Perginya Murabbi Yang Setia Dengan Kebenaran

tgheathrowHeathrow London, 1999

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! PAS menang di Kelantan! Angkatan Perpaduan Ummah!” kami di asrama bersorak gembira.

Ada yang mengetuk baldi, mengibarkan kain pelekat, bertakbir apabila keputusan pilihanraya umum 1990 diumumkan di televisyen asrama sekolah. Kemenangan itu bukanlah kemenangan politik kerana kami budak-budak sekolah menengah ketika itu, apalah sangat yang kami faham tentang politik. Tetapi mentaliti saya yang ketika itu di Tingkatan 3, menafsirkan keputusan pilihanraya umum itu sebagai sebuah kemenangan Islam.

Kebangkitan Islam!

1990 adalah tahun pertama, saya mengenal nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Begitu juga kebanyakan rakyat Malaysia ketika itu. Saya mengenalinya melalui akhbar Harakah, bahawa beliau adalah seorang ulama’, yang memimpin secara Islam. Islamnya bukan sekadar pada parti yang diwakili. Tetapi Islam pada cara hidupnya. Biar pun sudah bergelar Menteri Besar, beliau masih mengekalkan keadaan hidupnya yang serba sederhana.

Keinginan untuk mengenali Tuan Guru Nik Abdul Aziz, membawa saya kepada pengembaraan seorang diri pada tahun berikutnya semasa di Tingkatan 4. Perancangan asal adalah untuk mengaji Tasawwuf dengan seorang Tuan Guru di Kuang bersama rakan karib saya Zaharuddin Abdul Rahman. Abah bekalkan saya RM100 untuk perjalanan tersebut dan berpesan agar berjimat cermat dan berhati-hati. Setibanya di Puduraya dari Ipoh, Zaharuddin memberitahu saya bahawa Tuan Guru berkenaan sakit dan membatalkan kelasnya. Saya yang sudah bersemangat dalam kembara ilmu, berat hati untuk pulang ke Ipoh begitu sahaja.

“Kalau macam tu, ana pergi Kelantan. Ana nak tengok rupa Kelantan selepas kemenangan Islam. Anta nak ikut?” saya mengusik Zaharuddin.

“Tak apalah akhi. Anta pergilah” Zaharuddin menolak pelawaan saya.

“Anta tak suka politik ya?” saya mengusiknya.

Beliau tersenyum, dan kami berpisah.

KUNJUNGAN KE KOTA BHARU

kota-bharu-jalan-temenggong-zaman-80anFoto Ihsan muhammadismailibrahim.wordpress.com

Saya nekad memberanikan diri ke Kota Bharu untuk meninjau bagaimanakah rupanya sebuah bandar yang diperintah dengan pemerintahan Islam. Perjalanan jauh bas ekspres ketika itu berbaloi. Selain terkejut apabila bas berhenti untuk solat Subuh (ini sudah luar biasa), saya tambah terkejut kerana sebaik tiba di stesyen bas Kota Bharu, saya nampak orang berpusu-pusu ke sebuah bangunan bertulis Dewan Zulkifli Muhammad.

“Ramai-ramai ini, pergi ke mana, bang?” saya menyapa seorang lelaki di jalanan.

“Nak pergi dengar kuliah Tuan Guru. Sikit lagi akan bermula” katanya.

“Tuan Guru Nik Abdul Aziz?” saya teruja.

“Yo lah!” katanya dalam loghat Kelantan yang pekat.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya pun mengikut arus orang ramai. Hebatnya Kelantan. Menteri Besar mengajar agama kepada rakyatnya. Orang berpusu-pusu mengejar ilmu. Saya tumpang bersila di atas surat khabar di kaki lima kedai buku Syarikat Jaffar Rawas. Berbunga-bunga hati mendengar secara ‘live’ suara Tuan Guru Nik Abdul Aziz, walaupun saya tidak faham mana. Asyik mendengar hingga terlupa perut yang kelaparan. Biar pun tidak dapat melihat kelibatnya, dapat dengar suara pun jadilah.

Saya duduk di sekitar Masjid Muhammadi sehingga Maghrib sebelum mengambil bas Rasima Ekspres untuk kembali ke Ipoh malam tersebut. Puas hati. Kelantan memang Serambi Mekah. Era ini era kebangkitan Islam!

SEBELUM BERKELANA

1993, selepas mendapat keputusan SPM, saya dan sahabat seperjuangan tahu, kami semua akan berpisah membawa haluan masing-masing. Saya bakal ke Jordan, rakan-rakan yang lain pun akan ke destinasi pengajian yang tersendiri.

Sebelum berpisah, kami mahu mengadakan satu pengalaman yang akan menjadi azimat bekalan musafir kami menuntut ilmu. Selepas berpakat, kami memandu van sewa untuk menjelajah seluruh Malaysia bertemu dengan alim ulama, meminta nasihat mereka buat kami anak muda yang sedang menjejak perjalanan yang pernah mereka tempuhi.

tgna090
Persinggahan di Pondok Pasir Tumbuh

Salah satu destinasi kami adalah Pulau Melaka, di Kelantan.

Petang itu kami tiba di kediaman Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Entahlah ada rezeki atau tidak untuk bertemu. Siapalah kami.

Setibanya kami di perkarangan rumah Tuan Guru, kami ternampak seorang lelaki berketayap berbaju Pagoda berada di atas bumbung rumah. Seorang lelaki datang kepada kami memaklumkan yang Tuan Guru Nik Aziz sedang bertukang membetulkan bumbung rumahnya. Jika kami berhajat untuk bertemu dengan beliau, datanglah ke Masjid Pulau Melaka subuh nanti dan jumpa Tuan Guru selepas beliau habis berkuliah, mengupas kitab Ihya’ Ulum al-Din.

tgna091
Di perkarangan rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

“Subhanallah, seorang Menteri Besar sedang bertukang di bumbung rumahnya!” saya mengomel sendirian.

Tidak ada contoh sebegini yang pernah kami saksikan dalam hidup zaman ini.

Kami mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di Masjid Pulau Melaka. Masjid itu masih dalam proses pembinaan. Dengan beberapa ringgit yang ada di dalam dompet, kami bersedekah seadanya mengharapkan agar projek masjid tersebut siap dan berfungsi sepenuhnya.

tgna092
Di Tasik Banding

Keesokan pagi, seperti yang dijanji, kami mendengar kuliah Tuan Guru, usai beliau mengimamkan solat subuh. Saya masih ingat butiran kuliah itu.

“Istighfar kita hari ini, berhajatkan satu istighfar yang lain. Kita beristighfar meminta ampun kepada Allah, tetapi kita tidak memaksudkannya. Kita tidak menyesali dosa yang kita lakukan. Kita minta ampun yang kita tidak minta. Maka beristighfarlah atas istighfar yang cacat itu” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Saya hiba mendengarnya. Kuliahnya bersahaja, tetapi hati anak muda ini amat tersentuh.

tgna093Bergambar di hadapan ibu pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Selepas subuh, kami merapati Tuan Guru, memperkenalkan diri dan menyatakan hajat kami sebagai penuntut ilmu. Tuan Guru berpesan, “ikhlaskan hati belajar lillahi Ta’ala, kuatkan semangat, bersungguh mengaji, dan jauhkan diri daripada maksiat.”

Nasihatnya ringkas. Namun kami sungguh menghargainya.

10150166470178273Bergambar di hadapan Masjid Pulau Melaka yang masih dalam pembinaan

Kami kepingin untuk bergambar dengan Tuan Guru. Tetapi pada zaman itu, rasanya seperti tidak beradab meminta bergambar. Terasa malu yang amat sangat. Biarlah semuanya tersemat di ingatan. Cukup sekadar bergambar di hadapan Masjid Pulau Melaka, tidak dengan Tuan Guru di sebaliknya. Tuan Guru, di hati dan memori, sudah memadai.

tgna094Kami bakal menyusulimu. Asim Saleh yang mengambil foto ini telah kembali ke rahmatullah mendahului kami semua

Selepas terbang ke Jordan, pernahlah beberapa kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz singgah. Kami mengambil peluang hadir mendengar nasihat-nasihat beliau selaku pemimpin PAS, dan terlebih utamanya sebagai Tok Guru.

Nasyid “Kemenangan Kita” yang saya hasilkan untuk membantu kempen Pilihanraya 1995

KENANGAN DI UK

1999, Hizbi UK dan Eire menjemput Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebagai tetamu undangan. Jika Menteri Besar negeri lain, tentu sahaja pihak Kedutaan menyambut VVIP ini di Lapangan Terbang Heathrow. Tetapi tidak bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kami para pelajar yang menyambutnya di Heathrow.

Saya yang ketika itu bermastautin di London menyertai rombongan mengiringi Tuan Guru untuk ke Birmingham. Dalam perjalanan ke sana, kami bermalam di Coventry. Malam itu semua orang tidur dalam keadaan letih. Tanpa diduga, tidak lama menjelang subuh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menggerak kami, memaklumkan yang beliau berqiamullail dan jika ada yang mahu bersama, beliau alu-alukan.

Saya menggosok-gosok mata. Terkejut, kehairanan, dan malu-malu alah lalu bangun menyertai qiamullail Tuan Guru.

Semasa bersarapan, saya bertanya kepada Tuan Guru, bagaimana beliau boleh bangun berqiamullail walaupun berbeza waktu antara Malaysia dan UK. Adakah kerana jetlag, atau beliau tidak tidur sepanjang malam? Tuan Guru menjawab dengan lebih kurang maksudnya, “satu-satu benda tu, apabila kita dah suka, kita pergi mana pun dia ikut kita”

Kehadiran Tuan Guru di Birmingham disambut secara besar-besaran oleh komuniti Malaysia di seluruh UK dan Ireland. Tambahan pula Malaysia di tahun itu sedang panas dengan Reformasi. Mata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebam dalam tahanan, membakar kemarahan rakyat Malaysia di seluruh dunia.

“Kalau boleh, ana nak merasa salji. Kali terakhir ana merasa salji adalah semasa belajar di Kashmir” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, menyuarakan hajatnya.

Aduh, bagaimana kami hendak mencari salji. Kini sudah menghampiri Krismas tetapi salji belum turun. Ramailah pemimpin pelajar merancang untuk membawa Tuan Guru ke Scotland usai program di Birmingham, demi memenuhi hajatnya. Tetapi, hadiah daripada Allah barangkali, semasa giliran Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di pentas, salji turun selebat-lebatnya di Birmingham. Ceramah Tuan Guru ditangguhkan, dan kami semua ke luar dewan bermain salji. Bukan tidak biasa dengan salji. Tetapi salji kali ini adalah salji harapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

london

Semasa beliau singgah di London, saya bertanya kepada Tuan Guru satu soalan yang sensitif. Saya tanya, “kalau Tuan Guru tidak menjadi Menteri Besar atau ahli politik, apakah yang akan Tuan Guru lakukan barangkali?”

Tuan Guru menjawab, “ambo suka mengaji. Jika tidak berpolitik ambo nak sambung mengaji. Tetapi mengaji dan politik payah nak buat bersama. Sepertinya kena memilih satu antara dua.”

Itulah jawapan ringkas beliau.

Dan itulah juga secebis kenangan saya bersamanya.

Saya tidak banyak mengingati Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai seorang ahli politik. Mungkin sebab saya sendiri bukan orang politik. Tetapi saya akan sentiasa mengenang beliau sebagai seorang tokoh ummah, yang dalam puluhan tahun menempuh badai memperjuangkan Islam di dalam PAS dan di negeri Kelantan, beliau akan saya kenang sebagai seorang Muslim dan Mukmin yang SETIA DENGAN KEBENARAN.

tgna-2015

Pergilah ayahanda Tuan Guru kembali kepada Tuhanmu yang Maha Tinggi. Berehatlah engkau dari segala kebejatan dunia. Malam ini engkau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Meninggalkan kami yang masih tidak keruan dalam mencari sinar di hujung perjalanan.

Pada detik engkau pergi buat selamanya, hatiku tertanya-tanya, adakah kami engkau tinggalkan masih dalam rentak kebangkitan Islam? Jawapan itu kembali kepada kami, untuk melakukannya.

Moga ada pertemuan kembali kita dalam perhimpunan Akhilla’, ameen.

 اللهم اغفر له، وارحمه، وعافه، واعف عنه، وأكرم نُزُله، ووسع مُدخلهُ، واغسله بالماء والثلج والبرد، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، وأبدله داراً خيراً من داره، وأهلاً خيراً من أهله، وزوجاً خيراً من زوجه، وأدخله الجنة، وأعذه من عذاب القبر

HASRIZAL
43000 BSP
12 Februari 2015/23 Rabiul Akhir 1436H

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

18 comments

  1. NOORITA SALLEH

    Saya tidak pernah menangisi mangkatnya mana2 pembesar negara sblm ini, tp entah mengapa pilunya hati saya dgn berita pemergian Almarhum TGNA ni…

  2. sebak je dada baca perkongsian dalam entry post ni.. teringat Tok Guru Nik Aziz bersusah payah dia nak laksanakan Islam sepenuhnya di Malaysia..

  3. Artikel benar-benar membuatkan saya kenal dengan ustaz dan saya selesa dengan apa yang saya lakukan. Berada dalam PAS tidak beerti andai kita menjadi lembu dicucuk hidung. Berada dalam PAs tidak beerti andai kita tidak dapat mengajak sahabat2 kita bersama-sama memahami PAS. Berada dalam tidak beerti andai kita suka merendahkan orang atau jemaah lain. Berada dalam PAS beerti bila kita setia dengan kebenaran, jauh dari maksiat,mengajak manusia berdidikari dengan agama dan memperjuangkannya!

  4. Innalillahi wainnailaihi rojiun

    Mudah mudahan masih ada ramai lagi pemuda seumpama TGNA di tanah air Malaysia, yg hanya menunggu masa utk menampilkan diri utk mengetuai rakyat yg kebanyakannya seolah olah kehilangan hala tuju dan goyah pegangan.

  5. Semoga TGNA tenang di sana…seorang murabbi tersohor..

  6. Al-fatihah…..ameen..takziah kpda kluarga tok guru…..kami ank muda akn truskan perjuangan islam di malaysia dn di dunia…..in shaa allah…..

  7. Tuhan… coretan ini begitu indah…

  8. Subhanallah, cantiknya memori ini 🙂

  9. Al fatihah… Kami rindu akan tok guru

  10. Never split into a lot more than 2 pieces unless
    you undefstand you might be 100per cent secure.

  11. Thanks for ones marvelous posting! I really enjoyed reading it, you could be a great author.
    I will ensure that I bookmark your blog and will come back down the road.
    I want to encourage you to definitely continue your great job, have a nice weekend!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *