Cikgu Malaysia di Perkampungan Artik

Sudah tiga kali saya mengisi program Erasmus in Schools selama berada di Finland ini.

Ia adalah program kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Finnish National Agency for Education untuk memberi peluang kepada pelajar antarabangsa melawat sekolah-sekolah Finnish, berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran, sambil berpeluang mengenali sistem pendidikan Finland dan budaya tempatan secara hands on.

Kali ini saya ke Ivalo, sebuah pekan kecil di bahagian antara yang paling utara di Finland. Ivalo terletak di dalam negeri Inari, negeri terbesar di Finland, tetapi mempunyai kadar penduduk yang kecil, sekitar 6000 orang, yang mana lebih separuh daripadanya berada di perkampungan Ivalo.

Di sana saya bertugas mengajar bahasa Inggeris secara sukarela di dua buah sekolah, iaitu sebuah sekolah rendah, dan sebuah sekolah menengah atas. Kedua-duanya terletak bersebelahan, merupakan satu-satunya sekolah di Ivalo. Bahasa Inggeris bukanlah diajar sebagai satu subjek. Sebaliknya saya akan memperkenalkan Malaysia, sejarah, budaya, pelancongan, sebagai penggalak interaksi murid. Salah satu hasrat saya adalah untuk menanam kenangan di dalam memori pelajar agar ingat Malaysia, ingat matahari, ingat dunia yang luas, agar kalau-kalau satu hari nanti ada di kalangan murid ini yang diuji dengan rasa bosan, tidak punya arah kehidupan, terselimut di sebalik salji ⅔ tahun dan musim sejuk yang gelap itu, mereka ingat yang dunia ini luas, ada banyak keindahan dan makna untuk diteroka, dan berjalanlah di muka bumi menjelajah semua itu.

Setiap kali memohon program ini, saya sentiasa berharap agar ada sekolah di bahagian ekstrim utara yang menawarkan kekosongan. Saya suka dengan sekolah pedalaman di Finland kerana murid-murid dan gurunya lebih mesra. Berbeza sedikit dengan sekolah di bandar-bandar besar yang sudah biasa menerima tetamu. Kehadiran kita hanyalah salah seorang tetamu daripada ramai yang sudah pernah bertandang.

Jika sebelum ini saya hanya ke sekolah yang 20km dan 40km dari Oulu, kini Ivalo terletak kira-kira 600km ke utara Oulu. Sangat utara.

Inilah sekolah paling utara yang saya mampu pergi. Untuk lebih utara daripada Ivalo, mungkin jadi lain ceritanya. Mungkinkah saya cikgu Malaysia di lokasi paling utara planet bumi?

PERJALANAN YANG PANJANG

Bahagian pertama perjalanan dari Oulu ke Rovaniemi memakan masa 3 jam lebih. Bagus sekali bas tiba tepat jam 11:30 pagi seperti dalam jadual. Ada senggang masa 15 minit sebelum bertukar bas untuk ke Ivalo pula pada jam 11:45. Kali ini perjalanannya 4 jam 30 minit. 

Pemandangan di sepanjang jalan, semakin lama semakin ‘pelik’.

Biar pun sudah April, salji masih turun dengan lebatnya, walaupun cuaca sudah tidak sesejuk mana.

Semakin ke utara, semakin sedikit jumlah manusia yang kelihatan.

Semakin sunyi.

Semakin sepi.

“Saya sudah di dalam perjalanan. Saya akan tiba petang nanti di Ivalo. Kita berjumpa esok ya!” saya menghantar mesej kepada Ulla, guru yang menguruskan kedatangan saya ke sekolahnya.

Beliau adalah guru bahasa Inggeris dan Swedish di sekolah berkenaan.

“Nikmati keindahan perjalanan. Terutamanya apabila kamu lalu di Saariselkä nanti. Pemandangan di situ cantik. Ia adalah perkampungan pelancongan untuk ke Urho Kekkonen National Park” kata Ulla.

Di sepanjang perjalanan, banyak yang saya menungkan.

Ramai pelajar Finnish ini jernih peribadinya. Tetapi mereka tinggal di daerah yang sangat jauh. Saya ingin melintas kehidupan mereka, meninggalkan jejak, agar satu hari nanti, mereka teringat kembali kepada hal-hal yang saya kongsi. Saya mahu mereka sedar bahawa dunia ini luas, indah, banyak kebaikan, dan mereka memanjangkan langkah keluar daripada daerah yang mungkin mereka jemu dengannya itu.

Setibanya di Ivalo, saya segera check in  di hotel.

Perut terasa sangat lapar.

Namun saya selesaikan dahulu solat zohor dan asar, kemudian berbaring seketika di bilik. Syukur, pada bulan April ini, waktu siang sudah semakin panjang. Tidaklah berkejar-kejar mahu membuat sesuatu sebelum matahari tenggelam.

Selesai solat, saya berjalan kaki dari hotel, menuju ke hujung pekan.

Tidaklah jauh mana.

Pekan Ivalo hanya sepanjang 1km.

Sudah nampak simpang ke sekolah di mana, sudah ketemu dengan panggung wayang kecil dan comel bernama Elokuvateatteri Aslak, dan akhirnya saya sampai di pasaraya kecil di hujung pekan tersebut. Di situ banyaklah dijual roti, pisang, dan bekalan-bekalan lain yang boleh saya bawa balik ke bilik. Teruja juga apabila di bulatan jalan, saya ternampak papan tanda menuju ke Murmansk atau Мурманск di dalam bahasa Rusia. Ia adalah bandar Rusia terbesar di pinggir Barents Sea. Jika tidak kerana kekangan masa dan visa, ingin saya lajak hingga ke sana, sebab perbelanjaan di Rusia sangat jauh lebih murah. Harga hotelnya jika dibandingkan dengan Ivalo di Finland ini, hanya 1/3 daripada rate tempatan di Ivalo.

Walaupun malam itu saya berhajat untuk melihat Aurora (Northern Lights), saya terlalu letih untuk berjaga malam, dan kebetulan di luar sana, awan tebal melitupi Ivalo. Berkemungkinan besar, tidak nampak pun. Jenguk di tingkap, tiada apa yang kelihatan.

DI SEKOLAH

Orang Finnish bersarapan awal.

Mereka bangun jam 6 pagi dan terus bersarapan.

Pagi ini saya bersarapan di hotel pada jam 6:45. Sedap juga roti yang disediakan. Rasa segar, rangup di luar, gebu di dalam. Keju pula bermacam-macam jenis. Enak sekali saya duduk bersarapan, sambil memandang Sungai Ivalo di belakang hotel yang masih beku. Banyak kesan orang berjalan, memancing dan melakukan aktiviti ski di permukaan sungai tersebut.

Minggu lalu saya sudah memberanikan diri bersama Mahfuz dari Kuopio, kami berjalan di atas laut beku di Oulu, dari tebing Elba ke Pulau Pikisaari, sejauh kira-kira 200 meter. Berdebar juga jantung apabila terdengar bunyi ‘krup krup’ apabila kami memijak bahagian tertentu di laut Bothnia tersebut.

Selepas bersarapan, saya duduk membaca surat khabar.

Tanpa sedar saya telah melakukan kesilapan besar, kesan daripada minda saya yang secara otomatik berkelakuan seperti di Malaysia. Saya telah duduk di hotel menunggu tuan rumah datang menjemput! Sedangkan saya sepatutnya berjalan kaki sendiri menuju ke sekolah.

Jam sudah pukul 8, baru saya tersedar!

Aduhai!

Malu kepada diri sendiri!

Saya pun menghantar mesej kepada Ulla, dan segera bergerak menuju ke sekolah. Mujurlah ia hanya 500 meter daripada hotel. Saya tiba jam 8:15. Masih punya banyak waktu kerana sesi mengajar yang pertama adalah pada pukul 9.

“Selamat datang ke sekolah kami!” Ulla menyambut saya.

Kami kemudiannya bertemu dengan Pengetua sekolah, yang turut menyambut kedatangan saya dengan senyuman. Sambil itu juga kami berselisih dengan ramai guru dan masing-masing bermurah hati memperkenalkan diri.

Semasa melawat bilik Students Union, saya ditunjukkan dengan seorang murid Grade 10 yang sedang berehat di sofa. Beliau duduk di kampung Inari, kira-kira 30km dari sekolah. Berulang alik setiap hari kerana di seluruh negeri Inari, Ivalon koulu adalah satu-satunya high school yang ada. Beliau tersenyum dan mengucapkan “tervetuloa” kepada saya.

Saya memulakan sesi mengajar bersama murid Grade 5. Mereka sebenarnya murid di Comprehensive School di sebelah. Tetapi mereka ditempatkan buat sementara di high school ini kerana kata Ulla, ada beberapa kelas di bangunan sebelah tidak sesuai digunakan kerana pengudaraan yang kurang sihat. Murid berasa lesu, kurang sihat dan sakit kerongkong. Maka pengudaraan di kelas-kelas berkenaan diperbaiki dan ia memakan masa beberapa minggu.

“Selamat pagi, Rizal!” kata murid-murid sambil berdiri.

“Selamat datang!” ada pula yang menambah.

Saya hanya tersenyum.

Saya memulakan sesi dengan bertanya, “adakah kamu semua tahu bahasa saya?”

Saya ingin menghubungkan ilmu baru yang mereka bakal belajar dengan ilmu yang mereka sudah ada, tetapi mereka mungkin tidak perasan.

Semua menggelengkan kepala.

Saya tunjukkan orang utan.

Kata mereka “oranki!”

“Bagaimana di dalam bahasa Inggeris?” saya menyoal lagi.

Ramai yang tahu.

Ia “orang utan”

“Tetapi saya bukan orang utan, sebab saya tidak tinggal di dalam hutan!” saya berseloroh.

Mereka ketawa.

Semasa mengajar, saya paparkan sebuah video tentang Malaysia yang diterbitkan oleh Expedia. Ia adalah video yang sama saya gunakan setiap kali melawat sekolah Finnish di dalam program Erasmus in Schools.

Kali ini, saya mendapat soalan-soalan menarik daripada murid kelas ini. Antaranya ialah:

  1. Saya nampak di Malaysia banyak hutan dan banyak bangunan. Macam mana bangunan dibina tanpa merosakkan hutan?
  2. Di dalam video itu ada sebut sustainable tourism. Apa itu dan macam mana kerajaan Malaysia buat?
  3. Saya nampak Malaysia banyak matahari. Adakah matahari dimanfaatkan sebagai sumber tenaga elektrik?
  4. Apakah di sebalik bangunan-bangunan pencakar langit seperti Petronas Twin Towers itu ada orang miskin? Bagaimana kehidupan orang miskin di Malaysia?
  5. Tadi ada disebut tentang jurang antara orang miskin dan orang kaya. Adakah di Malaysia banyak jenayah?

Ini adalah antara lima soalan yang saya ingat. Ivalo ini adalah kampung kecil yang mempunyai sekitar 3000 orang penduduk sahaja. Soalan-soalan yang mereka ajukan menunjukkan bagaimana pekanya mereka kepada alam sekitar. Di Finland, subjek alam sekitar (environmental studies) dikenali sebagai Ympäristöoppi. Subjek biologi, geografi, fizik, kimia dan pendidikan kesihatan diajar secara berintegrasi di dalam subjek alam sekitar berkenaan, bagi murid Grade 1 hingga 6. Kemudian subjek-subjek berkenaan termasuk subjek alam sekitar, diajar secara berasingan bagi Grade 7 hingga 9.

Soalan ketiga itu saya sentiasa ingat.

Murid-murid Finnish itu teruja dengan matahari yang bersinar sepanjang tahun di Malaysia. Apabila saya sebut penggunaan matahari sebagai sumber tenaga masih rendah, mereka hairan dan bertanya “Kenapa disia-siakan matahari yang bersih dan percuma itu?”

Saya kata, “dalam urusan tenaga juga ada perniagaan dan politik. Kita sama-sama usaha agar perniagaan dan politik menyokong alam sekitar.”

Saya sendiri semenjak tinggal di Finland, amat terasa nikmat matahari. Dan semakin kuat berfikir mengapa ia tidak dimanfaatkan di Malaysia dengan sebaiknya?

BAHASA MELAYU

Selain aspek alam sekitar, antara aktiviti mudah yang selalunya rancak ialah Live Google Translator. Mereka sebut satu perkataan, dan saya terjemahkan ia ke bahasa Melayu. Macam-macam perkataan keluar, dan ia menggambarkan apa yang dominan di dalam fikiran mereka. Kebanyakan perkataan mereka adalah kata nama, sesekali kata perbuatan.

Paling susah ialah apabila mereka tanya benda yang hanya ada di Finland. Misalnya sukan “floorball”. Terkulat-kulat saya menterjemahkannya sebagai “bola lantai”.

Pelajar tanya apa perkataan Melayu bagi ice hockey? Saya kata di Malaysia, kami ada hoki dan kami ada ais, kami minum ais selepas main hoki. Hanya di Finland, kita main hoki atas ais, bahasa Inggeris kata ice hockey, bahasa Melayu sebut hoki ais!

Selepas itu mereka minta saya tulis perkataan berkenaan. Saya menulisnya di dalam ejaan rumi, kemudian Jawi. Ternganga mereka melihat bagaimana ice hockey boleh ditulis sebagai هوكي أيس.

Berceritalah pula bagaimana bahasa Melayu yang ditutur di dalam daerah Malay Austronesia dari Madagascar hingga ke Hawaii dan New Zealand, daripada bahasa lisan kepada bertulis dengan bantuan huruf Arab dan Latin.

Antara kejutan menarik, ialah apabila bahasa Melayu memiliki banyak persamaan dengan bahasa Magyar (Hungarian). Dan bahasa Finnish serta bahasa Sami, adalah daripada kelompok yang sama. Saya mula mengetahui akan hal ini apabila saya membaca buku The Legacy of the Barang People: An Exploration into the Puzzling Similarities of the Hungarian and Indonesian Languages oleh Dr. György Busztin ini:

Selain daripada berkongsi ratusan perkataan yang mirip, kedua-dua bahasa juga mempunyai beberapa kriteria yang menarik untuk diterokai seperti ketiadaan gender, sifatnya yang fonetik, hujung perkataan yang banyak menggunakan akhiran “-ong, -ang, -eng” and “-ul, -al” dan sebagainya.

Apabila saya sebut perkataan seperti ayah, besi, rakan, guru dan pelajar-pelajar Sami khususnya, terus menangkapnya dan teruja apabila ia datang dengan maksud yang sama di dalam bahasa mereka.

Adakah orang Melayu berketurunan Nordic?

Haha.

Kemungkinan besar, bangsa Finnish dan Sami ini yang mempunyai akar sejarah timur, hingga menjadikan mereka sangat berbeza daripada jiran Scandinavia yang lain dari segi bahasa, karakter dan budaya.

Bukankah orang Finnish buka kasut setiap kali masuk rumah?

Melayu sungguh!

Di akhir kelas tersebut, seorang murid datang kepada saya dan menghadiahkan sebuah lukisan wajah saya yang dilukisnya semasa sesi saya berjalan.

Ia sangat menggembirakan. Apabila murid melukis, berasa gembira dengan lukisannya, dan mahu menjadikannya sebagai cenderahati, ia sudah menunjukkan yang pelajar itu berada di dalam mood yang positif… ia bernilai besar dalam pembelajaran murid-murid.

“Terima kasih!”

Please accept my love!” saya terjemahkan ucapan terima kasih itu.

Murid itu tersenyum.

Dari kelas itu, saya beralih ke kelas murid kelas atas. Banyak benda menarik yang terjadi di dalam kelas, dan ia memberikan saya lebih semangat untuk mencari peluang mengajar seperti ini.

SEMBANG CIKGU

Paling mengujakan, adalah semasa saya berbual bersama guru-guru.

“Ini cikgu pertukangan dan kemahiran vokasional, enam ekor beruang sudah tumpas di tangannya setakat ini!” kata Ulla memperkenalkan seorang guru kepada saya.

Ternganga.

Beruang adalah haiwan yang sangat unik bagi masyarakat Finland. Mereka gerun dengannya. Jika ada kelibat beruang di hutan, penduduk berdekatan akan menerima sms amaran daripada pihak berkuasa. Menumpaskan beruang, adalah something!

Keperwiraan?

Entahlah. Saya hanya ketawa, selepas ternganga.

“Di Malaysia Timur, ada kaum di pedalaman yang menggantung di pinggang mereka kepala manusia yang telah mereka bunuh” saya membalas.

Giliran saya pula ketawa melihat mereka ternganga.

IVALO DAN KMSS

Ketika kami bertukar-tukar pendapat antara sistem pendidikan mereka dan amalan bilik darjah kami di Khalifah Model School (Secondary), antara perkara yang paling menarik perhatian mereka adalah tiga perkara. Sama seperti di kebanyakan sekolah lain yang saya pernah lawat.

Pertamanya, mereka teruja dengan kursus wajib keibubapaan yang KMSS serta KMS ‘wajibkan’ ke atas ibu bapa pelajar. Dengan pantas, para guru ini terus memahami betapa pentingnya objektif-objektif sekolah, selaras dengan objektif di rumah. Terutamanya jika sekolah mempunyai niche tertentu, sebagaimana Khalifah Method di sekolah kami.

Keduanya, mereka menampakkan minat yang tinggi kepada semester LLM (Lifelong Learning Modules) yang berjalan di KMSS. Di semester berkenaan, pelajar tidak berada di dalam kelas. Sebaliknya mereka mengikuti aktiviti-aktiviti yang pelbagai, iaitu satu semester yang mengalih pembelajaran daripada akademik, kepada phenomenon-based learning (PhBL atau PhenoBL) yang bersifat multidisciplinary, constructivist form of learning serta pedagogy. Ia sesuatu yang mereka sangat mahu lakukan, terutamanya pada mengambil kira persekitaran artik ini, yang cikgunya pemburu beruang, murid datang ke sekolah merentas tasik beku dengan snowmobile, hujung minggu menangkap ikan di lubang ais, serta jarang membeli daging di kedai kerana semua rumah ada reindeer sendiri!

Lanjutan daripada itu, perkara ketiga yang kami bualkan adalah mengenai integrasi subjek. Bagaimana di KMSS, sekurang-kurangnya semasa saya masih bertugas sepenuh masa sebelum berangkat ke Finland, kita menggalakkan guru merancang pembelajaran yang mengintegrasikan subjek. Misalnya lawatan ke Pulau Pangkor, mengintegrasikan subjek sejarah, geografi, ekonomi, sains dan pengajian Islam untuk murid Tahun 2 (Tingkatan 2). Integrasi subjek merupakan sebuah aktiviti pembelajaran aras tinggi yang memberi banyak sumbangan kepada pengukuhan epistemologi, dan teori ilmu itu sendiri (theory of knowledge).

Kelas terakhir saya bagi lawatan ke Ivalo kali ini adalah bersama murid-murid Grade 7 yang Leena kendalikan. Semasa bermain bahasa di dalam kelas ini, macam-macam perkataan yang mereka ‘lemparkan’ kepada saya. Tetapi seorang pelajar menyebut perkataan ‘death’.

Seluruh kelas memandang beliau.

Saya terjemahkan sebagai mati, dan maut. Kemudian kami bermain prefix dan suffix, bagaimana mati ditambah dengan di dan kan menjadi ‘dimatikan’. Ia lebih biasa diguna merujuk kepada lampu atau api, berbanding manusia. Pelajar berkenaan tidak habis di dalam kelas. Semasa sekolah berakhir, beliau keluar bersama saya dan guru pengiring. Katanya ‘death’ adalah sesuatu yang menarik untuk difikirkan. Beriya-iya beliau mahu menjustifikasikan sebab beliau memilih perkataan ‘death’ semasa di dalam kelas tadi.

Saya hanya ketawa dan mengangguk dengan hujah-hujah beliau.

Pesan akhir saya kepada setiap kelas, termasuk kelas terakhir hari ini ialah: sayangi bahasa ibunda, belajar bahasa asing. Setiap satu bahasa, membuka pintu pengalaman baru, ilmu baru, kawan baru, dan tidak mudah kena tipu.

MENU RESTORAN

Usai mengajar, Ulla dan pengetua membawa saya makan di restoran.

Saya memilih white fish from the Inari Lake. sebagaimana yang dicadangkan oleh mereka berdua serta pelayan restoran.

Oh rasanya enak sekali.

Fikiran saya masih berlegar kepada steak daging beruang di menu tadi! Di planet manalah saya sedang berada sekarang ini.

“Saya nak bertanya, cikgu pertukangan di sekolah tadi sudah pernah menumpaskan banyak beruang. Adakah daging beruang itu meluas dimakan?” saya ingin tahu.

“Oh ya, ia dimakan. Namun, ia bukanlah sesuatu yang biasa, kerana beruang bukanlah banyak berkeliaran di hutan seperti mousse dan reindeer. Kebanyakan beruang berada di seberang sempadan Rusia. Sesekali mereka datang ke Finland” cerita Ulla.

Menarik.

Saya dapat belajar satu benda baru.

Alhamdulillah kenyang juga saya petang ini.

Kami bergegas menghabiskan makanan sebelum saya menaiki bas 16:15 ke Rovaniemi. Di Rovaniemi, saya perlu menaiki keretapi akhir untuk sampai ke Oulu.

Biar pun letih, pengalaman mengajar di sekolah Finnish melalui Erasmus in Schools program, sentiasa menarik dan banyak mendedahkan saya kepada perkara-perkara yang tiada di dalam buku atau universiti.

Semoga usaha kecil ini Allah hitung sebagai kebaikan serta amal soleh.

“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang paling bermanfaat kepada manusia ramai” itu pesan Nabi saw kepada kita umatnya.

Selamat tinggal Ivalo.

Damaimu kurindu.

Sepimu membuka ruang kumendengar suara hatiku.

Moga ada rezeki, untuk aku bertamu lagi.

HASRIZAL
Rovaniemi Train Station
10 April 2018

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share