Isu Tadabbur di Dalam Usrah

Kalau dalam usrah, naqibah ajak tadabbur ayat al-quran dan kita beri pandangan/rumusan berkaitan ayat tersebut, bagaimana pula? (merujuk hadis Nabi tersebut)

📌 Soalan ini merujuk kepada artikel INTEGRITI DAN TOKSIK POPULARITI

Fikiran spontan saya, ingin menjawab dalam bentuk galakan.

Usrah, tadabbur ayat al-Quran, adalah kerja-kerja baik dan sentiasa harus digalakkan. Apatah lagi bagi pelajar yang menuntut di negeri asing, usrah boleh menjadi seumpama bahtera Nabi Nuh ‘alayhi al-salam yang menyelamatkan diri.

Tetapi saya sudah bersama usrah semenjak lebih 30 tahun yang lalu. Menganggotai pelbagai jenis usrah. Sebagai ahli usrah. Sebagai naqib usrah. Sebagai penggubal kandungan usrah. Macam-macam.

Banyak masalah keberagamaan hari ini, watak-wataknya adalah warga usrah. Walaupun susah hendak mensabitkan usrah sebagai punca, ia tidak menghalang untuk kita mengkritik usrah agar berlaku penambahbaikan.

Di zaman saya memainkan peranan sebagai penggubal kandungan usrah, saya mengusulkan bahawa usrah BUKAN majlis ilmu. Di dalam usrah, ilmu hanya satu daripada komponennya. Usrah menggabungkan ilmu dengan refleksi, dan perancangan bagaimana aplikasi ilmu berkenaan dalam kehidupan, di dalam susun atur yang menyuburkan ukhuwwah. Agar yang lahir daripada usrah itu, individu-individu yang baik budi pekertinya, kuat semangatnya beramal, dan teguh ikatan ukhuwwahnya, menjadi manusia yang berguna bukan hanya kepada usrah itu kembali dan institusi proksi, tetapi untuk sekalian manusia.

المؤمن يألف ويؤلف، ولا خير فيمن لا يألف ولا يؤلف، وخير الناس أنفعهم للناس

Seorang mukmin itu adalah seorang yang disenangi dan mudah didekati, lagi disenangi apabila mendekati. Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak disenangi semasa didekati atau mendekati (kerana kekasarannya). Dan sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada sekalian manusia. (HR al-Daraqutni, Sahih al-Jāmi’)

Naqib dan naqibah yang berkesan, bijak menggabung jalinkan elemen-elemen tersebut.

Ia juga penting apabila ahli usrah itu adalah pelajar-pelajar bidang agama. Usrahnya dibezakan daripada kelas dan majlis ilmu yang menjadi rutin mereka, adalah apabila usrah mengadun ramuan ilmu, refleksi, aplikasi dan ukhuwwah secara konsisten. Sesuatu yang jarang berlaku di dalam majlis ilmu yang formal.

MASALAH MULA TIMBUL

Masalah mula timbul apabila usrah menjadi tempat ahli bergantung ilmu. Ahli usrah tidak melazimi tabiat membaca buku dan hadir ke majlis-majlis pengajian yang secara spesifik membahaskan ilmu bersama pengkhususan.

Apabila hal-hal ini berlaku, individu yang hadir ke dalam usrah, baik ahli mahu pun naqib atau naqibah, terdiri daripada individu yang tidak kompeten untuk mengukuhkan kandungan usrah. Kupasan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam berlegar pada makna-makna permukaan dan tidak dapat melakukan proses deduktif apatah lagi induktif secara kritis.

Allah menjadikan al-Quran itu mudah untuk dibaca, dan difahami. Ia tidak berbelit-belit atau mengelirukan. Justeru ia boleh dipelajari dan difahami oleh setiap lapisan orang yang membaca dan cuba memahaminya.

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَـٰهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ ٱلْمُتَّقِينَ وَتُنذِرَ بِهِۦ قَوْمًۭا لُّدًّۭا

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), adalah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufuran mereka. (Maryam 19: 97)

Tetapi untuk pergi dengan lebih mendalam, ia memerlukan kemahiran dan alat yang bersesuaian. Ilmu untuk mendalami al-Quran.

Jika al-Quran itu diumpamakan seperti laut, orang yang tidak boleh berenang masih boleh menikmati laut, tetapi hanya di gigi pantai. Jika ingin ke tengah, perlu menaiki perahu dengan pelampung keselamatan di siang hari.

Tetapi laut itu ada lebih daripada sekadar air di permukaan. Malah di permukaannya kita mudah berdepan dengan ribut taufan yang menakutkan. Ia amat berbeza dengan realiti dasar lautan yang ada mutiara berharga, hidupan laut sebagai makanan, malah minyak sebagai emas hitam dambaan manusia. Tetapi untuk mengutip semua itu, seseorang perlulah meningkatkan kemampuan diri dan peralatannya.

Demikianlah juga dengan al-Quran.

Sebab itu saya enggan menjawab mudah kepada soalan di Twitter berkenaan.

PENINGKATAN HANYA PADA RASA KEBERAGAMAAN

Bermudah-mudah dalam menjawab ‘ya’ boleh menyebabkan usrah terus menerus semenjak berpuluh-puluh tahun menjadi medan seseorang itu meningkat rasa keberagamaannya, tetapi tidak meningkat kemahiran serta peralatannya dalam agama. Tanpa sedar, semangat keberagamaan yang bertambah, menyebabkan seseorang berasa kelayakannya untuk kritis terhadap nas-nas al-Quran dan Sunnah turut bertambah, sedangkan masih amatur dalam ‘tafaqquh’.

Perkataan ‘fiqh’ itu sendiri bermaksud kefahaman yang mendalam lagi terpeinci.

Tanpanya, dan dengan berbekal semangat memperjuangkan agama, warga usrah yang masih tidak tahu berenang, berani menjadi ketua kapal mengheret ramai orang menumpang kapalnya menyeberang lautan, kemudian akhirnya karam bersama.

Tadabbur adalah perkataan yang besar.

Ia datang daripada kata akar da-ba-ra yang bermaksud hujung sesuatu. Bertadabbur dengan ayat-ayat al-Quran itu bermaksud usaha kita untuk pergi lebih dalam daripada makna permukaan, pergi sedalam-dalamnya kalau pun tidak sampai ke dasar.

Malah tadabbur itu jika ditinjau kepada fungsi kognitif, ia adalah kemahiran berfikir di aras tinggi. Menghubungkan sesuatu dengan sesuatu bukan kerja amatur. Apatah lagi cuba menyesuaikan kejadian semasa dengan nas al-Quran.

Justeru, saya tidak mahu kita berperasaan mudah membawa kalimah tadabbur ke dalam wacana usrah ketika kita sebenarnya hanya berkemampuan untuk berenang-renang di permukaan air atau di gigi pantai kalam Allah dan ilmu-Nya yang maha luas itu.

Cukup-cukuplah generasi saya dan abang kakak saya menghuru harakan masyarakat dengan pendapat-pendapat agama yang tidak masak, hanya kerana semangat berjuang dan rasa beragama tinggi dek lamanya menghuni usrah. Sedangkan ramai yang culas dalam menambah keupayaan diri berinterasi dengan Wahyu Ilahi. Hingga institusi usrah pernah dianggap sebagai medan pembodohan ahli.

Ukur baju di badan sendiri.

Ini bukan halangan, ini bukan menakut-nakutkan.

Ia demi amanah ilmu.

Di zaman manusia semakin curang terhadap ilmu.

Tidak salah untuk kita memperlahankan dayungan, agar perahu kita tidak terlajak hanyut ke tengah lautan.

Hasrizal
Naas Ireland


Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share