Gelombang ‘Buku Islamik’ Pusingan Seterusnya

Gelombang ‘buku Islamik’ bukan perkara baharu. Ia adalah gelombang yang sama berada di belakang pengunduran saya daripada aktiviti menulis buku sekitar tahun 2013. Saya tidak kenal ‘pesta buku’ sebelum 2008, iaitu tahun pertama buku pertama saya diterbitkan, buku Aku Terima Nikahnya.

Semasa ATN diterbitkan, saya tidak fikir saya akan menjadi penulis. Ia adalah buku tunggal, pada kiraan saya. Tetapi selepas ia terbit pada April 2008, perjalanan hidup saya berubah. Saya tidak menulis untuk dikenali, malah berceramah juga sama kisahnya. Tetapi ia mustahil.

Populariti buku ATN, menjadi asbab dapat bertemu ramai tokoh malah sepentas, seperti Kang Abik, Ustadz Cahyadi Takariawan, juga Norédine Allam dan Greg Blondin daripada The Muslim Show, Perancis. Saya masih belum rasa saya seorang penulis. Tetapi saya hargai peluang berkenaan.

Semenjak 2008, industri buku Islamik begitu rancak. PBAKL seperti ‘Grammy Award’ dan PWTC makmur. Ramai mula menjadi penulis, baik yang secara formal adalah agamawan, mahu pun sebaliknya. Ia perkembangan yang bagus. Tetapi, sedikit demi sedikit, industri menjadi tepu.

Ia mungkin perasaan peribadi saya semata-mata. Sekitar 2011, apabila saya ke kedai-kedai buku utama ibu kota, bahagian genre Islamik dan motivasi penuh buku baharu, tetapi saya seperti hilang deria rasa. Buku-buku cantik, nama penulis juga besar, tetapi ia bagai kehilangan impak.

Saya tidak berani bersuara, bimbang saya juga sebahagian daripada masalah itu. Tetapi saya mula rasa buku-buku Islamik ketika itu seperti sampah. Seolah-olah semua orang mahu menulis buku. Kemuncak fed up saya, adalah semasa muncul genre novel fiksyen sejarah Islam.

Apabila fakta sejarah termasuk berkaitan Nabi Muhammad ﷺ diolah secara ‘kreatif’ dan disambut rancak oleh pembaca, walaupun ia meniti di sempadan syurga neraka kerana meremehkan soal keabsahan menyandarkan sesuatu kepada seorang Rasul, saya rasa industri buku sudah tersasar.

16 November 2013, saya bentangkan di JPATI FPI UKM, kritikan saya terhadap novel fiksyen sejarah Islam. https://saifulislam.com/category/kritikan-novel-sejarah-islam/… Bermula daripada itu, saya menutup perjalanan sebagai penulis buku dengan karya ‘terakhir’, Menalar Makna Diri, Kembara Menjejak Imam Birgivi (2014).

Saya nekad menjauhkan diri daripada gelombang ‘Islam populis’ yang menawarkan banyak ‘peluang’, tetapi saban hari menyuntik rasa gelisah dan bimbang dengan murka Allah. Terasa seperti langit ingin menghempap masyarakat yang sedang ‘sibuk beragama’ tetapi kehilangan makna.

Selepas buku berkenaan, saya tidak menghasilkan buku selama beberapa tahun, dan mengambil keputusan berhijrah meninggalkan tanahair pada tahun 2016. Hasrat hati adalah untuk menghilangkan diri dan dilupakan oleh industri dan masyarakat. Ingin memulakan hidup baharu.

Pada tahun 2017, Jejak Tarbiah menghubungi saya di Finland, untuk berbincang kalau-kalau tulisan-tulisan keras dan panas saya sekitar 2010-2015 boleh dibukukan. Saya asalnya menolak, tidak mahu JT kerugian menerbitkan buku yang orang tidak suka, oleh penulis yang orang tidak suka.

JT beritahu saya, industri buku sudah berubah. Gelombang buku Islamik populis sudah tumbang. Penerbit banyak yang gulung tikar. JT cuba mulakan gerakan baharu, menerbit buku kecil-kecilan untuk demografi kecil yang masih ‘setia mencari’.

Saya berterus terang, saya tidak mampu promosi buku dari jauh. Saya juga tidak mahu JT mengulang kesedihan saya apabila buku Menalar Makna Diri yang begitu besar maknanya kepada saya, pantas hilang dari pasaran walaupun diterbitkan syarikat gergasi.

JT kata, mereka terbitkan buku yang mereka sendiri hargai. Mereka yang ‘passionate’ terhadap buku yang diterbitkan. Bukan kerana trend, tetapi kerana yakin dengan kepentingan isinya. JT memberanikan diri mengambil risiko menerbitkan buku yang ‘belum ada pembeli’.

Hasil perbincangan itu, lahirlah buku Setia Dengan Kebenaran (2017) dan Jalan Sehala (2018), tiga tahun selepas saya menyepikan diri daripada industri buku, dan tidak lagi berada di tanahair.

Tahun 2022, buku Islamik kembali jadi lambakan. Saya tidak tahu mana yang bagus, mana yang tidak. Apa yang saya harap, bersempena inflasi dunia semakin parah ini, berjimatlah duhai pembaca. Belilah buku berasaskan keperluan dan kemampuan, bukan kemahuan, apatah lagi dek promosi.

Selepas 25 buku diterbitkan, saya belum dapat merasakan yang saya adalah seorang penulis.

Saya hanyalah seorang Hasrizal yang menulis.

Ada masa menulis.

Ada masa mendiamkan diri.

Diam untuk sambung membaca, muhasabah diri, dan membetulkan langkah kaki di hujung kembara usia.

Hasrizal Abdul Jamil
Naas, Ireland

Check Also

Susahnya Seorang ADHD Dewasa Menjaga Ibadat

Kita mungkin malu untuk memperkatakan akan hal ini kerana kita mahu menjadi Muslim yang baik. …

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share