Perjalananku ke Oulu, Finland

oulu_yliopisto
Learning, Education and Technology, the University of Oulu, Finland

Selepas menyempurnakan kursus Helsinki Summer School in 2015, saya mempunyai kecenderungan yang tinggi kepada sistem pendidikan Finland. Kursus yang saya hadiri telah memberikan pendedahan secara intensif kepada sistem pendidikan Finland, dan kami bertuah kepada berpeluang melakukan internship di Puistolan Peruskoulu,  bertemu dengan guru, murid-murid dan pemimpin di sekolah komprihensif berkenaan. Saya selesaikan kursus di Helsinki itu dengan keazaman yang teguh untuk pulang dan berusaha memperbaiki  Khalifah Model School, rendah dan menengah, untuk benar-benar menjadi sekolah mithali yang memodelkan satu bentuk pendidikan yang baik.

Ideanya mudah.

Kita mesti berusaha melindungi anak-anak di sekolah daripada sesiapa sahaja yang kepentingan mereka bukan pendidikan anak-anak serta pembelajaran mereka. Birokrat, ahli politik dan ahli perniagaan mesti berada jauh dari sekolah. Jika mereka mahu membabitkan diri dengan sekolah, mereka sewajarnya hanya memberi, dan tidak mengambil apa-apa untuk kepentingan peribadi. Guru juga mesti diberi peluang untuk fokus kepada kepakaran dan minat mereka yang utama iaitu mengajar dan bukan selainnya. ‘Budaya percaya mempercayai’ (the culture of trust) mesti menjadi tulang belakang kepada profesionalisme perguruan, yang mana penaziran dan lapor melapor mestilah dikurangkan seminima mungkin, dan jika boleh dihapuskan sepenuhnya. Apabila anak-anak ke sekolah, mereka mesti dibantu untuk berasa selamat dan gembira, suka belajar dan mempersiapkan diri menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat.

Saya mahu itu berlaku. Tetapi saya tidak tahu bagaimana. Saya tahu Finland bagus. Tetapi ia terlalu bagus bagai utopia apabila buku Finnish Lessons karya Pasi Sahlberg dijadikan jendela untuk memerhati.

Helsinki Summer School 2015
Helsinki Summer School 2015

Kini saya sudah punya idea. Dan ia menjadikan saya gembira. Isteri saya menggalakkan saya menyambung pelajaran di dalam bidang pendidikan supaya kerja dan usaha saya boleh dibina di atas asas yang kukuh. Walaupun University of Helsinki telah memberikan kepada saya 6 jam kredit ects melalui kursus berkenaan, UH tidak mengadakan pengambilan pada tahun 2016. EDISO telah dibatalkan sehingga ke makluman yang seterusnya.

Saya beralih kepada pilihan-pilihan yang lain. Jyväskylä, Tampere, Turku, Universiti Lapland di Rovaniemi dan banyak universiti lain menawarkan program sarjana antarabangsa (di dalam bahasa Inggeris) yang bagus, tetapi saya cenderung kepada dua program yang ditawarkan di University of Oulu. Pilihan saya ialah di antara Learning, Education and Technology (LET), atau Education and Globalisation (EdGlo). Tetapi berdasarkan kepada keperluan semasa di Khalifah Model School (Secondary), saya mengambil keputusan untuk memilih LET agar saya boleh menjadi seorang pendidik yang memahami pendidikan dan pembelajaran, serta bagaimana teknologi boleh membantu.

Sebelum menghantar permohonan, saya sedar bahawa bidang pendidikan dan teknologi ini adalah sesuatu yang baru buat saya. Untuk itu, saya bertemu dengan Dr. Nurkhamimi Zainuddin di USIM, cuba untuk belajar secara intensif melalui tunjuk ajar beliau tentang kecenderungan kajian semasa di bidang berkenaan. Beliau meneliti struktur program LET dan berkongsi maklum balas mengenainya. Saya terhutang budi dengan beliau kerana banyak membantu saya memahami pelbagai aspek kajian dan aplikasi bidang ini. Malah yang paling utama, beliau sudi menjadi referee untuk permohonan saya.

Malangnya, saya berdepan dengan pelbagai masalah semasa menguruskan dokumen permohonan. Pihak Kedutaan Jordan di Kuala Lumpur enggan meletakkan stem di setiap muka surat dokumen sebagaimana yang diarahkan secara spesifik oleh pihak Finland. Puas saya memujuk namun kakitangan di situ enggan melakukannya dengan alasan ia membazir. Saya tahu bahawa keengganan ini boleh menyebabkan permohonan saya terbatal. Selepas kecewa dengan usaha memujuk, saya telah mengambil tindakan yang paling tidak masuk akal. Saya terbang ke Helsinki untuk menguruskan dokumen tersebut di sana, dan menghantar permohonan secara in person. Di Helsinki saya hampir-hampir terbang ke Berlin untuk urusan pengesahan dokumen, tetapi akhirnya berjaya melakukan semua itu di Public Notary di Helsinki. Alhamdulillah. Permohonan dimasukkan ke kotak pos betul-betul pada hari tutupnya tempoh memohon. Suhu ketika itu mencecah -15ºC namun segalanya berbaloi.

Submitting my university application in Helsinki at the very last day before the closing date.
Submitting my university application in Helsinki at the very last day before the closing date.

Saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa permohonan ini akan berjaya. Saya mesti berjaya. Terutamanya apabila Finland mengumumkan bahawa tahun 2016 adalah tahun terakhir calon non EU seperti saya akan mengikuti program international master ini secara percuma (tanpa yuran universiti). Selepas ini, pelajar non EU akan dikenakan yuran penuh mencecah EUR10K setahun.

Sama ada saya mendapatkan tempat tahun ini, atau lupakan sahaja segalanya.

Apabila nama saya tersenarai pendek untuk temuduga, saya takut untuk mengambil risiko gagal. Demi untuk memastikan permohonan ini berjaya, saya sekali lagi lagi tekad mengorek segala sumber sokongan yang saya ada untuk terbang terus ke Oulu di utara Finland bagi menghadiri temuduga. Ia adalah suatu perjalanan yang sangat panjang dan meletihkan. Namun saya manfaatkan perjalanan itu dalam kelebihan orang bermusafir untuk berdoa dan berdoa agar temuduga berjalan lancar dan usaha kali ini bakal menjadi satu turning point yang besar dalam hidup ini.

Oulu di bulan April ketika itu masih sejuk. Salji mencair dengan amat perlahan dan saya teruja melihat bongkah-bongkah ais hanyut perlahan di delta Oulu masuk ke Teluk Bothnia. Saya telah hadir ke temuduga dengan proposal yang fokus kepada penggunaan teknologi berasaskan pedagogi ke arah menghapuskan indoktrinasi dalam kurikulum agama. Temuduga selama 40 minit sungguh mengujakan saya. Hati berbunga dan gembira kepada penemuduga menunjukkan minat dan kesungguhan terhadap setiap butir bicara yang saya sampaikan.

Even though the interview can be made via Skype, I decided to attend in person to ensure I gave my best to secure my place
Even though the interview can be made via Skype, I decided to attend in person to ensure I gave my best to secure my place

Saya pulang daripada temuduga berkenaan dengan keyakinan yang lebih kuat Inshaallah bahawa INILAH MASANYA!

Alhamdulillah seminggu kemudian, saya telah menerima tawaran daripada University of Oulu. Saya telah diterima ke program berkenaan untuk pengambilan musim luruh 2016. Alhamdulillah!

 

Selepas proses yang panjang dan rumit berkaitan visa, insuran, hal ehwal kewangan dan menyerahkan satu demi satu tugas saya kepada pasukan di KMSS, saya berlepas meninggalkan tanah air pada 14 Ogos 2016. Inshaallah isteri dan anak-anak saya akan menyusul kemudian di bulan Oktober. Kami telah melepaskan semua yang kami ada, kecuali rumah, untuk memastikan pelan ini berjaya.

I've made it! LET 2016 new students, 17 great individuals from 12 different countries.
I’ve made it! LET 2016 new students, 17 great individuals from 12 different countries.

Penghijrahan ke Finland adalah kombinasi pelbagai tujuan yang baik. Saya mahu belajar, isteri pun demikian juga. Saya juga berharap agar anak-anak saya akan mendapat pengalaman baru tinggal di negeri asing dan mudah-mudahan mendapat manfaat daripada sistem pendidikan Finland selama keberadaan kami di Oulu ini, Inshaallah.

HASRIZAL ABDUL JAMIL
LET, Oulun Yliopisto

 

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

5 comments

  1. Semoga segala usaha diberkatiNYA. Saya juga teringin mengikut jejak langkah tuan. Saya sangat teruja jika boleh tuan kongsikan ‘LET among Special Needs’ di sana.

  2. Tak tahu kenapa, air mata mengalir membaca post kali ini. Moga usaha tuan mendapat barakah dari Allah dan berjaya membuat perubahan yang positif kepada pendidikan negara satu hari nanti, insya Allah.
    Saya harap tuan akan teruskan berkongsi mengenai pendidikan, walaupun subjek ini bukan satu subjek yang popular di arus perdana. Saya yakin dengan tuan dan kerana itu lah saya berusaha menghantar anak ke KMS walau terpaksa hidup dalam keadaan serba sederhana.

  3. nur zatul iradah roslan

    terima kasih ustaz di atas perkongsian ini. saya teruja dengan pengalaman yang ustaz lalui sepanjang proses permohonan untuk belajar di Finland. Moga ustaz berjaya dan ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan di lokaliti kita di Malaysia. Alhamdulillah..

  4. Bismillah. Assalamualaikum.
    Saya sentiasa ikuti blog tuan. Dan kali ni saya sgt teruja membaca semangat yg tuan gambarkan dalam ni. Smoga urusan tuan dipermudah dan membawa sesuatu yg baru dalam dunia pendidikan. Saya juga turut belajar.
    Wslm.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share