Tragedi M Vasanthapiriya: Merenung Kembali Pendekatan Disiplin Kita

KISAH BATU BERLAGA AIR

“Marah itu kalah!” petik seorang peserta program KEM HIJRI suatu ketika dahulu.

Mungkin beliau terkesan dengan cerita yang saya kongsi semasa program, mengapa kami tidak berjaya dijadikan marah oleh pelbagai kerenah peserta.

Bukan tidak marah.

Degil, berbohong, khianat, biadab. Mustahil sebagai manusia biasa, kami tidak marah.

Tetapi marah itu dipadamkan dengan air.

Sama ada oleh air wuduk, air mandi, atau jiwa dakwah dan mendidik yang diasuh menghayati kuasa air.

KUASA AIR

“Apa yang kamu boleh zikir dan fikirkan tentang air?” saya melontar soalan kepada peserta di hening pagi.

“Air menjadi sumber kehidupan” jawab salah seorang peserta sebuah kumpulan.

“Itu pandangan akal. Bagaimana pula pandangan hati pada mencari yang tersirat di sebalik yang tersurat?” saya mengusik minda mereka.

Sepi…

Khali tanpa suara.

Ada yang menguis-nguis kaki di gigi kali yang dingin.

Ada juga yang membaling batu ke sungai memecah bisu.

“Air disekat macam mana pun, dia terus memberi. Air contoh ‘erti hidup pada memberi’ yang terbaik!” jawab seorang anak muda.

Memberanikan diri.

Kefahaman tentang Erti Hidup Pada Memberi yang diulang-ulang semasa program semakin jelas di minda anak-anak muda ini apabila mereka menerima kunjungan Khariri al-Hadi, penderma hati yang sudi berkongsi cerita bersama peserta pada hari kedua program. Betapa besarnya makna sebuah kehidupan apabila diri bukan lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi pada mengajak orang lain berjaya, selamat dan bahagia bersama.

The more you give yourself to others, the more you will find yourself!” kata Mahatma Gandhi suatu ketika dulu.

“Bagaimana air mampu terus memberi?” saya bertanya lagi.

“Sabar” jawab seorang lagi.

“Sabar macam mana?” saya menambah lagi pahat ke minda mereka.

“Sabar membentuk batu!” tambah seorang lagi.

Benar. Hebat jawapan dia. Tak padan dengan usia.

Batu tidak dibentuk dengan batu. Batu yang menghentak batu hanya akan memercikkan api, dan memecahkan batu. Memecahkan yang dihentak, mungkin juga yang menghentak itu pecah.

Tetapi batu lebih cantik dan berguna apabila ia dibentuk oleh air.

Air adalah juara ke atas batu. Kepala batu, hati batu, batu api, segala benda keras yang dikaitkan dengan batu, kalah dengan air. Malah batu tenggelam kepada air.

“Sekarang fahamkah kalian kenapa kalian gagal menyebabkan kami marah?” saya menyoal.

Mereka tersenyum.

“Batu bukan lawan kepada air!” saya menyudahkan kesimpulan.

“Ayuh kita sarapan!” kami beredar meninggalkan sungai.

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan” [al-Baqarah 2: 74]

Bertindaklah sebelum hati manusia hitam dan beku. Sebelum lebih keras dari batu. Yang hanya Neraka mampu meleburkannya. Jangan hantar anak-anak ke Neraka dengan batu kekerasan kita.

Petikan ulasan Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah

RENUNGAN

Semasa mengendalikan kem motivasi dahulu kala, antara perkara yang paling saya tidak gemar adalah apabila berlakunya kes kecurian atau buli. Namun kedua-dua hal ini sukar dielakkan apabila kita kumpul berpuluh-puluh remaja di bawah satu bumbung. Namun, penganjur mestilah mempunyai polisi dan perlaksanaan yang jelas bagaimana situasi ini diatasi sekiranya berlaku.

Dalam taklimat saya kepada fasilitator, antara perkara yang saya tekankan ialah maruah peserta, mentaliti, fizikal dan emosi peserta adalah perkara yang dilindungi, tidak boleh dicederakan sama sekali, sebelum kita hendak mengungkap “pendapat setiap kamu adalah berharga!” Pastikan ungkapan itu bukan omongan kosong dengan menghargai terlebih dahulu semua benda yang dilindungi Tuhan. Dalam Islam, ia sudah berada di bawah dharuriyyat yang lima (al-dharūriyyāt al-khamsah).

Apa sahaja yang peserta buat, sabar dan PATAHKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN. Pelajar hembus asap rokok ke muka pun, SABAR.

Sabar bukan bermaksud kalah dan pasrah. Sabar ialah menekan butang ‘pause’, tidak bertindak secara reaktif terhadap apa yang berlaku, sebaliknya menjadi selektif, memilih tindakan yang diyakini boleh MENGUBAH keadaan.

Bukankah itu yang dipesan Nabi sallallahu alayhi wa sallam, bahawa barangsiapa di kalangan kita melihat kemungkaran, hendaklah ia MENGUBAHNYA dengan tangan, lisan atau hati. Ayat asalnya ialah UBAH (فليغيره), bukan sekadar ‘cegah’. Untuk mengubah masalah jadi manfaat, hanya cara yang dijanji Tuhan, boleh membantu kita mencapainya.

Iaitu:

“Kebaikan dan kejahatan itu tidak sama. Balas kejahatan dengan apa yang lebih baik daripadanya. Seandainya ada permusuhan antara kamu dan dia, (pendekatan itu) boleh menukarnya menjadi sahabat karib” [Fussilat 41:34]

Kami aplikasikan kaedah CASIC yang saya pelajari daripada sahabat saya Tuan Fazrul Ismail iaitu:

Connect
 
Acknowledge
 
Serve
 
Inquire
 
Choice

Empat kata kerja satu kata nama.

KEJADIAN SEBENAR

Pada satu ketika, kami berhadapan dengan aduan peserta perempuan bahawa ada peserta lelaki yang meletakkan telefon bimbitnya di bawah dinding asrama perempuan! Kejadian itu menggemparkan dan mengejutkan kami semua.

Walaupun kita sudah ada pelbagai slot yang kita rangka untuk mencapai objektif program, kami berijtihad bahawa objektif mesti diutamakan, berbanding aktiviti yang sudah dirancang. Maka kami batalkan beberapa slot, menggantikannya dengan proses menyelesaikan masalah ini.

Malam itu, kami kumpulkan semua peserta di padang di hadapan asrama. Saya terangkan kepada mereka sebesar manakah implikasi kejadian tersebut dan betapa seriusnya kami dengan hal ini. Kami tidak akan lepaskan peserta sehingga kes ini selesai malam ini juga. Jika tidak selesai, esok kami akan buat laporan polis dan serahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian, juga pihak berkuasa lain yang terbabit seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerana kami bertanggungjawab melindungi maruah peserta yang dimangsakan oleh rakaman telefon berkenaan.

Ia perbuatan yang sangat keji dan tidak bermaruah.

Namun kami tidak akan menyelesaikanya dengan menjatuhkan pula satu lagi maruah.

Justeru, kami perlukan pengakuan pesalah, atau bukti oleh saksi yang mengetahui siapa yang bersalah. Saksi dan pesalah, kedua-duanya kami lindungi, kerana kami bukan mahu menghukum atau membelasah, tetapi kami mahu membetulkan keadaan.

Caranya;

Semua fasilitator lelaki dan perempuan berdiri di hujung padang dengan jarak yang tidak membolehkan perbualan kamu dengannya didengari oleh peserta lain. Setiap seorang pergi berjumpa dengan fasilitator yang kita tentukan, seorang demi seorang, dan sampaikan satu daripada tiga perkara berikut:

  1. “Saya tidak tahu apa-apa mengenai kejadian ini” jika anda tidak tahu apa-apa mengenainya.
  2. “Saya tahu siapa yang melakukannya. Beliau ialah … dan kisahnya begini…” jika anda adalah saksi
  3. “Saya bersalah” jika anda pesalahnya.

Tiga sahaja pilihan yang ada.

Selepas kami selesai menemubual semua peserta, kami akan bermesyuarat untuk menyelaraskan maklumat yang kami perolehi dan pesalah akan dipanggil untuk siasatan dan proses pembetulan.

Peserta bersetuju dan proses berkenaan dimulakan.

Saya boleh bayangkan betapa geramnya jiwa anak-anak muda para fasilitator kami ketika itu. Rasa tangan hendak dikepal dan hendak ditengking-tengking sahaja para peserta. Kalau boleh hendak dibongokkan, dimonyetkan dan dibangangkan mereka, betapa tidak bersyukurnya mereka selepas emak ayah bersusah payah menghantar mereka ke kem dan membayar yuran, dan macam-macam lagi proses mengungkit mengikut sistem nilai kita.

Tetapi sistem nilai kita dan anak-anak itu tidak sama.

Bagi kita, ibu bapa are doing them a favour dengan menghantar anak ke kem kita yang ‘istimewa’ ini.

Bagi anak-anak, mungkin bagi mereka ibu bapa mahu bercengkerama tanpa anak-anak. Maka cuti sekolah ini campak anak-anak ke dalam hutan, atas nama motivasi!

Atau bagi sesetengah pelajar, mereka memang tidak kisah, tidak peduli, malah sudah biasa diherdik dan ditengking, dibongokkan, dimonyetkan dan dibangangkan sepanjang hayat mereka. Dan kami, hanyalah sebahagian daripada orang dewasa yang singgah dalam kehidupan mereka untuk bersama mengherdik, menengking, membongok, memonyet dan membangang.

Mereka simpulkan dengan satu sahaja kata nama, kata sifat atau kata perbuatan iaitu “babi!”

Kalau pun tidak f word  yang lebih fasih di lisan generasi semasa.

Proses menemubual seorang demi seorang peserta memakan masa sekitar dua jam lebih. Setelah selesai kesemuanya, kami bermesyuarat dan menemukan maklumat-maklumat yang diperolehi. Tiada pengakuan bersalah diperolehi. Namun kami beroleh keterangan saksi yang tidak bercanggah antara satu sama lain. Ia sangat mengejutkan sebab pesalah yang dimaksudkan adalah peserta yang baik, cemerlang dalam berpatisipasi, disukai oleh kebanyakan fasilitator dan mungkin jatuh di bawah kategori ‘peserta popular’.

Dipendekkan cerita, pesalah berkenaan dipanggil senyap-senyap dari asrama ke pejabat kami. Sedikit demi sedikit saya dan para fasilitator yang masih tenang dan bertenaga menyertai bersama sesi berbincang dan mencari punca kejadian, dan mudah-mudahan menyelesaikannya. Telefon pelajar berkenaan kami periksa untuk dipastikan tiada foto atau video yang dirakam dan jika ada mesti dihapuskan serta merta.

Banyak masalah lain yang terkorek keluar dalam sesi tersebut, bahawa ia bukan sekadar soal masalah yang kelihatan, tetapi di sebalik masalah tersebut ada pelbagai masalah lain. Ia menukar peserta terbabit daripada ‘pesalah’ kepada ‘pesakit’ yang memerlukan bantuan.

Dapatan malam itu kami sampaikan kepada salah seorang ahli keluarganya semasa hadir mengambil peserta usai berakhirnya program. Dan pendekatan yang kami gunakan untuk menangani kes tersebut, saya terangkan ia kepada peserta supaya mereka menghargai pendekatan “menumpaskan kejahatan dengan kebaikan” sebagai salah satu take-home note utama mereka selepas pulang daripada KEM HIJRI.

Kem Hijrah Remaja Islam.

Agar hijrah itu benar-benar terjadi.

Bukan saya tidak suka dengan kem sebegini. Tetapi saya khuatir, pendekatan secara one shot sebegini tidak kekal lama. Betapa bermasalahnya remaja hari ini, dan betapa masalah remaja hari ini diterukkan oleh masalah orang dewasa hari ini… masalah ibu bapa, masalah guru, masalah masyarakat dan sistem, saya berpindah daripada kem motivasi kepada menjadi guru sepenuh masa di sebuah institusi sekolah, kerana sekolahlah tempat pendekatan “menumpaskan kejahatan dengan kebaikan” boleh disistemkan untuk terserap masuk ke dalam akademik, ko kurikulum, kehidupan asrama, melalui Khalifah Method yang kami laksanakan.

Beberapa tahun kemudian, masalah kecurian berlaku di sekolah. Kami telah membatalkan kelas-kelas hari itu, dan menggunakan kaedah yang sama untuk menyelesaikan masalah kecurian tersebut. Guru-guru bersabar menunggu di sekolah hingga ke petang, malah ada yang sehingga malam, sampailah kes tersebut selesai dan murid-murid belajar, bahawa yang utama di sekolah adalah pembelajaran. Bukan subjek, silibus dan peperiksaan, semata-mata!

Semoga kes malang yang menimpa anakanda M Vasanthapiriya baru-baru ini, menjadi pengajaran buat kita semua, bahawa selesaikanlah masalah kanak-kanak dengan menyelesaikan masalah kita orang dewasa terlebih dahulu!

Rahmati kami wahai Tuhan yang Maha Pengasih.

HASRIZAL
Oulu, FI

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

2 comments

  1. Didik anak bermula dari rumah. Anak2 yang rebel disebakan kurangnya kasih sayang daripada rumah. Mereka lihat contoh daripada ibu bapa. Walaupun jumpa ibu bapa sekejap je, contoh itulah yang akan melekat di kepalanya & akan menjadi sebati dengan dirinya.

  2. Mohon pandangan, sy guru sekolah rendah. berlaku kes kecurian di sekolah saya. Kami telah memanggil murid berkenaan, kami berikan bukti mengapa dia dipabggil dan memaklumkan implikasi jika perkara ini dibawa ke pihak berkuasa. Akhirnya dia mengaku dan meminta jangan diberitahu kpd bapanya. Saya minta dia menulis Surat akuan kesalahan yg dilakukan. Persoalan saya 1. Saya rasa bersubahat apb bertuju utk tidak memberitahu bapanya. 2. Bagi kes kecurian, wang yg dicuri telah habis dibelanjakan. Murid berkenaan tidak mampu menggantikannya. Bagaimana Kita nk didik bahawa apb kes melibatkan harta org lain, tidak cukup hanya mengsku salah, tetapi perlu dipulangkan atau diganti. 3. Dlm kes ni, kami lebih menumpukan kepada implikasi undang2. Bagaimana nk didik atau nk ubah mindset anak2 yg cenderung mencuri apabila mampu membolosi pagar undang2. Jazakallah atas response.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share