung kepada menghasilkan contradiction terhadap usrah, dakwah dan siasah yang ada di sekelilingnya.

Ketika seorang pelajar kejuruteraan kimia sedang belajar tentang ChE process dan berurusan dengan Gibbs phase rule dan bezanya dengan Degrees-of-freedom analysis, amat sulit untuk dirinya berfikir pada masa yang sama tentang hubungkait subjek ini dengan dakwah yang disertainya. Kecuali hingga pelajar itu mengorek falsafah di sebalik aplikasi teori-teori ini dan lazimnya you have to be exteremely smart to do so!

Begitu juga dengan pelajar perubatan. Semasa dirinya meneroka molecular dan cellular systems, the integumentary system dan the skeletal system, adalah terlalu jauh untuk dirinya berfikir tentang usrah dan dakwah yang disertainya kecuali di sekitar persoalan “betapa agungnya ciptaan Allah hasil kajianku terhadap tubuh manusia ini”. Namun bagaimanakah kesedaran itu boleh membawa dirinya kepada mengkaji mekanisma rasional perbuatan manusia dan implikasinya kepada kehidupan… you have to be extremely smart to do so!

Maka tarbiyah dan dakwah lebih disambut secara subur oleh pelajar di bidang hard science tanpa ada sebarang konflik dengan bidang pengajiannya. Malah gerakan dakwah juga berebut-rebut mahu menerima keahlian mereka kerana ia meningkatkan imej kumpulan masing-masing.

Kumpulan saya ada ramai doktor.

Kumpulan saya ada ramai jurutera.

Doktor dan jurutera para ‘profesional’ tegar itu mungkin lebih keras mempertahankan retorik dakwahnya berbanding ustaz dan ustazah!

SAINS SOSIAL MENCETUSKAN KONFLIK

Tolaklah ke tepi pelajar-pelajar dari kategori yang belajar sekadar mahu lulus periksa. Perbincangan saya ini tidak ada kena mengena dengan pelajar atau sesiapa yang berkata “entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku ambil bidang ini!” Golongan seperti ini mungkin lulus cemerlang di dalam bidang sains politik, namun tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di sekitarnya dan menjadi mangsa pertama percaturan politik aplikasi biar pun dia itu wira politik teori di atas sekeping ijazah.

Namun, apa yang menjadi fokus saya ialah kepada pelajar yang sentiasa peka, belajar dan memikirkan tentang pelajarannya, serta apa hubung kait pelajarannya itu dengan kehidupannya di luar bilik kuliah dan perpustakaan.

Seorang pelajar sejarah, akan belajar tentang sejarah kemunculan idea-idea yang ada hari ini.

Sebelum bercakap tentang ancaman sekularisma kepada ummah, mereka telah terlebih dahulu perlu belajar tentang sekularisma era George Holyoake malah dikorek hingga ke akar umbinya seawal Ibn Rushd dan Averroism’s Shool of Philosophy.

“Sekularisma ialah memisahkan agama dari politik. Sekularisma adalah jalan terpantas untuk seseorang itu menuju Riddah!” kata seorang naqib di dalam usrahnya.

Idea-idea sebegini akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah dan sains politik rasa terganggu. Mereka akan segera merasakan bahawa kefahaman tentang sekularisma yang sedemikian rupa adalah terlalu dangkal dan tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai rubbish! Apakah content Tarbiyah kumpulan dakwah ini? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka perkatakan? Soalan-soalan sebegini datang bertubi-tubi on daily basis kepada seorang pelajar sains sosial.

Sebelum bercakap tentang ancaman Islam Liberal, atau mengkritik Nurcholis Majid (Cak Nur), pelajar sains sosial telah terlebih dahulu dituntut agar mendefiniskan liberalism dalam konteks yang betul. Mereka telah terlebih dahulu perlu mengetahui pandangan orang-orang seperti Adam Smith, dan mengenal pasti perbezaan trend yang wujud di bawah slogan liberalism seperti Manchester Liberalism, Cultural Liberalism, Political Liberalism, Sosial or Neo Liberalism dan sebagainya.

“Liberalisma ialah usaha untuk membebaskan manusia dari ikatan kepada agama. Ia membuka ruang kepada manusia untuk bebas memilih sama ada mahu berdosa atau berpahala dan kita tidak berhak berkata apa-apa. Antum mahu negara kita jadi seperti ini?” tanya seorang naqib kepada ahli usrahnya.

Pandangan penuh emosi dan bernada tinggi ini, akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah, sains politik dan ekonomi berasa terganggu.

“Naqib aku ni faham ke apa benda yang dia cakapkan ini?” rungut hati seorang pelajar sains sosial yang juga dididik agar sami’na wa atha’na atas nama amal jama’ie.

Itu di peringkat teori dan kefahaman.

Dalam ertikata yang lain, saya cuba untuk mengajak kita semua melihat di mana rasionalnya pelajar sains sosial enggan mendekati kumpulan dakwah terutamanya yang berpegang dengan agenda politik Islamism. Mereka akan menganggap kumpulan ini hanya beretorik dan tidak mempunyai apa-apa kefahaman yang bersifat substantial kerana untuk berjuang menentang kebejatan sekularisma, mereka hanya berpada dengan definisi sekularisma yang dihafal dari mulut amir atau pemimpin mereka yang mursyid.

Cakap kosong semata.

APLIKASI SAINS SOSIAL

Itu di peringkat teori dan kefahaman.

Apabila persoalan ini dibawa ke peringkat mengaplikasikan teori sains sosial, konflik di antara gerakan dakwah dan islah dengan sains sosial akan jadi lebih meruncing.

Bagi sebuah gerakan yang berhasrat untuk mengubah masyarakat dan sistemnya, mereka perlu mempunyai kaedah yang jelas dan tepat dalam menganalisa masyarakat. Ahli sains sosial seperti sociologist dan anthropologist akan menganalisis masyarakat dengan metodologi yang boleh diukur dan berasas.

Misalnya, untuk sebuah gerakan Islam membuat keputusan tentang pendiriannya berhubung dengan trend yang wujud di dalam masyarakat terhadap isu-isu yang diperjuangkannya, mereka perlu melakukan kaji selidik. Survey sebegini mesti dilakukan dengan cara yang betul, memenuhi tuntutan kualitatif dan kuantitatif terhadap sampel yang terbabit supaya mereka mendapat keputusan yang tepat tentang gambaran sebenar kefahaman serta reaksi masyarakat kepada apa yang mereka perjuangkan.

Tetapi, sejauh manakah gerakan Islam memperlengkapkan dirinya dengan hal ini?

Sejauh manakah kita bersedia untuk menginsafi natijah kaji selidik, terutamanya apabila ia tidak berpihak kepada kemahuan kita? Apakah setiap kali gerakan Islam di mana-mana bahagian dunia kalah di dalam pilihanraya maka ia mesti berpunca daripada penyelewengan pemerintah dalam mengendalikan proses pengundian semata-mata?

Bagaimana pula kemungkinan perjuangan yang tidak bersandarkan asas? Memperjuangkan satu isu tanpa mempedulikan sejauh mana kefahaman masyarakat tentang isu tersebut, sejauh mana mereka memahaminya, sejauh mana relevannya isu yang dibawa… dan semua ini gagal dijawab kerana gerakan Islam tidak menyelidiknya?

Malah jika ada dakwaan bahawa PENYELIDIKAN telah dibuat, apakah asas penyeldikan berkenaan? Mampukah ia berdiri teguh jika ditimbang dengan neraca sains? Atau hanya sangkaan semata-mata?

Isu ini bukan sahaja isu gerakan Islam, malah isu masyarakat kita secara keseluruhannya. Kita menganggap manusia itu mudah kerana setiap kita ini juga adalah manusia. Kita lupa bahawa manusialah yang menentukan matlamat, manusialah yang menghasilkan mesin dan manusialah yang menghasil dan menggunakan teknologi. Sebelum matlamat dicabar, mesin dianalisis, teknologi dinilai dari segi etika, kita lupa kepada keperluan mendalami prima causa dan pemula segalanya… manusia.

Tidak sedikit pelajar kejuruteraan dan perubatan malah jurutera dan doktor sendiri yang dinamik dalam fikrah dan gerak kerjanya. Tetapi mereka berupaya untuk menjadi begitu apabila mereka keluar dari sekadar memperhambakan diri kepada silibus dan profesyen masing-masing. Mereka tidak hanya membaca buku teks kejuruteraan untuk profesyen dan buku teks Hasan al-Banna dan Mustafa Masyhur untuk dakwahnya, sebaliknya mereka meluaskan bacaan dan kefahaman dengan mengambil buku-buku Current Affairs, Political Science, Falsafah, Sejarah dan menganggap semua itu sebagai sebahagian dari keperluan Tarbiyah dan BEKALAN UNTUK MEMENANGKAN ISLAM.

Tidak sedikit pelajar Syariah dan ustaz ustazah yang dinamik, tetapi mereka menjadi dinamik hanya selepas mereka berjaya memecahkan tembok sangkaan bahawa “ilmu itu ialah apa yang Allah cakap, apa yang Nabi cakap: maka jika sudah faham Tafsir dan faham Hadith, saya telah faham segala-galanya”.

Adakalanya kita seetengah mati mahu keluar daripada tembok itu.

Sesungguhnya jalan untuk memenangkan Islam itu tidak semudah yang disangka.

Sejauh mana kita semua bersedia KE ARAH MEMENANGKAN ISLAM?

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Teknologi dan peranti semasa

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

7 comments

  1. “The pain that comes from criticism is felt only by people whose whole life and care is for this world. For those who care for the Hereafter, criticism is a gift and a cause of salvation and peace”

    Birgivi

    Attributed to him, but I can’t find the seminal source. Impressive saying summarises your first point.

  2. Jujur, saya rasa kekok dengan PAS, dan ‘macam’ phobia. Saya rakyat Malaysia yang kecewa dengan I.S sepertimana PAS. Saya fikir PAS tak payahlah wujud !.

  3. Mahasiswa Jordan

    ” ia berkaitan dengan nature pembelajarannya terutamanya jika pelajar itu mengikat dirinya hanya kepada silibus dan hidupnya hanya untuk lulus periksa.”

    Benda sama juga berlaku pada mahasiswa Syariah di Jordan. Rata-ratanya hanya baca buku yang diubahsuai oleh doktor. Fotostat plak tu. seronoknya cakap doktor dan jurutera belajar hanya untuk lulus periksa. Mahasiswa soft science pun ada exam jugak, so adilkah kalau cakap mahasiswa hard science je yang belajar untuk periksa sahaja?

    Tolong jangan pukul rata.

    • Kita boleh berbeza pendapat. Tetapi berbicaralah dengan sopan dan tenang. Tidak nampakkah perkataan JIKA di dalam ayat yang anda petik itu. Perkataan JIKA itu sangat besar implikasinya. JIKA itu adalah SYARAT dan JAWAB SYARAT. Yakni seandainya.

      Anda menuduh saya pukul rata tentang doktor dan jurutera? Sedangkan saya berkali-kali menjelaskan di dalam artikel tersebut tentang JIKA. Bagaimana pula dengan pukul rata anda tentang pelajar Syariah?

      Jarak umur kita hampir 20 tahun. Belajarlah mengelokkan bahasa kerana ia sebahagian daripada profesionalisme anda yang berguna, suatu hari nanti.

  4. Adakah fenomena ini berpunca daripada terdapatnya pemisahan yang ketara antara ilmu agama dan ilmu sains? Ia mengingatkan saya terhadap petikan kertas kerja yang ditulis oleh Dr.Solehah Bt.Hj.Yaacob dan Madame Rahimah Bt. Embong bertajuk The Concept of an Integrated Islamic Curriculum and Its Implications for Contemporary Islamic Schools:

    “The national education seems to be designed to produce professionals deficient in religious values while religious education has developed religious specialists who were unable to participate actively in society, and were not critically and creatively responsive to deal with current issues of the Ummah.”

    Kedua-dua ilmu berkembang secara ekslusif tanpa pengaruh daripada satu sama lain dan dalam sesetengah hal dilihat bertentangan antara satu sama lain. Dan kerana itulah pelajar pure science lebih mudah menyertai gerakan dakwah dan islah kerana kandungan tarbiyah dalam gerakan dakwah dan islah sama sekali tidak akan masuk campur dan ada kena mengena dengan apa yang mereka pelajari. Keadaan ini berbeza dengan pelajar soft science, kandungan tarbiyah dalam gerakan dakwah dan islah yang cuba untuk memasuki bidang imu sains sosial yang mereka tidak pakar mengenainya dan pada masa yang sama ilmu sains sosial yang dipelajari oleh pelajar soft science menolak sebarang pengaruh agama. Dan keadaan ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya belajar ilmu sains dan ilmu agama pada satu masa.

  5. Science is a first-rate piece of furniture for a man’s upper chamber, if he has common sense on the ground-floor. -Oliver Wendell Holmes, Sr.

    Sudah tiba masanya, kita mempersiapkan diri dengan ilmu nas dan ilmu alam dalam usaha untuk memanusiakan manusia. Cukuplah berhujah dengan argumen ‘in denial’ tentang siapa kita, apa yang kita lakukan, atau apa yang mereka tak lakukan. Mulakan dengan diri dan kelompok kecil, kemudian terus melangkah ke sebuah revolusi anjakan paradigma yang lebih besar. In shaa Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *