Kamu Dengar Sini, Anak-anak!

Kata William E. Blatz, keselamatan emosi itu ialah keadaan minda semasa seseorang itu bersedia menerima akibat daripada tingkah lakunya. Maknanya, kalau buat benda tidak cerdik, bersedia diberitahu yang kamu itu tidak cerdik.

Definisi itu sudah tua.

Ia definisi tahun 1950an.

Bagus juga definisi lama-lama ini, sebab ia definisi yang lahir di zaman apabila emak ayah cakap, anak dengar. Bukan jawab balik dan macam-macam alasannya seperti zaman sekarang.

Apabila hubungan kita dengan anak-anak sedang ‘emotionally secured’, ia adalah detik yang sesuai untuk menyampaikan nasihat yang keras lagi sensitif tetapi penting, tanpa menimbulkan konflik. Emotionally secured itu ialah semasa anak-anak meyakini kita sayangkan mereka, semasa mereka merendah diri sedar mereka itu anak-anak, dan ada kesediaan yang mutlak untuk mendengar.

Faham yang semasa kena marah itu, ia datang daripada sayang, bukan benci. Sayang itu pula sayang yang menyuruh berubah, bukan sayang yang menatang.

Itu detik rezeki daripada Allah semalam.

Sebagai bapa, saya ingin anak-anak jadi orang yang tahu malu.

Dalam situasi keluarga kami, saya berseorangan menguruskan keluarga. Apabila nampak ayah kemas rumah, memasak, mengemas, jangan jadi manusia tidak tahu malu yang buat dunno sahaja. Sedar-sedar makanan sudah siap, dan terus nak makan.

Tidak malukah melepak melayan anime, tengok Youtube, main game, semasa orang tua bersusah payah di dapur, berjam-jam?

Bangun, datang kepadanya, tanya, apa yang boleh dibantu. Tanpa disuruh.

Tidak malukah tidur, bangun sesuka hati pukul berapa, tahu nak makan sahaja. Hodoh perangai itu, tak tak?

Saya dahulu opah dan atuk tidak ada ajar apa-apa yang spesifik bab ini. Tetapi semasa opah memasak di dapur, saya jenguk tanya boleh tolong atau tidak. Tolong terbalikkan ikan dalam gorengan, tolong susun pinggan, tolong basuh. Nakal, nakal juga. Tetapi sedar diri makan suap ke mulut itu bukan kemewahan atau hak layanan.

Jangan jadi remaja dungu yang ingat mereka entitle untuk dilayan macam raja. Antara benda ‘setan’ yang menjadi punca hal ini ialah telefon di tangan tu. Itu pun masih berani mengeluh data tidak cukup. Kamu nak kena pelangkung?

Ayah bercakap ini, supaya nanti kamu jangan jadi suami tunggul atau isteri tak guna. Ingat hidup ini nak melawa dan berhibur sahaja?

Sebagai bapa, saya tidak fikir anak-anak bodoh kalau keputusan peperiksaan tidak bagus. Tapi kamu memang bodoh kalau tidak faham benda-benda kehidupan ini. Mari dengan kasih sayang, ayah sembuhkan kebodohan itu dengan nasihat ini.

Nasihat ini disampaikan bersama nasi, ayam goreng, sayur bayam tumis dan sambal belacan tumbuk. Alhamdulillah nasihat diterima dengan baik. Tetapi penentunya adalah adakah ia menatijahkan perubahan?

Anak-anak tanya, nanti bolehkah mereka ziarah saya dengan cucu-cucu saya? Saya kata, boleh jika ziarah untuk gembirakan mereka dan kami. Tapi kalau ziarah minta saya jaga cucu, nampak penumbuk ni? Tak sanggup jaga anak, tak payah ada anak.

Mereka ketawa.

Terkulat-kulat.

Malam itu rumah kemas sedikit.

Esok lusa belum tahu lagi.

Saya pegang pendidikan bukan perjalanan menuju peperiksaan. Ia adalah kehidupan memproses bakal suami bakal isteri. Bakal emak ayah.

Kreativiti, kerjasama, komunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, sebelum semua kualiti pendidikan alaf 21 itu hendak dipakai di alam pekerjaan, di bidang kejuruteraan, perubatan, robotik atau keusahawanan, ia adalah tunggak rumahtangga dan keluarga.

Jika emak ayah tidak berkualiti, ibu bapa derhaka sebelum anak derhaka. Anak derhaka fenomena tanda kiamat di akhir zaman. Sebelum anak derhaka, emak ayah kena ada baseline dalam mendidik.

Saya sudah beritahu anak-anak, baseline saya sebagai seorang bapa ialah saya akan pastikan, jika semasa dewasa kamu pilih jalan ke neraka, kamu tidak akan boleh mengheret saya, sebab saya sudah didik kamu jalan ke Syurga.

Syurga dunia.

Syurga Akhirat.

Kamu tidak sedar semasa kamu lelap, lelaki yang semakin tua ini menjenguk kamu di tengah malam, memandang wajah kamu, sama macam semasa kamu baru lahir dahulu, dan mendoakan kita semua masuk Syurga, bersama-sama.

Your children are not your children.
They are the sons and daughters of Life’s longing for itself.
They come through you but not from you,
And though they are with you, yet they belong not to you.
You may give them your love but not your thoughts,
For they have their own thoughts…
You may strive to be like them, but seek not to make them like you.
For life goes not backward nor tarries with yesterday.

— KAHLIL GIBRAN, THE PROPHET

Hasrizal
Oulu Finland.

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

3 comments

  1. Sayu nyer baca part yang akhir tu ustaz. Part atas-atas tuh teman memang sokong 100%..saya pun cakap benda yang sama ini dengan anak-anak. Banyak kali…mungkin saya kena cari masa yang so-called ’emotional secured’ ini. Baru agaknya menusuk ke kalbu. Jauh ke dalam isi perut. Hahaha~

  2. cerita panduan dan teguran yang menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share