Gaji Guru di Finland Sama Macam Doktor?

“Benarkah di Finland, guru-guru menerima gaji seperti doktor? Dan kerana itu pendidikannya sangat hebat?”

Soalan ini berlegar di media sosial.

Ada musim-musimnya, apabila hal ini dipetik oleh halaman yang mempunyai viraliti tinggi, ia tersebar rancak dan mencetuskan perbualan yang pelbagai ragamnya. Tentu sahaja, kritikan akan dilontar kepada sistem pendidikan kita atau di mana sahaja, yang membayar upah guru, tidak seperti Finland.

Saya pun tidak pasti sebenarnya, dari mana hal ini datang.

Saya mengagak, ia mungkin hadir kesan penafsiran ramai terhadap kenyataan Pasi Sahlberg di dalam bukunya yang terkenal Finnish Lessons, bahawa di Finland, profesionalisme guru adalah seperti doktor, peguam dan arkitek. Beliau mengulang-ulang kenyataan ini di dalam buku berkenaan, tetapi tidak secara spesifik mengaitkannya dengan jumlah gaji golongan berkenaan.

From Finnish Lessons by Pasi Sahlberg

Petikan buku Finnish Lessons di Kindle dengan carian “doctor”

Hakikatnya tidak begitu.

Gaji para guru di Finland, sebenarnya rendah sedikit berbanding purata gaji yang diterima oleh pemegang ijazah-ijazah sarjana (master) di dalam bidang lain di Finland. Pada tahun 2014, gross salaries para guru di Finland adalah seperti berikut:

  • EUR2600 sebulan untuk guru tadika
  • EUR3400 untuk guru sekolah rendah
  • EUR3700 untuk guru di sekolah menengah rendah (Grade 7-9)
  • EUR4300 untuk guru di sekolah menengah atas
  • EUR5500 untuk pengetua sekolah menengah rendah
  • EUR5800 untuk sekolah mengengah atas

Purata gaji di Finland adalah EUR3300 sebulan bagi tahun 2014.

Manakala para doktor di Finland mendapat bayaran purata sekitar EUR6300 sebulan atau kira-kira EUR75000 setahun. Manakala gaji peguam adalah sekitar EUR61000 ke EUR91000 setahun.

Jumlah ini adalah kira-kira dua kali ganda berbanding gaji yang diterima oleh para guru.

Di sana ada pelbagai statistik untuk menjelaskan tentang gaji yang diterima oleh para guru, doktor dan peguam, tetapi saya memetik angka di atas berdasarkan apa yang dikemukakan oleh Finnish National Agency of Education.

Memang benar, salah satu kursus yang amat sukar untuk dipohon adalah bidang perguruan di universiti. Tetapi ini perlu difahami berdasarkan jumlah terhad tempat kosong yang ditawarkan, serta jumlah guru yang diperlukan di sekolah. Ini menjadikan bidang pendidikan sangat sukar untuk seorang pelajar menembusinya, dan ia memberi kelebihan kepada pihak universiti untuk memilih calon yang benar-benar kompetetif. Namun, ia tidak berkorelasi dengan gaji yang bakal diterima, kerana itu bukanlah motif utama mengapa seseorang mahu menjadi guru di Finland.

Biar pun gaji yang diterima oleh para guru di Finland tidak begitu besar secara perbandingan tadi, para guru menikmati kelebihan-kelebihan yang lain seperti ruang autonomi dalam bekerja yang memberi kepuasan tinggi kepada para guru. Ilmu dan kemahiran mereka dihormati dan diberi ruang penuh untuk dimanfaatkan dalam amali di sekolah. Perjawatan guru juga ditentukan oleh pihak sekolah bersama kerajaan tempatan (municipalities), maka guru-guru boleh menikmati kelebihan logistik tinggal berdekatan dengan sekolah tempat mereka mengajar tanpa risiko bertukar atau ditukar ke destinasi-destinasi yang tidak masuk akal.

Pada masa yang sama, penghormatan masyarakat kepada profesyen perguruan di Finland memang berada di tahap yang baik. Guru masih tidak lepas daripada menjadi bahan satira dan momokan di dalam literatur popular, namun secara umumnya masyarakat masih mempercayai kebolehan guru untuk membantu menjayakan pendidikan anak-anak di sekolah.

Saya masih berharap, agar gaji guru-guru di sekolah kita dapat meningkat kemas dari semasa ke semasa. Apabila guru sentiasa hidup dalam tekanan kewangan, motivasi mereka akan terjejas. Apabila mereka memulakan pekerjaan lain untuk menambah pendapatan, sering terjadi semangat mereka dalam bidang induk iaitu mengajar itu sendiri, merosot, lalu berisiko untuk ditinggalkan, kerana mereka manusia biasa.

Allah, rahmati para guru dan teguhkan hati mereka semua, ameen.

HASRIZAL
Oulu, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Mmg satu fakta yg menarik….apa yg penting masing-masing dpt buat kerja dengan penuh kejujuran dan amanah! Artikel yg baik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share