Menubuhkan Sekolah Dengan Ilmu Pendidikan, Bukan Ilmu ‘Agama’ Atau ‘Bisnes’

Hari terakhir persekolahan pada bulan Jun yang lalu, selepas mengambil laporan prestasi pelajar di kelas masing-masing

“Muiz rindu sekolahlah” kata anak saya yang bongsu.

Kebetulan petang tadi kami lalu berhampiran kawasan sekolah. Suasana sepi kerana sekolah sedang bercuti panjang untuk musim panas daripada awal Jun sehingga Ogos nanti.

“Oh, rindukan sekolah. Muiz suka sekolah ke?” saya bertanya.

“Muiz suka kawan” jawabnya.

“Siapa kawan-kawan yang Muiz suka tu?” saya menyambung pertanyaan.

“Kita orang ada team. Nama team kita orang PokemonTeam kami ada satu… dua… tiga… empat… lima… ada lima orang” jawab anak saya.

Susah betul saya mahu betulkan penggunaan ganti nama kita orang itu kepada ‘kami’. Haha, tergelak saya di dalam hati mengenang berkali-kali saya mengingatkan anak-anak bahawa korang dan kita orang itu ada istilah yang lebih tepat iaitu kalian atau kamu semua, dan kami.

Kami menyambung perbualan dan macam-macam hal timbul. Pada masa ini universiti sedang bercuti, sekolah pun sama juga. Malah pejabat-pejabat pun tidak rancak. Misalnya pejabat imigresen di Finland tidak beroperasi pada hari Khamis. Cuti tiga hari seminggu, walaupun queue urusan residence permit berlarutan hingga selama sembilan bulan. Kadang-kadang saya rasa orang Finnish ini macam pemalas pula. Banyak benar cuti, kerja santai-santai, walaupun lambakan kerja sudah sampai ke tahap tidak masuk akal! Tapi itu sisi pandang kita sebagai ‘mangsa’ yang menunggu. Dari sudut pandang mereka, mungkin mereka begitu protective terhadap pekerjanya bahawa kerja banyak sekian-sekian sahaja. Tidak kiralah sebanyak mana pun beban kerja, kerja setakat ini sahaja kerana tekanan kerja tidak bagus untuk kehidupan.

Agaknya.

Tiadalah pula saya mengkajinya.

Hanya andaian, sambil duduk di dalam bas memerhatikan rumput-rumput hijau yang basah dek hujan di tengah musim panas kutub utara ini.

Pulang daripada sekolah. Selepas beberapa bulan, berjalan kaki 4km sehari berulang alik dari rumah ke sekolah tidak lagi menjadi masalah buat mereka.

Ini adalah masa untuk saya menilai kembali persekolahan anak-anak kami, selepas selesai sesi pembelajaran mereka untuk tahun 2016 / 2017. Pengalaman serba baru. Bukan sahaja di negara baru, malah segalanya baru terutamanya pada mengambil kira sekolah anak-anak hari ini adalah International School. Sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini, bahawa anak-anak saya akan bersekolah di International School.

Namun di sekolah anak-anak juga, saya belajar beberapa idea baru tentang International School. Walaupun ia adalah International School, ia masih percuma untuk Finnish dan ekspatriat kerana sekolah ini adalah sekolah kerajaan tempatan di Oulu. Apa yang menjadikannya Sekolah Antarabangsa ialah kerana bahasa pengantar di sekolah ini adalah bahasa Inggeris (satu daripada sembilan sekolah sepertinya di seluruh Finland), manakala kurikulumnya pula adalah kurikulum International Baccalaureate (IB). Sekolah ini menawarkan program IB Primary Years Programme (pelajar gred 1 sehingga 4) dan Middle Years Programme (pelajar gred 5 sehingga 9) di dalam bahasa Inggeris manakala IB Diploma Programme pula ditawarkan oleh Oulun Lyseon Lukio.

Saya mengusahakan anak bersekolah di sekolah ini, adalah kerana bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Ia melegakan anak-anak saya berbanding jika mereka bersekolah di sekolah Finnish dengan bahasa Finnish sebagai bahasa pengantar. Ia menjadi cabaran yang terlalu berat untuk anak-anak memandangkan kami tidaklah akan berada di Finland untuk satu masa yang panjang atau kekal. Di sekolah ini pun mereka masih belajar Finnish. Cuma atas nasihat sekolah, saya menulis surat secara rasmi meminta anak-anak saya dikecualikan daripada belajar bahasa Swedish kerana sukar untuk kanak-kanak belajar dua bahasa asing serentak.

International School tidak semestinya sekolah elit, sekolah mahal. Sebaliknya ia boleh jadi sekolah percuma. Hanya setting dan kurikulum yang menjadikannya antarabangsa, kemudian disusuli oleh kehadiran pelajar daripada pelbagai latar belakang diri.

Apa yang ingin saya ketengahkan kali ini adalah bagaimana survival anak-anak kami bersekolah di International School ini, dan apa teladan yang boleh diambil daripadanya terutamanya untuk ibu bapa di tanah air.

Taklimat untuk ibubapa bagi anak-anak yang mengikuti program Middle Year Program (MYP) di bawah kurikulum IB

Dari segi cabaran, memang cabarannya banyak. Budaya, pergaulan adalah di antara perkara yang memerlukan anak-anak kami menyesuaikan diri dan ia adalah sesuatu yang dijangka apabila berpindah ke negara asing.

Biar pun mencabar, saya gembira melihat anak-anak kini mempunyai kawan daripada lingkungan yang luas. Pelbagai agama, bangsa, budaya, malah jika sesama Muslim pun, ada Muslim dari negara yang pelbagai, malah ada sunni dan ada syiah (khususnya pelajar dari Iran) dan bagaimana mereka menggunakan kepelbagaian ini untuk memeriahkan pengalaman.

Sebelum-sebelum ini, semasa di tanah air, sesekali saya menangkap ayat-ayat anak kami yang menggambarkan betapa mereka begitu asing daripada kaum Cina dan India, sedangkan dua kaum ini adalah jiran dan telah hidup di dalam sebuah negara sebagai rakyat berbilang kaum yang membentuk Malaysia. Mereka tiada pengalaman seperti saya semasa di usia mereka, sebab mereka bersekolah di Islamic School semenjak sekolah rendah. Maka semua kawan mereka adalah MUSLIM malah hampir 100% MELAYU.

Saya secara serius menganggap ini sebagai satu kekurangan kerana saya tidak mahu anak-anak saya menjadi Melayu dan Muslim yang tidak hidup sebagai orang Malaysia di Malaysia. Duduk di sebuah negara majmuk berbilang bangsa dan agama, tetapi hanya kenal satu bangsa dan satu agama. Bagaimana hendak menghayati masyarakat Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dan para sahabat di Madinah serta cara mereka mengamalkan Islam di dalam masyarakat ‘Madani’, sedangkan di Madinah itu masyarakatnya pelbagai bangsa dan agama?

Namun, transisi daripada pengalaman bersekolah agama di Malaysia kepada International School di Finland, bukanlah sesuatu yang terjadi dengan mudah. Anak-anak memerlukan sokongan kami. Dari semasa ke semasa kami berbincang dengan mereka, bertanya khabar, cuba untuk mengorek isu-isu yang complicated malah sensitif.

Di dalam diri mereka ada banyak keresahan.

Anxiety.

Mereka perlu dibantu.

Sudah tidak ada ‘muallim’ atau ‘muallimah’. Memanggil guru pun hanya dengan nama. Perpindahan ke suasana yang sangat asing

Demikian juga masalah makan minum.

Oleh kerana semua sekolah di Finland menyediakan makan tengah hari percuma untuk semua pelajar, maka anak-anak saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan makan minum di sini. Saya bersyukur kerana pihak sekolah yang sudah sedari asal memahami akan pelbagai tuntutan dietari pelajar, maka pelbagai pilihan wujud. Malah hidangan sensitif seperti babi, dilabel dengan jelas termasuk dengan gambar, untuk memudahkan anak-anak gred 1 memilih makanan tanpa keliru.

Dari segi solat, saya menulis emel kepada setiap guru memaklumkan tentang keperluan bersolat anak-anak. Guru kelas memberi kerjasama dengan begitu baik. Anak-anak bersembahyang di dalam kelas, ada kalanya di bilik pejabat cikgu dan semua ini melegakan. Saya ajar anak-anak tentang cara berwudhu’ dan cara bersolat antara rukhzah dan ‘azimah, untuk membantu mereka kekal praktikal. Sebelum keluar rumah, mereka berwudhu’ lengkap, dan kemudian barulah menyarung stokin serta pakaian-pakaian lain.

Menyebut tentang pakaian, mungkin faktor inilah yang paling menggembirakan anak-anak kami. Oleh kerana sekolah di Finland tiada pakaian seragam, maka anak-anak kami memakai pakaian mereka dengan penuh keselesaan, dan tiadalah masalah aurat, terutamanya bagi anak perempuan kami. Pada masa yang sama, walaupun anak-anak kami berpakaian menutup aurat, ia tidak menjadikan mereka terasing, jauh sekali memandang negatif kepada orang lain, dan ini adalah satu pengalaman dan pembelajaran yang amat berharga.

Cuma, apa yang menjadi tanggungjawab tambahan kepada kami adalah pendidikan agama dan al-Quran buat anak-anak. Di sekolah, memang pendidikan agama disediakan. Maka anak-anak saya masih mendapat pelajaran agama Islam di dalam subjek Islam. Cuma, di dalam sistem pendidikan Finland, religious education adalah dalam kerangka knowledge based dan bukan devotional. Maka ia lebih bersifat memberi pengetahuan, dan bukan semestinya berorientasikan amalan. Hanya inisiatif gurulah yang memberikan sedikit penekanan kepada murid-murid untuk berusaha mengamalkannya. Namun learning outcome di dalam religious education tidak boleh diukur oleh sekolah dari segi amalan peribadi pelajar.

Hal ini rumit dan menjadi fokus tesis sarjana saya di sini, Inshaallah.

Maka soal bacaan al-Quran harian, hafalan, menyemak bacaan solat, dan kefahaman mereka tentang agama, kami usahakan di rumah.

Apa yang kami raikan selama pengalaman anak-anak bersekolah di sini adalah implikasi positif daripada sistem pendidikan dan persekitaran pembelajaran yang baik. Inilah manikam yang paling dicari oleh jauhari. Saya dapat melihat bagaimana sikap anak-anak terhadap sekolah mengalami perubahan yang baik. Mereka gemar ke sekolah, walaupun setiap hari mereka perlu berjalan kaki menempuh salji dan cuaca sesejuk -20ºC sejauh 2km pergi dan 2km balik.

Pengalaman yang positif di sekolah itu sangat penting. Ia seterusnya membantu meningkatkan penguasaan akademik setiap seorang mereka.

Jika sebelum ini, saya akan susah hati di report card day. Susah hati apabila ada anak yang mendapat pencapaian tinggi dan ada yang pencapaian rendah. Susah hati itu bukan kerana saya menilai anak-anak dengan pencapaian akademik berkenaan. Tetapi saya khuatir pencapaian yang rendah merosakkan jati diri anak-anak dan menjadikan mereka sedih, kecewa dan hilang motivasi dalam belajar. Empat orang anak bersekolah, report card day di Malaysia ditempuh dengan perasaan yang bercampur baur. Sambil mengucap tahniah, perlu juga menerang, dan memujuk, di celah-celah senyuman, linangan air mata, cemburu, fed up, dan pelbagai emosi yang melanda diri setiap seorang mereka.

Tetapi tahun ini, pengalaman baru ini memberi emosi yang berbeza. Selepas selesai sesi bertemu dengan guru-guru kelas anak-anak kami, saya boleh katakan SEMUA anak kami mengalami peningkatan yang memberangsangkan. Peningkatan itu bukan ditanda dengan penilaian summative  bergred, tetapi yang lebih penting adalah penerangan yang bersifat formative tentang akademik, motivasi, sosial regulation dan wellbeing anak-anak kami.

Saya tahu ia berkorelasi dengan pendekatan yang sekolah pakai kerana di sepanjang semester, saya membabitkan diri dengan proses pembelajaran anak-anak secara aktif.

Misalnya, anak kami yang agak lemah matematik, guru kelas bertemu dengan saya dan mengadakan perbincangan. Beliau mensasarkan mahu mengubah persepsi anak saya bahawa matematik itu susah, dan akan menggunakan lebih banyak pelajaran seni untuk menerangkan konsep-konsep matematik memandangkan anak yang agak lemah matematik ini kuat pula pada seni beliau. Di hujung semester, boleh saya katakan, berdasarkan laporan perkembangan dan prestasi anak-anak, matematik sudah tidak lagi menjadi masalah buat anak kami.

JIKA IBU BAPA MENGAMBIL PERANAN

Pelajaran daripada pengalaman menghantar anak-anak ke International School di sini mengingatkan saya bahawa ibu bapa di Malaysia, terutamanya bagi anak-anak di sekolah rendah, keperluan pendidikan anak-anak di usia ini adalah pendidikan yang membantu mereka suka sekolah, suka belajar, berkembang karakter secara positif dan seterusnya dalam aspek beragama, mereka ‘datang’ kepada agama sebagai manusia positif.

Saya menyebut hal ini kerana saya khuatir dengan demand yang begitu tinggi daripada ibu bapa yang mahu memasukkan anak ke sekolah agama di peringkat sekolah rendah, disusuli oleh pelbagai siri peperiksaan saringan dan kelayakan yang tidak munasabah. Hakikatnya untuk sekolah rendah, tidak banyak ‘Islam’ yang Islamic School boleh berikan kepada anak-anak. Apa yang lebih diperlukan oleh anak-anak di usia sekolah rendah, adalah sekolah yang menyediakan pengalaman pembelajaran yang positif.

Ibu bapa lebih mampu untuk memberikan agama kepada anak-anak usia sekolah rendah berbanding sebuah sekolah agama. Sebab agama untuk murid sekolah rendah adalah agama yang asas. Agama yang bukan memprioritikan fakta-fakta dan ritual, sebaliknya karakter dan sosial.

Apa yang sangat susah untuk dibuat apabila anak-anak sudah melepasi usia sekolah rendah ialah KARAKTER. Sangat susah untuk memadam implikasi tekanan mental dan emosi yang kronik sepanjang 6 tahun sekolah rendah, apabila anak-anak naik ke usia belasan tahun. Baru belasan tahun sudah murung, tertekan, hilang motivasi, benci sekolah dan tidak minat belajar.

Sedangkan jika semasa mereka sekolah rendah, mereka adalah kanak-kanak yang ceria, cukup bermain, periang, suka belajar, mendapat kasih sayang yang sewajarnya, maka Inshaallah mereka akan menempuh usia remaja dengan lebih SIHAT dan SELAMAT. Pada masa itu, nak beri agama, agama akan disambut Inshaallah dengan baik.

SEMANGAT PENDIDIKAN

Pada pandangan saya, menubuhkan sekolah harus terbit daripada semangat pendidikan, bukan semangat ‘agama’, apatah lagi bisnes. Mungkin pelik bunyinya. Maksud saya, jika ada pihak mahu menubuhkan sebuah sekolah swasta, sekolah itu tidak semestinya sebuah ‘sekolah agama’. Sekolah yang mahu ditubuhkan itu sepatutnya menawarkan ‘pendidikan’, dan bukan maklumat-maklumat agama sebagai ‘niche’ yang menjadikannya berbeza daripada sekolah lain. Ilmu yang diperlukan untuk menubuhkan sekolah adalah ilmu pendidikan, bukannya ilmu Syariah atau Usuluddin. Kenyataan ini merujuk kepada realiti pengkategorian ilmu dan pengkhususan di dalam masyarakat semasa, bukan idealisma dan retorik impian.

Ada lima jenis reka bentuk sekolah menurut Sadker (Sadker, Myra, David Miller Sadker, and Karen R. Zittleman. Teachers, schools, and society. New York: McGraw-Hill, 2008.).

Sekolah itu mungkin teacher centered essentialism.

Sekolah itu mungkin teacher centered perennialism.

Sekolah itu mungkin student centered progressivism.

Sekolah itu mungkin student centered social reconstructionism.

Sekolah itu mungkin student centered existentialism.

Sama ada apa yang hendak disampaikan kepada pelajar itu adalah sejarah, matematik, sains, bahasa, mahu pun fiqh ibadat, usuluddin, al-Quran atau al-Hadith, apa yang kuat mempengaruhi pelajar ialah bukan isi kandungan subjek berkenaan, tetapi sekolah itu direkabentuk dalam reka bentuk yang mana satu.

Jika sekolah itu adalah teacher centered essentialism, maka di sekolah itu yang mendominasi pembelajaran di dalam kelas adalah guru, cikgu banyak berdiri di hadapan, murid mendengar dan mengikuti pelajaran yang guru sampaikan, dan silibus adalah berasaskan buku teks yang disediakan.

Jika sekolah itu adalah teacher centered perennialism, maka di sekolah berkenaan, guru mendominasi pembelajaran, namun silibus adalah berdasarkan buku-buku klasik atau dalam bidang agama sering disebut sebagai kitab turath. Justeru, kalau mahu belajar fiqh, buku yang dipakai bukan buku teks Kementerian Pendidikan atau buku Jabatan Agama, atau Kumpulan Musleh, sebaliknya langsung ke kitab seperti al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ oleh Sheikh Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini.

Jika sekolah itu adalah student centered progressivism, maka pembelajaran di sekolah tersebut banyak mengaktifkan pelajar dalam pembelajaran, guru berperanan banyak sebagai fasilitator ke atas pembelajaran murid-murid, manakala silibus pembelajaran sentiasa dinamik berorientasikan perkembangan pelajar. Pembelajaran membabitkan pelbagai bentuk aktiviti yang aktif, bersifat inquiry (menyelidik dan menyiasat) serta kontekstual (belajar di luar bilik darjah untuk melihat sendiri di mana ilmu itu di dalam pengalaman hidup sebenar.

Kemudian, jika sekolah itu student centered social reconstructionism, maka di sekolah ini, pelajar turun ke lapangan masyarakat, meneliti masalah-masalah yang masyarakat hadapi dan langsung terbabit dalam mengusahakan solusi. Pembelajaran dibina daripada pengalaman berinteraksi dengan masyarakat dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Jika satu kawasan itu sampah sarapnya tidak diurus dengan baik, pelajar terbabit di dalam proses mendidik masyarakat di kawasan tersebut untuk mengubah pemikiran mereka, cara mereka membuang sampah dan seterusnya bagaimana kerajaan tempatan bekerjasama dengan penduduk kawasan berkenaan untuk menyelesaikan masalah sampah tersebut. Nilai pembelajaran dibina daripada usaha-usaha tersebut.

Dan seandainya sebuah sekolah itu adalah student centered existentialism, maka pelajar di sekolah ini menentukan sendiri tahap pembelajaran dan hala tujunya, mereka memilih sendiri medium pembelajaran yang mahu digunakan, dan guru membimbing pelajar secara yang sangat unik bagi setiap individu pelajar. Tiada silibus atau kurikulum yang mahu dijadikan standard, sebaliknya pelajar berasa aman pada objektif pembelajaran yang disasarkannya secara peribadi pada mengisi makna pendidikan yang difahaminya.

Dari semasa ke semasa apabila sekolah swasta tumbuh bagai cendawan, dan berusaha untuk menarik minat ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah, majoriti sekolah tersebut jatuh di bawah kategori teacher centered essentialism. Inilah sekolah yang paling ‘mudah’ untuk ditubuhkan kerana ia hanya kesinambungan daripada pengalaman arus perdana, dengan sedikit pengubah suaian kepada buku teks mana yang hendak dipakai. Tetapi apa yang dipelajari, bagaimana ia diajar, bagaimana pelajar belajar, bagaimana pembelajaran pelajar diukur, kesemuanya berkisar pada langganan yang sama.

Saya berusaha ke Finland untuk belajar ilmu pendidikan, kerana tanggungjawab membangunkan sekolah Khalifah Model School (Primary) dan Khalifah Model School (Secondary) memerlukan ilmu pendidikan, lebih daripada ilmu subjek-subjek di sekolah, termasuk ilmu agama yang serba sedikit sudah saya perolehi melalui ijazah Syariah sebelum ini.

Menjadi pelajar di Finland, kemudian pada masa yang sama menjadi ibu bapa kepada empat murid sekolah yang bersekolah di Finland, saya memohon kepada Allah agar ilmu dan pengalaman yang diperolehi, dapat membantu saya memahami makna pendidikan dengan sebaik mungkin, dan seterusnya memanfaatkan semua itu untuk PENDIDIKAN sebagai JALAN ISLAH.

Moga Allah redha.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

4 comments

  1. melabur pada manusia merupakan pelaburan paling untung

  2. Itulah untungnya kalau mengembara di negara orang..sentiasa dapat pengalaman dan input yang baru =)

  3. ilmu adalah ketibaan makna di dlm qalbu…

    jk bljr content, ia x dpt (sbg asbab) utk mbentuk nilai. insan dan manusia itu berbeza….

    apa pndpt ustaz? betulkn jk.sy tsilap.

  4. Tulisan Ustaz tntang sekolah dan pendidikan sangat memberi pengaruh besar kepada saya dan anak-anak.

    Saya memilih sekolah anak saya sekarang berdasarkan pembacaan saya di blog ustaz…

    terima kasih kerana sangat banyak mendidik ibu bapa melalui blog ini

    walaupun saya akui tulisan ustaz biasanya heavy, saya gagahkan juga baca dan hadam,

    tetap saya jadikan tulisan ustaz sebagai rujukan

    terima kasih ustaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share