Gerhana Gerakan Islam: Pada Mengabaikan Rukun al-Fahmu

jordan1990s

Permulaan kepada setiap perbuatan kita adalah ilmu yang difikir.

Hatta semasa bertaqlid buta sekali pun, ada secebis ilmu yang difikir lalu menggerakkan kita bertaqlid.

“Dia itu kuat beribadat, orang baik-baik, tentu pendapatnya baik dan betul. Ikut sahajalah dia!” seorang pentaqlid berhujah.

Dalam hujahnya itu, ada kebenarannya, kalau pun tidak sepenuhnya.

Demikianlah manusia, kurniaan Allah paling berharga bagi dirinya adalah akal yang berfikir. Lalu Allah muliakan ilmu pengetahuan sebagai bahan fikir akal berkenaan. Lebih banyak ilmu dicari, akal berfikir, bertambahlah fahamnya seseorang itu, dan meningkatlah darjatnya daripada satu kedudukan kepada kedudukan yang lebih baik.

58_11

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan  (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. [al-Mujadilah 58: 11]

Betullah saranan Hasan al-Banna yang meletakkan rukun pertama komitmen seseorang kepada gerakan Islam dan perjuangannya adalah AL-FAHMU yakni FAHAM. Gerakan Islam bukan sebuah kerajaan yang boleh menguatkuasakan tindakan ke atas ahlinya. Sebaliknya hubungan dan komitmen ahli kepada sebuah gerakan boleh menjadi lebih teguh dan luhur berbanding ketundukan masyarakat kepada peraturan hasil sebuah penguatkuasaan. Dan komitmen berkenaan adalah berteraskan 10 rukun, yang pertamanya adalah FAHAM.

FAHAM bukan sekadar tahu.

FAHAM adalah pengetahuan yang melunakkan hati untuk terlebur dalam sebuah penerimaan, menatijahkan keyakinan.

Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami fahami, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini. – Hasan al-Banna

rumusanfikrahalbanna

20 usul yang mensyarahkan al-FAHMU seperti yang digariskan oleh Hasan al-Banna, tidak menjadikan Ikhwan al-Muslimin itu Sufi atau Salafi, tetapi membina jambatan antara keduanya. Jambatan itu lebih besar daripada soal Sufi atau Salafi. Jambatan itu adalah jambatan yang menghubungkan pengetahuan dengan realiti dalam semangat menyatukan, positif, optimis, dan memotivasikan amal. Di luar daerah perbalahan Sufi dan Salafi, jambatan itu adalah jambatan yang sama untuk ahli gerakan Islam kekal bekerja memakmurkan alam, dan bukan menjahanamkannya.

Wahyu pertama adalah pada mengangkat tinggi proses ini, menjadikan agama bukan sebuah indoktrinasi. Agama diterima sebagai natijah deria makna diri yang diberi kebolehan untuk mengenal kebenaran, lalu memegangnya seperti tidak mungkin terlepas lagi. Bagai kucing mencakar tikar. Lagi kuat ekornya ditarik, bertambah teguh dia mencengkam lagi.

Demikianlah semangat itu terserap menjadi pintu masuk gerakan Islam. Ia bukan indoktrinasi. Ia adalah akibat memahami, mengapa perjuangan itu perlu disokong, menatijahkan ikhlas yang tidak mengenal penyelewengan motif, memberi kekuatan untuk beramal, bekerja dengan sepenuh potensi diri sebagai sebuah jihad, tidak teragak-agak untuk berkorban apa sahaja, mentaati keputusan dan arahan yang luhur, serta teguh dan tsabat dalam keazaman melaksanakannya, mencapai tajarrud  yang jelas dan puas dengan idea bersama yang sentiasa diwacana, tanpa tergugat oleh persepsi luar, menampal luka-luka komunikasi dengan semangat ukhuwwah yang menjadikan parut sebagai penambah erat sebuah persaudaraan serta tahap tsiqah dan saling mempercayai tertinggi.

Gerakan Islam adalah gerakan yang menggerak serta menjayakan Islam.  Justeru ia memerlukan penglibatan semua kelompok Muslim yang telah dikelas-kelaskan oleh pengkelasan pendidikan, kerjaya, ekonomi malah bangsa, budaya, dan negara. Gerakan Islam perlulah ada kebolehan menerima, dan seterusnya menggembeling semua lapisan masyarakat yang menyertainya, untuk mencapai visi Islam.

Andai ilmu yang diambil kira, ia tidak mengasing-asingkan latar belakang pengajian yang memang asalnya bersatu dan tidak berasing-asingan.

JIKA KADER ITU TIDAK DI BIDANG AGAMA

Persepsi mereka terhadap gerakan Islam pelbagai. Namun apa yang kerap mendominasi motif mendekati gerakan Islam adalah kerana mahu menampung kekurangan diri yang ‘tidak belajar agama’, justeru mahu melakukan sesuatu untuk Islam.

Bagaimana pula persepsi gerakan Islam terhadap mereka?

Lain padang lain belalang.

Padang hijau saya memandang mereka sebagai kelompok yang perlu dibantu. Proses untuk mereka membuat keputusan menyertai gerakan Islam mesti bermula dengan memahami Islam dahulu. Bukan sekadar Islam do’s and don’ts, tetapi Islam yang dinamik, Islam berwawasan, Islam yang mahu mendasari kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan alam seluruhnya. Maka pelajar-pelajar kejuruteraan, perubatan, farmasi, undang-undang dan seputar bidang yang banyak kedapatan di negara seperti USA, Australia, Jepun, United Kingom dan Ireland, diajak hadir ke program-program ilmu yang umum.

Mahu tidak mahu, manusia kuat dipengaruhi oleh penampilan luaran terlebih dahulu. Maka pelajar yang memelihara aurat, menghormati batas pergaulan, rajin ke masjid, adalah yang mudah dilihat berpotensi. Sedikit usaha tambahan untuk mendekati, potensi-potensi bertambah di kalangan pelajar yang mungkin tidak tinggi tahap penampilan luaran itu tadi, namun butir bicaranya, akal fikirannya memperlihatkan mereka sebagai benih-benih berkualiti tinggi yang patut diperkenalkan dengan tanah subur untuk berpohon lagi berbuah ranum.

Mungkin sekitar 10 pertemuan yang pertama, adalah untuk berbincang tentang apa yang kebanyakannya sudah tahu. Justeru yang angkuh berkata, “aku sudah tahu semua itu” dengan sendirinya terlepas, bersama iringan doa. Tetapi yang sabar, diajak menilai kembali apa nikmat yang kita terima daripada Islam, dan tidakkah secara ‘semulajadi’ kita juga perlu memberi kembali kepada Islam (Allah dan ummah)?

Jika kefahaman itu membenihkan keikhlasan hati untuk bersama, pelajar diajak bertamrin. Di dalam tamrin, perbincangan yang sebelum ini berbentuk pengenalan, beralih ke peringkat pembentukan serta perlaksanaan.

Proses memberi komitmen itu mematuhi peraturan asas iaitu AL-FAHMU.

Pelajar juga dipandu dengan usrah bersilibus. Silibus memberitahu materi apa yang perlu diguna, mengapa materi itu dipilih, dan apakah matlamat perbincangan berpandukan materi berkenaan. Semua langkah kecil ini selari dengan law of learning, peraturan pembelajaran yang diperlukan untuk mana-mana manusia mempelajari apa-apa ilmu di dunia ini.

ireland1990s

JIKA KADER ITU DI BIDANG AGAMA

Persepsi mereka terhadap gerakan Islam pasti pelbagai juga. Namun saya kurang pasti kerana persepsi ini tidak banyak diterokai. Gerakan Islam sudah pun dipandang melangkaui soal keislaman peribadi. Sebaliknya ia terus melompat ke realiti masyarakat, kepincangan undang-undang, penyelewengan golongan bercemeti, dan gerakan Islam menjadi beacon of hope ummah, selepas kejatuhan khilafah. Maka idea yang besar-besar itu menyebabkan hubungan di antara pelajar Pengajian Islam dengan gerakan Islam, adalah hubungan siasah / politik.

Bagaimana pula persepsi gerakan Islam terhadap mereka?

Lain padang lain belalang.

Padang pasir hijau saya memandang mereka sebagai golongan yang sudah banyak tahu. Justeru mereka dahulunya bersekolah di mana, negeri mana, baca akhbar apa, adalah cara cepat untuk mengenal pasti golongan yang berpotensi. Malah sering juga timbul pertanyaan, “bagaimana sudah belajar agama masih boleh tidak berpotensi?”

Tamrin-tamrin awal sudah pun berbicara tentang hal-hal teknikal gerak kerja gerakan Islam.

Usrah juga dikendalikan dengan bantuan silibus yang sangat umum. “Untuk Tafsir, ambil Tafsir surah an-Nur oleh al-Mawdudi”, kata silibus. Mengapa Tafsir, mengapa surah an-Nur, mengapa versi al-Mawdudi? Ia tidak diperincikan, sebab al-labib bi al-isharah yufham (golongan bijak pandai, dengan isyarat pun sudah memahami).

Justeru, apakah beza antara Islam yang sudah difahami, dengan Islam dalam bentuk ideologi sebuah gerakan Islam, ia tidak diwacanakan. Tolak ke tepi usrah yang terbengkalai. Hatta usrah yang berjalan sekali pun, perbincangan tidak banyak berbeza dengan perbincangan Tafsir bagi subjek Tafsir di universiti.

berfikir

Pertambahan ahli juga jarang berlaku.

Biasanya ahli di padang pasir hijau bertambah apabila bertambah kedatangan individu yang sudah sedia ahli dari tanah air. Ada pun ahli yang menjadi ahli, hasil proses AL-FAHMU, amat sedikit ia terjadi.

Justeru, jika dibandingkan graduan profesional dengan graduan bidang agama dalam bab-bab hukum hakam, memanglah jelas kelebihan graduan bidang agama untuk berpendapat tentang agama. Tetapi jika dibandingkan antara graduan bidang agama dengan graduan bidang bukan bidang agama, dalam aspek kejelasan fikrah, Islam sebagai ideologi islah sosial, ada lompong besar hasil mengabaikan rukun pertama bai’ah iaitu AL-FAHMU.

Masa depan PAS sebagai gerakan Islam di Malaysia berada di persimpangan yang belum pernah disinggahinya selama 60 tahun berjuang. Warna Muktamar PAS 2014 di Batu Pahat, Johor  yang penuh kejutan, mendesak kita semua untuk memahami, di manakah akar kepada ranting-ranting dahan yang selama ini tumbuh harmoni antara akar dan mentari, kini bercakaran dan saling patah mematahkan. Pengalaman kerdil saya sebagai amilin di dua alam yang berlainan di Jordan dan UK – Ireland, memberikan perspektif yang telah saya kongsikan sebentar tadi.

Ahli PAS yang melalui proses perkaderan di negara seperti UK dan Ireland, menekuni proses al-Fahmu dengan baik, walaupun ruang penambah baikan sentiasa ada dan lebar.

Tetapi ahli PAS yang lahir dari negara-negara seperti Jordan (saya dahulukan Jordan kerana saya graduan Jordan) dan Mesir, tidak menjalankan proses al-Fahmu dengan baik. Garis peralihan dan anjakan paradigma sebelum menjadi haraki dengan selepas menjadi haraki, secara teknikalnya tidak wujud, walaupun kemudiannya ‘kami’lah yang banyak menggunakan terma haraki berkenaan. Tamrin kami penuh retorik, dan tiada pengalaman mengerjakan Islam dalam persekitaran multi-budaya dan agama berbanding di negara-negara ‘ajam.

Sebesar manakah impaknya?

Ia memerlukan kajian khusus.

Namun mengabaikan rukun al-Fahmu, dengan sangkaan benda asas banyak yang sudah selesai, adalah kritikan yang mesti dihadam.

olivierroy

Semasa mengulas tentang kegagalan politik Islam, Olivier Roy mengenengahkan sebuah topik sosiologi berkaitan dengan realiti kader gerakan Islam dari satu zaman ke satu zaman. Siapakah kader gerakan Islam era 50’an dan 60’an, kemudian 70’an dan 80’an. Realiti yang berlaku di kalangan mahasiswa dan mahasiswi pendukung gerakan Islam banyak mencerminkan masa depan yang menyusul.

Untuk memahami realiti tahun 2014 ini, siapakah kader gerakan Islam era 1990’an dan sejauh manakah realiti zaman tersebut mempengaruhi keadaan politik Islam semasa? Dan bagaimanakah wajah kader gerakan Islam tahun 2014 untuk kita jangkakan realiti gerakan Islam 10 tahun akan datang?

Belajar sejarah, bermanfaat untuk membuang rasa terkejut.


إذا عرف السبب بطل العجب
Apabila diketahui sebabnya, hilanglah rasa takjubnya.

Sekurang-kurangnya jika tidak mewakili keseluruhan realiti yang ada, ia adalah penjelasan realiti yang saya hadapi dan uruskan selama 20 tahun di dalam proses berkenaan.

Agamawan mahu memimpin kerana agamawannya mereka, tanpa meraikan proses yang perlu, 20 tahun yang lalu?

Usia matang adalah paksaan semulajadi.

Fikiran matang, adalah pilihan diri.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Maklum Balas

Maklum Balas

Check Also

Pedagogi Dahulu, Kemudian Teknologi

Apabila berfikir tentang teknologi dan pembelajaran, kita perlu betulkan hala tuju antara P&P dengan teknologi. …

7 comments

  1. tahniah ustaz atas penulisan di waktu yang tepat.. saya baca berita ini, sedih . http://www.bharian.com.my/node/11160?g25dd

  2. Apa yang saya faham dari artikel ini, faham yang dimaksudkan oleh ustaz adalah faham waqi, budaya dan tata sosial atau sebenarnya bagaimana?
    Kerana kefahaman yang pertama dan utama adalah pada kedua sumber utama islam itu sendiri, al-Quran dan as-Sunnah. Asas ini perlu bagi membentuk faham2 dari pandang sisi lain tidak terkeluar dari garis besar yang telah ditetapkan Tuhan..
    WalLahu aklam

  3. السلام عليكم
    iya ustaz… memang sadis. Kita demand ahli agar berbaiah dan memaksa mereka berpegang dengan baiah, sedangkan rukun asas kpd baiah tersebut tidak di tekan dan di tuntut pemahaman dan perlaksanaannya. Bagaimanakah pengkaderan akan melahirkan jundi yang berpegang teguh dgn baiah sedangkan asas pemahaman fikrah itu sendiri lemah… semoga Allah menetapkan hati2 kita

  4. Mesti artikel ustaz yang ini mendapat perhatian ramai 😉

    Saya melihat kunci persepsi politik yang terbentuk pada PAS sekarang ada akarnya pada penafsiran sejarah juga. Seperti yang ustaz pernah sentuh satu waktu dahulu, kader-kader zaman terdahulu orientasinya lebih kepada amal manakala orientasi generasi saya lebih kepada maklumat dan ilmu.

    Dengan sedikitnya akses kepada sumber primer berkenaan sejarah PAS dan juga apa yang berlaku kepada gerakan-gerakan Islam sekitar dekad 80-an dan 90-an , label dan persepsi dibina antara kelompok yang wujud.

    Kajian terhadap PAS misalnya sebetulnya amat banyak dalam kalangan akademik.

    Malangnya ianya ‘terpasung’ dalam menara gading, ataupun tulisan dan buku mengenai topik ini sudah masuk kategori langka yang hanya bisa dicari di perpustakaan universiti. Semua ini hanya mengghairahkan pengkaji, bukan keseluruhan kader-kader ini.

    Sekadar pandangan dan pemerhatian dari pengalaman saya yang cetek, mungkin tersasar daripada maksud artikel yang dikehendaki.

  5. Salam Ustaz,

    Setujulah saya dengan pandangan Ustaz yang menyatakan kefahaman itu menjadi punca utama umat Islam atau Ustaz khususkan itu pergerakan Islam menjadi bermasalah. Umat Islam itu sendiri ketinggalan dalam bab ilmu sedangkan Al-Quran itu mentafsilkan setiap sesuatu dan yang mendapat manfaatnya adalah orang yang percaya.

    Kecualilah umat Islam itu tersalah faham atau pun mengamalkan satu konsep ilmu yang salah. Ilmu tertinggal pada lafaz literal pada teks. Ilmu tidak mendalam yang bersifat memperincikan alam. Alam yang menjadi tempat ilmu itu sendiri.

  6. Betul Ustaz, rasa tak berbaloi membela diri ini jika maslahah dan masalahnya pada jemaahku. Buka buku sejarah Nabi para sahabat r.a, rasa malu pula mengeluh akan kritikan peribadi, manusia ustaz ada perasaan ikut darjat imanlah. Mungkin kalau ada penyakit riak dan sum’ah dikit tu kadang2 sedih jugaklah..iyalah..kita ini sumbangan pun kurang rasa paling banyak menyumbang..bukankah jiwa kita Allah telah beli tapi kita ada hati jual mahal pula padaNya sedangkan Syurga Ma sha Allah ! Xtau nak kata apa sebelum membela diri. Bela tak bela pun tiada apa yang berubah akhirnya lidah juga yg bertikaman. REDHA ALLAH USTAZ ! REDHA ALLAH ! kuatkan semangat..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *