DEMOLA OULU: Mengutip Pengalaman dan Ilmu Baru

Ini kali kedua saya menyertai DEMOLA selama berada di Oulu.

DEMOLA ini adalah sebuah platform inovasi yang diiktiraf oleh OECD dan World Bank, dimulakan di Tampere, Finland, oleh Nokia, Teliasonera dan Metso. Sehingga kini, sudah ada kira-kira 5000 pelajar menyertainya, melalui kira-kira 900 buah projek.

Tahun lalu, permohonan saya untuk menyertai DEMOLA telah diterima dan saya dapat menyertai projek MEMORY LANE yang ditaja oleh Mr. Juha Vidgren, iaitu pengerusi kepada Ponsse Plc., sebuah syarikat gergasi Finland yang menghasilkan jentera perhutanan, Ponsse. Walaupun begitu, beliau adalah seorang peminat sejarah dan sebagai sumbangannya kepada masyarakat, beliau mahu menghasilkan satu ‘tool’ yang boleh membantu masyarakat mendigitalkan foto-foto lama untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Beliau mempunyai hasrat, tetapi tidak mempunyai idea.

Mr. Juha Vidgren menegur saya anak beranak semasa bersiar-siar di Oulu. Beliau seorang usahawan besar di Finland yang mencintai sejarah.

Saya dan empat orang lagi rakan, digabungkan di dalam sebuah kumpulan, dan DEMOLA melatih kami menukar idea kepada solusi.

Di penghujung program, kami telah hasilkan prototaip sebuah app ala-ala Photomyne, tetapi diintegrasikan dengan Google Map agar foto-foto yang didigitalkan itu diberi fungsi geolokasi dan penyumbang foto tergerak hati untuk menceritakan kisah di sebalik foto yang dikongsi.

Walaupun kami tidak menang di dalam Final Pitching, hasil kerja kami memuaskan hati Mr. Vidgren, dan beliau telah membeli prototaip kami untuk dibangunkan oleh syarikat lain pilihannya.

Pasukan Memory Lane, terdiri daripada pelajar sejarah, arkeologi, perniagaan dan pemasaran, geografi, dan pendidikan

Saya berpuas hati dengan pengalaman pertama di dalam DEMOLA tersebut. Selain mendapat sedikit duit saku, pengalaman yang diperolehi membolehkan saya meneroka budaya kerja Finnish dan antarabangsa. Saya juga diberikan 5 jam kredit ECTS untuk dimasukkan di dalam optional studies di sini.

DEMOLA OULU: AUTUMN 2017

Kali ini, walaupun saya sudah mula sibuk dengan tesis, saya perlukan aktiviti menarik yang boleh mengekalkan upaya saya mengatur pembelajaran. Semasa meneliti iklan DEMOLA untuk pengambilan Autumn 2017, saya terlihat sebuat projek yang sangat menarik. Sebuah High School (Luiko) milik Oulu City Council  berdepan dengan cabaran untuk membantu pelajarnya berintegrasi dengan dunia pekerjaan Finnish di Oulu ini. Pelajar-pelajar di sekolah berkenaan terdiri daripada imigran yang datang daripada pelbagai pelusuk dunia sebagai asylum seekers dan refugees. Mereka berdepan dengan banyak masalah untuk bekerja di Finland atas faktor yang pelbagai. Ada faktor daripada diri mereka sendiri, dan ada faktor daripada sektor perniagaan dan alam pekerjaan di Finland.

Oulu City Council mengusulkan masalah mereka kepada DEMOLA, dan DEMOLA mencari calon yang sesuai untuk menjayakan projek mencari solusi kepada masalah ini.

PERIHAL UMAT ISLAM DI OULU

Sebagai seorang Muslim, saya selalu berfikir tentang lambakan umat Islam yang datang ke Oulu ini. Oleh kerana saya masih boleh berbahasa Arab, saya sering memasang telinga ketika duduk di pusat membeli belah atau semasa menaiki bas, mendengar untuk memahami kehidupan pelarian daripada negara-negara bermasalah terutamanya Syria dan Iraq. Banyak perkara yang saya bimbangkan mengenai mereka. Malah baru-baru ini, tersiar di dalam berita tempatan bahawa jumlah pelarian Iran, Iraq dan Afghanistan di Finland yang meninggalkan agama Islam, masuk agam Kristian bertambah dari semasa ke semasa.

Loader Loading...
EAD Logo Taking too long?

Reload Reload document
| Open Open in new tab

Download [119.89 KB]

Capaian asal artikel di https://yle.fi/uutiset/osasto/news/hundreds_of_asylum_seekers_in_finland_converting_from_islam_to_christianity/9744118

Apa yang jelas kelihatan di mata kasar, para pelarian ini sama ada kemurungan menempuh kehidupan di sini kerana gagal berasimilasi, atau terus hanyut dengan dunia baru mereka di Kutub Utara. Kedua-dua keadaan yang ekstrim ini berisiko meletakkan mereka di limbo, terputus hubungan dengan latar belakang asal, dan tidak menjadi sebahagian komuniti semasa. Di daerah keresahan itu, sering lahir golongan anak muda yang terjebak dengan radikalisme dan masalah-masalah lain yang rumit.

Saya tidak mahu menyentuh masalah ini daripada jendela masjid. Walaupun masjid sepatutnya diutamakan, tetapi setakat ini masjid belum dapat dimanfaatkan untuk menguruskan pelarian-pelarian ini dalam bentuk penyelesaian proaktif dan jangka panjang. Mesej daripada masjid masih bersifat tradisonal yang memperingatkan kepentingan mereka menjaga halal haram dan tidak terpengaruh dengan budaya barat. Sedangkan mereka ini tiada pekerjaan, trauma, terkena kejutan budaya, dan berdepan dengan masalah survival makan minum yang sangat asas sebagai manusia. Itu belum masuk lagi bab makan minum yang halal.

Sebab itu, saya cuba mencari cara lain untuk berbuat sesuatu.

Selain memberi sedikit sumbangan idea, saya juga harap saya dapat belajar sesuatu daripada pengalaman ini.

SUBJEK VOLUNTEER FIELD WORK WITH WITH ASYLUM SEEKERS

Di samping aktiviti DEMOLA, semester ini juga saya mengambil sebuah subjek elektif, khusus berkaitan dengan pendidikan asylum seekers. Saya dan 30 orang lagi pelajar akan bekerja di reception centre dalam wacana pendidikan untuk membantu unit keluarga, kaum wanita, anak muda, dan kanak-kanak tanpa ibu bapa, yang datang ke bumi asing ini dengan 1001 trauma, dan ingin memulakan kehidupan baru. Universiti menyediakan kursus untuk mengajar kami tentang undang-undang berkaitan pelarian, psikologi mereka, proses integrasi, dan menyalurkan semuanya dalam bentuk sokongan pendidikan.

Sayangnya daripada lebih 30 pelajar di dalam kumpulan semester ini, hanya dua orang pelajar lelaki. Saya, dan seorang exchange student daripada Sepanyol. Ke mana kaum lelaki dalam pendidikan?

Saya teringat kepada anak-anak Rohingya di Malaysia yang tidak dapat bersekolah. Malah anak tempatan yang ada isu-isu berkaitan taraf mastautin, status ibu bapa, kerakyatan dan lain-lain, ramai yang terkontang kanting di negara kita. Di Finland, pendidikan diletakkan sebagai hak asasi manusia. Semua manusia, mesti mendapat pendidikan. Dan menjadikan semua birokrasi, kertas dan surat menyurat bukan penghalang kepada sesiapa sahaja mendapat akses kepada pendidikan.

Saya ingin mendapat sedikit ilmu dan pengetahuan bagaimana Finland menguruskan hal ini di sini.

Berbalik kepada projek DEMOLA tadi, saya telah menghantar permohonan dan menggunakan pengalaman belajar di Jordan serta bekerja di Ireland Utara sebagai aset.

Alhamdulillah, daripada lebih 100 permohonan, 40 orang telah terpilih menyertai DEMOLA kali ini, dan saya direzekikan sekali lagi untuk menyertai DEMOLA bersama 6 orang lagi peserta di dalam kumpulan kami yang diberi nama “FINLAND of OPPORTUNITIES”.

Hanya saya lelaki, dan hanya saya yang tidak berbahasa Finnish. Di dalam kumpulan lain ada percampuran yang luas dengan pelajar daripada pelbagai negara, lelaki dan perempuan. Tetapi di dalam kumpulan kami kali ini, saya seorang sahaja lelaki. Enam lagi adalah pelajar perempuan, dan kesemua mereka adalah Finnish. 3 daripadanya adalah pelajar senior dalam lingkungan umur seperti saya.

LAWATAN HARI INI

Hari ini, saya dan pasukan telah membuat lawatan pertama kami ke sekolah berkenaan.

Kami diperkenalkan dengan guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan, dan kemudian sempat melawat tiga buah bilik darjah. Dua kelas bahasa Finnish asas dan pertengahan, manakala sebuah kelas matematik. Pelajar-pelajar di sekolah ini berusia di antara 16 hingga 60 tahun!

Jika di sekolah menengah atas Finnish yang lain, rata-rata pelajar berumur di antara 16-17 tahun, di sekolah ini pemandangannya adalah seperti sekolah dewasa. Ala-ala ‘Sekolah Umam Buta Huruf’ dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Saya sangat terharu melihat kesungguhan Finland memberi pendidikan kepada pelarian-pelarian ini. Dari raut wajah pelajar di dalam kelas, saya tahu mereka daripada Syria, Iraq, Somalia dan beberapa buah negara lain. Mereka meninggalkan tanah air kerana peperangan, datang ke Finland mencari kehidupan, sebahagian mereka tidak boleh membaca dan menulis walaupun telah dewasa. Dan di sekolah ini, mereka dibantu untuk memperolehi ilmu dan kemahiran belajar dari asas hingga akhir, sama seperti rakyat Finland.

Semuanya percuma.

Sekurang-kurangnya di sekolah ini, saya boleh katakan bahawa apa sahaja masalah yang mereka bawa bersama ke Finland, diketepikan, dengan satu iltizam, bahawa mereka perlukan pendidikan.

Selama dua jam kami bersumbang saran, kami korek daripada pihak sekolah apakah masalah-masalah yang wujud untuk kami gunakan maklumat tersebut di dalam projek DEMOLA. Seperti yang dijangka, ada masalah datang daripada pelajar, dan ada masalah datang daripada syarikat-syarikat di Finland itu sendiri.

Kami perlu mencari solusi yang perlu merangkum kedua-dua dimensi ini dan semuanya perlu dilakukan dalam masa 3 bulan projek DEMOLA ini berlangsung.

Pihak penganjur berulang kali menyebut yang projek kami ini tiada dana. Mereka kekeringan sumber kewangan untuk menampung usaha yang besar ini.

Saya dengan nada ala-ala motivator, menekankan di dalam mesyuarat bahawa kita mesti buktikan bahawa cabaran kita bukan wang, tetapi jika cabaran ini berjaya diatasi, ia akan menjana wang untuk semua.

Semangat tak?

Kami pulang dengan kepala yang berat terisi pelbagai maklumat. Minggu hadapan kami akan bermesyuarat untuk merumuskan langkah seterusnya. Buat masa ini, saya kendalikan kolaborasi secara atas talian dengan menggunakan platform 9teams da Claned yang baru dibangunkan untuk menyokong collaborative learning and work.

Awesome collaboration for ERP teams from Piet Neirinck on Vimeo.

Semoga usaha yang kecil ini menjadi asbab untuk saya belajar ilmu-ilmu yang bermanfaat, sebagai sumbangan kepada masyarakat Finland dan khususnya umat Islam minoriti di sini. Mudah-mudahan faedahnya juga berguna untuk dibawa pulang ke tanah air, suatu hari nanti.

Insya-Allah.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share