Muzik Kita Daripada Cat Stevens ke Yusuf Islam

yusufislam1

Saya tergamam. Kaget dengan kata-kata Cat Stevens, “I know, I have to go away”.

Itu adalah bait-bait yang dialunkan olehnya di dalam lagu Father and Son, sebagai lagu perpisahan beliau kepada dunia muzik, selepas memeluk Islam pada tahun 1977. Konsert itu didedikasikan kepada peminatnya kerana Cat Stevens mahu pergi. Pergi setelah melafazkan syahadah semasa berada di puncak kegemilangannya sebagai seorang artis bertaraf antarabangsa.

Katanya hari itu, “we’ve only got one life, and we’ve got to do the best with it. And you’ve got to find the right path, and when you do, you know it. I pray that you find the right path. Insha Allah. GOOD BYE, ASSALAMUALAIKUM!”

Itulah titik perpisahan Cat Stevens dengan seluruh dunia muzik yang ditinggalkannya. Beliau kemudiannya menjadi YUSUF ISLAM.

SAYA DAN CAT STEVENS

Semasa kecil, hidup di akhir 70′an saya amat terdedah kepada muzik. Minat saya kepada muzik sangat mendalam. Pernah ketika di Darjah 2, saya memberitahu kepada cikgu, bahawa cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang penyanyi.

Salah satu daripada album yang saya miliki semasa di usia itu adalah Tea for the Tillerman, iaitu album Cat Stevens tahun 1970, yang memuatkan lagu favourite saya iaitu FATHER AND SON.

Lama saya mengenali Cat Stevens kerana minat saya kepada muzik, tanpa mengetahui yang ketika itu beliau sudah pun berhijrah ke dunia Yusuf Islam.

SAYA, MUZIK DAN PEMUZIK

Minat yang begitu mendalam kepada muzik, menjadikan subjek muzik sebagai subjek kegemaran saya semasa di sekolah rendah. Miss Cicellia yang menjadi guru muzik saya, adalah salah seorang guru yang paling saya sayangi, di samping Ustazah Halimah, guru agama saya ketika itu.

Semasa di Darjah 2, saya menyertai pasukan pancaragam sekolah dengan alat muzik flute selama setahun, tetapi ketika di Darjah 3, saya ditawarkan untuk mencuba trumpet. Saya jatuh cinta dengan trumpet dan mempelajarinya secara serius bersama  Cikgu Khoo.

Mungkin bakat itu ada di situ, saya menguasai dengan baik alat muzik berkenaan sama ada dari segi teknik memainkannya, mahu pun penguasaan note dan berjinak-jinak dengan mencipta lagu. Tatkala masuk dua tahun saya menjadi pemain trumpet, saya dihadiahkan oleh pihak sekolah dengan trumpet berjenama YAMAHA berharga RM300 yang menjadi milik eksklusif saya hingga ke Darjah 6.

vizzuttitrumpet-yamaha
Vizzutti Trumpet- Yamaha

Maka setiap kali berlangsungnya sukan tahunan, dan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak, saya akan muncul sebagai pemain trumpet yang sering menarik perhatian ramai, dek bunyinya yang begitu kuat, hampir menenggelamkan bunyi alat muzik lain. Gelaran “budak trumpet” lekat bersama saya, bertahun-tahun lamanya.

HIJRAH SAYA

“Awak masa sekolah menengah nanti, janganlah sekolah jauh-jauh. Nanti senang kami nak panggil awak ke sekolah untuk ajar pelapis”, kata cikgu muzik saya semasa mengisi borang-borang tawaran ke sekolah menengah.

“Baik cikgu. Saya pasti rindukan trumpet saya satu hari nanti”, saya memeluk beg trumpet semasa menyerahkannya kepada sekolah. 3 tahun saya menggendong trumpet itu bersama beg sekolah, melepaskannya terasa bagai suatu kehilangan.

Ketentuan Allah, saya melanjutkan pelajaran ke sekolah agama.

Biar pun SMA Izzuddin Shah tidaklah jauh dari sekolah rendah saya, tetapi sekolah agama ini telah mengubah haluan hidup ini. Tidak perlu menunggu lama, seawal minggu orientasi di Tingkatan 1, saya tersungkur di hadapan sebuah penemuan.

Tazkirah Ustaz Muhammad, guru matematik saya, tentang tujuan dan maksud hidup telah meninggalkan saya basah tenggelam dengan air mata di surau selepas subuh itu. Saya tidak berdaya bangun kerana terasa seperti seorang bayi yang baru lahir.

Bermulalah zaman Islam, ‘alam jahiliah’ saya tinggalkan.

MUZIK DI ‘ERA ISLAM’ SAYA

Seperti artis pujaan saya, Cat Stevens, saya memilih untuk meninggalkan sepenuhnya minat saya kepada trumpet dan muzik. Suasana zaman itu memberi pilihan sekadar dua, iaitu sama ada muzik itu haram secara mutlak, atau kamu menerima sahaja muzik sebagai jahiliah diri.

Saya tinggalkan alat muzik dan lagu.

Tetapi saya tidak mampu meninggalkan muzik.

Dalam rancak saya menghafal al-Quran di usia awal belasan tahun, saya masih mencari irama untuk mengisi nota-nota muzik di dalam kepala.

Ketika itulah saya menjadi peminat kumpulan nasyid Nadamurni. Nasyidnya sunyi dari alat muzik tetapi irama, lirik dan roh yang menghidupkannya sungguh berbekas di jiwa. Kekosongan lagu tanpa alat muzik tidak terasa kekosongannya kerana lirik dan irama yang ‘bernyawa’. Tidak ada satu pun album kumpulan Nadamurni yang saya tidak miliki.

Malah ketika itu juga alunan nasyid dari kumpulan Aspirasi Seni, Usrah al-Wadi dari Mesir mula mengisi diri saya.

Nasyid adalah dunia saya. Muzik tidak lagi. Syukur juga era awal 90′an kesemua genre Rock di Malaysia diisi dengan lagu-lagu Rock Kapak yang langsung tidak mengujakan saya. Malah menambah rasa tidak suka dan memudahkan proses hijrah saya.

Terkenang semasa di Tingkatan 5, saya selaku Presiden BADAR telah membuat pemeriksaan mengejut di asrama Blok B. Semasa memeriksa locker seorang pelajar Tingkatan 3, saya sedikit teruja melihat begitu banyak kaset nasyid di dalamnya. Entah kenapa, terdetik pula hati mahu mencuba kaset tersebut.

Allahu Akbar! Saya amat terkejut.

Rupa-rupanya semua kaset itu berisi dengan lagu Rock. Tentu sahaja saya mengenali lagu-lagu itu kerana saya membesar dengan lagu When the Smoke is Going Down, Still Loving You dan Fly to the Rainbow dendangan Scorpions semenjak usia pra sekolah. Pengaruh abang-abang saya pun ya juga. Mereka yang fanatiknya. Saya mendapat tempias sama.

Saya tidaklah begitu marah hingga melenting kalau pelajar ini mendengar lagu Rock. Tetapi saya amat marah kerana dia menyembunyikan lagu-lagu rock itu dengan melakukan dubbing ke dalam kaset nasyid. Ini satu kemunafikan!

Panggg!!!

Pelempang saya melayang ke muka pelajar itu. Jika pelajar itu yang saya masih ingat namanya hingga ke hari ini membaca artikel ini, maafkan saya atas kekasaran di masa itu.

DIA JUGA BERHIJRAH

Semasa di Tingkatan 2 (1989), saya berjumpa dengan album Afghanistan of Islam dendangan Yusuf Islam.

“Hairan, suaranya seperti Cat Stevens!”, saya bermonolog sendirian di dalam bilik semasa mendengar lagu-lagu nasyid tanpa alat muzik dendangannya.

Allah! Saya tergamam.

Sungguh mengejutkan, dan betapa lewatnya kejutan saya itu, tatkala mengetahui yang Cat Stevens telah memeluk Islam. Yusuf Islam itu rupa-rupanya nama bekas artis yang menjadi minat saya. Justeru, lagu-lagu seperti Father and Son, Wild Wild World, Morning Has Broken dan lain-lain telah lama saya tinggalkan,  kini ia berganti dengan nasyid seperti A Is For Allah di dalam kaset itu.

DI JORDAN

Minat kepada muzik masih terpendam di dalam diri.

Tetapi ia tidak pernah saya layan kerana pendirian yang berpegang dengan pandangan ulama yang mengharamkan muzik. Akan tetapi jujurnya, segala nota muzik yang saya mainkan semasa di sekolah rendah, masih mampu saya tulis kembali kerana ia sangat berbekas di dalam ingatan.

Malah tiga jari saya masih mampu menggerak-gerakkan diri mengikut nota itu, biar pun sudah hampir sedekad saya berhijrah.

Semasa di Jordan, saya terus membaca dan mengkaji pandangan Ulama tentang muzik. Selepas seminar pembentangan kertas kerja berkumpulan yang dibuat di Irbid, saya berpuas hati dengan kesimpulan kertas kerja Ustaz Wan Muhammad Wan Sulong bahawa muzik tidak haram secara mutlak dan literal, tetapi ia bersangkut paut dengan hal berkaitan uruf. Berkenaan dengan perkara-perkara cela yang dikaitkan dengan muzik seperti zina, arak, dan hal-hal yang seumpama dengannya.

Ada ruang untuk muzik.

Di dalam ruangan itulah saya mengisi kecenderungan diri dengan memanfaatkan Ilahiler dari Turki. Lagu-lagu yang dihasilkan oleh tokoh seperti Mehmet Emin Ay, Mustafa Demirci, Mesut Cakmak dan Ahmet Ozhan memberikan kepuasan kepada saya. Bukan sahaja lirik-liriknya indah (banyak menggunakan syair), malah sentuhan irama dan music arrangement yang dipersembahkan sangat harmoni dan membangkitkan semangat, emosi dan kekuatan dalaman diri.

Sentuhan muzik Turki dan cabang-cabangnya memang kaya. Bahkan itulah yang turut sama menyentuh Yusuf Islam tatkala beliau cuba melakukan sesuatu yang memberikan impak terhadap tragedi Bosnia Herzegovina di pertengahan 90′an.

“Sungguh mengejutkan. Pertemuan saya dengan komuniti Muslim Eropah telah membuka satu lembaran baru kepada diri saya”, kata Yusuf Islam.

Bakatnya di dalam seni, menyentuh dunia dengan kemunculan albumnya ketika itu iaitu I Have No Cannons That Roar.

Di samping al-Quran, inilah muzik yang mengiringi kehidupan saya.

Nasyid-nasyid ‘moden’ yang datang dari Malaysia semakin sukar untuk saya hayati. Terasa kering dan hambar, malah menyebut ‘Tuhan’ pun tidak mencetuskan ingatan kepada ‘Tuhan’. Terasa lagha mendengar nasyid!

Saya membenci lagu-lagu kosong, tetapi saya juga membenci nasyid yang kosong. Saya terus mencari muzik berisi yang dihasilkan oleh pemuzik sendiri.

DI ENGLAND

Selama bermastautin di London, muzik yang saya dengar masih lagi dalam lingkungan Ilahiler Mehmet Emin Ay dan Mustafa Demirci yang saya beli dari kedai-kedai buku milik orang Turki. Album Gülbeste, adalah keindahan yang banyak menghiasi hari-hari saya di kota London. Tentu sahaja rakan-rakan membasuh pinggan di Malaysia Hall, masih terngiang-ngiang dengan lagu Turki yang saya perdengarkan kepada mereka saban hari.

Peluang berada di London juga saya manfaatkan untuk melihat Yusuf Islam.

Syukur, saya berpeluang menghadiri circle ceramah beliau di Central Mosque London (Regent’s Mosque) yang diadakan pada hampir setiap hujung minggu. Biar pun tiada lagu atau petikan gitar darinya, saya terus mengagumi Yusuf Islam pada kesungguhannya mengembangkan potensi diri melakukan sesuatu yang memberikan impak kepada Muslim dan dunia secara umumnya.

Ada ketikanya, saya merayau-rayau di Leicester Square kerana mencari buku. Sesekali saya terkenangkan Cat Stevens yang lahir di kawasan sekitar London Soho itu. Maha Suci Engkau ya Allah, di tempat seperti itu lahirnya seorang insan hebat yang dulunya bernama Steven Georgiou, dan kini menjadi pejuang agama-Mu dengan nama Yusuf Islam!

DI IRELAND

Tatkala bermastatutin di Ireland, saya senang sekali mendengar lagu-lagu Cat Stevens dengan iringan hamparan permaidani hijau dan biri-biri Irish di kiri dan kanan jalan. Perjalanan ke Galway dan Letterkenny untuk bertemu isteri, sungguh damai terutamanya ketika saya mendengar aluran irama Morning Has Broken dendangan Cat Stevens.

Sungguh, biar pun beliau dikenali sebagai seorang Pop Star, kebanyakan lagu Cat Stevens, khususnya selepas beliau terselamat dari serangan TB, amat soulful dan memberikan kepuasan kepada jiwa yang mencari makna.

Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, seorang bapa meminta saya menulis surat sokongan anaknya yang mahu dimasukkan ke ISLAMIA SCHOOL, sekolah milik Yusuf Islam di England. Itulah kali pertama saya berhubung dengan Yusuf Islam dan ia menjadi suatu pengalaman yang akan saya kenang sepanjang hayat.

DIA KEMBALI

yusufcafe

Pada tahun 2010, saya telah membeli sebuah DVD, bertajuk Yusuf’s Cafe Session. Ia merakamkan persembahan Yusuf Islam di Porchester Hall pada tahun 2007.

Ia adalah sebuah persembahan yang sangat menyentuh perasaan. Tambahan pula DVD ini disertakan dengan dokumentari perjalanan hidup beliau, komentar-komentar pelbagai pihak tentang ‘COMEBACK’ beliau ke industri muzik, termasuklah komen rakan lama Yusuf Islam iaitu Dolly Parton, Bob Geldof dan lain-lain.

Sedutan konsert di Porchester Hall tersebut

Sudah tentu, isi kandungan utama DVD ini adalah kompilasi persembahan Yusuf Islam dari album pertamanya setelah 28 tahun meninggalkan dunia muzik, iaitu An Other Cup.

Namun, apa yang menyebabkan saya begitu terkesan dengan DVD ini adalah kerana dokumentari yang dipaparkan membantu saya memahami apakah yang menarik Yusuf Islam keluar dari industri muzik, dan apakah yang membawanya pulang semula. Temuramah yang diselitkan dengan komen oleh Sheikh Hamzah Yusuf sangat menarik untuk ditonton.

Yusuf Islam mengambil masa yang lama untuk memproses pandangannya tentang muzik.

Saya tidak pasti apakah saya benar-benar telah memahami proses itu, namun hasil pengalaman berwacana dengan saudara-saudara baru di Ireland, saya pernah membuat kesimpulan bahawa itulah cabaran yang sering melanda saudara baru yang memeluk Islam di negara Barat. Perpindahannya dari alam jahiliah kepada Islam yang satu, menyulitkannya untuk melihat kepelbagaian yang ada di dalamnya. Bukan kepelbagaian Islam, tetapi kepelbagaian tafsiran tentang cabang-cabang Islam yang membuka dan menutup ruang ekspresi diri. Syahadah perpindahan dari kufur kepada iman, membentuk polarised thinking yang menjadikan segalanya hitam versus putih.

Atau mungkin sahaja era 80an itu terlalu terkesan dengan insiden-insiden besar. Revolusi Iran yang menamatkan era 70an, peperangan Afghanistan, menjadikan Muslim defensif dan sulit untuk berintegrasi dengan persekitarannya.

Saya terkesan dengannya.

Yusuf Islam nyata amat terkesan dengannya.

Hanya selepas engagement menjadi luas, Yusuf Islam sampai kepada konklusi:

“There’s certainly a change in the wind, and the way in which there is now a chance for a new understanding of the moderate middle path of Islam, because the extremes have been exposed”

Yusuf Islam sendiri pernah dikaitkan dengan keganasan semasa pengisytiharan fatwa oleh Khomeini terhadap Salman Rushdie, malah pelbagai insiden lain membabitkan Sheikh Omar Bakri Mohammed dan lain-lain. Namun Yusuf Islam tetap Yusuf Islam, kalimah yang menjelaskan apa agamanya dan siapa dirinya, ‘keamanan’ terus menjadi mesej utama beliau.

Biar apa sekali pun jenis muzik yang Yusuf Islam hasilkan, akan tetap ada orang yang menyebut, “muzik itu haram”. Tetapi bagi yang mengenali Yusuf Islam, sesungguhnya beliau tidak akan melakukan sesuatu yang nyatanya, bertentangan dengan Islam!

Beliau adalah contoh insan yang setia dengan kebenaran, dalam dunia yang berbeza daripada persekitaran kita.

“And that’s perhaps the best thing I can do right now because to express myself in music is much easier than for me to give a lecture. Because you can argue with a philosopher but not with a good song. And I think I have got a few good songs”

bukuyusufislam

Naskhah terbaru beliau, Why I Still Carry A Guitar: The Spiritual Journey of Cat Stevens to Yusuf dilancarkan baru-baru ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015. Saya tidak berkesempatan hadir. Namun dengan bantuan sahabat, saya memperolehi naskhah, bersama tandatangan Yusuf Islam!

Saya mengirim soalan, bertanya apakah pelajar di Islamia School, sekolah milik Yusuf Islam, berpeluang belajar muzik? Saya benar-benar mencari Islamic School yang ada subjek muzik. Beliau memberitahu bahawa buat masa ini kurikulum sekolah mengajar lagu dan muzik menggunakan duff dan alat muzik tradisi, belum mengajar percussion sepenuhnya, tetapi dirancang untuk menuju ke arah muzik sepenuhnya.

Saya akan secara spesifik mengikuti perkembangan ini Insha-Allah.

Daripada Cat Stevens kepada Yusuf Islam.

Dia kembali mengisi, saya kembali terisi.

HASRIZAL
Saifulislam.Com

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

3 comments

  1. Assalamualaikum ustaz.

    Hands Down Ustaz! My all time favorite song too! Even Boyzone’s version of Father & son can never beat the original. Can’t refrain myself to comment on this article.
    P/s: Izinkan saya mencampur-aduk bahasa di dalam comment saya di bawah.

    Saya pernah dibesarkan dengan nasyid2 Yusuf Islam di akhir 80’an. Ini antara bait2 lirik yang saya masih ingat2 lupa:
    “One day I woke up early, I found the sun was high,
    One day I slept quite early I found the moon was high,
    I opened the Holy Quran and found to my delight
    The sun is but a reflection of Mr.Moon so high

    2. Bismillah, bismillah, before we eat we say Bismillah,
    Bismillah, Bismillah, before we drink we say Bismillah,
    Before we eat and before we drink, we must all say Bismillah,
    Bismillah, in the name of Allah, in the name of Allah,
    We are Muslims, we must all say Bismillah to start the day.

    Nyata saya keliru apakah lirik sebenar lagu ini. Saya menghafal lagu2 itu sewaktu saya masih berusia 6-7 tahun. KEmudian kami pulang ke Malaysia dan kaset yang dibawa bersama terus hilang dan sehingga kini lansung tak jumpa. As time passed, saya juga sudah keliru benarkah lagu2 yang saya hafal sejak tadika itu benar2 nyanyian Yusuf ISlam. At least thats what my parents has been telling me back then 🙂

    After more than 20yrs, Sewaktu bertemu kembali dengan saudara yang masih tinggal di sana, saya bertanya mereka do they still recognize those songs i try my best to sing according to whatever lyrics I still manage to retain in my head. Tetapi they seem to have no recollection whatsoever to those songs. Satu yang pasti kerana nyanyian sumbang saya. Dan satu lagi, kerana lagu itu mungkin dihasilkan utk album kanak2, and it seems like those friends who grew up with me there, may have not grew up with the songs, or they simply outgrew them.

    Anyway UStaz, tujuan saya beria-ria menaip lirik2 yang bertaraf maudhu’ itu adalah, bila suatu hari nanti Ustaz berkesempatan bertemu Yusuf Islam, kalau Ustaz mungkin dapat bertanyakan kepada Yusuf ISlam, adakah baik2 lirik itu benar2 dinyanyikan oleh beliau, dan adakah beliau dapat membuat kompilasi album sejak 80’an sewaktu beliau sudahpun dikenali sebagai Yusuf Islam.i remembered there were alot of very good songs in there, Lagu tala’ al badru alayna juga ada kelainian dengan versi yang biasa kt dengar skrg – though the tunes and lyrics are very vague and hidden somewhere in the corners of my brain, but it would be a dream come true for me, kalau dapat mendengarnya kembali dan membesarkan anak2 saya dengan bait2 yang sama 🙂

    And if I may suggest Talib alHabib and Dawud Wharsnby Ali? (though for your love of music and nasyid in specific, i’m pretty sure this must not have been your first introduction to them anyways :))

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *