Majalah I #146: Wawancara Kelayakan Ulama Sebagai Pemimpin

IMG_2345-ulama

Majalah I pada awal November lalu telah mewawancara saya berkenaan dengan isu Kepimpinan Ulama. Ia adalah lanjutan daripada perbualan saya bersama CEO Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub, Encik Ahmad Yani Abd Manaf, yang juga orang kuat Majalah I serta Pengurus Hal Ehwal Islam & Penerbitan al-Quran, Karangkraf, serta beberapa orang sahabat yang kebetulan ada bersama. Ia bukanlah pertemuan yang dirancang. Sebaliknya saya sekadar singgah di ibu pejabat Karangkraf untuk mendapatkan sedikit stok buku.

Perbualan pelbagai topik, akhirnya terarah kepada persoalan Kepimpinan Ulama, yang ditinjau dari pelbagai aspek, luar dan dalam PAS itu sendiri. Saya dicadangkan menulis secara bersiri beberapa artikel mengenainya untuk disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian. Tetapi saya berat hati kerana sedar akan sensitiviti isu ini dan khuatir ia menimbulkan ketegangan yang tidak perlu.

Seminggu kemudian, Majalah I menghubungi saya melalui saudara Irsyad,  memaklumkan bahawa isu Ulama dan Kepimpinan Ulama, diangkat sebagai fokus Majalah I Disember, yakni keluaran 146. Mereka berharap saya dapat kongsikan beberapa pendapat mengenai hal ini untuk dimuatkan di dalam ruangan wawancara Majalah I yang nampaknya semakin meningkat maju dari segi kematangan isi dan persembahan.

Saya menerimanya.

Temuramah dibuat di Khalifah Model School (Secondary), tempat saya bertugas.

Wawancara selama dua jam tersebut telah ditranskrip dengan baik oleh saudara Irsyad, dengan serba sedikit pembetulan ejaan bagi istilah dan nama asing. Semoga apa yang dipaparkan, menjadi bahan fikir dan perbincangan, di samping sumbangan tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa dalam fokus keluaran 146 ini, seperti Dr. Azam Che (STRATA),  Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi, Dr. Maszlee Malik dan Dr. Riduan Mohamad Nor.

ulama-artikel

 

Siapa yang dimaksudkan sebagai ulama? Saya suka untuk merujuk kepada pemerintahan Daulah Uthmaniah berbanding era yang lain. Ini kerana ia daulah yang mendepani zaman moden dan menjadi transisi era klasik kepada moden.

Kepimpinan ulama adalah idea yang menjadi polemik besar dalam politik di Malaysia. Kerana jika diteliti dengan lebih mendalam, idea ulama sebagai individu yang memimpin sesebuah negara turut menimbulkan persoalan akan kemampuan mereka membawa kembali kegemilangan daulah Islamiah dalam era moden ini?

Dengan Dawlah Uthmaniyyah sebagai sampel silam, Republik Turki hari ini juga memperlihatkan dirinya sebagai model pentadbiran yang mungkin sedikit sebanyak mampu memanfaatkan kekuatan-kekuatan silam tersebut.. Tetapi, apakah kepimpinan di Turki pada masa ini merupakan kepimpinan ulama? Untuk menjelaskan polemik dan kekeliruan serta kekaburan yang wujud berkenaan isu ini, Majalah I mengadakan temubual dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, seorang pendakwah yang banyak mewacanakan idea berkenaan Kepimpinan Ulama.

Boleh ustaz ceritakan permulaan idea kepimpinan ulama di negara ini?

Pemerkasaan idea kepimpinan ulama di Malaysia, khususnya PAS sekurang-kurangnya boleh dipetakan pada era transisi kepimpinan PAS pasca pengunduran Dato’ Asri Muda. Ustaz Yusuf Rawa di dalam muktamar PAS 1983, telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan Intelektual. Dalam mengenengahkan kepimpinan ulama, nama baru dewan berkenaan memperlihatkan idea dinamik Ustaz Yusuf Rawa pada merapatkan kerjasama antara kelompok agamawan dan bukan agamawan. Ustaz Abu Bakar Hamzah ketika itu juga menjelaskan bahawa kepimpinan ulama ini bukanlah pada membentuk kepimpinan ‘Mullah’, tetapi lebih kepada mencegah kepimpinan daripada jatuh ke tangan golongan yang ‘buta al-Quran’.

Di era 1990 an, idea kepimpinan ulama ini bukan sebuah masalah. Ramai pemimpin PAS dari kalangan agamawan, mereka adalah pemimpin yang berwibawa, di sisi identiti mereka sebagai ulama. Sama ada idea kepimpinan ulama itu bermasalah atau tidak, ia dengan sendirinya terserlah sebagai sebuah idea yang kena dengan keperluan semasa pada ketika itu.

Tambahan pula, sosio politik masyarakat Malaysia ketika itu berbeza daripada pasca Reformasi 1998. Dari sudut keberagamaan, masyarakat Malaysia sedang meningkat penghayatan mereka terhadap ajaran Islam, namun belum sampai kepada desakan memperincikan pemikiran dan slogan kepada polisi-polisi awam. Pembabitan PAS dalam isu-isu nasional masih lagi terbatas.

Tetapi dengan arus revolusi teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan, cabaran memposisikan Islam dalam kehidupan awam masyarakat Malaysia semakin rencam dan bersifat inter disiplin. Apa yang pernah memberi kepuasan kepada minda yang menyoal, kini tidak lagi menjadi jawapan yang mengenyangkan pertanyaan. Bagaimana apa yang disebut boleh diserlahkan sebagai sebuah praktis yang baik, semakin mendesak. Ia adalah perkembangan biasa kepada mana-mana sahaja idea, termasuk Islamisme, jika ia boleh diertikan dengan maksud Islam sebagai sebuah ideologi politik.

Bagaimana ustaz melihat idea kepimpinan ulama yang dilaksanakan di sini?

Sama ada idea kepimpinan ulama ini efektif atau tidak, sekurang-kurangnya apabila ia diterima oleh PAS, ia mesti mematuhi syarat keberhasilan sebuah harapan. Jika PAS mahu parti dan seterusnya masyarakat terus dipimpin oleh ulama, maka kaderisasi dan pemerkasaan future ulama, mestilah giat berjalan. Di sinilah saya melihat, terjadinya kekurangan yang besar. Kekurangan yang akan lebih difahami, jika kita membuat perbandingan di antara cara mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam beraktiviti, berbanding dengan mahasiswa dan mahasiswi bukan pengajian Islam beraktiviti dalam kerangka kaderisasi PAS. Perbezaannya amat ketara.

Sebagai seorang aktivis yang pernah berada di kedua-dua medan berkenaan (Jordan dan UK / Ireland), keterlibatan dan analisis saya adalah berdasarkan pengalaman sendiri selama lebih sedekad.

Dari sisi pandang PAS, mungkin anggapan bahawa pelajar bukan pengajian Islam itu lemah pengetahuan agama mereka, maka program tarbiah serta materi-materi yang dirujuk diperincikan dengan kemas lagi sistematik. Apa yang perlu diketahui, dibaca, dibincangkan, dan objektif yang hendak dicapai, semuanya diperincikan dengan teliti. Transisi daripada pemikiran penyokong kepada pemikiran pendokong adalah jelas.

Akan tetapi dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi Pengajian Islam, seperti di negara-negara Arab, hal yang sama tidak berlaku dengan baik. Jika merujuk kepada institusi usrah, andai usrah dikehendaki membincangkan tentang Tafsir, maka buku Tafsir surah al-Nur karya al-Mawdudi menjadi materi yang ditetapkan. Namun mengapakah surah an-Nur, dan tidak surah yang lain, mengapa tafsir al-Mawdudi, dan tidak tafsir ulama yang lain, ia tidak diperincikan. Idea-idea tentang Islam sebagai ilmu, dengan Islam sebagai sebuah ideologi politik, perbezannya samar. Dalam tempoh yang panjang, kekurangan ini menghilangkan sifat dinamik dalam pemikiran, ditambah pula dengan lingkungan pergaulan persekitaran yang monotonus (sama bidang, sama bangsa, sama bahasa, sama agama), mengurangkan tahap kesiap siagaan graduan agamawan menjadi pemimpin kepada sebuah masyarakat Malaysia yang majmuk.

Maka, dengan format kaderisasi yang seperti ini, PAS tidak boleh mengambil keputusan dengan mudah untuk menyatakan graduan bidang agama lebih baik kepimpinannya berbanding graduan bukan bidang agama. Kepimpinan bukan topik aqidah atau fiqh. Ia bersifat sistemik, membabitkan integrasi ilmu yang pelbagai, serta bakat dan kemahiran memimpin. Demikian juga aspek kewibawaan dan karisma yang perlu dibentuk kepada yang meyakinkan, bukan dipaksa. Respect is something that we earn.

Apabila saya timbulkan persoalan ini untuk dibahaskan, reaksi rakan-rakan lebih cepat pergi kepada mengandaikan saya atau mana-mana individu yang mempersoalkan idea ini mempunyai agenda tertentu. Saya bukan ahli politik. Soal akhirnya siapa yang terpilih sebagai pemimpin di dalam Muktamar, ia bukan tumpuan utama saya. Sebaliknya, apa yang lebih saya bimbangkan adalah bagaimana idea kepimpinan ulama ini dibahaskan di peringkat akar umbi. Apabila ia diperkatakan, ia bukan sekadar soal parti dan politik, sebaliknya ia membabitkan soal pandangan alam, epistemologi kita sebagai Muslim, dan seterusnya kewarasan akal fikiran dalam membuat pertimbangan. Jika baik perbahasannya, ia memperkasakan individu Muslim dan anak muda. Jika salah dibahaskan, ia menjadi racun yang merosakkan fikiran keseluruhannya.

Misalnya, boleh sahaja idea kepimpinan ulama diletakkan di dalam kenyataan berikut: jika parti dipimpin oleh ulama, mereka memimpin dengan al-Quran dan al-Sunnah, justeru kepimpinan mereka diberkati oleh Allah. Tetapi jika parti dipimpin oleh golongan bukan ulama, mereka memimpin dengan logik akal mereka semata. Bentuk kepimpinan yang bagaimanakah yang kita mahu?

Tidak mungkin jawapan yang betul boleh diberikan kepada soalan yang salah. Soalan itu sendiri sudah bermasalah, bagaimanakah jawapan yang betul hendak diberi. Akhirnya, idea kepimpinan ulama ini menjadi medan melaga-lagakan di antara ilmu wahyu dan ilmu akal yang hakikatnya bersatu di dalam epistemologi Islam. Dan kepimpinan memerlukan kesatuan itu. Bukan kesatuan di dalam organisasi, tetapi sebelumnya ialah kesatuan di dalam minda dan kepercayaan diri bahawa ia bersatu dan satu.

Untuk melaksanakan kempimpinan ulama, perlu wujud individu benar-benar layak digelar ulama. Bagaimana kelayakan untuk individu dikategorikan sebagai ulama sebelum dipilih menjadi pemimpin?

humphrey

Siapa ulama?

Stephen R Humphreys memperkenalkan istilah ‘ulamalogy’ sebagai sebuah gagasan khusus untuk memahami konsep ulama, yang sangat berkait rapat dengan konsep ilmu Islam itu sendiri. Perkembangan institusi ulama ini, bagus jika boleh dirujuk kepada pengalaman Dawlah Uthmaniyyah, kerana ia adalah kerajaan dan komuniti yang hidup di zaman transisi era klasik ke zaman moden semasa.

Katip Çelebi (1609-1657) di dalam bukunya The Balance of Truth (Mizan al-Haqq) menyentuh secara khusus berkenaan hal ini. Beliau menegur ilmuan di zamannya yang memakai gelaran ulama, sedangkan keilmuan mereka cacat. Bukan sahaja cacat kerana kualiti penguasaan satu-satu ilmu, malah cacat kerana ada ilmu yang dipelajari dan ada ilmu yang tidak dipelajari. Semasa Sultan Mehmed II (al-Fatih) menubuhkan universitinya, Medāris-i Semâniye (Sekolah Lapan), ilmu akal dan ilmu wahyu bersatu, menjadi ilmuan adalah pada menguasai kedua-duanya. Tidak terbayang seseorang menjadi ulama kerana belajar agama, tetapi menjahilkan diri terhadap matematik, fizik dan ilmu-ilmu sains tabii yang lain. Demikian juga sebaliknya. Apabila sampai ke zaman Kâtip Çelebi sekitar 200 tahun kemudian, ilmuan tidak segan silu lagi memakai gelaran ulama dan menuntut hak-hak mereka sebagai ulama, dalam keadaan mereka pincang dan bukan lagi ulama dalam erti katanya sebenarnya.

Jadi bagaimana kepimpinan Turki hari ini yang dilihat sebagai model pentadbiran contoh kepada negara-negara Islam lain?

Menjawab pertanyaan tersebut, perlu terlebih dahulu kita fahami, Islam di Turki itu Islam yang bagaimana? Biar pun ‘meta Islam’ itu satu, Islam yang difahami dan diamalkan ada karakter tertentu di lokasi-lokasi dan komuniti yang berbeza. Gottfried Hagen, mengatakan bahawa interaksi Islam dan modernisasi di Turki, kuat dipengaruhi oleh Birgivism, merujuk kepada kerangka pemikiran Birgivi Mehmed Efendi (1523-1573) yang mengharmonikan ilmu agama dengan ‘bukan ilmu agama’. Ia merupakan dasar yang amat penting dalam cabaran sekularisme semasa.

erbakan-erdogan

Al-Marhum Necmettin Erbakan dan Recep Tayyip Erdoğan, kedua-duanya datang daripada kaderisasi yang sama. Pendidikan agama yang mereka terima, andai mereka orang Malaysia, mereka akan dikenali sebagai ‘ustaz’ dan ulama. Tetapi tidak begitu halnya. Kedua-duanya menyertai politik sebagai ahli politik, bukan sebagai ulama, tidak juga sebagai ‘profesional’ (jika profesional itu diertikan sebagai antonim ulama). Maka keputusan-keputusan mereka berdua, sama ada di era Refah dan Fazilet, mahu pun di era Saadet dan Adalet ve Kalkınma (AKP), semuanya adalah keputusan ahli politik. Ada pun peranan ulama, ia boleh dirujuk kepada peranan yang pernah dimainkan oleh murabbi kepada mereka berdua iaitu al-Marhum Sheikh Mehmed Zahid Kotku. Ia adalah kelangsungan tradisi zaman berzaman Uthmaniyyah, apabila Sultan seperti al-Fatih, dinasihati oleh gurunya Sheikh Ak Şemsettin, biar pun al-Fatih itu sendiri mendalam pengetahuannya dalam ilmu agama.

Apabila Erbakan membuat keputusan yang bertentangan dengan Erdoğan, masyarakat Turki tidak berdilema pada memikirkan keputusan Erbakan sebagai keputusan ulama, manakala keputusan Erdoğan adalah keputusan anti ulama. Kedua-duanya adalah ijtihad politik, dan pertembungan mereka adalah pertembungan jalur pemikiran, dan bukan pertembungan kelompok ulama versus non ulama.

Jika mahu keputusan kita dianggap sebagai keputusan ulama, maka posisikan diri di dalam lingkungan ilmuan dan badan-badan penasihat. Apabila kita menyertai politik, maka keputusan kita adalah keputusan politik, dan keputusan politik boleh diterima mahu pun ditolak, dengan wacana adil, tanpa sentimen yang tiada kena mengena.

 Jadi, apa perlu kita bawa model pemerintahan Turki ini ke Malaysia?

Tidak perlu, Turki ada budaya tersendiri dan Malaysia ada keunikan yang tiada di Turki. Malaysia adalah gelanggang yang melihat bagaimana gerakan Islam seperti PAS berjuang di dalam sebuah masyarakat yang majmuk bangsa dan agamanya. Ia pengalaman unik, yang bukan semua gerakan Islam lain berpeluang melaluinya, hatta al-Ikhwan al-Muslimun sendiri. Sebab itu, semasa PAS berusaha mendapatkan saranan antarabangsa tentang langkah kerjasamanya dengan DAP pasca Reformasi 1998, gerakan-gerakan Islam sedunia berharap mereka dapat belajar daripada pengalaman berharga yang bakal PAS miliki ini. Sheikh Yusof al-Qaradhawi juga ada sama dalam harapan itu.

Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan keyakinan diri yang kuat untuk mewujudkan cara kita sendiri. Kita boleh melihat model dari pemerintahan negara lain. Tetapi bukan untuk dicetak, sebaliknya hanya meminjam dalam mewujudkan kerangka kita sendiri.

Untuk memperbaiki proses yang pincang ini, kita perlukan transformasi pendidikan. Agenda yang lebih besar bukan hanya pembaikan wacana dalam parti itu sendiri. Tetapi, membina semula masyarakat daripada proses pendidikan.

HASRIZAL
BB Salak Tinggi

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

thestar

Sembang Kerjaya: Bidang Syariah Bukan Pilihan Terakhir

Petikan akhbar The Star 2010 “Kenapalah kamu ambil Syariah? Nanti habis belajar nak kerja apa?” …

5 comments

  1. Pendeknya ustaz. Sedap2 baca.. eh, dah habis.. hehe

  2. Asalamualaikum Ustaz. Saya berniat untuk belajar Laws of Learning dan menggabungkan konteks agama ke dalam silabus pembelajaran sedia ada untuk mewujudkan sekolah swasta sendiri. Kalau boleh saya nak belajar daripada pengalaman ustaz sebagai pendidik dan pengurus sekolah Khalifa.

    • Saya menyokong usaha saudara. Mohon diwar-warkan setiap update tentang gerak kerja penubuhannya supaya orang awam seperti saya ini terkena juga tempias kesedarannya, dan mungkin juga dapat bantu sedikit sebanyak dalam proses ni.

  3. Assalamualaikum Ustaz.
    Saya paling tertarik dengan kesimpulan terakhir di hujung artikel ini- ‘transformasi pendidikan’. Apa yang saya faham, seruan mengintegrasikan antara ilmu wahyu dan ilmu akal telah lama digagaskan oleh dua orang tokoh ternama iaitu Ismail al-Faruqi dan Syed Naquib al-Attas dan dikenali sebagai ‘Islamization of Knowledge’. Sebagai seorang pelajar UIAM juga, saya maklum yang alma mater tempat saya menadah ilmu ini dibina atas falsafah ini sebagai interpretasi daripada seruan ‘Iqra’ (Al- Alaq: 1-5). Persoalannya, saya masih tidak jelas tentang idea islamization of knowledge secara praktikalnya. Benar, walaupun saya mengambil subjek2 jurusan sains di sini, saya juga disuapkan dengan beberapa subjek ‘university requirement’ yang berbaur agama. Adakah itu cukup ‘islamized’? Bolehkah ustaz jelaskan dalam sebuah artikel yang khusus tentang pandangan ustaz mengenai idea transformasi pendidikan yang ideal utk rakyat? Juga, saya pernah terbaca sebuah artikel tulisan UZAR tentang cadangan beliau mengenai model proses pendidikan utk menghasilkan ulama Malaysia berkualitikan Syeikh al-Qaradawi. Apa pula saranan dan pandangan ustaz tentang perihal ini? Jazakallah.

  4. Assalamualaikum. Bismillahir Rahmanir Rahim.
    UHAJ, ana mohon kebenaran untuk merujuk penulisan dan pencerahan mengenai perjuangan hiraki yang ustaz tulis. Saya sekarang terlibat dengan Cawangan dan Kawasan di bawah PAS untuk memantapkan struktur organisasi dan gerak kerja. Penulisan sangat bisa (meminjam dialek Indonesia) membuat kefahaman saya jelas dan berani untuk memberi pendapat bersandarkan kepada penulisan ustaz. Mohon izinnya ya UHAJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *