Melangkah ke Sekolah Finnish Sebagai Guru dan Peninjau Sistem

Jika kita singgah di sebuah sekolah Finnish, kita tidak akan merentas sebuah pagar yang berkunci. Sekolah lazimnya tiada berpagar, terbuka, tiada ‘pak guard’ dan ada banyak pintu masuk. Ia lazimnya berada di sebuah kejiranan.

Kelengkapannya serba lengkap dengan keperluan asas, mempunyai beberapa ratus orang murid dan saiz setiap kelas biasanya sekitar 15 ke 20 orang, ada sesetengahnya lebih sedikit namun amat jarang melebihi 30 orang.

Andai kita mengintai kelas, biasanya kita akan nampak guru sedang berinteraksi dengan seorang murid dan menyelia pembelajarannya, kemudian sekali sekala menoleh kepada murid lain yang memanggil untuk mendapatkan bantuan. Sesekali, kelihatan seorang lagi lelaki atau perempuan dewasa berada di dalam kelas berkenaan. Beliau mungkin seorang pembantu guru, mungkin juga guru pendidikan khas yang membantu individu murid yang berkeperluan.

Jarang sekali guru berdiri di hadapan kelas dan bercakap dengan panjang lebar kepada murid.

Pada sekitar jam 10:30 ke 11: 30 pagi, murid-murid mengambil giliran mengikut kelas ke kafe sekolah untuk makan tengah hari. Ia percuma, untuk semua murid. Hidangan vegetarian sentiasa ada. Makanan itu makanan panas, menu dan bahan di dalam masakannya dipaparkan di sisi makanan, dan maklumat berkenaan juga lazimnya wujud di atas talian untuk ditinjau oleh masyarakat awam, khususnya ibu bapa.

Sekurang-kurangnya sekali sehari, setiap kanak-kanak di Finland mendapat makanan panas yang berkhasiat, walaupun tidak semestinya lazat, kerana lazat itu subjektif.

Selepas 30 minit duduk di dalam sebuah kelas, kita mungkin mula berpeluang menyedari bahawa ketiadaan peperiksaan awam di sepanjang persekolahan hinggalah ke tahun akhir matrikulasi (high school / lukio) di Grade 12, guru dan murid bebas memberi tumpuan kepada pembelajaran, dan bukannya kepada persediaan peperiksaan.

Walaupun tiada peperiksaan awam, peperiksaan berasaskan sekolah, ujian dan kuiz sentiasa ada. Guru mentaksir murid dengan kombinasi ujian diagnostik dan pencapaian murid agar mereka boleh menghasilkan maklum balas yang dikongsi bersama ibu bapa melalui penerangan formative, tanpa ranking. Pemarkahan menggunakan band tertentu masih wujud, namun perbincangan lazimnya memberi fokus kepada maklumat yang terkandung di dalam formative assessment itu tadi.

Contoh jadual murid Grade 7 pada hari yang paling panjang. Ada hari lain yang kelas bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 2:15 petang

Setiap subjek, lazimnya sepanjang 45 minit, diikuti dengan 15 minit waktu rehat (aktiviti bebas), sebelum kelas berikutnya. Jika kelas 45 minit bersambung terus ke kelas berikutnya menjadi 1 jam 30 minit, waktu rehat selepas itu adalah 30 minit.

Waktu kelas berbeza permulaannya setiap hari antara murid dan Grade, paling awal adalah sekitar jam 8 atau 8:15 pagi dan kelas terakhir ialah sekitar 4:15 petang. Secara umumnya setiap kelas mempunyai 25 pembelajaran seminggu, setiap satunya adalah selama 45 minit. Ada harinya murid ada 4 kelas, ada yang 5 dan ada juga yang 6. Jumlah waktu persekolahan di Finland adalah antara yang terpendek di Eropah.

DAHULU KALA

Pada sekitar tahun 1960’an, sistem pendidikan Finland mempunyai pelbagai aliran dengan tahap pencapaian yang rendah berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain, termasuk negara-negara jiran Scandinavian. Pada tahun 1970, hanya 40% penduduk Finland menamatkan persekolahan menengah (mendapat upper secondary school diploma).

Ketika itu muncul gelombang di dalam masyarakat yang mendesak agar kesamarataan ekonomi dan sosial diperbaiki dan Finland keluar daripada pergantungannya kepada sumber perhutanan terutamanya balak. Selepas bertahun-tahun debat berlangsung, parlimen telah memutuskan untuk membentuk sebuah sistem persekolahan yang selaras bagi SEMUA murid dari Grade 1 hingga Grade 9. Ia dikenali sebagai peruskoulu atau sekolah komprehensif. Sekolah ini bukan sekadar satu lagi struktur sekolah. Sebaliknya ia adalah sekolah yang mewakili impian masyarakat yang mahu melihat semua murid, tanpa mengira apa latar belakangnya dan di mana mereka tinggal, mendapat pendidikan yang sama baik kualitinya, bersama sokongan kebajian sosial dan kesihatan sebagaimana yang mereka sepatutnya perolehi.

Usaha ini yang bertujuan memberi kepada semua murid pendidikan yang sama tinggi kualitinya, mendorong sebuah kurikulum nasional yang baharu dibangunkan dalam tempoh lima tahun oleh Kementerian Pendidikan membabitkan ratusan warga pendidik ( Sahlberg , 2011 ).

Perubahan ini juga memerlukan kepada lahirnya guru-guru yang mempunyai ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berbagai-bagai. Pada tahun 1979, program persediaan guru telah dinaiktaraf dan diselaraskan ke peringkat universiti, meletakkan ijazah sarjana (masters degree) sebagai kelayakan minimum untuk menjadi guru, termasuk guru di sekolah rendah (guru prasekolah perlu memiliki kelayakan minimum ijazah sarjana muda). Di dalam program latihan perguruan ini, para guru disasarkan terlibat secara aktif di dalam penyelidikan, mempunyai pedagogical content knowledge yang kuat, terlatih untuk mengenalpasti masalah pembelajaran di kalangan murid serta menyesuaikan pengajaran berdasarkan keperluan pembelajaran individu murid (differentiation).

Ketika transformasi dilakukan di universiti untuk program latihan perguruan, kerajaan pula merombak sistem pentadbiran dan birokrasi dengan mengalihkan kuasa dan peranan kepada kerajaan tempatan bersama sekolah dan guru untuk melaksanakannya. Hal-hal berkaitan pengagihan bajet, penentuan kurikulum sekolah, perjawatan guru, latihan di dalam perkhidmatan, digerakkan bersama oleh municipalities bersama sekolah dan guru di lokaliti masing-masing. Perubahan ini meningkatkan tahap kepercayaan yang tinggi kepada profesionalisme perguruan. Kepercayaan dan autonomi ini menjadikan kerjaya guru sebagai satu bidang pekerjaan yang menarik dan memberi kepuasan.

APA YANG UTAMA DI SEKOLAH

Keutamaan di dalam pembelajaran persekolahan rendah (elementary education) adalah pada menyediakan kanak-kanak menjadi pelajar. Guru-guru di Finland percaya bahawa dengan wujudnya diagnosis awal serta langkah intervensi, semua murid boleh mencapai kejayaan di sebuah bilik darjah yang ‘biasa’.

Hal ini mewujudkan sistem yang menyokong murid dan pembelajaran mereka sebagai individu secara yang berkesan.

Pertama, para guru terlatih untuk mengenalpasti masalah pembelajaran murid. Jika ada murid yang tidak memahami bahagian tertentu di dalam pembelajaran, guru akan berusaha bersama murid berkenaan selepas waktu sekolah untuk membantunya menggarap konsep induk bahagian berkenaan. Oleh itu, murid tidak perlu menunggu hingga ke hujung tahun selepas peperiksaan akhir untuk masalahnya dikesan dan dibantu.

Kedua, kerja-kerja berkenaan yang dilakukan secara rutin oleh guru, dibantu pula oleh guru pendidikan khas yang telah menerima latihan yang lebih khusus berkaitan masalah pembelajaran. Mereka bertugas di setiap sekolah untuk membantu murid-murid yang memerlukan bantuan tambahan untuk meneruskan pembelajaran.

Ketiga, di setiap sekolah, wujud satu komiti yang dikenali sebagai ‘pupils’ care group‘ yang terdiri daripada guru pendidikan khas, psikologis sekolah dan guru kelas. Pasukan multi disiplin ini akan bertemu dan bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk berbincang bagaimana perkembangan kelas masing-masing serta apa yang perlu diajukan kepada municipalities bagi mendapatkan perkhidmatan bagi membolehkan keperluan tambahan murid di sekolah berkenaan diperolehi.

Bagi memastikan wujudnya kelangsungan, biasanya guru kelas akan bersama dengan murid-murid kelasnya selama beberapa tahun untuk memastikan mereka betul-betul mengenali setiap murid dan mengambil tanggungjawab secara mendalam terhadap pembelajaran mereka.

Selain makan tengah hari percuma, sokongan pembelajaran, satu lagi aspek yang menyokong perkembangan murid adalah aspek kesihatan. Sistem kesihatan negara mengambil peranan membekalkan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada semua murid melalui klinik di setiap sekolah. Setiap klinik mempunyai jururawat, manakala doktor mengambil giliran untuk berada pada hari-hari tertentu di setiap sekolah setiap minggu.

DESAKAN PERUBAHAN 1990’AN

Selepas kejatuhan Soviet Union, perubahan sosial dan ekonomi di Eropah turut mendesak Finland untuk menganjakkan lagi perubahan di dalam sistem pendidikannya. Penyertaan Finland ke dalam Kesatuan Eropah pada 1 Januari 1995 bersama Austria dan Sweden, mempengaruhi sistem pendidikan di Finland untuk memberi perhatian kepada penyelidikan, inovasi dan telekomunikasi. Perubahan terjadi apabila pembelajaran menjurus kepada kreativiti, problem solving, pembelajaran individu (individualised learning), keanjalan dan bekerja secara berpasukan.

Antara faktor yang membolehkan banyak perkara ini terjadi adalah tiadanya peperiksaan awam berpusat. Ia memberikan ruang yang secukupnya kepada guru untuk meluangkan masa di dalam kes-kes pembelajaran yang kompleks dan mendalam.

FAKTOR UTAMA KEBERKESANAN SISTEM PENDIDIKAN FINLAND

1.Komitmen Kepada Kesaksamaan (Equity)

Reformasi pendidikan di Finland bukan kerja seorang tokoh pemimpin.

Sebaliknya ia adalah hasil perdebatan panjang lebar di seluruh lapisan masyarakat dan kerajaan untuk mewujudkan satu kesepakatan kolektif. Antara kesepakatan yang menyatukan semua pihak di Finland adalah komitmen mereka kepada kesaksamaan. Ia dijelmakan dalam bentuk sebuah sistem pendidikan yang menolak pemantauan dan penaziran, mewujudkan diagnosis dan intervensi awal agar tiada kanak-kanak yang tercicir atau mundur, sokongan sistem kesihatan, serta social safety net negara kebajikan social democratic ini. Jika di tahun 1970’an, jurang sosioekonomi masyarakat begitu lebar, ia kemudiannya telah dikecilkan, dan pada tahun 2006, variasi antara sekolah di dalam pentaksiran sains PISA sekolah-sekolah di Finland hanya 5%, berbanding 33% di dalam purata negara-negara OECD.

Siapa pun murid itu, apa sekali pun latar belakang keluarganya, di mana sekali pun dia tinggal, peluang untuk berjaya baginya adalah sama di semua sekolah kerana semua sekolah mendukung sistem yang menjadikan pendidikan sebagai hak asasi untuk semua insan.

2. Guru-guru Cemerlang

Di Finland tiada anugerah guru cemerlang.

Semua gurunya cemerlang.

Guru yang kurang cemerlang, hidup di dalam ekosistem yang mempengaruhinya untuk cemerlang. Atau sekurang-kurangnya mengekalkan standard asas untuk beliau berperanan sebagai guru secara yang berintegriti.

Yang tidak suka menjadi guru, tidak menjadi guru di sebuah negara bernama Finland.

Kelayakan minimum ijazah sarjana, program persediaan perguruan mengukuhkan content knowledge, pedagogical content knowledge dan pedagogical knowledge, untuk guru menunaikan kerjanya secara profesional tanpa carrot and stick, tanpa penaziran, dan tanpa salah guna kuasa.

Guru-guru dan Kesatuan Guru aktif menjaga kualiti pendidikan.

Only dead fish follow the stream!

Hanya ikan mati yang hanyut mengikut arus!

Profesionalisme perguruan di Finland menekankan keluasan kurikulum, kolaborasi antara sekolah, fokus kepada minat individu, kreativiti, tanggungjawab berasaskan kepercayaan (trust-based accountability) dan autonomi sekolah.

3. Kebertanggungjawaban Profesional (Professional Accountability)

Sesiapa sahaja (dan khususnya pelawat dari Amerika Syarikat) yang melawat sekolah-sekolah Finnish, akan berasa janggal dengan hakikat tiadanya sebarang peperiksaan awam berpusat di sepanjang pengalaman persekolahan murid di negara ini. Satu-satunya peperiksaan awam berpusat yang hadir dalam hidup murid sekolah di Finland adalah benar-benar di hujung alam persekolahan mereka di Grade 12, iaitu peperiksaan ‘matrikulasi’ untuk mendapatkan tempat di institusi pendidikan tinggi.

Sehubungan dengan itu juga, bukan sahaja murid tiada periksa, guru juga tidak diperiksa. Penaziran dimansuhkan seawal akhir 1970’an.

Maklumat hanya dikumpulkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Finland daripada murid Grade 2 dan Grade 9 melalui ujian di peringkat sekolah untuk meneliti perkembangan pembelajaran murid dan bukannya untuk ranking dan hal-hal yang seumpama dengannya.

Walaupun kebimbangan mengenai kebarangkalian wujudnya ketidak selarasan pentaksiran yang dibuat oleh guru-guru di peringkat sekolah, kebimbangan terhadap kesan menyelaraskan pentaksiran adalah lebih dikhuatirkan di Finland. Tanpa sebarang motif untuk guru bias atau tidak telus dalam mentaksir murid, guru yang berintegriti mengajar juga berintegriti mentaksir pelajar masing-masing seperti yang sepatutnya.

CABARAN UNTUK FINLAND

Sempurnakah Finland?

Jauh daripada sempurna.

Selepas 3 tahun berada di Finland, berpeluang mengajar lebih seribu murid Finnish di lebih 10 buah sekolah, bandar dan desa, rasanya saya lebih realistik terhadap kekuatan dan kelemahan sistem pendidikan di sini. Namun, setakat ini, tiada kelemahan yang membuntukan. Sentiasa ada jalannya.

Saya dan isteri dikurniakan anak-anak yang pelbagai perihal mereka di sekolah. Ada yang lancar, ada yang tersangkut-sangkut. Ada yang kuat akademik, ada yang kuat kemahiran. Ada masalah biasa, ada masalah luar biasa. Kesemuanya menjadi ramuan yang memaksa saya untuk terpaksa atau sukarela, memanfaatkan semua sistem sokongan yang ada untuk membantu anak-anak bersekolah.

Lazimnya, pengkaji-pengkaji mengatakan bahawa cabaran besar yang perlu Finland hadapi adalah usaha pendidikan untuk murid-murid berlatar belakangkan imigran. Bagi saya, biar pun hal itu ada kebenarannya, jumlah imigran tidaklah bertambah secara drastik. Ia merupakan sebahagian daripada implikasi globalisasi yang turut mengenakan kesannya ke atas masyarakat Finland yang native, seperti kemerosotan penggunaan bahasa Swedish, bertambahnya penggunaan bahasa Inggeris, malah bahasa Arab, kerencaman keberagamaan masyarakat Finnish sendiri daripada Kristian Lutheran kepada pelbagai spektrum ateisme, agnostik dan bertukar agama, masyarakat Finland itu sendiri tanpa imigran sekali pun sedang mengalami pelbagai perubahan.

Isu pendidikan imigran hanya pemangkin yang mencungkil keluar kebimbangan utama di Finland iaitu reputasi positif yang begitu lama dinikmati oleh Finland terhadap sistem pendidikannya boleh menyebabkan pelbagai pihak menjadi selesa dan berpuas hati, hingga berhenti daripada terus menyelidik, menyiasat dan melakukan perubahan demi perubahan sesuai dengan perkembangan kehidupan yang begitu agresif.

APA YANG KITA BOLEH AMBIL DARI FINLAND?

Kita boleh senaraikan 1001 alasan bahawa Finland tidak sama dengan Malaysia.

Tetapi, ingatlah kembali bagaimana sebuah negara gergasi China belajar daripada negara jiran kita Singapura.

Semasa Deng Xiaoping melawat Singapura pada November 1978, beliau teruja melihat kejayaan Singapura membangun dengan begitu pantas. Katanya, kalaulah beliau hanya memiliki Shanghai untuk ditadbir, bolehlah beliau meniru model Singapura dan membuat perubahan sepantas yang Lee Kwan Yew lakukan.

Lee segera mencabar Deng Xiaoping dengan mengatakan bahawa Singapura itu juga dibina oleh golongan miskin dan tidak berpendidikan dari Guangdong dan Fujian. Jika Singapura boleh melakukannya, maka China juga mampu, malah mungkin lebih baik lagi.

Cabaran Lee Kwan Yew itu disambut oleh Deng Xiaoping dan kita sama-sama dapat melihat apa yang dilakukan oleh Deng Xiaoping kepada China selepas itu dan kesannya hingga ke hari ini.

Penekanan yang diberikan oleh Deng Xiaoping itu sangat signifikan kepada membina China sehingga mencapai apa yang kita lihat pada hari ini, terutamanya di bandar-bandar utama negara berkenaan.

Mengapa kita tidak belajar beberapa perkara penting daripada jiran kita? Alasan paling kerap kita dengar ialah “Singapura bolehlah, negara kecil…” Demikian juga dengan “Finland bolehlah, negara penduduk tak ramai, satu bangsa, bukan macam kita.” Dan alasan demi alasan.

Jika kita mahu belajar, kita boleh belajar. Jika kita suka beralasan, kita ada seribu alasan untuk tidak belajar dan mensesiakan teladan-teladan baik yang ada di bawah hidung kita sendiri. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

10 perkara yang saya fikir antara Malaysia dan Finland, kita boleh buat tanpa mengambil kira soal sistem dan politik semasa:

Pertama

Di Finland, boleh dikatakan tiada guru yang terdiri daripada individu yang membenci kerjayanya sebagai guru. Tidak mungkin seorang yang tidak mencintai kerjaya guru, boleh menjadi seorang guru dan pendidik. Justeru, sesiapa yang menjadi guru kerana terpaksa, dan setiap hari berimaginasi meludah pintu pagar sekolahnya, patut segera meninggalkan kerjaya di sekolah dan mencari pekerjaan lain.

Kedua

Di Finland, guru tidak mencubit, merotan, memulas telinga, menampar atau menendang murid, walaupun sudah beberapa kali (jika ada kaitannya), ada murid di Finland mengangkat senjata dan menembak mati guru dan murid di sekolah (Raumanmeri school shooting pada Januari 1989, Jokela school shooting pada November 2007 dan Kauhajoki school shooting pada September 2008). Tindakan fizikal sedemikian rupa ke atas murid tidak mempunyai sokongan saintifik mengenai keberkesanannya dalam menghasilkan manfaat positif di dalam pendidikan, walaupun romantisme kita terhadap pengalaman silam mahu mengaitkannya.

Ketiga

Rasa cinta kepada tanahair dan kepercayaan bahawa pendidikan adalah alat untuk membina negara sangat tertanam teguh di dalam diri para guru di Finland. Ia menyatukan mereka sama ada secara organisasi di bawah Kesatuan Guru (Opetusalan Ammattijärjestö atau OAJ), mahu pun kesatuan semangat sebagaimana tekad di dalam ikrar Comenius Oath para guru di Finland.

Keempat

Teori-teori pendidikan dan idea perlaksanaan yang menjayakan pendidikan Finland, banyak yang datang daripada luar. Misalnya teori multiple intelligences oleh Howard Gardner dan gerakan pendidikan progresif oleh John Dewey dari Amerika Syarikat, demikian juga amalan-amalan yang selari dengan saranan ilmuan Islam dahulukala seperti rehat dan aktiviti bebas antara dua sesi pembelajaran sebagaimana saranan Ibnu Abbas r.a. Apa yang penting adalah keterbukaan kepada ilmu dan saranan mengenai apa yang benar dan apa yang lebih baik untuk manfaat pembelajaran murid-murid.

Kelima

Murid-murid Finnish juga ramai yang pemalu, berat hendak buka mulut di dalam kelas, ada yang ‘biadab’ letak kaki di atas meja, enggan bangun untuk mengucapkan selamat pagi kepada cikgu di awal kelas, dan mereka tidak mempunyai ‘agama’ atau ‘adat’ untuk membudi bahasakan mereka secara tradisional. Tetapi guru tidak meracun jiwa murid-murid dengan sindiran, herdikan, sarcasm, public shaming, saya belum pernah jumpa hal sedemikian rupa selama pengalaman saya mengajar di sekolah Finnish, duduk di dalam kelas-kelas Finnish untuk membuat pemerhatian, dan menerusi pengalaman empat orang anak belajar di sekolah di sini.

Keenam

Guru bertegas, berani, melindungi sekolah daripada pengaruh politik dan perniagaan. Sekolah adalah tempat untuk murid-murid belajar.

Ketujuh

Murid-murid di Finland dilindungi maruah, identiti, fizikal, emosi, dan mental mereka. Tiada siapa dibenarkan mengambil gambar mana-mana murid apatah lagi menyiarkannya di media sosial, kecuali secara specific dengan dokumen bertulis yang rasmi, mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga. Sesiapa sahaja selain guru yang mahu mengadakan aktiviti bersama murid-murid sekolah, biar pun secara sukarela, wajib mendapatkan surat pelepasan rekod polis sebelum boleh berinteraksi dengan murid di sekolah.

Kelapan

Tahap bahasa Inggeris murid-murid dan guru-guru di Finland tidak banyak berbeza dengan apa yang ada di Malaysia, malah mungkin tahap kita di Malaysia adalah jauh lebih baik. Bukan semua ‘orang putih’ berbahasa Inggeris. Tetapi mereka tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk maju, dan kecintaan masyarakat Finland kepada bahasa ibunda mereka juga tidak menghalang mereka daripada mempelajari bahasa Inggeris. Apa yang penting, bahasa dipelajari secara yang betul, dengan motivasi yang betul.

Kesembilan

Finland tidak bermusuh dengan pendidikan agama, walaupun umumnya masyarakat Finland asing daripada kosa kata agama dalam kehidupan awam. Di setiap sekolah, murid-murid mendapat pendidikan agama berdasarkan agama mereka. Jika di sebuah sekolah ada tiga atau lebih penganut agama tertentu, maka sekolah bertanggungjawab menyediakan pendidikan agama berkenaan bagi murid-murid itu.

Contoh jadual persekolahan murid Grade 6. Uskonto adalah Religion, manakala Elämänkatsomustieto adalah Ethics

Kesepuluh

Komitmen guru secara individu, untuk mengusahakan satu perubahan, walaupun ‘sekadar’ keazaman untuk setiap hari memulakan kelas dengan senyuman, akan melahirkan impak segera dan signifikan, tanpa perlu menunggu gagasan perubahan sistem daripada kementerian dan pihak atasan.

RENUNGAN

Apa ertinya perubahan di dalam pendidikan kepada anda?

Tanpa pengertian peribadi, tiada komitmen peribadi, untuk menjayakan perubahan.

Kata Michael Fullan:

Educational change stands or falls on whether educators, students, and other learners find personal meaning in what they are learning and how they are learning.

Fullan, Michael. The New Meaning of Educational Change, Fifth Edition (p. 4). Teachers College Press. Kindle Edition.

Allah tidak akan mengubah keadaan kita, sehingga kita bertindak mengubah apa yang ada pada diri kita sendiri.

Hasrizal
Oulu Finland


RUJUK SILANG

  1. Stewart, Vivien. A World-Class Education: Learning from International Models of Excellence and Innovation . Association for Supervision & Curriculum Development. Kindle Edition.
  2. Fullan, Michael. The New Meaning of Educational Change, Fifth Edition (p. 157). Teachers College Press. Kindle Edition. 
  3. Hammerness, Karen. Empowered Educators in Finland: How High-Performing Systems Shape Teaching Quality . Wiley. Kindle Edition. 
  4. Sahlberg, Pasi. Hard Questions on Global Educational Change: Policies, Practices, and the Future of Education (p. 7). Teachers College Press. Kindle Edition.
  5. Sahlberg, Pasi. FinnishED Leadership: Four Big, Inexpensive Ideas to Transform Education (Corwin Impact Leadership Series) (p. 33). SAGE Publications. Kindle Edition. 
  6. Sahlberg, Pasi. Finnish Lessons 2.0: What Can the World Learn from Educational Change in Finland?, Second Edition (Series on School Reform) . Teachers College Press. Kindle Edition. 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share