Dilema Persoalan ‘Siapa Aku’

Di dalam perkembangan politik semasa, persoalan Melayu dahulu, Malaysia dahulu… mana satu mengatasi yang mana, berlegar di lisan ahli politik. Jawapan yang dipilih, menjadi asas kepada media untuk memilih istilah yang sesuai semasa melapor kegiatan atau kenyataan ahli politik berkenaan.

Soal “siapa aku” ini memang sarat dengan ideologi. Ia juga tidak statik. Berubah dan mengubah.

Suatu ketika, dokumen-dokumen tamadun Uthmaniyyah (Osmanlı) memberi kepada penyelidik indikasi bahawa mereka yang menulis di zaman awal Daulah Uthmaniyyah melihat diri mereka Muslim.

Selepas kemunculan kerajaan Dinasti Safavid Ismail Shah yang Syiah sekitar tahun 1500, naratif Uthmaniyyah beransur-ansur memperlihatkan perubahan pada membahasakan diri sebagai Sunni.

Persoalan “siapa aku” kuat dipengaruhi oleh persoalan “siapa kamu” atau “yang selain aku itu pula siapa?”

Daulah Uthmaniyyah vs Eropah, Muslim vs Kristian.

Daulah Uthmaniyyah vs Safavid, Sunni vs Syiah.

Perubahan istilah bukan sekadar berubah istilah, tetapi juga berubah tindakan. Sensitiviti kepada ideologi atau perkembangan politik tertentu, menyaksikan perubahan teori ilmu dan kurikulum di institusi kesarjanaan, serta sikap terhadap ilmuan dan karyanya. Saya berhipotesis hilangnya kepentingan kedudukan matematik di dalam institusi pendidikan Medaris-i Semaniye dan dunia ‘ulamalogi’ Uthmaniyyah turut dipengaruhi oleh perkembangan ini.

Berada di dalam sistem seperti Ebussuud Efendi, dan di luar sistem seperti Birgivi Mehmed Efendi, juga mempengaruhi jawapan kepada persoalan “siapa aku” ini. Apabila berada di dalam sistem, seseorang itu memikul keperluan untuk berpihak kepada entiti kuasa, manakala berada di luar sistem, seseorang itu mempunyai pilihan untuk berpihak kepada idea.

Era kebangkitan nasionalisme Eropah juga beriringan dengan persoalan “who am I?” ini.

Adakah aku (agama), (bangsa), (lokasi), atau bagaimana?

Perubahan trend kepada jawapan persoalan ini terjadi bersama perubahan sentimen, kemunculan gerakan pembebasan, persempadanan semula kuasa politik dan berlarutan hingga ke Perang Dunia I serta Sykes–Picot Agreement bersama lakaran peta kontemporari ‘negara’ lama dan baharu ketika itu.

Di dalam dunia islah, antara Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh, pengalaman hidup dan pengembaraan mereka yang berbeza, menjadikan jawapan mereka kepada persoalan “siapa aku” berbeza, walaupun bertemu titik di dalam beberapa perkara. Persoalan bangsa dan negara turut berbeza ekoran berbezanya pengalaman mereka. Bukan sekadar ekoran perbezaan bahan bacaan.

Di dalam dunia budaya popular, penerokaan kepada persoalan ini juga menarik kalau ‘dikungfukan’ ia melalui filem Who Am I (1998) lakonan Jackie Chan.

Lebih awal daripada itu, malah lebih tragis, Jeffrey Nicolas Grant lakonan River Phoenix tidak dapat menerima hakikat bahawa ibu bapanya selama ini adalah agen USSR, digarap dalam filem Little Nikita (1988) . Jika ibu bapaku adalah agen USSR, siapakah aku?

Jeff?

Nikita?

Filem ini beriringan dengan filem Running on Empty, juga pada tahun 1988, apabila Danny Pope, lakonan River Phoenix juga, terpaksa hidup dengan pelbagai identiti semasa kanak-kanak kerana ibu dan bapanya adalah aktivis anti nuklear, hidup dalam persembunyian kerana diburu pihak berkuasa. Ibu bapa yang anti nuklear di zaman itu, adakah pengganas, atau troubled genius.

Dilema jiwa terhadap persoalan “siapa aku” ini besar lagi dramatik.

Saya pernah bercerita kepada anak-anak selepas makan malam, pasca menonton filem Little Nikita, bagaimana pengalaman saya selama beberapa tahun cuba memahami siapa saya disebabkan oleh kaderisasi dalam gelap yang saya ikuti bertahun-tahun. Kenal suara tak kenal nama, kenal nama tak kenal rupa.

Anak-anak kaget mendengar cerita hidup si ayah yang pelik ini. Penjelasan mengapa ayah mereka agak beremosi melayan kekeliruan dan tekanan Jeff, Nikita dan Danny.

How did you solve it?” tanya anak.

I had a compass“, saya menjawab.

Saya tahu apa yang saya mahu, dan saya berpegang dengan yang itu. Saya jelas saya siapa, dan saya tidak keliru dengan apa yang disumbat ke minda, apa yang cuba ditanam dan apa yang cuba diragut, walaupun ketika itu ramai ‘berebut-rebut’ mahu mendefinisikan saya sebenarnya siapa.

Kisah 30 tahun yang lalu.

That is why, I took the question sending kids to boarding school at young age seriously,” saya menyembang dengan anak-anak semasa pulang dari solat Jumaat.

Jawapan kepada soalan “siapa aku” ini mempunyai elemen social construction, saya kira keputusan ‘keluar’ dari rumah pada usia 13 tahun dan hidup berdikari di asrama juga mempengaruhi jawapan saya kepada soalan penting ini. Apa yang dominan semasa saya berfikir dan cuba merasa siapa saya, tidak enak terjadi di usia yang terlalu muda, andai hubungan kekeluargaan itu penting di dalam hidup ini.

Jika sayangkan anak, ‘simpan’lah anak di rumah sekurang-kurangnya sehingga mereka berusia 16 tahun. Jangan terlalu awal diserah kepada dunia ‘sosial’ di luar unit keluarga.

Kelakarnya, di tahun 20202 ini, sekarang pun persoalan “siapa saya” masih menjadi bahan netizen membuat senarai di media sosial. Senarai ini, senarai itu. Senarai pilihan, senarai kecaman. Rajin pula sesetengahnya membuat poster dan mengemaskini senarai-senarai berkenaan. Disebar sebagai mesej yatim piatu, tidak jelas asal usul dan siapa ‘ibubapanya’. Seumpama ‘anak haram’ yang terbuang dari satu kumpulan WhatsApp ke kumpulan WhatsApp yang lain, dari satu halaman Facebook ke halaman Facebook yang seterusnya.

Senarai itu hakikatnya lebih menceritakan siapa pelakunya dan mereka yang berkongsi, berbanding siapa identiti mereka yang disenaraikan tersebut.

Ya… akhirnya… jawapan kepada persoalan “siapa aku” yang muktamad, adalah dalam bentuk tindakan yang dipilih.

Persoalan siapa aku, jika dijawab dengan perkataan, ia jadi falsafah.

Persoalan siapa aku, jika dijawab dengan tindakan, selesai masalah.

Elakkan teruja dengan slogan dan penceritaan.

Utamakan tindakan kerana baik dan buruknya lahir di situ.

Ana Abdullah.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share