Tarawih di Bawah Sinar Mentari Kutub Utara

Berjalan kaki menuju ke Masjid Oulu untuk bertarawih

“Pelik kan, pergi masjid nak solat tarawih tapi terang benderang” kata anak saya.

Kami berjalan kaki menuju ke masjid. Jarak antara rumah dengan masjid adalah sekitar 2km. Seperti biasa di sini, ke mana-mana pun kami berjalan kaki. Sesekali menaiki bas.

Adakalanya saya termenung juga memikirkan pada usia 42 tahun, saya tidak mempunyai kereta sendiri, sebaliknya berjalan kaki dan menjadi pengguna bas setia untuk ke universiti setiap hari. Rumah kami terletak di city centre, kira-kira 6km daripada kampus induk University of Oulu di Linnanmaa. Saya memohon kepada agensi perumahan universiti untuk menyewa apartment keluarga di city centre kerana mahukan rumah yang dekat dengan sekolah anak-anak. Mereka berjalan kaki ke sekolah setiap hari, sekitar 2km. Masjid kebetulannya berdekatan dengan sekolah, hanya 3 minit berjalan kaki.

“Assalamualaikum” pakcik siak masjid memintas kami. Beliau berbasikal menuju ke masjid.

“Waalaikum al-salam” saya dan anak-anak menjawab.

Di negara seperti UK dan Ireland, saya difahamkan kebanyakan masjid kekal menggunakan jadual waktu tempatan untuk berpuasa dan bersolat di bulan Ramadan. Saya membaca pengumuman di halaman Facebook Belfast Islamic Centre tempat saya bertugas suatu ketika dahulu, solat tarawih akan dikerjakan selepas Isyak pada jam 11:30 malam. Sungguh mencabar.

Halaman Belfast Islamic Centre, Ireland Utara: https://www.facebook.com/belfastislamiccentre/

 

“Jadi senang pula kita di Oulu ini sebab kita ikut jadual Mekah” kata anak saya.

“Senang atau susah, asasnya ialah taqwa. Siapa paling ikhlas dan berpuasa dengan baik.”

“… akan tetapi, kebajikan itu ialah bagi siapa yang bertaqwa” [al-Baqarah 2: 189]

Syukur Alhamdulillah, di Oulu ini pihak masjid yang memutuskan untuk mengguna pakai jadual Mekah untuk solat dan puasa di sepanjang bulan Ramadan ini. Ia memberi kemudahan kepada kami yang cenderung kepada fatwa berkenaan untuk ikut masjid. Keputusan ini bukan hanya kebaikannya untuk kepentingan individu, tetapi ia penting untuk penyelarasan waktu solat berjemaah di masjid, bertarawih, aktiviti-aktiviti masjid seperti iftar berjemaah, yang semua itu menjadi batu bata untuk membina kesatuan di dalam komuniti Muslim di sini.

Hari pertama Ramadan, waktu berbuka di Oulu mengikut jadual Mekah ialah pada pukul 6:58. Manakala masuk waktu solat Isyak pula ialah pada pukul 8:58 malam. Tempoh dua jam antara Maghrib dan Isyak itu memberi kelegaan untuk berbuka puasa dan kemudian bersiap sedia untuk solat Isyak dan tarawih. Saya sering berangan masjid-masjid di Malaysia menyelaraskan solat Isyak pada jam 9 atau 9:15 malam agar umat Islam tidak tergesa-gesa datang bertarawih dalam keadaan perut yang tidak sedap, sendawa mulut berbau ayam percik, tidak sempat ke tandas dan masbuq solat kerana berpusing-pusing mencari parkir kereta. Sering teringat kepada amalan masjid-masjid di sebelah Eropah yang selalunya memberikan masa yang cukup untuk solat Isyak dan tarawih didirikan dalam keadaan tidak tergesa-gesa.

“Saya sungguh gembira melihat kalian semua hadir seramai ini. Sama-sama kita berdoa agar kita semua istiqamah hingga ke hujung Ramadan” kata Imam.

Tersenyum lebar beliau.

Nampak kebahagiaan di wajahnya.

Terbayang di fikiran saya, senyuman Nabi sallallahu alayhi wa sallam mengucap tahniah kepada para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadan. Malah senyum perpisahan Baginda semasa mengintai Abu Bakr mengimamkan solat subuh 12 Rabi’ul Awwal tahun 11 hijriyyah itu. Senyuman yang lahir daripada kasih sayang, dan mahukan kebaikan untuk insan-insan yang dikasihinya.

Di masjid, jemaah merapatkan blind di tingkap masjid yang sememangnya berwarna gelap. Mereka mahu menimbulkan suasana malam agar solat kami lebih tenang, walaupun di luar sana matahari terang benderang. Imam mengimamkan solat Isyak dan 4 rakaat pertama tarawih manakala 4 rakaat lagi diimamkan oleh seorang mahasiswa Arab yang hafiz. Panjang bacaan mereka, kerana setiap rakaat tarawih, dua mukasurat daripada mushaf dibaca. Solat yang panjang, suara imam yang jelas, dan bacaan yang baik, memberi rasa puas kepada kami para jemaah.

Imad dan Muiz sudah bergolek di belakang.

Saya faham keletihan mereka.

Apatah lagi siang tadi, sekolah mereka mengadakan UNICEF Walk. Berkali-kali mereka bertawaf di Ainola Park, rasanya campur berulang alik ke masjid pula, hari ini sudah lebih 6km mereka berjalan.

Kebanyakan jemaah terus setia bersama imam hingga ke penghujung solat.

Apa khabar agaknya umat Islam di Malaysia? Apabila masuk sahaja bulan Ramadan, tanpa jemu ramai yang akan mengulang perbalahan tentang rakaat solat tarawih. Kita berbalah seperti kita tidak punya rujukan daripada 1500 umur umat ini. Semuanya sudah ada penjelasan dan semuanya sudah tersedia untuk dirujuk dan dimanfaatkan. Tambahan pula, perbalahan berjangkit dengan sentimen aliran, mazhab, dan datanglah pihak berwajib menggunakan peruntukan undang-undang untuk membanteras cara berfikah yang hakikatnya adalah ma’thur dalam pendalilan dan penafsiran. Tidak cukup dengan itu, kelainan dalam perkara-perkara cabang ibadah ini, diberi gelaran yang menghina dan menyuburkan permusuhan.

Ahhh…. apabila memikirkan hal sebegini, sungguh saya sedang berasa sangat nyaman berada di Oulu.

Imam, makmum, masjid, berbincang… perkara-perkara asas.

Bukan tiada masalah. Ogos tahun lepas masjid di Oulu diganggu. Pintu dan tingkap masjid pecah dibaling dengan batu bata. Selama beberapa bulan, papan tanda masjid ditutup dengan plastik hitam untuk low profile sehingga keadaan menjadi tenang. Apabila masuk musim sejuk, dengan suhu mencecah -30ºC, golongan-golongan anti imigran, pendukung politik haluan kanan keras jegang pun, lebih mengutamakan tidur dan balik ke rumah masing-masing. Papan tanda dibuka kembali, mengalu-alukan sesiapa sahaja berkunjung ke rumah Allah di Oulu ini.

Perasaan mendirikan solat Isyak dan tarawih dalam keadaan luar yang terang benderang, mengingatkan saya kepada pesanan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam kepada para sahabat berkenaan situasi umat akhir zaman mendepani fitnah Dajjal. Hadith yang panjang itu menceritakan tentang tempoh keberadaan Dajjal di muka bumi dan kejadian siang serta malam di masa itu.

“Kami bertanya kepada Rasulullah: ‘Wahai Rasulullah, berapa lama Dajjal itu hidup dan tinggal di muka bumi?’. Baginda bersabda: ‘Selama empat puluh hari. Sehari seperti satu tahun, sehari seperti laksana satu bulan, sehari seperti satu minggu, lalu seluruh hari-harinya seperti hari-hari kalian’. Kami kemudian bertanya kepada Rasulullah: ‘Wahai Rasulullah, sehari yang seperti satu tahun itu, apakah kita cukup solat sehari saja?’ Jawab Baginda: ‘Tidak, tapi anggarkanlah ia seperti hari-hari biasa’,” (Hadith riwayat Muslim).

Beginilah agaknya perasaan beribadah pada masa itu.

Menganggarkan waktu solat dan mengabaikan keadaan siang malam, mudah disebut di atas kertas tetapi tidak mudah untuk mempraktikkannya jika kita tidak menyediakan mindset yang betul. Jauh di belakang kepada saya, terfikir mungkin kerana itu begitu sulit bagi sesetengah rakan di kawasan lain untuk menerima pengamalan menggunakan jadual waktu solat Mekah ketika Ramadan di musim panas.

Kurang sulit bagi saya kerana masjid menetapkannya, dan kami mengikut masjid.

Pulang daripada bertarawih di masjid, ketika jam 11:15 malam.

Dalam perjalanan pulang, saya dan keluarga berbual-bual, nyata nyaman sekali berjalan kaki ketika sudah tidak banyak manusia di sekeliling. Jam pun sudah pukul 11 malam lebih, bersama matahari yang tersenyum di pinggir langit.

Tiba di rumah, anak-anak bersegera tidur. Kami menutup mata dengan kain, kerana langsir yang ada pun tidak dapat menahan cahaya matahari daripada mencerahkan rumah.

Saya masih berkira-kira, mahu tidur atau berjaga?

Sahur jam 3:15 pagi.

HASRIZAL
Oulu, Finland
1 Ramadan 1438H

 

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

4 comments

  1. Assalamualaikum, di Oulu, keadaan malam berapa jam sahaja? Sungguh menarik dan asing solat isya dan tarawih ketika matahari masih di langit. Menarik.

    • Waalaikum al-Salam. Jika diikut jadual solat asal, waktu Maghrib ialah 11:25 malam manakala Subuh jam 1:10 pagi. Tetapi tempoh antara 11:25 hingga 1:10 itu pun langit masih cerah.

  2. Terima kasih dengan perkongsian ini. Sangat menarik untuk merasai bagaimana malam umpama siang di Finland.

  3. Maliza binti Hj. Bahatin

    Subhanallah…pastinya pengalaman yg menarik…saya mengikuti hampir setiap penulisan buku ustaz..semoga pengalaman di sana nanti menjadi impian jejak tarbiyah yg pastinya mendidik dan.menyerlah kehidupan manusia dan alamnya melalui perkongsian yg dipaparkan. Terima kasih atas perkongsian demi perkongsian

    Moga kehadiran ustaz di sana akan terus menyinarkan cahaya2 islam seumpama kehadiran ustaz dlm.penulisan buku dihamparan Shamrock ku seru nama mu…

    Buku Rindu Bau Tin telah membawa saya ke Jordan dam Syiria.. masya Allah. Tabarakallah. Moga ustaz dam keluarga sentiasa dlm rahmat Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share