‘Kemuliaan’ Seorang Peragu Kebenaran

anakmudaberbual

“Ustaz, sekejap ustaz. Saya nak tanya soalan” seorang anak muda menahan saya.

Beliau adalah salah seorang peserta dalam sebuah program Pre Departure yang saya kendalikan baru-baru ini.

“Tadi ustaz ada sebut tentang kita tidak boleh ragu dengan al-Quran. Macam mana ya? Saya selalu juga ragu-ragu. Adakah salah?” tanya beliau.

Pertanyaan yang sangat ikhlas, dan saya tidak memuji sesiapa melebihi penilaian Allah SWT yang Maha Mengetahui.

“Oh, yang kita bincang tadi itu. Apa yang ustaz sebutkan tadi bukan begitu. Anta sudah tercampur aduk beberapa steps dalam perbincangan kita tadi” saya menyambut pertanyaan beliau.

Di dalam sesi Kompas Kehidupan, saya sentuh tentang peri pentingnya kita menilai pertalian diri kita dengan al-Quran. Allah menjelaskan kepada kita bahawa al-Quran itu adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa (al-Baqarah 2: 2). Tetapi sebelum al-Quran boleh berfungsi sebagai petunjuk, ada pra syaratnya yang mesti ditunaikan.

2_2“Itulah al-Kitāb (al-Qur’ān), tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” [al-Baqarah 2: 2]

ANALOGI

Seorang pengunjung, tiba buat pertama kalinya ke Kota London. Hanya dimaklumkan, agar berkumpul dengan anggota pasukan yang lain di Stesyen Keretapi Victoria. Perkara pertama yang dilakukannya adalah pergi ke kedai, untuk membeli peta. Ada banyak peta. Pelbagai jenis kertas, pelbagai warna, pelbagai harga. Akhirnya, setelah puas membelek, beliau memilih untuk membeli senaskhah peta Kota London yang berwarna warna, jelas ilustrasinya, elok jenis kertasnya dan murah harganya.

Peta ini bakal menjadi petunjuk, membantu beliau menelusi sistem pengangkutan Kota London yang bersimpang siur.

Tetapi matanya terpaku. Melihat di belakang peta berkenaan:

Printed in 1975
Printed in Calcutta, India

Ini tahun 2014! Peta ini peta hampir 40 tahun yang lalu. Masakan sama London 1975 dengan London 2014!

Cetakannya pula di Calcutta India. Orang Kolkata yang membuat peta ini pernahkah datang ke London?

Peta berkenaan tidak akan memainkan peranannya sebagai petunjuk, biar pun diberi percuma kepada beliau.

Beliau kehilangan asas utama kepada sebuah peta. Beliau meragui kebenaran isi kandungannya!

Demikian juga dengan al-Quran.

Diturunkan pada tahun 610M!

Diturunkan di Arab Saudi!

Relevankah lagi sebuah buku yang berusia lebih 1400 tahun dan terhasil di Arab Saudi dengan Malaysia 2014?

Sebelum al-Quran berperanan menjadi petunjuk, memandu kita dalam perjalanan hidup, menentukan arah dan tujuan, al-Quran itu mesti terlebih dahulu, bagi kita, kita tidak meraguinya.

MERAGUI KEBENARAN

doubt

Saya tidak bermaksud mahu mengheret perbincangan kita kepada wacana falsafah antara methodological skepticism (keraguan Cartesian) dan philosophical skepticism. Saya bukan ahlinya. Rujuklah mereka yang arif dengan perbahasan ini. Namun saya berpendapat hakikat perbualan saya dengan anak muda yang bertanya itu tadi, tidak jauh daripada wacana berkenaan.

Ketepikan seketika al-Quran itu sebagai sesuatu yang mutlaq, tiada keraguan, malah ia adalah firman Allah. Terima seketika bahawa semua itu adalah dakwaan seseorang kepada kita. Dia mungkin Cikgu KAFA kita, mungkin ustaz kita, mungkin buku yang kita baca. Tetapi kita sendiri, perlu bertanya kepada diri sendiri, di atas asas apa kita meyakini kebenaran al-Quran?

“Cikgu KAFA cakap!”

“Ustaz cakap!”

“Buku itu kata!”

Semua itu bukan hujah. Keraguan itu terjadi di dalam diri. Mana mungkin ia sembuh oleh sesuatu yang berada di luar diri, bukan diri. Jika kira ragu, ragulah! Marilah cikgu atau alim atau buku sehebat mana pun, jika kita ragu, kita ragu.

Terkenal sekali perbahasan, bisakah agama bermula dengan sebuah keraguan, sebagaimana ilmu? Apa sahaja jawapan yang hendak ditawarkan berkenaan persoalan itu, di peringkat manusia biasa seperti kita, jika kita ragu, ragulah kita. Seperti anak muda yang bertanya tempoh hari.

Oleh itu, kita mesti menyelesaikan keraguan tersebut.

Atas asas apakah kita meyakini al-Quran itu wahyu Allah, benar, mutlaq dan sumber al-Haq?

PROSES ANTARA RAGU DAN YAKIN

Jika kita belajar agama secara formal, kita akan belajar tentang al-Quran mengikut turutan topik. Pembelajaran secara sistematik sebagai legasi ‘Ulum al-Qur’an zaman berzaman itu, ada di dalamnya pengalaman ummah yang kaya. Maka tersusunnya ia sedemikian rupa adalah dengan hikmah yang besar, hasil pengalaman ilmuwan kita.

Ini berbeza daripada belajar agama secara tidak formal.

Tambahan pula mempelajarinya dari internet.

Bukan kerana internet itu tidak sahih. Tetapi carian Google selalunya akan memberi kepada kita apa yang kita mahu. Tetapi ia sukar memberi kepada kita apa yang kita perlu. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang kita perlu tahu.

Natijahnya, kita terjun ke perbahasan-perbahasan yang advance tetapi kita tidak menyelesaikan beberapa persoalan dasar yang lebih awal. Antaranya, benarkah al-Quran itu wahyu dan seterusnya bagaimanakah al-Quran itu menjadi hujah?

Pembelajaran Islam secara formal akan meletakkan topik-topik awal mengenai al-Quran adalah berkenaan Hujjiyyah al-Qur’ān yakni kedudukan al-Quran sebagai hujah. Topik ini adalah topik akal. Akal dikehendaki bekerja mencari asas-asas bagaimana terbuktinya al-Quran itu Wahyu.

Mungkin dengan meneliti konsistensi bahasanya.

Mungkin dengan melihat hikmah di sebalik tergantungnya jawapan kepada pertanyaan Musyrikin Mekah dalam kisah Ashāb al-Kahf, dan fitnah golongan Munafiq terhadap Umm al-Mu’minīn ‘Āishah r.a.

Mungkin dengan teori kebarangkalian pada fakta-fakta sains di dalam al-Quran.

Apa yang penting, meyakini al-Quran sebagai Wahyu dan Benar, adalah kerja setiap individu Muslim. Sulit menerima kebenaran al-Quran atas sebuah taqlid. Ia mestilah dicari.

Cari sampai dapat.

Sampai yakin.

MEMERLUKAN PENCARI

truthseeker

Dan untuk mencari, kita memerlukan pencari!

“Bagi ustaz, orang yang ragu seperti anta, adalah orang yang SETIA DENGAN KEBENARAN. Kerana kesetiaan anta kepada kebenaran, al-Quran itu pun anta persoalkan. ‘Hati kecil’ di dalam diri itu tahu, kebenaran itu wujud. Kebenaran itu boleh dirasa. Ia seperti gula yang mesti manis, garam yang mesti masin. Kebenaran mesti memuaskan ‘hati kecil’ yang berfikir di benak itu” saya menyambung perbualan.

Anak muda itu termenung. Saya nampak pada matanya, masih ada banyak yang bergelora di fikirannya.

“Bagi orang yang sudah berumur mencecah 40 tahun ini, izinkan ustaz untuk berkata bahawa anta yang berumur 20 tahun, masih muda. Tidak mengapa munculnya keraguan-keraguan di usia ini. Ustaz sendiri pada usia tua sebegini masih bertanya, mempersoalkan, mencari, meragui”  saya cuba menyedapkan fikirannya.

“Apa yang perlu saya buat, ustaz?” beliau bertanya.

KEMBALI KE ASAS BERAGAMA

“Kembali kepada asas beragama. Perintah pertama dalam agama kita ialah BACA. Dapatkan ilmu. Keraguan anta adalah kerana anta belum memperolehi ilmu yang tepat dengan dos yang betul, untuk menggantikan keraguan dengan keyakinan. Betapa baiknya Tuhan yang menyuruh anta baca. Dia menyuruh anta baca, dan baca pula dengan nama Tuhan. Bukan nama Allah, walaupun Allah itu nama Dia. Kalau sebut Allah, ia sudah berpihak. Tetapi yang diperintahkan ialah baca, dengan nama Tuhan. Tuhan yang mana? Tuhan yang Mencipta. Ketepikan dahulu Tuhan itu Mencipta Flora dan Fauna. Tumpukan kepada Tuhan itu Mencipta sesuatu yang anta tiada keraguan tentang penciptaannya iaitu diri anta sendiri” saya menjelaskan satu persatu, perlahan-lahan, aturan mencari kebenaran yang Allah letakkan di dalam firman Iqra’.

“Jadi, tidak salahlah saya ragu-ragu?” beliau meminta pengesahan.

“Ya akhi. Ada orang selesa dengan al-Quran, hari-hari baca al-Quran, dalam sangkaan dia beriman dengan al-Quran. Tetapi apabila datang satu ujian, dia terus tinggalkan al-Quran. Dia tidak setia dengan al-Quran. Datang nikmat dunia, dia tinggalkan pesanan al-Quran. Sebab apa pendamping al-Quran tinggalkan al-Quran? Sebab dia tidak pernah mempersoalkan al-Quran. Tidak pernah ragu-ragu. Tidak pernah berfikir. Tidak pernah melakukan pemeriksaan terhadap hubungannya dengan al-Quran. Tetapi anta yang meragui al-Quran… anta mahukan kebenaran. Dan percayalah, jika anta terus setia dengan kebenaran, anta satu hari nanti akan bersimpul mati dengan al-Quran” saya cuba meletakkan persoalan beliau dalam konteks penilaian.

Ketika al-Quran dan kita sudah bersimpul mati, kita jadi macam kucing di atas tikar. Makin ditarik ekor, makin kuat kita menggenggam tikar.

“Namun, pastikanlah keraguan itu kerana natijah anta berfikir dengan fikiran yang sihat. Fikiran yang tidak sihat itu mungkin sudah jatuh ke lembah OCD. Penyakit kronik was-was yang membabitkan aktiviti otak yang tidak normal. Sudah sampai pejabat, balik ke rumah semula kerana sebab was-was sama ada pintu rumah sudah dikunci atau tidak. Anta basuh tangan sampai luka tangan, kerana was-was dengan kebersihan. Keraguan yang ini bukan lagi keraguan mencari kebenaran, tetapi penyakit mental yang memerlukan rawatan perubatan, doa kesembuhan serta doa perlindungan Allah daripada Syaitan penimbul was-was” saya menyudahkan perbualan.

Dan… bersabar apabila dimarahi, dilabel, dikecam, dipulau… bukan semua penyebar kebenaran suka kebenaran dipersoalkan! Adakalanya mereka cuba menjadikan kebenaran itu milik mereka, sedangkan kebenaran sentiasa hak eksklusif antara setiap insan dengan Tuhannya.

Nampak beliau sudah manis senyumnya.

Mudah-mudahan sudah jelas apa yang perlu beliau lakukan.

Saya hanya mampu mendoakan.

‘Terima kasih kepada Enlightenment‘ pada mewariskan skepticism sebagai legasi besar dalam pendidikan. Dalam kejamnya sistem pendidikan kita yang memandulkan proses berfikir, rahmat Allah masih gerimis membasah akal budi beberapa anak muda yang kaya pertanyaan.

Mereka mencari kebenaran.

Mereka setia dengan kebenaran.

Moga istiqamah hingga ke titik akhir sebuah kehidupan, garisan penamat sebuah pencarian.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

5 comments

  1. Halim Sallehuddin

    Maha suci Allah yang telah menganugerahkan penglihatan yang cerah dan hati yang ikhlas kepada ustaz. Ketelitian ustaz dalam memahami manusiawi bertepatan dengan konsep dakwah itu sendiri yang ‘menyentuh’ manusia melalui hati. Bukan hanya teguran, sindiran yang menjauhkan hati dari kebenaran.

    Moga Allah terus merahmati Ustaz.
    Semoga satu hari nanti diizinkan untuk bertemu dengan ustaz.

    Ammin.

  2. Sayalah itu antara produk pendidikan yang tidak memurnikan proses berfikir. Alhamdulillah persekitaran keluarga saya tidak sebegitu, terima kasih kepada teknologi yang sedang berkembang ketika itu, maka saya perlahan-lahan berkembang selari dengan teknologi. Sempat tekan brek, sebelum tersadung dengan segala kepantasan fakta dan auta.

    Dah tua-tua ni nak suruh otak berfikir, memang jenuh jugak nak mengasah ustaz..Lagilah suka berada di comfort zone, main telan je apa yang ada.

    By the way, penulisan di blog oleh ustaz, lebih menyusun fikiran pembaca (seperti saya) untuk memahami dan pelan-pelan hadam isi kandungan terhadap topik yang dibentangkan. Saya selesa, sayalah…

  3. Alhamdulillah Ustaz atas pencerahan melalui posting ustaz yg sentiasa membuka minda. Saya doakan ustaz dan keluarga sentiasa di limpahi rahmat Allah.

  4. Perkongsian dan pencerahan yang banyak membantu ramai orang.

  5. Sangat mencerahkan, ustaz. Semoga Allah berkati Ustaz sekeluarga. saya mohon share ya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share