Kisah Tasta’nisu Dan Berhalus Dalam Berkelakuan

Benda kecil pun hendak dibesarkan?

Pertanyaan ini petanda ada penyakit jiwa yang berkait dengan penyakit fikiran juga. Syarat pertama menyembuhkannya adalah mengakui dahulu yang wujudnya penyakit berkenaan.

Mari saya kisahkan.

Semasa melawat Rumah Gadang di Sumatera Barat ini, antara penerangan yang saya ingat ialah tetamu yang masuk ke rumah akan duduk membelakang bilik-bilik di dalamnya. Mereka akan duduk mengadap pintu keluar rumah. Sebabnya, adab mengelakkan diri daripada ternampak hal-hal keluarga di rumah tersebut. Ia amalan yang diwarisi secara common sense tanpa perlu disyarah-syarah.

Dari mana datangnya benda ini?

Tengoklah di dalam al-Quran, Allah ajar ‘courtesy’, common sense, fikir dahulu sebelum bertamu.

Firman Allah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ – 24:27

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan masuk rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu tasta’nisu dan memberi salam terlebih dahulu kepada warga rumah tersebut. Itu lebih baik untuk kamu, mudah-mudah kamu beringat.” (al-Nur 24: 27)

Jika beri salam, itu petanda sudah ada di muka pintu.

Sebelum muncul di muka pintu, ada pendahuluannya. Iaitu tasta’nisu.

Tasta’nisu itu bermaksud, memperelokkan kunjungan dan kedatanganmu.
Sebelum datang itu fikir siap-siap, sesuai ke kalau hendak datang, waktu lepas zohor semasa orang berehat.

Untuk tuan rumah, Islam sudah ajar supaya memuliakan tetamu.
Tetapi tetamu juga sebelum jadi tetamu, Islam ajar guna ‘common sense’ fikir siap-siap, tindakan masing-masing sebelum menyusahkan tuan rumah.

Apabila hilang sifat BERHALUS ini, kehidupan kita jadi kasar dan hodoh. Ia menjadi cabaran mendidik anak-anak.

Susah hendak mengajar kenapa semasa duduk di meja, jangan kaki itu naik macam ‘garik’ sangat.

Anak menyoal apa salahnya.

Saya terpaksa tunjuk poster filem Perempuan, Isteri dan Jalang (dot dot dot secara rasminya), bahawa dulu-dulu angkat lutut itu konotasinya gaya jalang.

Anak garu kepala, mungkin fikir ayahnya kolot.

Mungkin saya kolot.

Kolot itu juga asas saya mengendalikan media sosial. Saya tidak kemaruk hujah tinggi dan falsafah gunung. Tinggi ialah merendah diri. Rendah ialah meninggi diri.

Walaupun sudah 23 tahun mengendalikan blog, sesiapa yang datang bertamu dengan bahasa busuk dan adab yang rendah, tidak pernah dialu-alukan. Media sosial saya masih rumah saya.

Kita kaum beradat, beradab, beragama.

Sebelum tengkolok, keris dan segala simbol kemelayuan, Melayu dan Islam saya adalah dengan berakhlak, serta faham sebelum diberitahu, nampak sebelum ditunjuk, buat sebelum disuruh.

Bak kata SM Salim di dalam lagu Dulu Lain Sekarang Lain:

Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Jangan dibuat yang isteri tak suka
Jangan meminta yang suami tak rela
Tentu selamat rumah tangga.


Sebelum buka mulut, sebelum menaip, gerakkan akal membuat pertimbangan.

Itulah bijaknya bangsa kita, yang telah dipandu agama.

Kisah Tasta’nisu.

Hasrizal
Oulu Finland

Check Also

Hidup Berpendirian, Jangan Peduli Apa Orang Kata

“You know, I am your dad and I am supporting your idea to become an …

2 comments

  1. Nany Adifah BT Abdullah Kamal

    OK, tak terfikir pula nak tunjuk kan gambar cara duduk perempuan, isteri dan dot..dot..dot tuh. Sama juga situasi perihal cara duduk itu. Jenuh nak menegur…kadang kalau tidak ditegur nanti jadi kebiasaan pula sampai ke tua bangka. Semoga kami terus rajin memperhalusi perangai anak-anak. Terima kasih kerana kongsikan maksud tasta’ nisu dengan lebih jelas. Jazakallahu En Hasrizal.

  2. Saya juga perasan, ibu bapa yang membiarkan anaknya duduk makan atas meja. Nampak macam biasa, tapi lama kelamaan risau juga anaknya akan hilang adab ketika makan. Wallau a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.