Anak Meragam Tidak Mahu ke Tadika

Semasa anak-anak mula melangkah ke alam persekolahan, kami adalah ibu bapa muda yang kurang berpengetahuan serta pengalaman dalam hal ehwal pendidikan dan keibubapaan. Rasa hormat kepada institusi sekolah serta pendidikan yang ditawarkan, mungkin menjadi sebab mengapa ragam anak-anak yang tiba-tiba enggan ke sekolah tidak kami endahkan. Asasnya ialah sekolah betul, yang tak betulnya adalah anak-anak kita sendiri. Mungkin malas, manja, mahu duduk di rumah bermain dan menonton tv sahaja. Tambahan pula kita sebagai ibu bapa waktu pagi-pagi itu adalah waktu kecemasan kerana kita juga mahu ke tempat kerja.

Ya, semua itu boleh dijadikan alasan. Ia adalah alasan yang valid. Tetapi alasan hanya untuk menjustifikasikan apa yang berlaku. Ia tidak dapat mengubah apa yang telah terjadi.

Sama macam di zaman Daulah Uthmaniyyah dahulu. Selepas penawanan Constantinople, Daulah Uthmaniyyah turut mengalami zaman Little Ice Age yang terlalu sejuk. Peperangan berkurang, pertanian tak menjadi, makanan kurang, anak bertambah, hidup jadi tertekan. Cara mudah untuk makan adalah dengan pergi ke Istanbul dan menjadi penuntut ilmu, kerana banyak insentif disediakan oleh kerajaan bagi penuntut ilmu. Apabila ramai ‘bandit’ masuk ke daerah kesarjanaan bukan kerana cintakan ilmu, tetapi demi sesuap makanan, lambat laun ia menjerumus kepada merosotnya kualiti keilmuan Daulah Uthmaniyyah kemudiannya.

Kita boleh beri alasan macam-macam sebab hidup kita ada pelbagai komitmen. Tetapi akhirnya, jika anak-anak yang terpaksa kita kompromi, terpaksa jugalah kita menanggung akibatnya di kemudian hari.

Ketika anak-anak meragam enggan ke sekolah, kami tidak terfikir yang sekolah bermasalah. Selepas mengetahui sekolah bermasalah pun, kami masih tidak berbuat apa-apa, mungkin secara tidak sedar malu kalau menjadi ibu bapa yang memanjakan anak-anak. Terlupa yang si anak baru nak masuk 5 tahun, 6 tahun, masih anak kecil yang emosi dan perkembangan dirinya begitu rapuh. Terkhayal dengan kisah kesarjanaan Imam Syafie dan ilmuan Islam yang hebat-hebat, terlupa yang Nabi sallallahu alayhi wa sallam masih memanjakan anak-anak kecil di usia itu. Umar bin al-Khattab r.a. pun mengambil masa lebih 10 tahun untuk menghafal surah al-Baqarah, gembira hingga menyembelih unta apabila melunaskan hafalan, tiba-tiba kita dera anak-anak kerana lambat menghafal surah dan al-Quran.

Kita terlupa yang sekolah dan sistem pendidikan, baik sekolah kerajaan mahu pun sekolah swasta, tidak maksum. Ia boleh dipersoal, boleh ditolak, boleh dikritik dan boleh dibantah. Keutamaan mesti pada menjaga proses perkembangan anak-anak yang di usia berkenaan masih amat memerlukan perlindungan dan sokongan orang dewasa, terutamanya kita sang ibu bapa yang membawa mereka ke alam ini.

Jika anak yang bersemangat mahu ke sekolah di hari pertama, tetapi tak sampai beberapa ketika sudah mula meragam, ambillah ia sebagai simptom bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Jangan diremehkan kerana anak di usia itu bukan pelakon, bukan munafik yang bermuka-muka, mereka adalah ahli fitrah yang datang ke alam ini sebagai amanah Tuhan kepada kita.

Jangan dera anak-anak dengan akademik, latihan tubi membaca, menulis di usia yang mereka belum mampu melakukannya. Yang membentuk otak mereka, motor halus di jari mereka, keperluan mereka kepada aktiviti bebas dan bermain, adalah Tuhan yang mencipta mereka, Tuhan yang sama menurunkan al-Quran dan melantik Muhammad menjadi Rasul-Nya, sallallahu alayhi wa sallam.

Dan bagi guru prasekolah, carilah jalan untuk menyampaikan kurikulum yang dimandatkan itu secara yang terbaik, tanpa mencederakan jiwa anak-anak kecil itu. Jika datang pemeriksa, penazir, bertanya tentang graf sekolah, pertahankan anak murid, jangan pertahankan graf. Graf tidak hidup. Yang hidup adalah anak-anak itu. Risiko, memang berisiko…. kerana ia satu perjuangan.

Think big, act small, as small as protecting your own kid over the madness of the system.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share