‘Design Thinking Process’ di Dalam Slogan ‘Islam Penyelesaian’

Terperangkapnya kita dalam slogan dan retorik, ketika niat asalnya adalah untuk beramal, mungkin berbalik kepada rekabentuk kerja kita itu sendiri.

Nilai utama dalam dakwah adalah amal, kerja.

Tanpa kerja, dakwah itu mungkin bertukar menjadi ‘hobi’, sekadar membina utopio untuk kita berasa aman memilih kehidupan yang bertujuan, tanpa tujuan itu menatijahkan manfaat, Islam sebagai rahmatan lil ‘ālamīn.

Design thinking adalah satu metode berfikir yang berasaskan kepada solusi, sebagai orientasi menyelesaikan masalah. Apa yang ingin kita hasilkan daripada satu idea, satu kepercayaan, adalah sesuatu yang menyelesaikan masalah yang benar-benar masalah.

Ia berguna untuk kita manfaatkan sebagai alat penyelesaian masalah yang kompleks, bukan sahaja di dalam bisnes di mana ia selalu diguna pakai, tetapi juga di dalam dakwah, amar makruf nahi munkar.

Bayangkan jika ia adalah bisnes.

Kita begitu teruja dengan produk yang kita hasilkan, kemudian kita berhempas pulas mengatur strategi bagaimana produk itu boleh dijual dan dibeli oleh masyarakat.

Akhirnya kita tersedar, bahawa produk kita bukan sesuatu yang masyarakat perlukan.

Orang ramai tidak membeli produk. Mereka membeli solusi.

Justeru produk kita, mestilah sesuatu yang benar-benar menyelesaikan masalah.

Masalah itu pula adalah masalah yang kita kesan hasil daripada empati, bersama dengan masyarakat, mendengar betul-betul apa rungutan mereka, apa masalah yang mereka hadapi, apa keluhan yang mereka suarakan.

Justeru, melalui proses design thinking, kita memulakan bisnes bukan dengan mengadakan produk terlebih dahulu, kemudian merangka pelan untuk mempromosi dan memasarkannya. Ia bukan salah, tetapi ia tidak efektif. Jika buat begitu, mungkin masih ada yang membeli, atas faktor-faktor yang lemah, dan produk kita berkemungkinan besar akan segera mati di dalam pasaran.

Sebaliknya, kita memulakan proses dengan mengenal pasti masalah dan memahami masalah.

Masalah itu dijernihkan agar jelas, dan kita sahkan melalui proses mendengar, bertanya, membuat kaji selidik agar benar-benar dapat dibuktikan masalah itu wujud dan membelenggu, bukannya sekadar andaian dan sangkaan kita semata-mata.

Mengesahkan masalah ini sangat penting. Ia mencegah kita daripada membuang masa, dan membuat andaian yang bukan sahaja sia-sia, malah lebih malang jika ia memberanakkan masalah yang tidak perlu, kesan mengandai-andaikan sesuatu yang tidak wujud.

Jika di dalam bisnes, ia merugikan, apatah lagi di dalam dakwah.

Sejauh manakah benarnya masalah di dalam masyarakat yang kita dakwa?

Sudahkah kita sahkan dakwaan itu?

Saya berikan contoh, seorang lelaki melalui jalan sehala mengikut arah yang bertentangan. Beliau melintasi polis dan polis itu tidak berbuat apa-apa, membiarkan sahaja lelaki itu meneruskan perjalanannya. Tanpa menyiasat dan mengesahkan konteks, kita mungkin terus mengandaikan yang polis itu telah makan rasuah dan kita merancang pelbagai strategi bagaimana masalah polis makan rasuah hendak diselesaikan. Sedangkan melalui validation, tiada masalah pun sebenarnya. Lelaki itu berjalan kaki. Bukannya memandu!

Membuat kerja secara design thinking, bukanlah sesuatu yang terlalu hebat atau asing. Ia sekadar membetulkan orientasi kita berfikir. Tetapi kesannya boleh jadi besar dan berkesan.

MENYEMAK SEJARAH TARBIAH KITA

Di dalam pengalaman tarbiah kita, hal-hal ini tidak diberi penekanan.

Di peringkat awal, mungkin kita cuba merealisasikan hasil tarbiah itu dengan komited datang usrah, kemudian merancang program-program lokaliti yang kecil seperti tamrin, dan membesar kepada muktamar dengan agenda-agenda yang lebih kompleks. Malah semasa merancang untuk negara dan alam semesta pun, kita masih belum peduli kepada masalah sebenar, terus terawang-awang dengan produk yang bukan solusi.

Tanpa strategi yang betul juga, sebuah kumpulan dakwah boleh dipenuhi dengan free riders yang tidak buat apa-apa tetapi menumpang rasa selesa duduk di dalam kumpulan dakwah yang berjuang, sedangkan mereka sebagai individu tidak buat apa-apa.

Tidak beramal, tetapi rasa selesa duduk dalam ‘jemaah yang beramal’.

Ia terjadi kerana jemaah itu bukan jemaah kerja. Tetapi ‘jemaah fardu kifayah’ dalam terjemahan yang salah. Bagi yang buat, ia beramal. Bagi free riders, fardu mereka jadi fardu tidak payah. Berapa ramai yang selesa dengan hanya berjemaah, bukannya dengan beramal?

Apatah lagi jika kemasukan atau penyertaan seseorang ke dalam kumpulan dakwah hanyalah berasaskan sebab-sebab yang tidak konkrit. Bermula dengan asas selemah sekadar ikut kawan (social emotion), hinggalah kepada sekadar rasa seronok dapat tahu (epistemic emotion), belajar perkara baru (topic emotion), kemudian berselindung di sebalik ramainya ahli kumpulan dakwah, ada individu yang menikmati rasa ‘telah berjaya’ dan telah ‘membuat sesuatu’ (achievement emotion) yang palsu.

Dengan faktor-faktor yang lemah itu, apa yang terjadi mungkin sekadar berpindah dari katil, kafe dan kuliah, ke kumpulan usrah. Di dalam usrah, kita berterusan hidup di dalam dunia alternatif yang kita bina, bersama literatur-literatur yang hilang sensitiviti zaman dan konteks, kemudian kita membina suatu perasaan bahawa kita telah bertemu dengan Islam, Islam yang menyelesaikan, Islam penyelesaian, sedangkan apa masalahnya yang hendak diselesaikan, kita terlepas pandang, kerana melangkau proses validation yang amat ditekankan di dalam design thinking process itu tadi.

Islam yang kita tawarkan itu seumpama sebuah produk, yang tidak diperlukan oleh masyarakat.

Bukan kerana Islam itu lemah, tetapi kerana kita tidak sahkan masalah sebenarnya yang sedang masyarakat hadapi.

Kita terlalu mencintai solusi.

Kita kurang mencintai masalah.

Masa banyak diluangkan untuk berdamping dengan solusi.

Bukan dengan masalah.

Akibatnya… melalui Islam yang kita kupas di dalam usrah, tamrin, mukhayyam, muktamar dan ijtimak, kita proses ia menjadi satu produk yang tidak menyelesaikan masalah. Ia masih laku, kerana masih ada yang membeli apa sahaja, asalkan berjenama Islam. Tetapi kelompok itu tidak membesar, dan jadilah kumpulan dakwah itu kumpulan dakwah yang syok sendiri, tidak diperlukan oleh masyarakat. Memencil dan terpencil dalam ‘pasaran’.

Dan apabila masyarakat enggan membeli ‘produk Islam(ik)’ kita, kita hukum masyarakat sebagai menolak Islam!

Paradigma ini mesti dihentikan.

SIRAH MENGAJAR SEBALIKNYA

40 tahun sebelum Muhammad bin Abdullah sallallahu ‘alayhi wa sallam menjadi Rasul, baginda terlebih dahulu berada di tengah-tengah masyarakat. Baginda hidup dengan masyarakat sekitarnya, terbabit di dalam konflik kecil dan besar. Bermula dengan peranan-peranan kecil mengutip anak panah di dalam peperangan Fujjar atau Fijar pada usia belasan tahun, demikian juga kebersamaan baginda di dalam perjanjian al-Fudhul selepas peperangan tersebut. Pengalaman-pengalaman ini memberi peluang untuk baginda membuat pemerhatian yang konkrit terhadap cabaran-cabaran sebenar yang dihadapi oleh masyarakatnya.

Kata baginda, “Sungguh aku mengikuti sebuah sumpah perjanjian di rumah Abdullah bin Jad’an dari sebuah perjanjian yang lebih aku cintai daripada aku memiliki unta merah dan seandainya aku diundang untuk mendatangi perjanjian yang seperti itu ketika aku telah mengenal Islam, maka sungguh aku akan memenuhi undangan tersebut” [Ibnu Hisyam 1/154-155].

Baginda tidak hidup terpisah daripada masyarakatnya.

Semasa baginda terlantik sebagai seorang Rasul, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam adalah seorang individu yang peka terhadap persekitarannya. Baginda bukan lahir dari luar, bukan hidup dalam alternate reality, tetapi baginda adalah sebahagian daripada komunitinya. Pasti hal ini mempengaruhi kepintaran baginda dalam memformulasi pendekatan yang baik untuk menyampaikan Islam. Bukan dengan slogan atau retorik kosong, tetapi tauhid dan akhlak terpuji yang terserlah melalui mesej yang menyentuh masalah sebenar masyarakatnya.

Juga pada membekalkan apa yang sesungguhnya paling didamba oleh semua, seperti yang tersebut di dalam surah Quraish:

Menjaga makan minum.

Mengamankan masyarakat daripada ketakutan.

Tuhan yang memberikan nikmat-nikmat itulah, Tuhan yang kita ajak masyarakat berserah diri kepada-Nya.

Bukan Tuhan yang menghukum, atau menakutkan.

MENJELASKAN LANGKAH DENGAN YANG LEBIH BAIK

Jika anak muda, mahasiswa dan mahasiswi, mendapat kesedaran untuk berdakwah dan berbakti kepada masyarakat, anda tidak semestinya terus pergi kepada kumpulan-kumpulan dakwah sedia ada yang besar, yang highly structured, yang sudah mempunyai budaya yang tetap, apatah lagi yang sudah terkenal tidak menawarkan solusi menyelesaikan masalah masyarakat. Kumpulan-kumpulan ini berkemungkinan terlepas daripada proses-proses yang wujud di dalam design thinking. Paradigma sedemikian bukan hanya terbatas kepada dakwah, tetapi kita juga bertemu dengan bisnes-bisnes yang telah dan mungkin masih sedang dilanda kehambaran, hilang signifikasinya di dalam pasaran. Produk-produk besar mundur dan mati apabila tidak lagi menjadi solusi kepada masalah dan keperluan manusia di dalam masyarakat.

Sama ada mereka memang tidak berniat menyelesaikan masalah yang masyarakat hadapi, atau pun masalah yang mereka suarakan itu adalah masalah yang dikenalpasti dahulu kala, tetapi tidak dikemas kini dengan situasi semasa.

Mulakan kesedaran jiwa muda anda dengan mendampingi masyarakat.

Buat kumpulan kecil dan sertai kerja-kerja kesukarelawan. Sama ada kerja-kerja yang sudah sedia ada oleh kumpulan yang bekerja di tengah masyarakat, atau gerakkan sendiri.

“Ustaz, saya nak buat pasukan untuk kerja-kerja pendidikanlah. Ustaz rasa idea tu bagus tak?” tanya seorang anak muda graduan universiti luar negara.

“Bagus dan tidak bagus. Bagusnya ialah, pendidikan memang memerlukan banyak pembabitan masyarakat sivil. Bukan semua serah kepada kerajaan. Tak bagusnya ialah, pendidikan itu luas, dan kalian tidak spesifikkan apa yang kalian hendak buat.” saya berkongsi pandangan.

“Apa yang kami perlu buat, pada pandangan ustaz?” soal beliau.

“Mungkin kalian boleh mulakan hasrat itu dengan mencari jawapan kepada soalan yang ditanya tadi. Saya ada beberapa contoh, tetapi tidak tahulah ia valid atau tidak. Kita sudah melihat gerakan seperti TFTN, Teach for Malaysia, Projek Kalsom dan lain-lain. Kaji apa yang mereka buat, cari bahagian yang kalian boleh sokong dan bantu, atau cari bahagian yang masih terabai dan memerlukan kalian untuk melakukannya. Kita ada ramai golongan yang terhalang daripada mendapat pendidikan yang baik. Anak-anak pelarian, pemohon suaka, golongan paperless, kanak-kanak di hospital, penjara, anak orang kaya yang mak ayah sibuk, macam-macamlah!” saya memberi senarai yang panjang untuk anak muda yang bertanya itu.

Jika anak muda itu terus sahaja menyertai organisasi sedia ada, ada kemungkinan mereka tidak akan berusaha gigih mengecam masalah sebenar yang wujud di dalam masyarakat. Mereka boleh terjebak ke dalam agenda-agenda utopia mahu mengislamkan alam semesta hingga terpesona dengan khayalan di hujung pandang, terhindar melihat derita di bawah dagu.

Gunakan saranan di dalam video di atas, untuk mencari solusi kepada ‘masalah-masalah’ berikut:

  1. Ramai dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi di kampus anda tidak mempunyai kawan daripada bangsa dan agama yang berlainan. Anda mengesan hal ini mulanya melalui perbualan, kemudian anda buat survey melalui Facebook friends warga kampus, dan seterusnya melalui temubual. Adakah ini satu masalah? Jika ya, apa puncanya? Jika puncanya diketahui, apa solusi yang boleh dihasilkan? Reka satu prototaip (sebuah program contohnya), jalankan ia, kemudian semak maklum balas daripadanya.
  2. Masalah gejala sosial yang meruncing di kampus. Para pelajar sibuk berpacaran, mereka yang tidak berpacaran mengalami kemurungan, mereka yang berpacaran mengalami beban kewangan dan fokus pelajaran. Anda mengesannya mulanya melalui pemerhatian. Kemudian ada berbual mengenainya. Seterusnya anda buat kaji selidik untuk mengenal pasti apakah kerisauan anda itu sebenarnya satu masalah atau tidak? Jika ia masalah, apa masalah sebenarnya? Jika mahu dihasilkan penyelesaian, apakah bentuk solusinya? Jika solusi dapat dibina, uji ia. Adakah solusi itu mempunyai kebolehan untuk disalin dan dijayakan di lokasi lain?
  3. Para pelajar di kampus tidak berminat dengan pembelajaran yang bersifat kolaborasi dalam pasukan. Mereka suka belajar secara individu. Adakah ia satu masalah? Berapa ramai pensyarah yang mengeluh tentang hal ini? Adakah ia masalah pensyarah atau masalah pelajar? Apa implikasinya jika masalah ini tidak diselesaikan? Apa penyelesaiannya? Anda ingin guna apa untuk membina solusi? Guna sains tingkah laku? Guna agama? Guna penguatkuasaan? Mana yang benar-benar menyelesaikan masalah ini.

Gunakan kanvas di bawah ini dan kanvas-kanvas lain yang boleh diperolehi daripada Lean Service Creation, untuk menjernihkan idea anda.

Semasa berbincang tentang masalah, pertimbangkan saranan do’s and don’ts berikut:

  • JANGAN bawa belon besar yakni konsep-konsep besar  yang kabur seperti ‘tiada kemudahan infrastruktur’, SEBALIKNYA berusahalah untuk menjadi lebih terpeinci dan spesifik seperti ‘tiada jalanraya berturap di antara Kampung Tengah dengan Jeti Hilir’.
  • JANGAN bawa sesuatu yang tiada solusi hingga menghalang fikiran daripada alternatif seperti ‘kita tiada wang maka anak-anak tidak boleh bersekolah’, SEBALIKNYA berusahalah untuk meletakkan masalah di dalam konteks yang lebih munasabah seperti ‘yuran sekolah kadar berada di luar kemampuan kita’.
  • JANGAN bawa rumusan-rumusan penafsiran seperti ‘pihak berwajib itu pemalas’, SEBALIKNYA berusahalah untuk lebih spesifik seperti ‘pihak berwajib tidak mengeluarkan permit seperti yang telah ditetapkan’.
  • DAN perincikanlah kata perbuatan yang dipakai agar jelas apa yang kita mahu dan tidak mahu.

PENGALAMAN PERIBADI

Saya menyertai banyak projek sepanjang pembelajaran di Finland ini.

Pembelajaran di sini rata-rata menggunakan pendekatan constructivsim (learning by doing) yang mana 80% daripada proses belajar itu adalah di dalam pembelajaran berasaskan projek. Semua projek yang kami terima bukanlah projek simulasi, tetapi projek sebenar yang diberikan oleh klien daripada pelbagai sektor awam dan swasta yang wujud di sekeliling kehidupan.

Salah sebuah projek yang pernah saya terima adalah projek bersama City of Oulu (kerajaan tempatan Oulu). Sebuah sekolah menengah di bawah City of Oulu di sini menyediakan pembelajaran untuk pelarian dan pemohon suaka. Mereka berhadapan dengan kesukaran mendapatkan peluang internship untuk pelajar berkenaan. Internship di kalangan pelajar di sini dikenali sebagai Työelämään tutustuminen (TET), yang mana pelajar-pelajar Finnish (termasuk anak-anak saya juga) dikehendaki mencari pekerjaan di mana-mana sahaja dan bekerja selama seminggu atau dua minggu. Perkara ini sudah lama wujud di dalam sistem pendidikan di Finland.

Pelajar-pelajar berlatar belakangkan pelarian dan pemohon suaka ini sukar mendapat peluang internship tersebut dan seterusnya selepas tamat pengajian, sukar mendapat peluang pekerjaan. Kami diberikan projek yang berjalan selama 4 bulan, untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu.

Dengan mengguna pakai design thinking process, kami telah mengambil masa selama 3 bulan untuk menyiasat semua masalah yang wujud di sebalik masalah asal. Proses pengesahan (validating) kami lakukan membabitkan banyak siri temubual bersama murid pelarian, murid tempatan, pejabat kerajaan dan terutamanya peniaga-peniaga sekitar Oulu untuk memahami mengapa mereka pro dan tidak bermasalah mengambil pekerja pelarian, dan mengapa pula sebahagian yang lain bermasalah dan enggan mengambil pelajar berlatar belakangkan pelarian.

Proses mengesahkan masalah yang kami jalankan telah mendedahkan masalah sebenar yang jauh lebih rumit daripada apa yang disangka di peringkat awal. Semasa membentangkan dapatan akhir, kami diberi pengecualian oleh pihak penganjur, bahawa kami tidak perlu membina prototaip dan mengecilkan solusi kepada satu produk atau deliverable yang lazimnya diperlukan semasa pitching akhir. Sebaliknya keseluruhan proses validating yang kami jalankan perlu dibentangkan kerana masalah dan solusi wujud di dalam keseluruhan proses validating berkenaan.

  • Empathising: Memahami keperluan manusia yang terbabit di dalam masalah yang disiasat.
  • Defining: Merangka dan mendefinisikan masalah berpaksikan manusia (human-centric).
  • Ideating: Menghasilkan sebanyak mungkin idea di dalam sesi percambahan idea, termasuk idea-idea yang teruk dan tidak masuk akal.
  • Prototyping: Menggunakan pendekatan yang berbentuk hands-on dalam membina prototaip.
  • Testing: Mencuba prototaip yang dibina dan mendapatkan maklum balas pengguna semasa menggunakannya ketika simulasi di dalam situasi sebenar atau hampir sebenar.

Biar pun kami tidak menang (kerana kebanyakan juri berminda bisnes dan tetap mahukan hasil akhir kami adalah dalam SATU deliverable), hasil akhir kami telah menerima maklum balas yang positif daripada klien. Pihak City of Oulu bersetuju dengan dapatan kami, dan mengambil ‘produk akhir’ yang kami hasilkan untuk dilesenkan serta dilaksanakan oleh City of Oulu.

Ia adalah salah satu pengalaman berharga saya menggunakan design thinking process dalam menyelesaikan masalah.

Demola Oulu Autumn 2017 Final Pitching from Hasrizal Abdul Jamil on Vimeo.

JIKA MAHU MEMBENTUK KUMPULAN AMAL…

Jika anda menubuhkan sebuah kumpulan baru, atau menyertai kumpulan sedia ada, bawa design thinking process ini ke dalam budaya kerja organisasi anda. Ia akan mengubah banyak perkara, Insya-Allah.

Jika kita masih berfikir tentang dakwah dengan paradigma lama, mungkin tiga masalah kampus yang saya contohkan di atas bukanlah satu masalah kepada kita. Jika kita melihatnya sebagai satu masalah pula, kita mungkin terlalu awal memiliki keyakinan bahawa kita mempunyai solusi untuknya, hasil pembacaan, hasil menelaah kitab, hasil membaca kajian-kajian ilmiah, tidak kurang juga hasil berangan-angan. Lalu kita perjuangkan solusi bayangan kita. Kita kurang memberi usaha dan tenaga ke atas proses, dan ke atas masalah.

Kita terus menumpahkan tenaga ke atas solusi, sebelum masalah menerima perhatian dan usaha yang sewajarnya.

Kita tidak mahu lagi corak begitu berterusan dan berkembang.

Kita mahu dakwah kita berorientasikan masyarakat, mengutamakan kerja, bersandarkan andaian yang telah disahkan, bekerja dengan data, dan akhirnya kumpulan-kumpulan seperti kita, menjadi kumpulan yang diperlukan oleh masyarakat.

Bukan lagi yang memaksa masyarakat menerima produk kita, yang tidak menyelesaikan masalah.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjaah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” [al-Taubah 9: 105]

HASRIZAL
Oulu Finland.

_________________

Bacaan lanjut mengenai Design Thinking:

  1. 5 Stages in the Design Thinking Process: https://www.interaction-design.org/literature/article/5-stages-in-the-design-thinking-process
  2. Herbert Simon, Sciences of the Artificial (3rd Edition), 1996:  https://monoskop.org/images/9/9c/Simon_Herbert_A_The_Sciences_of_the_Artificial_3rd_ed.pdf
  3. Design Thinking for Educators: https://designthinkingforeducators.com/

Check Also

Fenomena Agamawan Berbahasa Kesat Dalam Ceramah

Persoalan ustaz-ustazah, orang-orang agama berbahasa kesat di meja ceramah bukan perkara baru. Apabila saya mengulasnya …

2 comments

  1. Wani Wan Zain

    Thank you so much for sharing out this article. I could use it in my working environment as well especially the kanvas..same concept but different environment. May Allah ease all your effort to make muslim better..ameen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share