Home / Kembara Finland / Meneropong Tiga Ilmu Guru di Bilik Darjah (Termasuk Pendidikan Agama)

Meneropong Tiga Ilmu Guru di Bilik Darjah (Termasuk Pendidikan Agama)

“Eh menariknya cara ustaz itu mengajar. Boleh kita cuba.” kata seorang netizen.

Ia reaksi yang munasabah apabila kita membaca perkongsian para guru tentang naratifnya semasa mengajar. Ia menarik. Lebih teruja apabila kesannya juga dapat dilihat. Tetapi apabila cara itu ‘ditiru’, ia tidak menjadi. Apabila tidak menjadi, buntu pula bagaimana hendak bergerak ke hadapan.

Hal ini bisa terjadi apabila kita melihat ‘cara’ yang ditunjukkan oleh seorang guru itu secara luaran semata-mata. Kita terlepas pandang kepada skeleton yang wujud di belakang satu aktiviti pembelajaran yang berlangsung.

Aspek ini juga membabitkan kekhuatiran kita apabila guru-guru dengan latihan dan pengkhususan berbeza, diarahkan mengajar sesuatu yang di luar latihan mereka.

Kita sedia maklum, apabila sesuatu itu diajar dan dipelajari, ia membabitkan tiga jenis ilmu yang guru babitkan, iaitu:

1. Content (subject matter) knowledge: yakni ilmu mengenai benda yang hendak diajar. Pemegang ijazah Syariah, misalnya, sudah (sepatutnya) menguasai ilmu ini.

2. Pedagogical content knowledge: yakni ilmu mengenai bagaimana benda yang hendak diajar itu diajar dan dipelajari. Ilmu ini menjadikan seorang pemegang ijazah Syariah itu GURU, dan bukannya penceramah, mufti, dan sebagainya.

3. Pedagogical knowledge: ilmu tentang bagaimana murid belajar apa yang cikgu ajar.

Aspek yang sering menimbulkan kekhuatiran kita semasa berfikir tentang pendidikan agama ialah apabila kita meletakkan amanah pendidikan itu dengan hanya berbekalkan content knowledge, dan mengabaikan dua lagi ilmu yang sangat penting itu. Tanggapan popularnya ialah sesiapa sahaja belajar agama, berkelulusan bidang agama, terus boleh menjadi guru agama.

Atau lebih menakutkan, ilmu yang pertama itu pun tidak diambil syarat.

Jika semasa belajar di usia muda, dan apa yang dipelajari tidak terjadi proses menjadikan maklumat itu bermakna (meaningful) atau disebut sebagai ‘meaning making process‘, ia tidak akan lekat di dalam diri, tidak akan membentuk diri murid itu dengan apa yang yang dipelajari. Berkemungkinan besar adalah kerana, semasa guru ‘mengajar’, murid tidak ‘belajar’, memandangkan cara ia diajar, berlainan dengan cara kanak-kanak belajar.

Ini adalah aspek kritikal yang memerlukan kita meneropong dengan teliti keadaan pembelajaran agama semasa. Sejauh manakah semasa guru mengajar, murid belajar?

THE SILENT PEDAGOGY

Dua ilmu berkenaan, selalunya saya istilah sebagai ‘the silent pedagogy’ apabila membaca hadith-hadith Nabi s.a.w. yang memperlihatkan proses mengajar dan belajar yang berlaku di antara baginda dengan sahabat, khususnya sighar al-sahabah (kanak-kanak).

Lihat bagaimana Rasulullah saw mengajar Malik bin al-Huwairith dan kawan-kawannya solat. Mereka ini remaja.

Perhatikan bagaimana Ali bin Abi Thalib r.a. memeluk Islam pada usia 8 atau 10 tahun, demikian juga kisah al-Zubair bin al-Awwam, Talha ibn Ubaydillah, al-Arqam bin Abi al-Arqam, juga Mus’ab bin Umair, Abdullah ibn al-Zubair, Anas bin Malik, Ibn Tufayl, tidak dilupakan Hasan dan Husain, radhiyallāhu ‘anhum… mereka ini semua adalah antara kanak-kanak di zaman Rasulullah s.a.w.

Mari kita baca hadith-hadith bagaimana Rasulullah s.a.w berinteraksi dan mendidik mereka, adakah dengan lambakan maklumat (silibus, kurikulum?) dan adakah dengan cara yang biasa dipakai dalam subjek pendidikan Islam masa kini?

GURU BAHASA MENGAJAR AGAMA

Aspek ini juga membabitkan kekhuatiran kita apabila guru-guru dengan latihan dan pengkhususan berbeza, diarahkan mengajar sesuatu yang di luar latihan mereka.

Misalnya guru bahasa Arab, dikehendaki mengajar pendidikan Islam. Sedangkan guru bahasa arab, pedagogical content knowledge beliau adalah berkaitan subjek bahasa, dan bukannya berkaitan subjek agama. Jika alasan yang dipakai adalah guru itu bukankah ustaz, lulusan syariah, ia bukanlah langsung tidak munasabah, tetapi di dalam konteks ilmu pendidikan yang didukung sebagai profesionalisme, aspek kepentingan pedagogical content knowledge tidak boleh dikorbankan begitu sahaja.

Jika kita tidak hormat kepada ilmu dan profesionalisme kita sendiri, jauhlah lagi perjalanannya untuk masyarakat menghormati bidang perguruan sebagai sebuah bidang profesional.

Bahasa Arab dan Jawi adalah bahasa, dan bukannya pendidikan Islam.

Kita perlu meneliti hal ini dengan sebaiknya.

BUKAN SEKADAR ‘TAHU’

Kecenderungan untuk mengajar macam-macam kepada kanak-kanak dalam bab agama masa kini ialah kerana kita percaya manusia bertindak berasaskan apa yang dia tahu. Maka dia perlu diberitahu supaya tahu. Jika tahu, akan buat. 

Sedangkan manusia tidak bertindak berasaskan apa yang dia tahu. Sebaliknya manusia bertindak berasaskan apa dia mahu dan mampu.

Kemahuan dan kemampuan itu yang perlu ditingkatkan. Dan ia bukan dengan memberitahu, memberitahu dan memberitahu.

Ilmuan Islam yang menulis berkenaan hal ini seperti al-Ghazali dan al-Birkawi (Birgivi) juga menekankan bahawa asas untuk manusia berbuat kebaikan dan menolak kejahatan ialah pada kekuatan akal fikiran dan karakter. Bukannya lambakan fakta belajar macam-macam cepat-cepat. Ia bersangkut dengan soal PEDAGOGI. Yakni bagaimana sesuatu itu diajar dan dipelajari.

Kita tidaklah perlu secara praktikalnya terlalu menghadkan “belajar yang ini, jangan belajar yang itu”. Tetapi cara belajar itu yang lebih perlu diperbaiki.

Apabila kita perbaiki cara agama diajar dan dipelajari, dengan sendirinya lambakan isi kandungan akan berkurang, tetapi pembelajaran jadi lebih mendalam, dan mudah-mudahan lebih bermakna, lebih berkesan dan bermanfaat.

Ameen.

HASRIZAL
Oulu FI

Maklum Balas

Maklum Balas

About Hasrizal

A school teacher and a lifelong learner. Oulu, Finland

Check Also

Pendidikan Kanak-kanak Yang Bukan Untuk Kanak-kanak

Untuk kita kata manusia penting memang mudah. Tetapi realitinya tidak semudah bicara. Apabila isteri demam, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.