Mengenang Stephen Hawking di Daerah ‘La Ilaha’ Ini

14 Mac 1879 dunia menyambut kehadiran Albert Einstein.

14 Mac 2018, kita melambai pemergian Stephen Hawking.

Beliau pergi, meneruskan perjalanannya bersama masa, di luar semua dimensi yang sudah pernah diterokai, dan ditandakan dengan nombor sebagai bahasa penerangan.

Pada tarikh berkenaan, saya duduk bersama anak-anak menonton kembali filem The Theory of Everything. Bagi saya buat kali yang ketiga, manakala bagi anak-anak kami, buat pertama kali selepas mereka ‘lebih mampu memahami’ berbanding menontonnya pada tahun 2014 lalu.

Kali ini, perasaan saya sangat berbeza.

Banyak air mata yang tumpah.

Menyemak kembali, keindahan akal yang baik hingga kehilangan segala-galanya tidak menjadi kehilangan selagi akal masih ada. Sebagaimana Helen Keller yang buta, pekak dan bisu, tertutup semua pintu utama pembelajaran, namun masih tetap ‘ada’ selagi adanya ‘akal’ yang menjadikan manusia itu manusia. Lebih menyumbang, lebih berfikir, lebih berlegasi.

Berbanding…

Ada segala-galanya tetapi lumpuh akal.

Jadi perosak.

Penumpah darah.

Saya tidak mencoret apa-apa di media sosial pada tarikh tersebut. Saya mahu tarikh itu tarikh yang nyaman untuk saya berfikir tentang Stephen Hawking. Senyaman musim Spring di Kutub Utara yang masih menyaksikan salji demi salji turun mengiringi bulan Mac, tanpa henti.

Di media sosial, saya jelek melihat masyarakat kita, yang percaya dirinya berTuhan, bagai terdesak untuk berulang-ulang kali menyebut Stephen Hawking tidak percayakan Tuhan. Seolah-olah mereka tidak nampak keresahan isterinya sendiri, Jane Wilde yang berkongsi hidup bersamanya selama bertahun-tahun.

Mengatasi dua tahun jangkaan doktor selepas Stephen didiagnos dengan amyotrophic lateral sclerosis (ALS).

DI DAERAH INI

Kini sudah masuk tahun kedua saya sekeluarga bermastautin di Finland. Di daerah yang secara rasminya 70% penduduk beragama Kristian Lutheran, tetapi dalam kehidupan awam, lebih nyata masyarakatnya tidak beragama.

Kawan-kawan saya tidak percaya kepada Tuhan.

Guru-guru saya tidak percaya kepada Tuhan.

Di daerah ramai manusia tidak percaya kepada Tuhan ini, ia tidak menjadikan saya tidak berTuhan. Sebaliknya ia membantu saya untuk melihat diri saya dengan lebih jelas. Jika di dalam kehidupan yang dikelilingi syiar-syiar kehidupan berTuhan, saya mungkin bersolat, berpuasa, membaca al-Quran kerana ia agama saya, di sini saya melakukannya kerana saya mahu membina hubungan dengan Tuhan saya. Hubungan itu jadi lebih personal pada nilai dan keperluan.

Hukum hakam yang hendak diamalkan dalam batasan-batasan halal haram di sini, jadi berubah asas. Ia bukan untuk memastikan pilihan saya sesuai dengan pandangan fulan atau fulan, tetapi memanfaatkan legasi fulan dan fulan untuk membantu saya memurnikan kehambaan saya kepada Tuhan. Bukan Tuhan sesiapa, tetapi Tuhan saya sendiri yang saya imani, Allah.

Dari semasa ke semasa, saya perlu keluar meninggalkan bilik kuliah dan mencari sudut-sudut sepi untuk saya berhubung dengan Tuhan. Sebelum keluar kelas, saya perlu ingat kepada Tuhan agar saya peka kepada masa solat. Selepas solat, saya ‘membawa’ Tuhan di dalam kesedaran diri untuk duduk kembali di dalam kelas pengajian yang adakalanya saya rasa seperti overtasking ke atas sains untuk memahami manusia dan kehidupan.

Membaca data-data yang dikutip daripada suhu kulit, pergerakan mata, intonasi suara, untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada fikiran, perasaan, motivasi, di dalam diri-diri manusia ciptaan Tuhan ini, hingga adakalanya saya rasa seperti manusia ini bukan lagi manusia, tetapi objek seni yang boleh diangka-angkakan dhamir di dalamnya.

Di daerah yang sangat jauh ini, insan-insan seperti Stephen Hawking ada ramai di keliling saya. Individu yang memerah akalnya untuk memahami kehidupan, tanpa terlalu cepat beralasankan Tuhan untuk membina penjelasan. Dalam menangguhkan jawapan kepada persoalan ‘mengapa’ seperti di sini, ia memberi lebih banyak ruang bernafas bagi diri saya, berbanding masyarakat beragama yang menolak asbab, kemudian fasih menyandarkan bencana, kematian anak, sebagai takdir Tuhan!

Ia lebih menyesakkan dada.

Sesak nafas hingga terpinga-pinga dengan maksud ma’īshatan dhanka (Q20:124) yang seasalnya merujuk kepada hidup yang terlupa Tuhan.

Seolah-olah golongan yang memilih takdir Tuhan dan takdir sebagai alasan nasib diri itu, mereka maksudkan Tuhan dan takdir itu adalah Diri Sendiri dan kebodohan. Menyembah diri sendiri dan kebodohan.

Di daerah ini, saya sebagai manusia berTuhan, sayakah yang terbaik? Sayakah yang tidak depress dan stress dalam kehidupan dan pembelajaran? Sayakah yang paling bermoral dan paling mulia? Sayakah yang paling banyak berbakti dan memberi? Sayakah yang menjadi penyelesai kepada semua krisis di keliling yang diakibatkan oleh tidak bertuhannya mereka? Sayakah insan mitahli itu?

Jawapannya bukan sahaja TIDAK, malah untuk membayangkan YA pun saya tidak mampu.

Saya berTuhan, tetapi saya juga depress dan stress. Saya berTuhan tetapi saya juga berperang moral dan berdosa. Saya berTuhan, tetapi saya masih diselubungi sifat malas dan kedekut serta kurang memberi. Saya berTuhan tetapi saya bukan solusi kepada pelbagai krisis di keliling kehidupan kami di sini. Saya berTuhan, tetapi saya bukan mithali.

Saya berTuhan di daerah ini, ia menjadikan saya tidak sesat dalam kegelapan. Sama ada kegelapan November ke Januari tanpa terbit matahari, atau kegelapan fikiran dan kepercayaan, apabila Sains tidak mampu membawa pergi ke daerah jawapan yang tinggi dan seberang. Berbekalkan hidup berTuhan, saya membimbing keluarga memahami hakikat kehidupan dan kematian, apabila insan yang kami sayangi nekad menamatkan hidupnya tiba-tiba, tanpa kami ketahui mengapa.

Tragedi.

Hidup berTuhan di sini mengubah cara kami beragama.

Agama bukan untuk menjawab soalan orang lain.

Agama adalah untuk menjawab soalan diri kami sendiri.

Soalan-soalan yang lahir hasil hidup dalam dunia yang dipenuhi fikiran dan pertanyaan.

Ia mengajar kami menghargai Albert Eistein dan Stephen Hawking pada kebaikan-kebaikan yang mereka sumbangkan. Sebagaimana juga teman-teman yang mengkaji pemikiran Ibnu Sina dan Ismail Ankaravi di Jyväskylä, namun menyimpan soal rukuk dan sujud sebagai hal peribadi di sebalik senyuman yang sepi. Sebagaimana kami terpaksa selektif pada memikirkan kenangan kami bersama insan baik, berjasa dan berbakti, namun pergi ke daerah sana, tiba-tiba.

Memilih untuk mengenang kebaikan.

Dan menginsafi bahawa perjalanan selepas kematian bukan lagi milik kami atau kita.

Ia perjalanan yang bagi kami, hanya milik Tuhan.

Stephen Hawking membantu meyakinkan saya bahawa pencariannya adalah sempadan pencarian.

Sesungguhnya di daerah Lā Ilāha ini…

Illallāh kami lebih bererti.

“Tidak masuk Syurga seorang hamba yang di dalam hatinya ada walaupun sebesar zarah, sifat sombong” 

HASRIZAL
Oulu FI

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. Assalamualaikum,
    Mudah-mudahan Allah sentiasa bersama disisi hamba-hambanya yang gigih menggapai apakah yang sebenar.

    Pengalaman hidup sebagai bekas ahli akademik malah dikelilingi ahli keluarga akademik, sekali sekala terbit perasaan risau. Kadangkala terzahir dalam kekhusyukkan dan ketaksuban mencari ilmu, hati dilalaikan daripada zikrullah, langsung leka dan seronok. Dan kemuncak kerisauan adalah apabila penemuan demi penemuan mengakibatkan rasa kagum pada kebolehan akal dan diri sendiri, semakin berputik dan mekar.
    Kejayaan demi kejayaan, anugerah demi anugerah, terus melalaikan diri daripada kesedaran bahawa semua tenaga daya usaha serta ilham, datang dari yang Esa jua.

    Hasilnya, semakin bertambah umur, semakin basic amal ibadat, dek memenuhi research demi research, dan meeting demi meeting. “Ego… tingginya ilmuku” terbaja.
    Ustaz2 di kaca TV, mula dilihat dengan sinis, dan tidak betah untuk duduk untuk didengar dari A sampai Z. Semuanya tak ada yang betul. Sang penyelidik ini jugalah yang benar, meskipun bukan bidang Agama.

    Mudah2an Allah sentiasa bersama2 dalam ingatan ustaz dan kita semua, dalam setiap detik “pengembaraan” kita.
    Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share